Thursday, January 23, 2014

Kuasa Mahkamah Syariah; bagai berumah tanpa isi


Kuasa Mahkamah Syariah; bagai berumah tanpa isi
Muhammad Nuruddin Bashah
Aktivis Gerakan Sokong Syariah (GESA)
Unit Kajian Ilmiah MAPIM Utara


Tahun 1786 tidak memberi erti kepada sesiapa yang tidak peka dengan perkembangan syariah tanahair kita. Tahun ini adaah titik mula kedatangan Inggeris mengambil Pulau Pinang serta menjadi titik mula usaha penghakisan Undang-undang Islam.

British yang membangunkan Common Law menganggap Pulau Pinang atau nama lamanya Tanjung Bidara ketika itu tidak mempunyai sebarang sistem perundangan dan mendakwa undang-undang Islam yang diamalkan adalah zalim.

Bantahan demi bantahan oleh penduduk tempatan, para peniaga Islam, Sultan dan ulama’ menyebabkan pada 1880 Inggeris mula a bersetuju menggubal Ordinan Perkahwinan Mohammedan No. 5 Tahun 1880. (kahwin & cerai umat Islam). Hal ini juga bermulanya isu kuasa Mahkamah Syariah hanya melibatkan isu rumah tangga, secara simbolik bermakna tidak boleh keluar daripada pagar rumah tangga orang Melayu.

Pada tahun 1948 tahun di mana gerakan Islam diharamkan di Tanah Melayu, Ordinan Mahkamah Persekutuan dan sistem kehakiman persekutuan memisahkan Mahkamah Syariah dari hierarki mahkamah. Pada masa pemerintahan kuasa asing, segala urusan agama diberi kuasa kepada raja-raja Melayu tetapi terhadap bidang yang terbatas seperti perkahwinan, adat istiadat, dan agama. Inilah bahana sekularisasi.

Selepas merdeka penjajah meninggalkan kita tetapi dengan bagasi perundangan yang sarat dengan tali hayat Common Law dan Liberalisme Sekular. Misalnya jelas kelihatan dalam Perlembagaan Tanah Melayu, Perkara 4(1) dimasukkan bertujuan untuk mempastikan perkara 3(1) tidak menguntungkan Islam dan mengukuhkan sekularisme di Malaysia.

Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa :

“Perlembagaan Persekutuan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan hendaklah terbatal setakat mana yang berlawanan itu”

Peruntukan inilah yang digunakan oleh pemimpin tertentu untuk menghalang perlaksanaan enakmen hudud di Kelantan dan Terengganu.

Peruntukan ini menyebabkan kerajaan negeri tidak boleh menghalang apa-apa tindakan kerajaan pusat dan juga Parlimen. Begitu juga dengan Dewan negeri, ia tidak boleh meluluskan sebarang Enakmen yang bertentangan dengan perlembagaan atau di luar kuasa masing-masing, khususnya yang berhubung dengan agama Islam.

Tulisan kali ini sebenarnya adalah untuk mengupas analogi rumah tanpa isi. Mahkamah Syariah di Malaysia memang wujud daripada Mahkamah Tinggi Syariah hingga ke Mahkamah Rendah. Mahkamah Syariah bagaikan sebuah rumah agam yang indah dan kukuh.

Kehebatan mahkamah Syariah ditambah lagi dengan peruntukan Perkara 121 (1A) iaitu Mahkamah ini setaraf dengan Mahkamah Sivil dan keputusannya tidak boleh digugat oleh Mahkamah Sivil.

Jika kita mengabaikan peruntukan Perkara 4 (1) masih relevan untuk dilaksanakan syariah kerana Akta Mahkamah Syariah 1965 telah wujud walaupun mungkin agak terbatas.

Jadi di mana masalahnya? Masalahnya ialah
  1. di mana bidang kuasa Mahkamah Syariah?
  2. Berapa hukuman maksima atau bentuk hukuman yang boleh dilaksanakan?

Apabia berbahas dua perkara diatas, jelas Mahkamah Syariah memang dibina bagaikan rumah yang kukuh tetapi tiada isi, perabot, kemudahan dan sebagainya. Ia hanya rumah kosong tanpa manfaat yang sewajarnya.

Menurut Abdul Basir Alias dalam bukunya Ancaman Nasionalis Sekular Ekstrim di Malaysia , dalam soal agama, di dalam Perlembagaan Persekutuan walaupun ianya berada di bawah senarai negeri iaitu dalam Jadual Kesembilan, Senarai Dua (Senarai Negeri) tetapi bidangkuasa pusat lebih luas dan mungkin bercanggah dengan kepentingan negeri.

Misalnya, jika Dewan Undangan Negeri meluluskan satu Enakmen Undang-undang Islam yang berlawanan dengan perlembagaan atau lebih daripada bidangkuasa yang telah diperuntukkan, maka enakmen itu akan terbatal dan undang-undang persekutuan dikira sah kerana wujudnya Perkara 4 (1).

Menurut Syeikh Ghazali Ab. Rahman (1988) dalam tulisan beliau "Perlaksanaan Undang-undang Islam Di Negeri-negeri di Malaysia dan Masalah-Masalah yang Dihadapi" menyatakan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Selangor) 1952 merupakan enakmen pertama yang digubal untuk mengatur pentadbiran Undang-undang Islam di Malaysia.

Ia bertujuan membataskan pemakaian Undang-undang Islam supaya terhad kepada orang-orang Islam di dalam tiga bidang sahaja iaitu undang-undang Keluarga, Warisan
dan beberapa kesalahan Ta'zir. Enakmen ini meligitmasikan hasrat peminggiran kuasa Mahkamah Syariah yang mengehadkan kuasa Mahkamah.

Bidangkuasa Kerajaan Persekutuan.
JADUAL KESEMBILAN
Senarai I—Senarai Persekutuan
4. Undang-undang dan tatacara sivil dan jenayah dan pentadbiran keadilan, termasuk—

(a) Keanggotaan dan susunan semua mahkamah selain Mahkamah Syariah;
(b) Bidang kuasa dan kuasa semua mahkamah itu;
(c) Saraan dan keistemewaan lain hakim dan pegawai yang mengetuai mahkamah itu;
(d) Orang yang berhak menjalankan amalan di hadapan mahkamah itu;
(e) Tertakluk kepada perenggan (ii), perkara yang berikut:
(i) Kontrak; perkongsian, agensi dan kontrak khas yang lain; majikan dan perkhidmat; rumah inapan dan tuan rumah inapan; perbuatan salah boleh dakwa; harta dan pindah hakmiliknya serta hipotekasinya, kecuali tanah; bona vacantia; ekuiti dan amanah; perkahwinan, perceraian dan kesahtarafan; harta dan taraf perempuan bersuami; pentafsiran undang-undang persekutuan; surat cara boleh niaga; akuan berkanun; timbang tara; undang-undang persaudagaran; pendaftaran perniagaan dan nama perniagaan; umur dewasa; budak-budak dan orang belum dewasa; pengangkutan; pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat; probet dan surat kuasa mentadbir; kebankrapan dan ketidakmampuan bayar; sumpah dan ikrar; batasan; penguatkuasaan bersaling penghakiman dan perintah; undang-undang keterangan;
(ii) perkara yang disebut dalam perenggan (i) tidak termasuk undang-undang diri Islam yang berhubungan dengan perkhawinan, perceraian, penjagaan, nafkah, pengangkatan, kesahtarafan, undang-undang keluarga, alang atau pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat;
(f) Rahsia rasmi; perbuatan rasuah;
(g) Penggunaan atau penunjukkan jata, lambang kebangsawanan, bendera, lambang, pakaian seragam, darjah kebesaran dan bintang kehormatan selain bagi sesuatu Negeri;
(h) Pewujudan kesalahan berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan atau yang diperkatakan oleh undang-undang persekutuan;
(i) Tanggung rugi berkenaan dengan mana-mana perkara dalam Senarai Persekutuan atau yang diperkatakan oleh undang-undang persekutuan;
(l) Pertaruhan dan loteri.

Bagi bidangkuasa negeri,
Jadual Kesembilan
Senarai II—Senarai Negeri
1. Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkhawinan, perceraian, mas kahwin,nafkah, pengangkatan, kesahtarafan, penjagaan, alang, pecah milik dan amanah bukan khairat; Wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairat dan agama, pelantikan pemegang amanah dan pemerbadanan orang berkenaan dengan derma kekal agama dan khairat, institusi, amanah, khairat dan institusi khairat Islam yang beroperasi keseluruhannya di dalam Negeri; adat Melayu; Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam; penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak dan adat Melayu.

(c) Permit dan lesen untuk mencari gali bagi lombong; pajakan melombong dan perakuan melombong;
(e) Pindah hakmilik tanah, gadai janji, pajakan dan gadaian berkenaan dengan tanah; isemen ; dan
(f) Rad; harta karun tidak termasuk benda purba.
3. Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, pertanian dan perhutanan, termasuk—
(a) Pertanian dan pinjaman pertanian; dan
(b) Hutan.
5. Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, perkhidmatan lain yang berciri tempatan, iaitu:
(f) Pelesenan panggung, panggung wayang dan tempat hiburan awam.

Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan mengandungi Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama seperti di atas.
Parlimen menggubal undang-undang dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama manakala Dewan Undang Negeri menggubal undang-undang dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Jadi negeri hanya mampu membuat undang-undang Syariah sekadar yang ada dalam senarai Jadual Kesembilan ini.

Jadual inilah yang mengehadkan bidang kuasa perlaksanaan syariah oleh negeri-negeri. Walaupun memiliki mandat, mandat itu pula terbatas.

Perkara jenayah terletak di dalam item 4 Senarai Persekutuan. Jika undang-undang hudud tertentu seperti mencuri ingin digubal oleh Dewan Undang Negeri, pindaan terhadap Item 4 ini perlu dilakukan terlebih dahulu.

Bagi Senarai Persekutuan, Undang-undang kontrak, jenayah, tort dan lain-lain adalah terletak di bawah Senarai Perundangan Persekutuan.

Dalam hal kewangan Islam, Senarai 1 Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan juga menetapkan bahawa hal ehwal kewangan adalah tertakluk di dalam bidang kuasa Parlimen dan kerajaan persekutuan. Ia juga disokong oleh Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan. Hal ini menjadi punca kes kewangan Islam diselesaikan di Mahkamah Sivil bukannya di Mahkamah Syariah.
Menurut Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) masalah isi kandungan Jadual Kesembilan, Senarai 2, Perenggan 1, diterjemahkan sebagai syarat awal dalam pelbagai enakmen negeri yang mengawal bidang kuasa mahkamah syariah. Perlembagaan mesti dipinda untuk membuang keterbatasan Jadual 9, Senarai 2, Perenggan 1, khasnya dalam permasalahan berhubung pertembungan hak antara orang Islam dan bukan Islam.

Kadar hukuman juga menjadi dilema hakim-hakim syariah yang faham hukuman cara Islam. Kadar hukuman itu ditentukan oleh Akta Mahkamah Syariah 1965. Ia memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah hanya boleh menjatuhkan hukuman maksimum RM5000.00 denda, ataupun penjara maksimum 3 tahun ataupun sebatan 6 kali ataupun gabungan antara hukuman-hukuman berkenaan.

Untuk menambah keberkesanan perlaksanaan syariah, senarai negeri Jadual Kesembilan perlu ditambah agar seimbang dengan bidang kuasa kerajaan pusat yang menyelia Mahkamah Sivil. Kadar hukuman juga perlu diubah dalam Akta Mahkamah Syariah 1965 untuk memastikan kadar hukuman menyerupai hudud dan qisas dipraktikkan.

Bertam
12.34 malam

24 jan 14

No comments:

Post a Comment

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)