Saturday, September 19, 2009

Kerja dakwah untuk hebahkan isu Rasul Dusta

Alhamdulillah, blog Abdul Kahar (Rasul Dusta) yang telah dihebahkan oleh SPAQ telah ditutup. Mungkin oleh para pengikutnya atau atas siasatan pihak berkuasa MAIS dan Polis.

Besar harapan rakyat Malaysia yang beraqidah ahli sunnah wal jamaah, melihat pihak pendusta sebegini dihukum setimpalnya, dilumpuhkan kemampuan gerakannya untuk kembali mempengaruhi rakyat, serta disiasat dalang-dalang yang menertai serta melindungi gerakan sesat Abdul Kahar.

Rakyat yakin pihak MAIS, para peguam syariah dan polis telah bekerja keras untuk menjejaki beliau yang berdusta besar atas nama Penguasa Alam.

Kepada para pendakwah sekalian, teruskan dakwah anda semua memberi pelajaran dan fakta berkaitan isu Abdul Kahar. Ini obligasi Aqidah kita bersama.

Muhammad Nuruddin Bashah
Pengerusi Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)

Wednesday, September 16, 2009

Kenyataan Media: Siasat tabir gerakan yang melindungi rasul sesat

Kenyataan ini disiarkan dalam Harakah Edisi Jumaat 9-11 Oktober 2009

Kenyataan Media: Siasat tabir gerakan yang melindungi rasul sesat


Tengah hari tadi saya baru sahaja memeriksa blog SPAQ dan mendapati ada komen di bahagian 'shout box' yang mempromosi blog di bawah.


http://rasulmelayu.blogspot.com/


Seolah-olah si pendusta Abdul Kahar ini ingin membuat ‘comeback’ meneruskan misi kembali Musallamah al Kazzab.


Saya terus membuat keputusan untuk membuat kenyataan akhbar serta merencana untuk menulis surat kepada JAKIM untuk memberi cadangan dan saranan untuk memastikan beliau tidak lagi licik melarikan diri daripada Mahkamah Syariah. Belum sempat saya menulis apa-apa, TV3 menyiarkan bahawa beliau telah ditangkap oleh penguatkuasa agama hari ini (16 september 2009).


Kes beliau terlalu rencam akibat adanya gerakan liberal-sesat serta politikus terkemuka yang melindungi beliau. Malah ada beberapa pegawai kerajaan yang menjadi pengikutnya telah berusaha membela beliau. Dengan ada pula peguam sekular terkemuka Malik Imtiyaz, kes beliau ditangguh cukup lama sedangkan kesesatan beliau dharuri, mudah dikenalpasti serta sarih (terpampang luas).


Abdul Kahar, 55, didakwa di Mahkamah Syariah Shah Alam atas tuduhan mengikut EJS dan EPAI, kerana menjelaskan isu keagamaan yang bertentangan dengan ajaran Islam iaitu menyatakan sembahyang hanya cukup sekadar mencegah daripada membuat perkara keji dan mungkar saja, serta ibadat haji sekarang sia-sia dan merugikan.


Lantaran itu, Abdul Kahar memfailkan permohonan untuk mendapatkan deklarasi bahawa Seksyen 7, 8(a), 10(b), 12 dan 13 EJS 1995, dan Seksyen 49 EPAI 2003, tidak sah dan terbatal mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan.


Malik Imtiaz telah memfailkan notis usul di Mahkamah Persekutuan Putra Jaya supaya Mahkamah mengisytiharkan bahawa beberapa peruntukan di dalam Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 tidak sah kerana Dewan Undangan Negeri, tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal undang-undang jenayah yang merupakan bidang kuasa Parlimen.


Malik turut mempertikaikan bahawa jawatankuasa fatwa negeri-negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang dalam bentuk fatwa yang digazetkan.


Namun begitu sedikit berita gembira apabila pada 26 Sept 2008, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan bahawa Enakmen Jenayah Syariah Selangor dan Terengganu sah dari segi Perlembagaan untuk menuduh seorang lelaki, Abdul Kahar Ahmad, 57, atas tuduhan mendakwa dirinya nabi serta tiga lagi yang dikatakan pengikut ajaran sesat.


Keputusan bersejarah itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Azmi dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin.


Kita merasa malang dengan kondisi syariah di Malaysia apabila beliau yang jelas menyesatkan ramai manusia pernah dijamin oleh dua pegawai kerajaan dari Jabatan Pelajaran dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) , sekali gus membebaskan sementara Abdul Kahar yang ditahan di Balai Polis Hulu Klang pada 23 Jun 2005.


Kes ini dilihat sebagai satu kes kebal sepertimana kes Ayah Pin yang mungkin dilindungi oleh ahli politik tertentu sehingga jenayah syariah besar yang beliau lakukan begitu sukar diselesaikan oleh Mahkamah.


Saya menyeru agar pihak Persatuan Peguam Syarie, JAKIM, MAIS dan NGO Islam lainnya dapat membuat sesuatu untuk menerangkan kepada rakyat berkenaan wujudnya agenda sulit yang mungkin berusaha mempertahankan gerakan sesat sebegini.


Muhammad Nuruddin Bashah


Pengerusi Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)


Sunday, September 13, 2009

Bantah Penggunaan 'Take Beer'



BANTAH PENGGUNAAN 'TAKE BEER'
Isu Pemindahan Kuil di Selangor

Islam ialah konsep bertuhan yang sahih dalam penerapan cara hidup yang mulia kepada semua makhluk. Dan juga agama yang menjadi rahmat bagi seluruh alam, cara hidup contoh bagi seluruh umat manusia. Indahnya Islam dapat dikongsi dengan adanya
ketelusan dalam tolenrasi dan menghormati kepercayaan masyarakat lain. Dasar tolenrasi Islam agar semua masyarakat yang pelbagai lapisan karakter dan kepercayaan, hidup aman dan sejahtera tanpa menggadaikan prinsip Tauhid dan perlonggaran syariah.

Sayangnya hakikat kemulian agama ini masih belum di sedari dan difahami dengan mendalam oleh realiti masyarakat kita hari ini terutamanya mereka yang menggelar diri mereka sebagai islam tetapi dalam masa yang sama menjatuhkan imej dan kemulian Islam dengan tindakan yang tidak sepatutnya.

Umum sudah maklum dan mengetahui mengenai isu pemindahan kuil Sri Mariamman di Seksyen 19 ke Seksyen 23 Shah Alam. Kekecohan bermula apabila ada pihak yang meng
ambil kesempatan disebalik isu ini dengan mengadakan satu demonstrasi jalanan di pejabat kerajaan Selangor dalam membantah projek pemindahan tersebut tanpa menggunakan saluran-saluran alternatif dalam menyampaikan rasa tidak puas hati tersebut.


Pijak Kepala Lembu

Tindakan biadap sekumpulan penduduk yang membawa sepanduk tertera ‘Take Beer’ dan upacara memijak kepala lembu. Tindakan mereka ini memijak kepala lembu jelas menunjukkan mereka menghina agama hindu yang menganggap lembu adalah suci bagi kepercayaan mereka. Bagi mereka menghina lembu adalah umpama sesiapa sahaja melukis gambar Allah dan menghenyak dengan kaki di hadapan kita.

Tindakan mereka menghidupkan api perkauman ini sepatutnya dipandang serius oleh pihak-pihak tertentu yang menjadi pendokong setia ISA dan pihak berkuasa. Kejahatan mereka inilah yang sepatutnya menjadi sebab keberlangsungan akta kejam ISA dan bukannya cetusan syak wasangka dan fitnah yang membawa kepada hukuman zalim dan tanpa pengadilan sewajarnya.

Islam agama yang datang daripada Allah amat mulia dan terpuji. Setiap umat Islam di minta memelihara Islam dan mempertahankannya daripada dicemari oleh musuh-musuh yang jahil dan kufur. Antara tuntutan Islam bagi memelihara agama ini ialah melarang umatnya menghina agama dan kepercayaan umat lain. Tuntutan ini jelas dinyatakan di dalam surah Al-An’am ayat 108 yang bermaksud :


“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembahyYang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas Dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”
Penghinaan secara terbuka terhadap kepercayaan lain merupakan sesuatu yang amat mengaibkan sekaligus membawa sifat prejudis dan fobia mereka terhadap Islam. Bahkan kejahatan mereka yang melampau ini akan merugikan umat Islam itu sendiri. Allah yang Maha Pengasih memerintahkan kita berdakwah dan bukannya mencela atau menghina.

Polemik ‘Take Beer’

Tambahan pula, reaksi jahiliyyah yang ditonjolkan oleh mereka dengan menggunakan perkataan ‘Take Beer” pada salah satu kain rentang benar-benar membuktikan bahawa mereka rela dalam kemungkaran apabila inisiatif yang diambil oleh kerajaan Selangor dalam membendung gejala menjual arak.

Perkataan ‘Take Beer’ seolah-olah mempersenda ungkapan mulia Takbir. Oleh kerana kepentingan politik, mereka sanggup mengeksploitasikan hal-hal yang berkaitan dengan Islam dengan cara yang jijik dan angkuh.

Kelantangan mereka dalam menyuarakan rasa tidak puas hati dengan langkah awal pencegahan penularan gejala minuman keras ini hanya berorientasikan tunjang politik perkauman semata-mata dan bukan daripada kefahaman aqidah yang sebenar. Jelas di sini, mereka hanya Islam pada nama sahaja dan sebahagian pemikiran mereka dibenih dengan sikap jahil dan munafiq.

Kita tidak terkejut apabila masyarakat bukan Islam membantah usul ini kerana mereka tidak beriman dan kurang arif tentang Islam tetapi yang menghairankan, puak-puak yang hanya labelnya Islam bersubahat menentang keras perlaksanaan peraturan ini secara terang mahupun tersembunyi. Agenda mereka, memenangkan kepuasan nafsu duniawi mereka sahaja termasuk kepentingan politik jahiliyyah tanpa pembelaan Islam diletak sebagai titik kemuncak kemenangan.

Kita hairan apabila mufti-mufti dan ulama dalam kerajaan mengambil sikap membisu dalam persoalan ini, sama ada menyokong atau membantah. Sepatutnya mereka sebagai orang yang arif tentang Islam memberi respon kepada masyarakat Islam khususnya, tentang setiap perkara yang berkaitan. Dengan ini, corak pemikiran masyarakat Islam Malaysia lebih bernas dan islamik dalam menganalisis setiap isu dan menangkis serangan dakyah kuffar.


Proaktif kepada dialog umum

Tempoh hari, satu perjumpaan khas dibuat oleh pihak kerajaan Selangor dengan penduduk setempat, retetan daripada demostrasi yang dibuat oleh sebahagian penduduk tersebut di hadapan bangunan kerajaan Selangor. Namun, belum sempat perbincangan ilmiah seperti yang diharapkan oleh barisan kepimpinan kerajaan Selangor sampai ke penghujung, wujud kacau-bilau oleh puak-puak tertentu dengan menganggu dan menjahanamkan perjalanan program.

Mereka melemparkan kata-kata kesat, maki-hamun dan fitnah kepada barisan kepimpinan yang ada pada masa itu. Kecelakaan karakter yang ditonjolkan oleh mereka amat menjijikkan apatah lagi ianya berlaku dalam bulan Ramadhan yang Mulia. Mereka seolah-olah hilang pertimbangan iman sehingga sanggup menodai kesucian dan keharmonian Ramadhan.

Pada mereka, kuil hindu tidak sepatutnya dibina di situ atas alasan masyarakat di situ majoriti Islam, kebimbangan mereka risau pengaruh agama hindu meresap dalam jiwa penduduk Islam disitu. Mereka juga khuatir daripada aspek keselamatan mereka kurang terjamin kerana upacara umum masyarakat hindu akan menggamit ramai orang asing bertandang kesitu.

Mungkin ada betulnya andaian mereka, tetapi apakah mereka tidak menggunakan saluran yang sewajarnya seperti yang disediakan untuk merungkai kebimbangan tersebut. Adakah kuil itu benar-benar dihadapan rumah mereka dan aspek keselamatan mereka terabai? Ini yang sepatutnya dibincangkan dan bukan merosakkan majlis tersebut dengan kata-kata nista dan kesat.

Apakah agenda sebenar mereka? Jelas, agenda mereka, memenangkan kepuasan nafsu duniawi mereka sahaja termasuk kepentingan politik jahiliyyah tanpa pembelaan Islam diletak sebagai titik kemuncak kemenangan.


Muhasabah diri

Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri, terutamanya segelintir daripada kita yang hanya bertindak berlandaskan nafsu dan melulu ini. Pertama, kita membantah pembinaan kuil tetapi dalam masa yang sama kita membatukan diri apabila masjid diroboh.

Kedua, kita yang kecoh dengan rumah ibadat kepercayaan lain, tetapi kita tidak kisah apabila ramai yang tidak ke masjid dan surau untuk solat berjemaah, mendengar tazkirah dan lain-lain ibadah. Natijahnya, ramai daripada kalangan kita tidak solat langsung tanpa sebab yang diizinkan syarak.

Persoalan umum, apakah mereka ini Islam yang sebenar-benarnya atau hanya plastik sahaja? Islam tidak perlu kepada pelaris yang bersifat menghina kepercayaan orang lain. Kerana Islam terlalu indah.



Mohd Izzuddin b Mohd Zin
Setiausaha Eksekutif
Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)

Monday, September 7, 2009

SPAQ Menggesa Mufti Mengeluarkan Fatwa berkenaan Hukum Menghina Agama Islam dan Hukum Menghina Agama Lain

Kenyataan media ini disiarkan dalam Harakah edisi Jumaat, 18-20 Sept 09
Kenyataan media; Gesaan agar Mufti Mengeluarkan Fatwa Hukum Menghina Agama Islam dan Hukum Menghina Agama Lain.

SPAQ menggesa agar golongan mufti dapat mengeluarkan fatwa berkenaan hukum menghina agama Islam. Dalam bahagian ini, dicadangkan pembahagian ke atas individu atau kelompok yang memperlekehkan atau melakukan penghinaan perlu ditambah kerana ia mungkin melibatkan penghinaan dari Muslim sendiri atau penganut agama lain. Tindakan atau perkataan yang dikelaskan sebagai menghina agama Islam juga perlu diperincikan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan Muslim mahupun bukan Muslim.

Selain itu, diharapkan fatwa berkenaan hukum menghina agama lain turut dapat dikeluarkan dan disertakan dengan panduan yang jelas akan tindakan dan aspek yang bagaimana boleh dikelaskan sebagai penghinaan kepada agama selain Islam. SPAQ merasakan perlunya fatwa ini dikeluarkan bagi membela maruah serta identiti Islam selain mengharapkan juga golongan bukan Islam akan lebih faham bagaimana Islam sebenarnya amat menjaga hubungan sesama manusia bahkan dari agama yang berlainan.

SPAQ percaya, fatwa dalam dua hal ini dirasakan amat penting dan tepat mengenai skop fatwa seperti yang digariskan di dalam portal e-fatwa Malaysia. Isu yang berlaku dalam masyarakat kini belum jelas hukumnya dan memerlukan huraian segera dari golongan alim ulama’ serta mufti untuk menjelaskannya.Beberapa situasi yang berlaku di negara kini telah menimbulkan pelbagai anggapan serta pandangan yang tidak baik ke atas agama Islam. Sepertimana peristiwa Ahli Parlimen Jelutong, YB Jeff Ooi yang pernah membuat kenyataan berbaur prejudis terhadap umat Islam awal bulan Ogos yang lalu dan menarik kembali kenyataan tersebut selepas menerima bantahan, kenyataan beliau umumnya dilihat turut mempunyai unsur penghinaan terhadap Islam. Situasi yang melibatkan individu bukan Islam ini dilihat akibat dari kurangnya kefahaman undang-undang syariah bahkan kenyataan melulu dikeluarkan. Serangan berunsur peribadi ke atas Ridhuan Tee Abdullah sedikit masa lalu juga melibatkan penghinaan terhadap Islam, agama beliau kini.

Bagaimana pula dengan tindakan umat Islam sendiri yang dikatakan menghina agama sendiri? Artis berpakaian kurang sopan mengungkap kalimah suci atas tiket meraikan kejayaan mahupun pencapaian mereka di dalam industri seni, pemimpin yang terang-terangan mempersenda hukum Islam walaupun belum dilaksanakan sepenuhnya, perlaksanan hukum syariah Islam dipersoal dan ditentang atas nama hak asasi serta keadilan dan pelbagai lagi isu yang berlaku hingga dikatakan penghinaan terhadap Islam kini semakin melampau. Ini belum lagi sumber di media elektronik dan laman sesawang yang menayangkan video ataupun penulisan yang berunsurkan fitnah ke atas agama Islam mahupun agama lain.

SPAQ amat berharap fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam selaku pihak yang paling berautoriti bakal menjadi rujukan dan benteng kepada kekeliruan mahupun kejadian yang tidak diingini pada masa-masa akan datang. Bukan hanya demi kepentingan umat Islam tetapi kesucian agama yang menaungi kita yang lebih utama.


Wardah bt Abdul Rahman
Setiausaha Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)

Bantahan terhadap penghinaan agama lain: Kes kepala lembu

Kenyataan media ini telah disiarkan dalam Harakah edisi Isnin, 14-17 Sept 09.


Bantahan terhadap penghinaan agama lain: Kes kepala lembu


Tulisan ini bukan untuk menuding jari menyalahkan pihak-pihak tertentu ekoran daripada kejadian perarakan membawa kepala lembu bagi membantah pembinaan kuil di Seksyen 23 Shah Alam. Tetapi atas dasar memberikan pandangan moga kejadian yang sama tidak diulangi oleh pihak-pihak lain kerana ia mencemarkan keindahan Islam yang membenarkan toleransi kepada penganut agama lain selagi mereka tidak memerangi Islam.


Malaysia terkenal dengan penduduknya yang berbilang kaum, adat dan budaya tetapi masih boleh hidup harmoni di antara satu sama lain. Pelbagai cara yang telah dijalankan oleh kerajaan bagi merapatkan jurang antara kaum dan terbaru perdana menteri, Dato’ Najib bin Tunku Abdul Razak memperkenalkan konsep 1 MALAYSIA sempena kemerdekaan Negara yang ke-52 dengan harapan kita dapat bersatu padu dan hidup dengan harmoni tanpa menyakiti hati mana-mana kaum dan menunaikan hak antara satu sama lain.


Kejadian perarakan kepala lembu yang berlaku ekoran membantah pembinaan kuil mengundang reaksi pelbagai pihak tambahan ia berlaku pada bulan ramadhan yang penuh berkat ini. Seharusnya kita bertindak secara rasional bukan dengan emosi sehingga akhirnya mencetuskan perselisihan faham sesama Islam dan juga salah faham di kalangan yang bukan Islam.Usaha untuk menyatukan dan merealisasikan konsep 1 MALAYSIA nampaknya telah tercemar dengan kejadian ini. Islam mengajar kita bertoleransi dengan penganut agama lain dan menunaikan hak mereka. Sebagai tuntutan kepada kebebasan akidah, orang bukan Islam dibenarkan membina rumah-rumah ibadat mereka.


Islam melarang sama sekali kita menghina agama lain walaupun dalam kejadian ini ada yang mendakwa simbol lembu di sini menunjukkan kebodohan dan kedegilan kerajaan Selangor, tapi seharusnya mereka juga berfikir dan mengambil kira sensitiviti penganut Hindu memandangkan isu ini melibatkan tembat peribadatan mereka dan lembu adalah suci di sisi agama mereka. Malah sekitar bulan Januari dahulu PEWARIS ada menyembelih 2 ekor lembu di sebelah kuil seksyen 19. Adakah juga untuk menyindir kedegilan kerajaan Selangor, atau sememamgnya mereka berniat menghina agama hindu?


Dimanakah akhlak kita sebagai orang Islam kepada bukan Islam? Bagaimana orang bukan Islam hendak melihat keindahan Islam sekiranya beginilah sikap kita dalam mengatasi isu yang melibatkan penganut agama lain? Jika kita soroti sejarah Nabi Muhammad SAW ketika berdakwah ke Thaif, baginda dihalau dan seruan nabi tidak diterima. Bahkan baginda dihina, dicaci dan dimaki hamun sambil dilontari batu kerikil dan pasir. Tetapi nabi tetap bersabar dan tidak sedikit pun baginda berusaha untuk mengelak sehingga baginda keluar dari Thaif dengan tumit kaki yang berlumuran darah. Kemudian Allah memerintahkan seorang malaikat penjaga gunung menghadap nabi dan meminta kepada nabi untkl menimpakan sebuah bukit di Thaif ke atas kaum Thaqif atas perbuatan mereka. Tetapi nabi mengatakan:


“Janganlah membinasakan mereka itu. Sesungguhnya mereka itu tidak mengetahui. Apa yang aku harapkan ialah suatu hari nanti akan lahir dari sulbi mereka itu anak-anak yang akan menyembah Allah dan tidak akan menyekutukanNYA dengan sesuatu apa pun.”


Begitulah luhurnya budi pekerti nabi terhadap orang yang melukakan nabi walaupun ketika itu baginda diberi peluang untuk membalas perbuatan mereka. Baginda tidak terus menghukum bahkan melepaskan mereka yang berusaha untuk membunuh nabi atas sebab mereka tidak mengetahui. Begitu jugalah seharusnya kita berkelakuan kepada yang bukan Islam kerana mereka tidak mengetahui sedangkan kita mengetahui. Contohilah akhlak yang ditunjukkan oleh nabi. Berapa ramai kafir Quraisy yang mulanya begitu keras terhadap nabi sehingga hendak membunuh nabi tetapi akhirnya memeluk Islam kerana akhlak yang ditunjukkan kepada mereka.


Perkara yang sama berlaku di Amerika Syarikat pada hari ini. Lebih 30000 rakyat Amerika memeluk Islam setiap tahun kerana mereka tertarik dengan akhlak yang ditunjukkan oleh penganut Islam di sana di samping keindahan Islam itu sendiri yang akhirnya Allah mencampakkan hidayah ke dalam hati mereka untuk menerima Islam.


SPAQ membantah penghinaan terhadap Islam tetapi saya juga tidak bersetuju jika agama lain dihina. Sebagaimana firman Allah:


Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (al-An'am [6:10]).


Sekiranya kita berkeras dengan mereka ia bukan mendatangkan keuntungan kepada kita malahan menyebabkan imej Islam semakin kritikal di pandangan orang bukan Islam. Saat ini Islam di hina dan penganutnya ditindas ekoran fitnah dan propaganda pihak tertentu yang memusuhi Islam di tambah pula dengan sikap kita yang keterlaluan, bagaimanakah orang bukan Islam hendak melihat keindahan Islam dan sikap toleransi yang selalu kita war-warkan. Sebaliknya kita seakan membuatkan mereka mengiakan Islam adalah agama yang mengajar penganutnya bersikap keras kepada penganut agama lain. Ia bukannya mendatangkan kebaikan kepada Islam tetapi membuka luas peluang pihak yang memusuhi Islam untuk terus menghentam Islam dan maruah Islam terus dihenyak.


Cubalah fikir kesan daripada perbuatan kita kerana ia melibatkan maruah Islam. Orang bukan Islam melihat Islam sebagaimana yang ditonjolkan oleh penganutnya. Bersama-samalah kita menunjukkan contoh yang baik kepada orang bukan Islam dan bantahlah mereka dengan cara yang baik mudah-mudahan Allah akan membukakan pintu hati mereka untuk menerima Islam.


Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah

mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. (An-nahl:125)



Nursakinah Binti Suardi

Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)


ISU ARAK : ABIM SELANGOR MAHU PENGUATKUASAAN LEBIH SERIUS DAN MENGGESA SEMUA PIHAK TANGANI ISU INI DENGAN PENUH TANGGUNGJAWAB

KENYATAAN AKHBAR

ABIM NEGERI SELANGOR

ISU ARAK : ABIM SELANGOR MAHU PENGUATKUASAAN LEBIH SERIUS DAN MENGGESA SEMUA PIHAK TANGANI ISU INI DENGAN PENUH TANGGUNGJAWAB

11 OGOS 2008 / 20 SYAABAN 1430 HIJRAH

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Selangor mengalu-alukan penguatkuasaan yang berkesan daripada mana-mana pihak yang mempunyai bidang kuasa untuk membenteras penjualan arak secara terbuka dan bebas kepada orang Islam di negeri Selangor ini khususnya di kawasan yang penduduknya majoriti orang melayu dan beragama Islam.

Keprihatinan ABIM ini bersandarkan kepada fakta bahawa pada masa ini kita sedang berhadapan dengan pelbagai penyakit masyarakat terutama yang melibatkan golongan belia Islam seperti kes ragut, rogol, lumba haram, rempit, rompak, zina, pengambilan arak yang serius dan sebagainya. Memandang arak sebagai “ibu maksiat” yang meransang kepada perlakuan devian dan jenayah di luar batas kesedaran seseorang, justeru tidak hairanlah kalau minuman keras ini diharamkan dalam agama Islam. Maka langkah penguatkuasaan terhadap pengawalan penjualan arak kepada umat Islam adalah wajar dilaksanakan.

ABIM negeri Selangor menyeru kepada semua pihak agar memberi kerjasama padu dalam usaha untuk menjalankan penguatkuasaan ini, dan sepatutnya bukan hanya kepada premis-premis terpilih dan dianggap kecil sahaja, tetapi juga semua premis besar yang menjual arak secara runcit dan mudah dibeli oleh orang Islam. Penguatkuasaan ini perlu serius dengan langkah-langkah berkesan contohnya dengan meletakkan label pada premis yang menjual arak – ORANG ISLAM DIHARAMKAN MEMBELI ARAK" atau "DILARANG MENJUAL ARAK KEPADA ORANG ISLAM" seperti perlaksanaan di kedai judi. Selain itu langkah meletakkan gambar kesan arak kepada manusia seperti yang dilekatkan di kotak rokok perlu dijalankan untuk menjadikan penguatkuasaan dan pendidikan ini berjalan seiring dan memberi kesan.

ABIM negeri Selangor mencadangkan dan mengesa agar kempen bahaya arak ini dibuat lebih konsisten dan agresif oleh semua pihak sama ada badan kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) agar pendidikan menyeluruh dapat disampaikan ke segenap lapisan masyarakat terutama golongan belia dan remaja Islam. Gunakanlah semua ruang dan peluang yang ada di program kerajaan, di media massa, media cetak, masjid-masjid , surau-surau dan sebagainya. Usaha ini perlu digerakkan bersama demi melihat masa depan yang lebih gemilang.

MEMBINA DAN MENGGERAK GENERASI KHAYRA UMMAH


MOHD ZAWAWI BIN AHMAD MUGHNI

Yang Di Pertua

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Negeri Selangor Darul Ehsan

Sunday, September 6, 2009

Studi Dakwah: pengislaman Sara Bokker

Pengislaman aktres seksi Sara Bokker adalah fenomena biasa bagi rakyat Amerika Syarikat. namun begitu bagi pendakwah Islam, cara beliau mendapat hidayah merupakan satu subjek yang perlu ditelusuri dengan cermat.

Tragedi serangan WTC 2001 adalah antara punca beliau mengkaji sejauh mana ajaran ISlam boleh menghasilkan pengganas yang sedemikian rupa. Malah islamofobia yang menyepit beliau adalah punca bagaimana beliau merungkai kekusutan minda dan jiwa berkaitan hukum-hukum ISlam.

Kita perlu tahu setiap ibtila dan ujian daripada Allah seperti sikap bukan Islam yang fobia dan memusuhi ISlam ada memiliki hikmahnya bagi pihak lain yang bakal menerima hidayah. Inilah sunnatullah.

Cara bagaimana kita sebagai pendakwah Islam mengurus islamofobia di sekitar kita, adalah bergantung kepada kematangan tarbiah dakwah kita.

Ramai yang cukup melenting apabila diuji dengan Ibtila' islamofobia sehingga mereka hilang sabar terhadap kaum bukan Islam.

Pada pandang realiti di kampus-kampus juga, Islamofobia turut merasuk pensyarah, pegawai HEP dan mahasiswa yang berbangsa melayu-Islam.

mendorong kaum bukan Islam menyelesaikan kekusutan tomahan terhadap Islam, Islamofobia dan sebagainya adalah tugas kita bersama.

Muhammad Nuruddin Bashah

Friday, September 4, 2009

Kelas SPAQ-Ahad,6 Sept 2009

Manfaatkan masa di bulan yang mulia, bulan Ramadhan dengan
menghadiri majlis-majlis ilmu. Ajak juga rakan-rakan yang lain ke:
Kelas KAFA USM
6 Sept 09 (Ahad)
5 petang
*Pengajian kitab Aqidah Tohawiyyah
*Pembentangan elemen jihad dalam bulan Ramadhan
*Pembentangan isu umat Islam dunia-Uyghur
*Perbincangan isu semasa
*Edaran risalah Aura Islam edisi Ramadhan 1430H

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)