Sunday, March 16, 2014

HASRAT LAKSANA HUDUD: SEGERAKAN PERSIDANGAN SEMUA PIHAK

HASRAT LAKSANA HUDUD: SEGERAKAN PERSIDANGAN SEMUA PIHAK
Muhammad Nuruddin Bashah
Aktivis Gerakan Sokong Syariah
Unit Kajian Ilmiah MAPIM Utara

Rakyat yang impikan perlaksanaan 100% syariah mungkin masih terkebil-kebil benarkah seorang pemimpin daripada parti UMNO benar-benar tegar dan tekad untuk menobatkan hudud di Kelantan.

Hal ini rentetan kenyataan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang tersiar di banyak media menggesa semua pihak membantu usaha kerajaan Kelantan laksanakan undang-undang jenayah syariah hudud, di Kelantan.

Beliau dianggap berani kerana seolah-olah mewakili parti ketika berucap membahaskan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat dan menegaskan, tiada sebab untuk menolak hudud kerana tugas melaksanakan syariat Allah adalah wajib bagi umat dan pemimpin Islam.

Antara intipati ucapan beliau1:

  1. Merakamkan ucapan tahniah kepada PAS di Kelantan kerana telah mempelopori usaha pelaksanaan undang-undang Islam di negeri itu.
  2. Di Kelantan, usaha ke arah pelaksanaan itu sudah melepasi tiga peringkat utama eksekutif, legislatif dan judiciary dan perkembangan yang diterima sangat membanggakan.
  3. Mengesyorkan, agar setidak-tidaknya jika negeri lain tidak bersedia, maka tidak harus dihalang untuk dilaksanakan hudud di Kelantan seperti yang dihasratkan oleh rakyat dan kerajaan negeri Kelantan.
  4. Mengalukan titik pertama untuk perlaksanaan.
  5. Memuji tindakan PAS kerana telah menunjukkan contoh dakwah Islam yang baik apabila menjalin hubungan akrab dengan PKR dan DAP.
  6. Beliau membaca perlembagaan, faham bahawa Perdana Menteri tiada kuasa untuk halang pelaksanaan hudud selagi dibuat mengikut peraturan.
  7. Saran agar disokong oleh semua pihak termasuk DAP ke arah pelaksanaan undang-undang ini.

Kenyataan beliau ini sebenarnya adalah rentetan daripada beberapa ucapan beliau sebelum ini dan masih diragui sama ada benar-benar mewakili UMNO dan Barisan Nasional atau hanya pendapat peribadi beliau.

Pada tahun 2013, Tan Sri Annuar Musa menetapkan syarat kepada PAS untuk meyakinkan parti lain dalam Pakatan Rakyat terutamanya DAP untuk menerima hudud sebelum beliau dapat memberi kerjasama untuk melaksana undang-undang tersebut2.

Tan Sri Annuar berkata PAS perlu menyelesaikan isu berkenaan terlebih dahulu sebelum mendapatkan sokongan beliau. Hal ini kerana PAS pernah mengajak beliau duduk semeja untuk berbincang plan tindakan melaksana hudud di Kelantan dan jawapan beliau kelihatan melepaskan jerat di tengkuk sendiri memandangkan hampir kesmeua rakyat berbangsa Melayu yang waras faham bahawa parti pemerntah tidak pernah bersetuju dengan Hudud.

Persoalan mudah:
  1. Mengapa perlu keluarkan kenyataan perlu fahamkan DAP dengan hudud sedangkan parti UMNO yang mengaku perjuangkan Islam dan menobatkan Malaysia sebagai negara Islam juga tidak pernah usaha memahamkan MIC dan MCA. Malah ucapan Dato’ Seri Chua Soi Lek yang menyatakan hudud mampu merosotkan pertumbuhan ekonomi tidak ditegur langsung oleh pemimpin UMNO termasuk Tan Sri Anuar.
  2. Jika benar ingin laksanakan hudud serta insaf dengan keikhlasan kerajaan Kelantan, mengapa perlu letak syarat parti lain Pakatan Rakyat untuk menerima hudud sedangkan UMNO seringkali mengajak PAS untuk bekerjasama dan dengan gabungan PAS-UMNO juga menurut sifir gabungan mampu laksanakan hudud?

Namun begitu GESA memandang betapa perlunya hasrat Tan Sri Anuar dijadikan titik tolak penting untuk mencipta satu lonjakan ke arah perlaksanaan hudud bukan sahaja di Kelantan malah di mana-mana negeri yang memiliki kuasa dominannya Islam seperti Kedah, Terengganu, Pahang, Johor dan Perlis.

Menurut kenyataan media Presiden MAPIM Cikgu Hj Azmi Abdul Hamid hari ini (16 Mac 2014) kenyataan bahawa PM tidak akan mampu menghalang perlaksanaan hudud kerana katanya PM tiada kuasa berbuat demikian.

Hal ini sedikit sebanyak perlu dijawab oleh Dato’ Seri Najib sendiri memandangkan Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia Tun Mahathir pernah mengutus surat untuk memberi amaran terhadap cita-cita Kelantan untuk melaksana hudud.

Menurut surat Tun Mahathir kepada Menteri Besar kelantan bernombor Rujukan : MB(KN)(S)16/6/(26)pada 8 Jun 1994 antara intipatinya3:-

  1. Pemerintahan adalah sentiasa bergantung kapada kepentingan ramai (muslihat umum)." Penguatkuasaan kanun jenayah yang digubal oleh Kerajaan PAS di Kelantan, tidak menyakinkan pakar-pakar perundangan Islam yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik. - Tun prejudis dengan sebarang usaha parti politik pembangkang walaupun terang-terangan selaras dengan Al Quran dan Hadis.
  2. Kajian awal menunjukkan dengan jelas bahawa undang-undang itu yang disediakan menerusi perjuangan sebuah parti politik akan membawa kezaliman.
  3. Dakwaan bahawa undang-undang ini akan dikuatkuasakan hanya di kalangan orang Islam sahaja dan tidak digunapakai untuk orang bukan Islam akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara berlaku.
  4. Menghukum orang Islam dengan lebih berat tetapi orang bukan Islam dengan amat ringan untuk jenayah yang sama atau jenayah dilakukan bersama amatlah tidak adil dan merupakan satu kezaliman- Perkara 8 Perlembagaan memang inginkan keadilan semua kaum tetapi mengapa dalam hukum jenayah islam sahaja isu ini ditimbulkan tetapi dalam hal mal, hal zakat dan hal lain ia tidak pula ingin disamaratakan kepada kaum lain? Ternyata hujah hudud tidak adil untuk kaum lain adalah hujah terburu-buru dan dangkal.
  5. Mengikut undang-undang PAS jika ia menuduh perogolnya, tuduhan hanya boleh diterima sah jika terdapat empat orang saksi (yang terdiri daripada orang-orang yang baik, yang tidak melakukan dosa besar)- Tun Jahil berkenaan takzir.

  1. Hukum Hudud Islam bertujuan untuk memberi keadilan kapada semua pihak. Ia bukanlah bertujuan untuk melakukan kezaliman. Undang-undang PAS jelas menunjukkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara akan berlaku. - Hakikatnya Tun sendiri tidak mampu memetik walau sepatah pun intipati perbahasan hudud Islam sepertimana yang beliau hujahkan kononnya hudud Islam tidak sama dengan Enakmen jenayah Syarah Kelantan. Beliau jahil ilmu fiqh jinayah tetapi mencari alsan untuk menolak undang-undang Islam atas alasan ia hanya idea cetusan parti politik.
  2. Kerajaan Pusat akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Kerajaan PAS demi menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam dan penganut-penganutnya.

Kelantan meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II pada tahun 1993 adalah atas dasar tanggungjawab sebagai pemerintah Islam. Namun perlaksanaan enakmen belum tentu boleh dilaksanakan memandangkan negara ini menggunakan sistem dualisme dalam kehakiman serta pembahagian kuasa kerajaan pusat dengan kerajaan negeri.

Hal ini juga disokong oleh pakar perundangan, Shamrahayu Abdul Azis, undang-undang hudud tidak dapat dilaksanakan tanpa dibahaskan dan diluluskan dalam parlimen.

Selagi Jadual Kesembilan Senarai II dalam Perlembagaan tidak dipinda selagi itulah negeri tiada kuasa menjatuhkan hukuman bagi kes-kes jenayah seperti mahkamah sivil.

Pihak parti kerajaan serta NGO yang pesimis dengan hudud juga menggunakan kenyataan Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Muhammad berkenaan Mahkamah Syariah Kelantan di Kelantan yang dikatakan beliau sudah mampu untuk menguruskan pelaksanaan undang-undang hudud. Mereka menjadikan kenyataan hakim sebagai hujah bahawa Kelantan hanya menggunakan hudud sebagai kempen pilihanraya di Kelantan. Mereka menganggap kenyataan oleh hakim sahaja sudah cukup tanpa mengupas pula isi surat Tun Mahathir serta isu intipati Jadual Kesembilan, Perkara 8, Perkara 175 serta Perkara 8 dalam Perlembagaan. Malah Akta Mahkamah Syariah 1984 di peringkat pusat pula mengehadkan kadar hukuman jika sabit hudud sekalipun di peringkat negeri-negeri.

Hal ini perlu diperjuang juga oleh UMNO dan NO yang pesimis hudud bukan sekadar melagakan kerajaan Kelantan dengan hujah Ketia Hakim Syarah Kelantan.

Menyediakan prasarana hudud bukan sekadar menambah hakim atau hal-hal remeh temeh, perkara yang perlu diperhalusi melalui persidangan meja bulat kerajaan negeri dengan kerajaan pusat adalah:
Perhalusi tafsiran4:-
  1. Perkara 4 - (1) Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.
  2. Perkara 3 - (1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.
  3. Perkara 75 - Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan
  4. sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu.
  5. Perkara 8 -
  1. Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undangundang.
  1. Tidak boleh ada diskriminasi yang memihak kepada manamana orang atas alasan bahawa dia seorang rakyat Raja bagi manamana Negeri.
    1. Jadual Kesembilan Senarai II (lihat perenggan bawah)
    2. Isu kerjasama PDRM di bawah kuasa pusat.
    3. Kerjasama JAKIM di bawah kuasa pusat.
    4. Kerjasama Bomba, kementerian Kesihatan di bawah kuasa pusat.
    5. Penyelarasan dengan Pejabat Peguam Negara.


Perlembagaan Persekutuan, Jadual Kesembilan, Senarai I, Perenggan 4
Undang-undang jenayah dan pentadbiran keadilan, termasuk perbuatan rasuah dan pewujudan kesalahan berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan, adalah disenaraikan di bawah Senarai Persekutuan (Senarai I, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan).

Ini bermakna undang-undang berkaitan jenayah adalah di bawah kuasa Parlimen (Persekutuan).

Perlembagaan Persekutuan, Jadual Kesembilan, Senarai II, Perenggan 1
Perenggan 1 Senarai Negeri (Senarai II, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan)
Namun begitu, kesalahan-kesalahan tersebut tidak termasuk “perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan”.

Undang-undang jenayah adalah termasuk dalam Senarai Persekutuan. Ini bermakna kerajaan negeri tidak memiliki kuasa untuk mewujudkan apa-apa undang-undang jenayah walaupun Enakmen Jenayah Syariah II 1993 dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 2002 diluluskan di Kelantan dan Terengganu.

Senarai yang perlu dibincang yang dinyatakan penulis di atas hanya jika ingin laksanakan hudud iaitu kanun jenayah syariah. Jika ingin laksana 100% sayriah meliputi ekonomi, polisi luar negara, pendidikan, undang-undang tort, maka lebih banyak lagi akta yang perlu untuk dipinda atau ditafsir semula.

Hal inilah yang perlu dibantu oleh pemimpin seperti Tun Mahathir jika benar beliau tahu adanya ‘hudud Islam’. Beliau perlu menyeru ulama’ dan ahli undang-undang menafsir semula akta dan peruntukan perlembagaan bukan sekadar beria-ria meminta ulama’ menafsir Al Quran semula yang dikatakan tidak relevan dengan masakini.

Jika pada tahun 1994 alasan Tun Mahathir adalah ‘hudud Islam’ tidak sama dengan ‘Hudud PAS’ dan BN menolak hudud PAS yang bercanggah dengan Islam.

Pada tahun ini (2014) Tun membuat ‘qaul jadid’ iaitu menolak hudud total dengan menyokong fatwa Dr Kassim Ahmad bahawa hudud tiada dalam Al Quran malah ia hanya istilah ciptaan ahli fiqh semata-mata. Terpengaruh dengan ajaran anti hadis Kassim Ahmad, Tun juga bersetuju bahawa istilah hudud dalam beberapa ayat Al Quran hanya bermaksud had atau batasan dalam perbuatan manusia bukan ianya bentuk hukuman5.

Jelas Tun Mahathir terjerat dengan kejahilan dan keegoannya sendiri.

Pada tahun 2012 Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid juga mengalu-alukan mana-mana Kerajaan Negeri yang mahu melaksanakan hukum hudud supaya segera berbincang dengan Kerajaan Pusat berhubung pelaksanaan undang-undang Islam itu6.

Mohd Tamyes berkata, undang-undang Islam itu sesuai dilaksanakan bila-bila masa dan di mana-mana tempat jika tiada sebarang halangan kerana ia merupakan salah satu cabang syarak dan janji ALLAH untuk keamanan.

Kata beliau kepada Sinar Harian “Pelaksanaan hukum hudud ada kaitan dengan Perlembagaan Malaysia. Walaupun dalam Islam, (kedudukan) hukum ALLAH sepatutnya berada di atas daripada hukum dunia, tetapi ia perlu mendapatkan persetujuan Kerana Malaysia tertakluk kepada undang-undang negara.“Ia boleh dilaksanakan. Jika semuanya bersetuju, sebarang akta yang perlu digubal (dalam Perlembagaan Malaysia), ia perlu mendapat sekurang-kurang dua pertiga sokongan majoriti”.

Dipendekkan ulasan, pihak yang mengaku menyokong hudud perlu bersedia untuk ke persidangan meja bulat, bersama ikhlas memerah minda dan kudrat untuk membincangkan secara objektif, serius dan mendasar berkenaan praktikal perlaksanaan hudud di Malaysia.

Bertam
2.44 pagi
17 Mac 2014
3 Prof Madya Datin Dr Paizah Hj Ismail, Hudud: hukum & pelaksanaan (muka surat 339), isinya dipetik http://edisi-politik.blogspot.com/2013/04/barisan-nasional_15.html

Friday, March 14, 2014

USAHA MENENTANG AJARAN SESAT DAN KHURAFAT DI MALAYSIA- USAHA ANTARA DUA DARJAT


USAHA MENENTANG AJARAN SESAT DAN KHURAFAT DI MALAYSIA- USAHA ANTARA DUA DARJAT
Muhammad Nuruddin Bashah
Aktivis Gerakan Sokong Syariah (GESA)
Unit Kajian Ilmiah MAPIM Utara

Sikap ‘double standard’ pihak berkuasa dan kerajaan terhadap dua perkara yang berlaku di KLIA baru-baru ini menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat benarkah Malaysia sebuah negara Islam. Pada 13 Mac yang lalu, majlis solat hajat untuk mangsa pesawat MH370 di KLIA diambil keterangan oleh pihak polis memandangkan aktvii berkenaan dilarang oleh pihak KLIA sendiri.

Dalam masa yang sama rakyat Malaysia serta warga dunia menyaksikan pengamal ajaran sesat (bomoh khurafat) yang bernama Ibrahim Mat Zin, 80 melakukan upacara khurafat menggunakan bubu mata pancing dan juga menggunakan tikar terbang ala-ala Filem Laksamana Do Re Mi pada minggu yang sama dengan penganjuran solat hajat ‘tanpa permit’ berkenaan.

Beliau hanya diberi amaran oleh pihak JAIS melalui kenyataan media serta diselar oleh Dr Fathul Bari dan YB Khairi Jamaludin. Tiada tindakan tegas diambil walaupun ribuan manusia boleh dijadikan saksi mahkamah syariah.

Penulis menganggap Bomoh VVIP ini sebagai pengamal ajaran sesat kerana telah disahkan oleh Panel Kajian Aqidah JAKIM pada 2004 bahawa rawatan beliau berunsur sesat dan khurafat.

Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga menegur penggunaan bomoh MH370 dalam usaha mencari pesawat MH370 hilang ketika dalam penerbangan Kuala Lumpur ke Beijing Sabtu 8 Mac 2014.

Beliau seolah ambil kesempatan dan sememangnya ada VIP Malysia yang memang menggunakan bomoh untuk tujuan politik dan kerjaya teah membawa Ibrahim Mat Zin

Bernama melaporkan, kehilangan MH370 mendapat perhatian “Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP” Ibrahim Mat Zin yang mendakwa dijemput seorang pegawai tertinggi negara ke KLIA bagi menggunakan ilmu tradisional dan solat hajat.

Malaysia tidak layak lagi menjadi ikon baik dalam OIC jika ajaran sesat dan golongan murtad masih dibiarkan berleluasa melalui ‘suaka politik’ pemimpin atau VIP tertentu.

Lihat sahaja bagaimana Dr Kassim Ahmad secara bebas berforum dan berseminar mengkritik syahadah kesaksian kepada Rasulullah dan mengutuk hukum menutup aurat di Putrajaya pada 16 Februari lalu? Malah pemimpin Islam dunia yang mengaku Malaysia negara Islam, Tun Mahathir sanggup merasmikan pula seminar sesat ini.

Lihat pula isu pengharaman buku Ultraman The Ultra Power yang kelihatan langkah kebudak budakan. pengharaman KDN itu adalah dipercayai kerana adanya penggunaan nama Allah di dalamnya di mana Ultraman King yang dianggap paling berkuasa dan dihormati dilabelkan sebagai "Allah" atau Elder kepada semua wira ultra.

Jelas ini adalah kesilapan teknikal di mana penulis telah melakukan "direct translation" daripada karya asal buku tersebut tanpa penguasaan yang mendalam mengenai Bahasa Melayu dan pemahaman mengenai Islam. Lebih mungkin penulisnya hanya melakukan terjemahan secara langsung tanpa pindasn melalui Google di mana "Elder" telah ditafsirkan sebagai "Allah". Ia boleh dibaiki dan dikeluarkan versi suntingan.

Dalam hal ini, tindakan KDN mengharamkan buku tersebut seolah-olah menunjuk-nunjuk bahawa kerajaan Malaysia tegas dalam menjaga ketenteraman awam, nyata suatu kesilapan dan sesuatu yang berlebih-lebihan.

Ironinya masih banyak bahan penerbitan lain yang dibiarkan berleluasa seperti artis bergambar lucah dan sebagainya dalam pelbagai bentuk majalah dan penerbitan lain, kerajaan juga gagal bertindak sewajarnya dalam isu Syiah, golongan anti hadis dan ajaran sesat yang begitu menjadi barah dalam masyarakat sekarang ini. Utusan Melayu yang merupakan syarikat milik orang Islam tergamak menerbitkan majalah Mangga iaitu separa porna versi melayu!

Lebih-lebih lagi, Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini begitu menghebahkan tentang pelbagai usaha yang mahu dilakukannya untuk menangani semua gejala itu, termasuk menubuhkan jawatankuasa mengenainya, polis syariah dan malahan berdegar-degar berucap di Perhimpunan Agung sebuah parti mahu menangkap seorang pemimpin politik yang dikatakannya cukup bukti untuk dikaitkan dengan Syiah hanya kerana kagum dengan pentadbiran Iran.

Polemik menubuhkan polis agama serta usaha berkokok menentang Syiah dan LGBT hanya dinilai sebagai usaha melepas batuk di tangga dan rakyat mampu menilai kesudahan segala lakonan berkenaan. Sementara masih tiada sebarang tindakan mengenai ajaran sesat yang nyata dan benar-benar wujud, dengan tindakan terhadap buku Ultraman ini hanya menggambarkan bahawa KDN hanya berani terhadap animasi, kartun dan benda-benda khayalan saja.

Di mana fungsi Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri? Di mana istimewanya Islam dalam Perlembagaan Malaysia?

Parti Perikatan yang telah menang dalam pilihanraya umum 1956 dengan memenangi 51 daripada 52 kerusi telah menyerahkan memorandum mengenai peruntukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Tanah Melayu, tetapi tidak mendatangkan kesukaran kepada orang bukan Islam untuk mengamalkan agama masing-masing.

Dalam Perlembagaan terdapat Perkara 4 (1) yang meletakkan perlembagaan adalah undang-undang utama mengatasi undang-undang lain. Peruntukan ini dilihat sebagai melebihi Perkara 3 berkenaan kedudukan Islam itu sendiri.

Menurut Datuk Dr. Abdul Monir Bin Yaacob dalam laman IKIM bahawa peruntukan Perkara 4 yang dilihat menghalang perlaksanaan Islam hanya berasaskan tafsiran pelbagai pihak.

Menurut beliau perkembangan dalam pelaksanaan dasar penerapan nilai-nilai Islam berjalan dengan baik; bahkan pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan oleh kerajaan ada serasi dengan Islam seperti yang menyentuh etika dan nilai. Bahkan Mahkamah Sivil telah memberi tafsiran yang positif tentang kedudukan Islam. Ada ketikanya kes-kes yang melibatkan muamalah diputuskan oleh Mahkamah Sivil.

Dalam hal berleluasanya ajaran sesat, gerakan ingkar hadis yang secara terang terangan mengutuk Rasulullah serta beberapa kes khurafat di Malaysia, di mana peranan Perkara 3? Mahkamah sivil tidak akan mampu menyekat kehadiran ajaran ajaran sesat ini dan mahkamah sivil semestinya bernaung di sebalik Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan.

Semasa mengulas isu Seminar Dr Kassim Ahmad, Tan Sri Harussani menjelaskan, kerajaan perlu menguatkuasaan undang-undang selaras dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh banyak negeri termasuk Perak dan bertepatan dengan rukun negara iaitu Kedaulatan Undang-Undang agar golongan sesat seperti Kassim Ahmad boleh diambil tindakan. Menurut beliau tiada gunanya bertempik bahawasanya perlembagaan Malaysia ada begitu begini tapi perlaksanaanya tiada. Beliau juga tegas menyatakan Dr Kassim Ahmad sepatutnya wajib diambil tindakan kerana beliau telah difatwakan sesat dan fahaman murtad oleh banyak negeri.



Suaru ketika Kertas Putih Suruhanjaya Reid pernah menegaskan bahawa walaupun Islam merupakan agama rasmi Persekutuan, hal ini tidak akan menjejaskan kedudukan Persekutuan sebagai negara Sekular.

Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman juga menegaskan, “Saya hendak menjelaskan bahawa negara ini bukan negara Islam sepertimana yang diketahui umum, kita hanya mengakui kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.”

Manakala pandangan Tun Mohd. Suffian pula, Islam diletakkan dalam perlembagaan persekutuan perkara 3(1) supaya bacaan doa boleh dibaca dalam majlis-majlis rasmi seperti Hari Merdeka dan Majlis Pertabalan Yang Dipertuan Agong.


Mengikut Perkara 75, jika berlaku ketidakselarasan diantara mana-mana undang-undang Negeri dengan undang-undang Persekutuan, maka; undang-undang Persekutuan itu akan mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri itu akan tidak sah setakat yang ketidakselarasan itu. Semestinya Perkara 4 yang menjadi asas kepada kewujudan Perkara 75 ini.

Pandangan berunsur tafsiran Prof Dr Aziz Bari pula apabila ditanya mengenai Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan Aziz berkata: "Peruntukan ini hanya mengingatkan kita yang segala tindakan dan undang-undang perlu akur dengan batasan perlembagaan. Pendeknya undang-undang, termasuk hudud, perlu dilaksanakan dalam kerangka dan skima perlembagaan. Pada hakikatnya peruntukan yang didakwa mengkesampingkan Islam itu sebenarnya hendak mempastikan yang perlembagaan ini benar-benar berguna kepada semua orang sebab sekiranya perlembagaan boleh diketepikan maka ia tidak berguna. Itulah maksud Perkara 4(1)".



Namun berapa kerat peguam sivil mahu menggunakan tafsiran sepertimana Prof Dr Aziz gunakan? Ramai memperguna Perkara 4 untuk mengelakkan perlestarian perlaksanaan hukum Islam.

Perkara 3 dalam Perlembagaan juga hanya dijadikan hujah untuk tujuan ‘temporary’ bukan suatu hujah yang diperjuang untuk penobatan syariah di Malaysia. Buktinya lihat sahaja bagaimana ia dijadikan hujah dalam kes Che Omar bin Che Soh & Anor v Pendakwaraya. Di Mahkamah Persekutuan. Peguam Karpal Singh ketika itu yang mewakili tertuduh telah merujuk kepada perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yangmenyatakan Islam sebagai agama Persekutuan. Beliau berhujah bahawa dalam undang-undang Islam, kesalahan penyeludupan dadah tidak mendatangkan hukuman gantung. Namun, Tun Salleh Abbas membalas hujah: “Malaysia bukanlah negara Islam mahupun negara sekular dan Islam dalam Perlembagaan hanya merangkumi adat istiadat Islam dan upacara Islam sahaja. Inilah hakikat sebenar Islam di Malaysia.






Thursday, March 13, 2014

SYARIAH MAMPU SELAMATKAN UMAT ISLAM DARIPADA HUTANG


SYARIAH MAMPU SELAMATKAN UMAT ISLAM DARIPADA HUTANG
Muhammad Nuruddin Bashah
Aktivis Gerakan Sokong Syariah (GESA)
Unit Kajian Ilmiah MAPIM Utara.

Hutang menjadi topik menggerunkan bagi sesetengah pihak. Jika dalam siri novel tahun 1960an, isu hutang hanya menjadi makanan harian para bapa untuk berjuang membesarkan anak-anak hari ini kita menyaksikan generasi seawal 19 tahun juga telah menjadi hamba hutang apaila universiti menjadi alat korporat dan hutang pelajaran seperti PTPTN menjadi beban kepada mereka yang gagal mendapat pekerjaan awal selepas graduasi.

Hutang menjadi mimpi ngeri masyarakat kerana melalui hutang juga hubungan kekeluargaan menjadi rapuh dan berpecah belah. Hutang juga menatijahkan situasi ‘kawan makan kawan’.

Tulisan ini cuba mengupas bagaimana syariah Islam itu sendiri mampu menyelesaikan bencana akibat hutang dan memandang aktiviti perhutangan menurut perspektif syariah.

Mutakhir ini hutang telah membawa pemiutang dan penghutang ke kancah jenayah apabila budaya ceti haram dan along menjadi ‘bank segera’ kepada rakyat terutama kepada kaum Melayu muslim di Malaysia.

Misalnya isu ah long bukan sahaja menjerat peniaga kecil, pekebun dan pekerja am malah ia juga pernah melibatkan para anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Utusan Malaysia pada 8 Januari 2013 melaporkan bahawa TLDM terpaksa menyelesaikan sebanyak RM139,000 hutang ceti haram yang melibatkan 102 anggotanya.

Seca umum masyarakat Melayu Islam dikenal pasti sebagai golongan yang paling mudah dibuli oleh ah long, sehingga membawa kepada pelbagai kezaliman dan penindasan terhadap mangsa-mangsa pinjaman haram ini.

Hari ini bukan sahaja ketua keluarga iaitu lelaki yang terbabit dengan ah long, malah, kebimbangan terbaru adalah kerana peningkatan jumlah mangsa ah long dalam kalangan wanita Melayu.

Laporan Utusan Malaysia pada 3 Februari 2014 memuatkan komen Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong ketika mendedahkan realiti peningkatan kes-kes melibatkan mangsa Melayu memberitahu, jumlah mangsa ah long daripada kalangan wanita Melayu Islam adalah 44 kes pada 2012 dan 43 kes pada tahun 2013.

Dikatakan juga akibat sikap masyarakat Melayu, pemalu dan takut menyebabkan ah long berani bertindak sewenang-wenangnya menampal poster gambar mereka di merata-rata tempat.

Namun begitu mangsa tertinggi adalah kaum Cina iaitu 80 peratus disebabkan tabiat judi. Walaupun mungkin ada peratusan melayu yang meminjam ah long kerana judi namun faktor sebenar melayu terjerat dengan ah long adalah kerana kegagalan perniagaan serta kesempitan hidup.

Pada tahun 2012 menunjukkan pecahan mangsa Melayu 129, kaum Cina 416 dan India hanya seramai 54 dengan jumlah pinjaman keseluruhan RM39.5 juta.

Manakala statistik 576 kes untuk 2013 pula menunjukkan 115 mangsa Melayu, Cina seramai 407 dan India 54 dengan jumlah pinjaman keseluruhan RM45.4 juta.

Di dalam fiqh Islam, hutang piutang atau pinjam meminjam telah dikenal dengan istilah Al-Qardh. Kalimah Al-Qardh secara etimologi (bahasa) ialah Al-Qath’u yang berarti memotong. Harta yang diserahkan kepada orang yang berhutang disebut Al-Qardh, kerana merupakan potongan daripada harta pihak yang memberikan hutang. (Fiqh Muamalat, Wahbah Zuhaili)

Manakala secara terminologi (istilah syar’i), makna Al-Qardh ialah menyerahkan harta sebagai bentuk kasih sayang kepada siapa saja yang akan memanfaatkannya dan penerima akan mengembalikannya sesuai dengan nilainya.

Hutang di dalam islam telah disistemkan menjadi suatu juzuk dalam fiqh muamalat Islam. Daripada puluhan hadis berkenaan mekanisme hutang, para ulama’ mengumpulkannya menjadi isi pati kepada salah satu rubu’ dalam khazanah fiqh dan syariah Islam iaitulah rubu’ muamalah. Hutang pada asasnya dibenarkan dalam syariat Islam. Bahkan orang yang memberikan hutang atau pinjaman kepada orang lain yang sangat memerlukan adalah hal yang terpuji.

Dalil dari Al-Qur’an adalah firman Allah I: “Siapakah yang mau memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan meperlipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezki) dan kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.” (QS. Al-Baqarah: 245)

Hai orang-orang yang beriman! Apabila kalian ber-mu’aamalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kalian menuliskannya.” (QS Al-Baqarah: 282)

Rasulullah  pernah berhutang. Di akhir hayat, Baginda memiliki hutang kepada seorang Yahudi, dan hutang Baginda dibayar dengan baju besi yang digadaikan kepada orang tersebut.

Diriwayatkan dari ‘Aisyah RA, berkata:
( أَنَّ النَّبِيَّ -صلى الله عليه وسلم- اشْتَرَى طَعَامًا مِنْ يَهُودِيٍّ إِلَى أَجَلٍ فَرَهَنَهُ دِرْعَهُ )
Nabi membeli makanan dari seorang Yahudi dengan tidak tunai, kemudian beliau menggadaikan baju besinya” (HR Al-Bukhari no. 2200)

Tidak ada keraguan lagi bahawa menghutangkan harta kepada orang lain merupakan perbuatan terpuji yang dianjurkan syariah,dan merupakan salah satu bentuk realisasi dari hadis Nabi “Sesiapa yang melepaskan sesuatu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan-kesusahan dunia Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan hari Akhirat dan sesiapa melapangkan seorang yang berada di dalam kesempitan Allah akan melapangkan untuknya di dunia dan di akhirat.” (Hadis riwayat Muslim)

Hal ini bermaksud hukum asal berhutang harta kepada orang lain adalah mubah, jika dilakukan sesuai dengan lunas syariah. Namun yang terjadi hari ini sehingga merosakkan sosial kaum Melayu Islam adalah kerana pengabaian keperluan yang halal dan yang haram. Malah banyak kes yang mencari pinjaman bukan kerana terdesak akibat keperluan sebaliknya hanya untuk memenuhi nafsu sendiri atau pasangan masing-masing.

Akibat berjaga-jaganya Islam terhadap petaka hutang Nabi SAW sendiri pernah berdoa untuk dilindungi daripada hutang sehingga seorang sahabat bertanya kepada Nabi, "Mengapa Engkau banyak meminta perlindungan daripada hutang, wahai Rasulullah?"

Jawab Nabi tegas, "Sesungguhnya seseorang apabila sedang berhutang ketika dia berbicara biasanya berdusta dan bila berjanji sering mengingkarinya," (HR Bukhori).

Hutang isi rumah

Kaum Islam Malaysia kian tenat. Jumlah hutang isi rumah sebanyak 75.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nominal pada akhir Julai 2012 merupakan fakta yang membimbangkan.

Menurut Setiausaha Penasihat Syariah, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Mohd Nazri Bin Chik semasa membentangkan kertas kerja bertajuk "Pembiayaan Peribadi Oleh Perbankan dan Kesannya Kepada Kuasa Beli Pengguna" di Seminar Kebangsaan Maqasid Syariah 2013 anjuran Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) , sehingga Mac 2013, angka tersebut meningkat kepada 82.9 peratus dan merupakan yang tertinggi di rantau ini.

Menurut beliau, pinjaman terkumpul bagi pembelian harta kediaman dan kenderaan iaitu 64 peratus adalah bahagian terbesar pinjaman isi rumah.

Peratusan ini menunjukkan kesan pembiayaan peribadi dalam menggiatkan industri perumahan dan automobil negara dengan membolehkan individu membeli rumah dan kenderaan. Realitinya tanpa pembiayaan bank, rakyat Malaysia khususnya kaum islam tidak akan memiliki kenderaan dan rumah sendiri.

Melayu Islam Muflis

Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia terkini menunjukkan bahawa semenjak bulan Januari hingga September 2013, seramai 16,306 orang telah diisytiharkan muflis atau purata 1,812 orang setiap bulan.

Pada tempoh yang sama juga, sebanyak 27,432 petisyen kebankrapan telah difailkan di mahkamah.

Pada tahun 2012, sejumlah 19,575 orang telah diisytiharkan muflis atau purata sebanyak 1,631 orang telah muflis setiap bulan sepanjang 2012.

Fenomena muflis ini bukan sahaja tertumpu kepada Semenanjung Malaysia, bahkan telah menular ke seluruh negara, terutama sekali di kawasan bandar.

Merujuk kepada kenyataan akhbar (Utusan Malaysia 2 Disember 2014), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri; Kuching, Miri dan Sibu, masing-masing telah mencatatkan sebanyak 6,925 , 4,058 dan 2,557 kes-kes muflis.

Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia untuk 2012 juga menyebut bahawa daripada jumlah muflis tersebut, 48.4 peratus adalah berbangsa Melayu, 33.2 peratus Cina dan 14.1 peratus India.

Malah juga seperti yang dijangka sebanyak 4,100 (21 peratus) di kalangan muflis adalah berumur di bawah 34 tahun iaitu di usia belia.

Antara penyebab utama muflis yang dilaporkan adalah kegagalan membayar pinjaman kenderaan, perumahan dan kad kredit.

Angka Bank Negara juga menyatakan bahawa pada tahun 2013, bank-bank di Malaysia telah mencatatkan jumlah tertinggi (semenjak 2006) untuk pinjaman peribadi dan kad kredit iaitu pada jumlah RM 139 billion berbanding RM 124 billion (2012) dan RM 67 billion (2006).



Punca-punca rakyat mengamalkan hutang

Kos sara hidup meningkat
Boleh dirumuskan bahawa rakyat terbanyak, terutama sekali bangsa Melayu, sedang berhadapan dengan kesempitan kewangan akibat kadar kenaikan kos sara hidup yang lebih tinggi daripada kadar kenaikan pendapatan.

Akibatnya, rakyat terpaksa menampung perbelanjaan harian samada melalui penambahan pinjaman peribadi ataupun kad kredit yang akhirnya mendedahkan mereka kepada risiko untuk menjadi muflis kerana terdedah kepada kadar faedah yang tinggi.

Penambahan pinjaman sebegini adalah disebakan oleh penyusutan pendapatan lebihan akibat kenaikan kos sara hidup dan bukannya semata-mata disebabkan oleh kegagalan rakyat menguruskan kewangan peribadi.

Menurut kajian Merdeka Centre Rakyat Sebanyak 49% responden yang ditinjau bersetuju Malaysia berada di landasan salah selepas kenaikan kos hidup berbanding 41% yang menolak.

Sebanyak 35% masyarakat Melayu bersetuju, diikuti 78% masyarakat Cina dan 43% masyarakat India.

Jika ditinjau dari aspek Indeks Harga Pengguna (CPI) pada bulan November 2013 meningkat kepada 2.9% dan ianya tertinggi sejak Disember 2011.
Bajet 2014 memotong RM7.29 bilion jumlah subsidi kepada rakyat. Sebelum Bajet 2014 kerajaan menarik balik subsidi gula untuk rakyat berjumlah RM551.25 juta
Kerajaan juga membuang subsidi minyak masak untuk rakyat bernilai RM505.4 juta. Manakala subsidi petrol dikurang 20 sen seliter. Pada September 2013 kenaikan RM 20 sen RON 95, menjadikan RM 2.10 seliter.
Hal tarif elektrik pula, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili umum kenaikan tarif elektrik = 14.98 % atau 4.99 sen berkuatkuasa Januari 2014.
Harga semasa 33.5 sen per kwj meningkat kepada 38.53 sen per kwj.

Mengapa hal kenaikan kos hidup rakyat meningkat begitu pesat? Hakikatnya pentadbiran negara ini jauh daripada semangat pengurusan Islam atau erti kata lain mereka mengenepikan syariah. Tun Mahathir - sendiri menyatakan dalam Sinar Harian 5 September 2013 mengaku bahawa kerajaan Malaysia kian boros. Korupsi dan ketirisan cukup banyak dalam Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun menjadi hujah mengapa kerajna perlu menapung kehilangan wang melalui kenaikan harga barang.

Fitch Rating menurunkan prospek ekonomi Malaysia daripada ‘stabil’ kepada “negatif” 2013. Hutang yang dijamin kerajaan persekutuan di bawah pentadbiran Najib melonjak hampir RM150 bilion pada 2012 daripada RM96.9 bilion pada 2010.
Menurut Fitch Ratings, hutang kerajaan persekutuan meningkat kepada 53.3 % daripada KDNK pada akhir 2012, meningkat daripada 51.6 % pada tahun sebelum dan 39.8 % pada akhir tahun 2008.

Iklan kad kredit yang menggoda melayu
Menurut pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Fakulti Ilmu Wahyu dan Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Mohd. Afandi Awang Hamat, individu yang tertarik pada gaya hidup mewah tetapi tidak mampu akan cenderung menggunakan kad kredit dengan rakus. Akhirnya mereka terlibat dengan hutang. (Utusan 8 Ogos 2006)

Mereka mahu bergaya dan nampak mewah tetapi jika mempunyai pendapatan yang tidak mencukupi, itu akan menggalakkan mereka menggunakan kemudahan kad kredit ke arah yang negatif. Pendidikan etika hidup dan menolak gaya ranggi dan mewah hakikatnya tidak diajar kepada rakyat. Dengan lambakan iklan komersial yang menampil gaya hidup serba ada, iklan kapitalisme yang cukup persuasif mengakibatkan kaum Islam terutamanya terjerat dengan talian hayat bernama kad kredit.

Budaya suka berhutang untuk perkara kemahuan bukan keperluan
Misalnya dalam hal kehendak bukan keperluan, ada yang sanggup bil elektriknya tertunggak hanya semata-mata kerana ingin memiliki penghawa dingin di rumah sama seperti jiran-jirannya yang lain. Ada yang menukar kereta dan telefon pintar mengikut trend dan perubahan saban tahun sehingga hutang dan loan aling sambung menyambung.
Malu dan ingin sama tinggi dengan orang lain
Sikap gilakan kehidupan ‘pop’ dan ranggi adalah antara sebab musabab kaum muslim Malaysia terjebak dengan penyakit super hutang. Menurut buku Halal Haram Dalam Budaya yang diterbitkan oleh CAP, budaya ranggi boleh juga dikaitkan dengan istilah gaya hidup elitis yang mahukan material serba mewah di sekelilingnya.
Penyakit ini bukan sahaja menghidap glongan berpendapatan tinggi, malah ia berakar umbi di kalangan remaja sekolah. Dendam mereka untuk memiliki gajet, pakaian dan kenderaan serba mahal dilepaskan apabila mereka memiliki kemampuan atau bergaji.


Niat berhutang selain syara’.
Hidup untuk bergembira, ‘enjoy’ atau berhibur semata-mata boleh dikaitkan dengan budaya ‘fun’. Istilah “fun” yang diambil dari Bahasa Inggeris membawa maksud keseronokan. Belia muslim terutamanya kini meletakkan kehidupan yang seronok sebagai gaya hidup mereka yang bahagia. Istilah ‘fun’ juga boleh dikaitkan dengan kehidupan hedonisme, berfoya-foya atau “hubb ad-dunia”. Dalam buku Quran Saintifik Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains, Dr. Danial Zainal Abidin meletakkan takrifan hedonisme daripada “The Columbia Encyclopedia”, Edisi ke-6 sebagai, “The doctrine that holds that pleasure is the highest good” terjemahanya (Satu doktrin yang menekankan keseronokan adalah kemuncak kepada kebaikan).
Bagaimana syariah membantu?
Zakat perlu dizahirkan maknannya.
Stigma di kalangan masyarakat, di Malaysia zakat mudah masuk keluarnya susah. Ini cukup memberi makna betapa fahamnya masyarakat berkenaan urus zaat di Malaysia yang berjaya dari aspek pengurusan kutipan tetapi ggal dalam menjadikan harta zakat berkenaan ‘subur’ sama dengan erti istilah zakat yang bererti subur.


Kini peratusan masyarakat Islam miskin menjadi persoalan apabila badan yang bertanggungjawab dilihat seolah-olah gagal untuk membantu golongan ini walaupun dikhabarkan kutipan zakat cukup tinggi setiap tahun.

Mantan Mufti Perlis dan juga Pensyarah Bahagian Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Datuk Dr Asri Zainul Abidin berkata, pihak yang terlibat dalam urus tadbir zakat harus peka dengan perkara tersebut supaya tidak disalah anggap.
Menurut beliau juga walaupun lebih RM 1 bilion wang zakat dikutip saban tahun, masih ramai umat Islam negara ini yang hidup dalam kesempitan.

Efisyenkan sistem wakaf di Malaysia
Wakaf berasal dari bahasa Arab ‘al waqf, iaitu nama terbitan (masdar) dari kata kerja waqafa, ia mempunyai berbagai-bagai makna mengikut tujuan dan penggunaan ayat itu sendiri. Dari segi bahasa, waqaf memberi makna berhenti ( الحبس ), menahan ( المنع ) dan menegah ,(السكن).
Wakaf ialah suatu bentuk penyerahan harta sama ada secara (sorih) terang, atau (kinayah) sindiran, di mana harta berkenaan ditahan dan hanya manfaatnya sahaja yang diaplikasikan untuk tujuan-tujuan kebajikan sama ada berbentuk umum mahupun khusus.

Pengurusan dan pentadbiran wakaf diletakkan di bawah Majlis Agama Islam setiap negeri dan Majlis Agama Islam negeri merupakan pemegang tunggal kepada semua harta wakaf di Malaysia. Perkara ini ditetapkan melalui perundangan bagi setiap negeri. Contohnya di Selangor, Seksyen 89, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan ‘Majlis menjadi pemegang amanah tunggal wakaf, nazar dan amanah.’

Menurut Asmak Ab Rahman dalam makalah beliau bertajuk Peranan Wakaf dalam Pembangunan Ekonomi umat Islam , harta wakaf dibangunkan dengan pelbagai projek yang boleh mendatangkan manfaat ekonomi kepada umat Islam secara langsung mahupun tidak langsung. Hasil sewaan bangunan wakaf dan lain-lain projek wakaf akan diagihkan untuk kebajikan dan kepentingan umat Islam.

Contohnya, seperti memberi bantuan kepada orang yang berada dalam asnaf-asnaf zakat; bantuan kerana pembinaan, pengurusan dan mengimarahkan masjid, surau, madrasah, klinik, hospital dan lain-lain; bantuan kepada orang yang ditimpa bencana alam, kemalangan, rawatan perubatan, anak-anak yatim, orang yang dalam tahanan; bantuan pendidikan, meningkatkan syiar Islam dan bantuan untuk membangunkan negara dan lain-lain yang berkaitan dengan kepentingan dan kebajikan umat Islam.

Wakaf dapat menangani kemiskinan dengan pembinaan hospital untuk golongan miskin, pembinaan sekolah, pembinaan universiti, pembinaan pusatpusat latihan dan kemahiran serta pembinaan perumahan untuk golongan miskin. Oleh itu dengan mewujudkan sekolah, universiti, institusi pengajian tinggi serta pusat latihan dan kemahiran, wakaf akan membantu golongan miskin mendapat pendidikan percuma atau pada kos yang rendah.


Menurut Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Mohamad Sahar Mat Din negara Mesir pernah diselamatkan oleh wakaf Universiti Al-Azhar manakala di Malaysia a wakaf dan zakat kurang berkesan. Kenyataan beliau yang disiar melalui Sinar Harian 7 Januari 2014, juga menyarankan kerajaan menubuhkan institusi wakaf ekoran inisiatif kerajaan dilihat kurang dalam mengusahakan perkara tersebut selepas menyebutnya dalam bajet sebelum ini. Di Malaysia selain daripada Johor Corporation (Jcorp)dengan Wakaf Annur Corporation Berhad, Malaysia yang dikatakan memimpin OIC ketinggalan dalam aspek wakaf.

Melalui institusi wakaf,sebenarnya beban kerajaan dapat diringankan dan defisit mampu dipulihkan dan bukannya dengan menaikkan kos sara hidup melaksana GST atau sekadar mampu memotong subsidi.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Badlisyah Abd Ghani berkata diluar Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur Ke-10 (KLIFF 2013) bahawa Malaysia mempunyai daripada produk simpanan paling mudah hinggalah kepada sukuk serta banyak produk canggih bagi pelabur institusi, pelanggan korporat, usahawan kecil dan sederhana dan individu tetapi wakaf secara komersial belum wujud.



Untuk menempatkan wakaf dalam pasaran kewangan, perlulah diwujudkan rangka kerja undang-undang yang kondusif yang akan membolehkan pemerbadanannya dengan secara efektif.

Mantapkan Qardul Hasan
Qardhul Hassan (Pinjaman Ihsan) pinjaman yang diberikan atas semangat ihsan dan peminjam hanya dikehendaki membayar jumlah wang yang dipinjam sahaja. Walaubagaimanapun, di atas budi bicara peminjam, beliau boleh membayar balik pinjaman melebihi jumlahnya (tanpa perlu berjanji untuk berbuat sedemikian) sebagai tanda penghargaan kepada pemberi pinjaman.

Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Mohamad Sahar Mat Din juga menyebut dalam kenyataan melalui Sinar Harian bahawa orientasi perbankan Islam di Malaysia masih berasaskan mengaut keuntungan dan bukannya berlandaskan semangat taawun. Lantaran itu istilah Qardul Hasan di perbankan Islam Malaysia hanya kalimah indah yang hanya difahami oleh pegawai bank atau sesiapa yang mahir ilmu muamalat. Masyarakat awam hmasih kenal sahabat baik mereka seperti ah long, ceti haram, EON Kredit, Express Cash atau RHB Easy.

Mutakhir ini bank-bank dan Syarikat Kewangan kelihatan ghairah memperkenalkan produk kewangan Islam masing-masing. Konsep Perbankan Syariah digunakan dalam produk kewangan yang mereka tawarkan untuk memberi pilihan kepada pengguna muslim.
Qardul Hasan peru dilaksana dengan penuh semangat membantu sesama Islam. Malah ia adalah penyelesaiaan kepada kebergantungan rakyat bawahan dengan ahlong atau ceti segera. Namun jika cas perkhidmatan mengurus pinjaman Qardul hasan berasaskan nilai wang pinjaman ia adalah satu penjelmaan riba semata-mata. Hasil keputusan Kesatuan Fiqh Islam Sedunia yang ketiga pada tahun 1986 berpendapat boleh mengenakan kos perkhidmatan dengan syarat ia adalah kos sebenar pengurusan teknikal sahaja dan adalah mengenakan kos selebihnya daripada kos sebenar. Bermakna nilai cas ini adalah tetap.

Antara agensi yang menawarkan skim pinjaman secara qard hasan ialah Amanah Ikhtiar Malaysia dan beberapa koperasi Islam di negara ini. Namun kontroversi dan layanan Amanah Ikhtiar Malaysia terhadap peminjam yang menyedihkan perlu diperbaiki. Semengat ingin membantu perlu dipupuk di kalangan pegawai dan petugas.

Prinsip asas pembiayaan mikro sebagai ringkas yang dipelopori oleh Dr Muhamad Yunus, pengasas Grameen Bank Bangladesh, dan penerima Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 2006, ialah kredit adalah hak asasi manusia. Misi utama pembiayaan mikro , oleh itu untuk membantu golongan miskin orang dalam membantu diri mereka untuk menjadi bebas dari segi ekonomi. Kredit atau pinjaman diberikan untuk bekerja sendiri dan untuk membiayai aktiviti-aktiviti yang menjana pendapatan tambahan. Anggapan daripada Model Grameen ialah kepakaran golongan miskin tidak digunakan. Di samping itu, ia juga dipercayai bahawa kegiatan kebajikan sahaja tidak akan berkesan untuk membasmi kemiskinan kerana ia akan membawa kepada pergantungan dan kekurangan inisiatif kalangan golongan miskin.

Dalam kes Grameen Bank Bangladesh , wanita adalah sebanyak 95% daripada peminjam, dan mereka lebih dipercayai daripada lelaki dari segi pembayaran balik [ Gibbons dan Kassim 1990] .

Dalam usaha untuk memudahkan proses pinjaman untuk golongan miskin, pinjaman diberikan tanpa cagaran atau penjamin, dan biasanya adalah berdasarkan kepada amanah. Pembiayaan Mikro adalah alternatif untuk pinjaman kerana konvensional sistem perbankan diiktiraf golongan miskin tidak - kredit layak . Kemudahan pinjaman disediakan berdasarkan kepercayaan bahawa " orang tidak perlu pergi ke bank tetapi bank harus pergi kepada rakyat ." Dalam usaha untuk mendapatkan pinjaman, peminjam prospek perlu menyertai kumpulan penerima pembiayaan mikro. Pinjaman baru akan diberi selepas pinjaman sebelum ini dibayar balik. Skim pembayaran balik adalah secara jangka pendek pada skala seminggu atau setiap dua minggu. Pinjaman juga diberi bersama-sama pakej penjimatan wajib ( contohnya penjimatan wajib dalam dana kumpulan) atau penjimatan sukarela. Keutamaan pinjaman adalah untuk mewujudkan modal sosial melalui projek-projek bersama kumpulan ditubuhkan antara penerima pinjaman.

Hebahkan Ar Rahnu yang halal dan berkat

Prinsip qard hasan juga digunakan secara meluas dalam skim pajak gadai Islam atau al-rahnu di Malaysia yang ditawarkan oleh koperasi dan bank. Skim Al-rahnu merupakan transaksi pemberian kemudahan pinjaman wang di mana seorang penggadai (al-rahin) akan meletakkan barang gadaian (al-marhun) yang bernilai seperti emas kepada pemegang gadaian sebagai cagaran terhadap pinjaman yang dibuat. Jumlah pinjaman adalah berdasarkan kepada nilai emas semasa dan bergantung kepada peratusan had pinjaman yang dibenarkan oleh sesebuah institusi al-rahnu.
Istilah pajak gantung dalam filem-filem P Ramlee menampilkan kebergantungan msyarakat melayu sejak dahulu lagi dengan institusi gadaian konvensional. Maka seharusnya sistem gadaian Islam yang berkat perlu dijadikan amalan masyarakat.

Bertam
13 Mac 2014

11 malam

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)