Saturday, July 25, 2009

Pendidikan dan Modul Alternatif SPAQ

Kelas dan bengkel isu yang disediakan adalah terbitan Unit Pendidikan dan Modul Alternatif SPAQ. Sila ikuti perkembangan untuk mengetahui tarikh kelas diadakan selain kelas Aqidah.

Sila hubungi (017 6291368) jika anda inginkan mana-mana modul di adakan di tempat anda.

Modul 1 : Ancaman Sekularisme
Slide pertama : asal-usul Sekularisme (siap)
Slide kedua : sekular menurut pandangan Islam
Slide ketiga : Perbahasan sekularisme di Malaysia.
Slide keempat : Adakah malaysia negara sekular (siap)

Modul 2 : Sistem perundangan syariah di Malaysia
Slide pertama : sejarah perundangan Syariah Tanah Melayu (telah dibentang)
Slide kedua: Perundangan syariah pra merdeka
Slide ketiga : Perundangan Syariah pasca merdeka
Slide Keempat : Perundangan Syariah era selepas 1988 (siap)

Modul 3 : isu Umat seluruh dunia
Isu Israel raya (siap)
Penelitian hubungan erat Amerika-yahudi (progress)
Uygur
Kemboja dan Pol pot
Rohingya
Patani
Sulu

Modul 4 : isu Umat domestik
Isu sufiah (siap)
Isu Nabi melayu (siap)
Isu Sis
Isu Hadanah mahkamah Syariah di malaysia (merujuk buku kecil kes Muhd Ridzwan)

Modul 5 : peraturan syariah, enamen pentadbiran agama Islam, sistem mahkamah, pewartaan fatwa dan peraturan peguam syariah di negeri-negeri melayu, enakmen tatacara jenayah yang terlibat, enakmen undang-undang keluarga
Negeri Selangor
Negeri Perak
Negeri Johor
Negeri Pulau Pinang
Wilayah Persekutuan
Kedah

Friday, July 24, 2009

Seminar Fenomena Najis Mughallazah dalam Dunia Kontemporari

SEMINAR FENOMENA NAJIS MUGHALLAZAH DALAM DUNIA KONTEMPORARI

TARIKH : SABTU, 08 OGOS 2009
MASA : 8.00 PAGI - 5.00 PETANG
TEMPAT : DEWAN AUDITORIUM SIRIM BERHAD,
NO. 1, PERSIARAN DATO' MENTERI, SEKSYEN 2, SHAH ALAM, SELANGOR

ANJURAN : Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Selangor (PUMSEL),
Persatuan Kakitangan Islam SIRIM (PERKIS),
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) dan
Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia

Tajuk dan Pembentang :

'Standard Halal MS 1500:2004-Pengenalanan'- Ustaz Mohd Yusof Arbain (SIRIM Berhad)

'Babi Menurut Perspektif Aqidah Islam Dan Agama-Agama Lain'- Ustaz Rumaizi bin Ahmad (PUM Selangor)

'Ikhtilaf (Perbezaan Pendapat) Ulama Dalam Masalah Babi' - Ustaz Mohd Nidzam Abdul Kadir (UIAM)

'Pendekatan Istihalah (Transformasi) Dalam Produk Yang Berunsurkan Babi'- Dr. Saadan Bin Man (APIUM)

'Penggunaan Babi Dalam Sains dan Teknologi'- Prof. Dato Dr Sheikh Omar Abdul Rahman (UPM)

'Keperluan Penternakan Babi Moden di Malaysia'- Prof Madya Dr. Loh Teck Chwen (UPM)

'Penternakan Babi dan Hak Bukan Islam Dalam Negara Islam : Satu Tinjauan Berdasarkan Siyasah Syar'iyyah dan Sejarah Islam' - Dr. Mohd Roslan Mohd Nor (APIUM)

'Bahan-bahan Babi dalam Kepenggunaan Menurut Pandangan Hukum Fikah'- Ustaz Haji Zainal Abidin Jaafar (HDC)

'Aplikasi Sains Dalam Mengesan Produk Babi Dalam Makanan Dan Perubatan'- Prof Madya Dr. Suhaimi Mustafa (UPM)

'Babi dalam Pendidikan Veterinar : Suatu Panduan Menurut Fikah'- SS. Dato Setia Hj. Mohd Tamyes Abdul Wahid (Mufti Selangor)

Yuran Penyertaan :

Pertubuhan / Agensi Jabatan : RM150.00
Individu : RM 50.00
Pelajar / Mahasiswa (Ijazah Pertama) : RM 10.00

Bayaran adalah untuk seorang peserta meliputi kertas seminar dan makanan.

Pendaftaran Penyertaan :

Sila buat pendaftaran sebelum atau pada 06 Ogos 2009 dengan menghubungi:

Talian : 013-384 0710 (Azmi), 013-3007 193 (Sarah), 013-2221 579 (Ahani)
03-7955 4300 (PUM)
Faks : 03-7955 4300 (PUM)
Email : pumpusat@yahoo. com
Blog : http://ulamadaily. blogspot. com

Alamat :
Persatuan Ulama Malaysia
8-4, The Right Angle, Jalan 14/22, Sekysen 14,
46100 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan

Misi mengisi kelompangan perjalanan kes-kes tertunggak Mahkamah Syariah

Artikel ini akan dipos kepada gerakan dan NGO yang mempunyai sayap wanita

Misi mengisi kelompangan perjalanan kes-kes tertunggak Mahkamah Syariah
Oleh: Muhammad Nuruddin Bashah
(Pengerusi Skuad Penyelamat Aqidah, Setiausaha TERAS Cawangan Perak)

Mahkamah syariah adalah antara institusi Islam di Malaysia yang mampu melambangkan betapa syumulnya ajaran Islam sehingga memiliki sistem peraturannya sendiri. Darihal itu, walaupun skop kuasa dan taraf mahkamah syariah berbanding mahkamah sivil masih terbatas, ia tetap harus diperjuang serta diperkukuhkan dalam usaha mengupayakan kewujudan syariah di bumi Malaysia.

Suatu ketika dahulu peraturan syariah yang diperhakimkan benar-benar hanya melibatkan peraturan kekeluargaan dan nikah cerai semata-mata. Dahulu ia digelar Mahkamah Kadi. Dahulu juga ia bergabung dengan Jabatan Agama Islam serta hanya dianggap satu perlambangan kekuasaan Sultan-sultan sebagai ketua agama Islam bagi negeri-negeri Melayu.

Isu kelambatan proses penghakiman di mahkamah syariah yang melibatkan nikah cerai, fasakh, penderaan wanita adalah isu yang boleh membawa imej buruk kepada institusi syariah di negara ini. Tidak hairan apabila telah timbul satu gelombang gerakan gender femenism yang mula mempersoal perundangan syariah yang dikatakan 'bias', chauvinisme serta diskriminasi terhadap wanita. Undang-undang kekeluargaan yang lengkap dalam syariah Nabi Muhammad adalah disasarkan untuk membela nasib wanita. Namun bagaimana kita berjaya memahamkan golongan feminism ini? Jika diteliti statistik tahun 2002 (Berita Harian, 11 Mac 2002) sememangnya ada 29% kes tertunggak dari 1997 hingga 1999. Antara hujah yang dinyatakan oleh Pegawai Undang-undang Sisters In Islam, Nazreen Nizam dalam Majalah Al Islam Ogos 2009, penangguhan beberapa kes syariah sehingga 11 tahun yang melibatkan fasakh, tuntutan nafkah dan sebagainya adalah merupakan kesalahan pihak mahkamah. Benarkah prosedur mahkamah syariah lembab, lemah, bias serta kekurangan hakim berwibawa?

Ada pandangan sisi lain, walaupun Dato Zahid Hamidi pernah berkata hanya 10% sahaja kes tertunggak dalam mahkamah syariah, kes berkenaan adalah melibatkan kebajikan wanita, penderaan dan nafkah hidup yang bersifat dharuri (amat penting). Walaupun lebih banyak kes di mahkamah sivil belum selesai, kes sivil lebih melibatkan kesalahan terhadap individu dan kesalahan kepada negara dan kurang berkaitan isu rumah tangga yang lebih dekat dengan sensitiviti masyarakat. Berbanding kes kekeluargaan di mahkamah syariah, walaupun didakwa telah 90% selesai, ia adalah permasalahan struktur paling asas masyarakat iaitu 'keluarga'. Walau hanya 10% terbengkalai ia tetap menjadi isu dan perhatian masyarakat.

Sebenarnya terdapat 3 faktor utama yang menyebabkan kes tertangguh seperti yang dinyatakan oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia iaitu masalah peguam, plaintif serta difenden.
Saya ringkaskan permasalahan tersebut:
Masalah peguam;
1. Peguam tidak membuat 'homework' dan membawa bukti secukupnya.
2. Peguam tidak memberi perhatian kepada kes itu kerana peguam tersebut juga membawa banyak kes-kes yang lebih kritikal.
3. Peguam tidak hadir menyebabkan kes ditangguh dan hakim terpaksa mengikut semula turutan kes-kes nya mengikut prioriti.
Masalah Plaintif;
1. Plaintif kekurangan ilmu undang-undang.
2. Tidak memiliki saksi dan laporan kesihatan, polis.
3. Kes tidak dibawa segera selepas sesuatu perkara umpamanya kes pukul dan dera menyebabkan tiada bukti dan sebagainya.
4. Emosi dan menangis berpanjangan sehingga menyukarkan hakim mendapat butir hujah yang baik.
Gerakan femenism yang memperjuangkan perundangan bagi wanita adalah diraikan kerana ia akan memudahkan mangsa atau plaintif menuntut keadilan di mahkamah menurut prosedur yang betul. Namun begitu gerakan ini kerap kali mengambil ruang melalui kelemahan plaintif dalam hal undang-undang sehingga doktrin bias dan ketidakadilan mahkamah syariah diperdagangkan. Hal ini seharusnya diambil perhatian oleh gerakan-gerakan dakwah wanita, NGO dan sebagainya agar mengambil ruang khidmat pemudahcara undang-undang untuk memastikan pembelaan terhadap wanita berlaku dalam masa yang sama membantu menaikkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem mahkamah syariah dan ajaran Islam, bukannya merendah-rendahkannya.

Namun, baik juga jika dinilai kembali kajian ke atas kes cerai tertangguh oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri terhadap kes-kes yang dikendali Biro Bantuan Guaman (BBG)
[1] bagi tahun 1999 dan 2000 yang mendapati mahkamah merupakan punca utama. Daripada 186 kes yang dikenal pasti tertangguh, 49% atau 91 daripadanya disebabkan pelbagai masalah yang timbul di institusi tersebut. Dalam kes-kes tertentu, mahkamah juga tidak menyatakan dengan jelas sebab sebenar penangguhan kes. Kebanyakannya hanya menyatakan kes ditangguhkan atau sebab tertentu atau sebab yang tidak dapat dielakkan yang mana ia menyukarkan BBG untuk memberi penjelasan kepada anak guam. Di samping itu, kebanyakan kes juga ditangguhkan tanpa tarikh serta lambat mengemukakan tarikh sebutan kes atau tarikh bicara baru yang menyebabkan terdapat kes yang tertangguh hampir setahun tanpa tarikh bicara baru.

Jelasnya peruntukan undang-undang syariah adalah lengkap berbanding agama lain. Disebabkan segala permasalahan melibatkan perjalanan mahkamah syariah, golongan femenism di Malaysia mula mempromosikan kempen monogami, mempersendakan poligami yang disyariatkan serta memasukkan jarum halus secara perlahan-lahan mengenai budaya liberal yang mengenepikan aurat (bertudung) dan sebagainya. Inilah kesempatan yang diambil akibat kelemahan yang wujud. Hari ini kita perlu berjuang meyakinkan masyarakat mengenai undang-undang keluarga Islam sebelum memahamkan mengenai hudud dan keseluruhan keadilan Islam.

Mahkamah syariah tidak perlu dipugar dan dipertikai wibawanya selepas ia diperkasakan oleh perjuangan Prof. Ahmad Ibrahim pada tahun 1988 melalui perletakan perkara 121 (1a). Malah menurut kajian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, masalah kes tertunggak kebanyakannya disebabkan oleh kekurangan kesedaran dan kefahaman undang-undang mahkamah dan bukannya kewibawaan mahkamah itu sendiri.

Disebabkan banyak faktor yang menyebabkan kelewatan kes nafkah dan cerai sebagai contohnya, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) misalnya terpaksa mendahulukan wang nafkah kepada si isteri sementara menunggu kes selesai dan si suami wajib membayar kembali nafkah tersebut kepada JKSM. Dana sebanyak RM 15 juta telah dipohon oleh JKSM. JKSM telah memainkan peranan penting dari segi kebajikan sementara bagi wanita.

Bagi tenaga sokongan perundangan, pendidikan undang-undang serta penyediaan plaintif ke arah persiapan rapi dari segi laporan polis, kesihatan, laporan khas, bukti, saksi dan kesediaan masa yang tepat adalah perlu institusi Islam seperti NGO wanita Islam dan gerakan dakwah Islam seperti ABIM, PAS, ISMA, PEMBELA dan JIM yang memiliki sayap wanita mengambil ruang ini secara serius dan konsisten. Sediakan tenaga kajian dan bantuan yang lengkap. Tidak semestinya kewangan yang banyak menjamin kelancaran mahkamah. Di samping itu si plaintif dibekalkan dengan dakwah Islam, pengurusan emosi secara Islam serta dipersiapkan dengan harapan baru untuk membina hidup berasaskan aqidah Islam yang sejati. Inilah kelompangan yang kini diisi oleh gerakan wanita liberal seperti Sisters In Islam dan sebagainya. Jika kita menyelar gerakan liberal, kita perlu juga sediakan alternatif yang lebih baik dalam usaha meluaskan perlaksanaan syariah di bumi Malaysia.

Gerakan wanita Islam juga boleh memainkan peranan memastikan pihak mahkamah dan hakim dapat mengurangkan masalah yang timbul akibat teknikal yang mungkin bersifat remeh. Walau telah banyak seminar dilakukan untuk menyelesaikannya, masih perlu pihak ketiga (third party) yang menjadi timbang tara yang berkesan.

Walaupun keterbatasan mahkamah ini masih ketara dengan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang mengehadkan perundangan jenayah Islam, namun usaha satu juzuk yang diambil oleh gerakan kewanitaan Islam yang disarankan ini boleh meningkatkan sekaligus menambahkan kapasiti perlaksanaan kesemua undang-undang syariah di dalam Al Quran dan Hadis.

Muhammad Nuruddin Bashah
Pengerusi Skuad Penyelamat Aqidah
Setiausaha TERAS Perak

Hadapan 360 MKJ Kampung Terang
11000 Balik Pulau
Pulau Pinang
017 6291368

[1] Biro Bantuan Guaman telah ditubuhkan pada September 1970 dengan objektif utamanya adalah untuk memberi khidmat nasihat dan bantuan guaman mengenai isu undang-undang yang dihadapi oleh golongan miskin. Ketika itu, BBG diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara.

Wednesday, July 22, 2009

Kelas SPAQ-Ahad,26 Julai 2009


Kelas Pengajian Kitab Aqidah
Kelas KAFA USM
2 petang
Ahad, 26 Julai 2009


Peringatan : Pelajar USM bawa bersama Kitab Aqidah Tohawiyyah,
Muslimat IPPP bawa bersama Kitab Muqaddimah Aqidah Muslim

Sunday, July 19, 2009

Penghalang Dakwah Adalah Sikap Kita Sendiri.

Surat ini telah disiarkan dalam Harakah edisi Jumaat, 31 Julai-2 Ogos 2009

Penghalang Dakwah Adalah Sikap Kita Sendiri.

Surat ini ditulis untuk mengetuk sanubari pendakwah dalam kalangan masyarakat kita agar lebih cakna dengan isu melibatkan kaum bukan Islam.

Hari ini, (19 Julai 2009) selepas bersolat Maghrib di Masjid Negeri Perak (Masjid Sultan Idris II), saya telah melihat seorang wanita India datang ke masjid sambil sebelah tangan mendukung anak kecil. Sebelah tangan yang lain pula mengepit botol susu. Wajah wanita India itu serius, seolah-olah mengalami masalah. Sampai di kawasan masjid, dia memberitahu hasratnya untuk bertemu dengan 'ustaz' di masjid tersebut pada seorang pengawal keselamatan (kelihatannya bukan bertugas di masjid tersebut). Pada fikiran saya mungkin dia ingin bertemu dengan Imam atau Bilal di masjid berkenaan.

Saya tersentak apabila pengawal tadi berkata dengan nada serius tanpa memandang wajah wanita India itu bahawa ustaz tiada! Saya terkejut. Kenapa perlu bercakap sekasar itu di hadapan individu bukan Islam serta di kawasan masjid?

Saya terus bertanya kepada pengawal berkenaan kenapa bercakap sedemikian rupa, beliau segera menjelaskan, “Untuk apa dia ingin berjumpa Imam, kalau hendak masuk Islam boleh lah”. Bagaimana seseorang itu boleh menganut Islam jika akhlak sebegitu yang kita tonjolkan? Saya kecewa apabila pengawal keselamatan tersebut menghalau wanita itu dan menyuruhnya berjumpa ustaz ‘India’ di Masjid India Ipoh. Saya berusaha mencari wanita India berkenaan tetapi hampa kerana gagal menjumpainya.

Saya segera menghubungi Haji Zamanhuri (Pegawai Masjid) untuk mengadu kepadanya. Beliau menyatakan telah banyak kali pihak masjid membantu golongan bukan Islam yang berada dalam kesusahan kerana itu juga adalah dakwah. Beliau juga tidak bersetuju degan sikap umat Islam sepertimana yang ditonjolkan oleh lelaki berkenaan.

Pihak gereja senantiasa memberi khidmat masyarakat dalam usaha menyebar agama Kristian. Mengapa pula kita menutup dakwah dengan sikap prejudis kita terhadap kaum bukan Islam? Mengapa menganggap kehadiran mereka ke kawasan masjid adalah untuk meminta sedekah semata-mata? Mungkin wanita itu didera atau dipukul oleh suami yang mabuk. Mungkin wanita itu pernah ditolong oleh kaum Islam serta tertarik dengan kebaikan Islam, lantas ingin mengadu ke masjid.

Rasulullah SAW dahulu juga berhadapan dengan kaum Badwi yang kasar, datang untuk meminta nasihat dan bantuan Nabi. Baginda membantu mereka serta berdakwah dengan lemah lembut. Jika begini sikap kita, mana mungkin kita boleh menjadi penyebar risalah agama?

Muhammad Nuruddin Bashah
Setiausaha Teras Cawangan Perak.
Hadapan 360 MKJ Kampung Terang
11000 Balik Pulau
Pulau Pinang
017 6291368

Friday, July 10, 2009

Kelas SPAQ 11 Julai 2009


Kelas Aqidah Tohawiyyah-Kitab Perisai,
Diskusi Isu Aqidah,
PPSMI,
Sisters In Islam

Kelas KAFA USM,
9 mlm
Sabtu, 11 Julai 2009

Sebarkan dan ajak rakan-rakan hadir ke majlis ilmu ini.

Wednesday, July 8, 2009

Kenyataan Media: menentang Liberal perlukan kesungguhan dan penekunan

Kenyataan Media( 9 Julai 2009)
Menentang Liberal perlukan kesungguhan dan penekunan
SPAQ telah menghantar surat mengenai isu Sister In Islam kepada Ketua Menteri Pulau Pinang bagi pihak pemimpin DAP, serta kepada Pengerusi SIS sendiri melalui email, pos dan melalui surat di Harakah.

SPAQ berharap agar tindakan komprehensif terhadap isu ini dapat dijalankan dan bukan sekadar bermusim atau atas dasar responsif semangat sahaja. Isu menentang idea liberal dalam agama adalah agenda komprehensif dan meliputi semua strata masyarakat, segmen pekerjaan dan sektor. Agenda ini melibatkan idealogi yang berakar umbi melalui sebarang dilektik isu.

SPAQ akan bersama TERAS untuk terus memastikan JAKIM menyiasat status SIS dan membawa hal ini ke Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan. Hal ini menghendaki suatu usaha yang tersusun, padu dan konsisten. Perjuangan menentang liberal memerlukan pekerja yang terus menerus berfikir dan bertindak secara efektif. SPAQ mengalukan sebarang bantuan kajian, kewangan dan tenaga fikir untuk menjayakan usaha mengimunisasikan aqidah umat Islam di Malaysia dari ancaman liberalisasi.

Muhammad Nuruddin Bashah
Pengerusi Skuad Penyelamat Aqidah

Sunday, July 5, 2009

Usaha Pemerkasaan Tulisan Jawi melalui PERAWI

Berkat kesungguhan yang ditunjukkan oleh Teras Pengupayaan Melayu(TERAS) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Muktamar Pergerakan Pemerkasaan Tulisan Jawi(PERAWI) telah berjaya diadakan di auditorium perpustakaan negeri pada semalam, 5 Julai 2009. Muktamar yang julung kali dianjurkan ini telah menarik minat dengan penyertaan yang terdiri daripada wakil-wakil NGO, mahasiswa, pelajar sekolah serta orang perseorangan hinggakan ada yang datang dari Kuala Lumpur untuk menghadirinya. Upacara perasmian telah disempurnakan oleh Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayaan iaitu YB Dr. Hj. Hamdan Mohamed Khalib.

Muktamar yang antara objektifnya adalah untuk melaksanakan gerak kerja mempopularkan semula tulisan jawi dalam kalangan masyarakat ini dilihat sebagai langkah penting dalam perjuangan TulisanJawi walaupun telah ada beberapa seminar malah Konvensyen Tulisan Jawi pada tahun 1984 dan 1991. Di dalam konvensyen tersebut, beberapa usul telah dicadangkan bagi tujuan mengangkat martabat Tulisan Jawi. Malangnya, banyak yang belum terlaksana. Disebabkan kegagalan perlaksaan tersebut jugalah, perkataan ‘muktamar’ dan ‘pergerakan’ dipilih agar muktamirat yang hadir bukanlah sekadar datang menghadirkan diri serta menjadi pencatat yang ‘beku’ selepas pulang tetapi semua resolusi yang dibincangkan di penghujung muktamar akan dilaksanakan.

Muktamar ini diisi dengan pembentangan 4 kertas kerja yang masing-masing mengolah sejarah, fenomena masa kini serta langkah berkesan yang perlu dijayakan dalam usaha memperjuangkan tulisan jawi meskipun usaha ini sepatutnya bukanlah sesuatu yang perlu ‘diperjuangkan’ tetapi perlu ‘diperkembangkan’. Ungkapan oleh Ustaz Yusof ini sangat berbekas di hati. Berikut adalah tajuk kertas kerja yang dibentangkan serta pembentang yang terlibat.

1. “Memperkasa Tulisan Jawi sebagai Khazanah Tamadun Islam dan Jatidiri Ummah”
oleh Ustaz Yusof bin Mahmud, YDP Persatuan Ulama Kedah.
2. “Peranan Institusi Agama dalam Memperkasakan Tulisan Jawi”
oleh Ustaz Abu Khair Ayub dari Maahad Tarbiah Islamiyah Derang, Pokok Sena, kedah.
3. “Perjuangan Kemerdekaan Kali Ke2 melalui Penataran Tulisan Jawi”
oleh Muhammad Nuruddin Bashah
4. “Memperjuangkan Pemerkasaan Tulisan Jawi, Menggerakkan Startegi Bersama”
oleh Hj. Azmi Abdul Hamid, Presiden TERAS.

Dekatnya Tulisan Jawi dengan al-Quran adalah disebabkan asalnya dari huruf-huruf Arab yang disesuaikan dengan bahasa Melayu di rantau ini. Dekatnya Tulisan Jawi dengan masyarakat dahulu kerana mereka belajar bahasa Melayu, ilmu agama, sejarah serta ilmu alam menggunakan bahasa Melayu yang bertulis dengan Tulisan Jawi. Hak Melayu adalah Tulisan Jawi yang kini sudah dipesongkan oleh penjajah yang memperkenalkan sistem tulisan mereka bagi mengawal perkembangan tulisan Jawi. Penggunaannya sangat meluas hinggakan penjajah juga mengiktiraf tulisan ini yang digunakan di dalam Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu.

InsyaAllah, SPAQ kini dalam usaha untuk bekerjasama dengan Persatuan Mahasiswa Islam bagi menganjurkan seminar yang sama tetapi dalam ruang yang lebih kecil di USM. Penglibatan mahasiswa dalam usaha memupuk kesedaran serta gerak kerja susulan yang segera ini diharapkan dapat memartabatkan semula Tulisan Jawi sebagai bahasa yang tidak sepatutnya dipinggirkan apatah lagi dipandang rendah dari segi kepentingannya sebagai salah satu medium perantara ilmu. Resolusi muktamar PERAWI agar penggunaan tulisan Jawi kembali diperluaskan dalam kalangan mahasiswa akan direalisasikan bertitik tolak dari bengkel ini. Kepada mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) lain yang ingin bekerjasama dengan SPAQ, penglibatan anda amat dialu-alukan. Makluman lanjut berkenaan ceramah dan bengkel yang akan diadakan dalam bulan Julai ini akan dimaklumkan seberapa segera nanti.


Wardah bt Abdul Rahman
Unit Media SPAQ

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)