Monday, June 22, 2009

Surat KHAS untuk Sister In Islam

Surat ini telah dipos dan di emelkan kepada SIS. Harakah edisi Jumaat, 10-13 Julai 2009 turut menyiarkannya.

SKUAD PENYELAMAT AQIDAH (SPAQ)
Hadapan 360 MKJ Kampung Terang 11000 Balik Pulau Pulau Pinang.Tel: 017-6291368/012-5296690
skuadpenyelamataqidah@gmail.com atau jihadin82@yahoo.com

__________

Assalamualaikum w.b.t,

Sisters In Islam,
No 7, Jalan 6/10,
46000 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

21 Jun 2009

Merujuk Isu Yang Membelenggu SIS Mutakhir Ini

Puan,
Surat ini ditulis dengan rasa rendah diri akan kurangnya ilmu di dada dan atas kesedaran untuk memberikan pandangan sesama seIslam serta melaksanakan tugas dakwah sebagai seorang Islam khasnya.

Merujuk kepada usul berkaitan SIS yang diterima tanpa bahas di dalam Muktamar PAS ke 55 baru-baru ini supaya Majlis Fatwa Kebangsaan menyelidik dan mengkaji pendirian SIS berhubung beberapa isu khasnya yang melibatkan syariat Islam. Saya percaya cadangan pengharaman SIS bukannya matlamat agenda yang tersembunyi tetapi peleraian kepada polemik yang melanda lebih utama.

Dari kacamata seorang hamba Allah yang melihat polemik tersebut, saya sertakan beberapa teguran serta saranan yang boleh diperhalusi dan diaplikasikan oleh SIS pada masa akan datang.

Puan,

SIS dikatakan membawa aliran pemikiran liberalisme dalam Islam. Seperti mana yang telah diputuskan di dalam Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke 74 (25 Julai 2006), aliran pemikiran tersebut diputuskan adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam. SIS disarankan meneliti kembali ciri-ciri aliran pemikiran tersebut yang telah dihuraikan dari segi akidah dan syariah. Hal ini kerana kenyataan-kenyataan SIS ada yang bercanggah dengan Islam dan tafsiran dalil Quran yang digunakan diragui memandangkan tiada sumber rujukan yang sahih. Sebelum pihak lain mengambil tindakan mengkaji kebenaran fahaman liberal di dalam SIS, ada baiknya SIS bertindak dahulu secara dalaman.

Puan,

Islam adalah agama yang amat menggalakkan umatnya melakukan kajian dalam segenap ilmu. Buktinya dalil-dalil di dalam Al-Quran banyak yang memberi motivasi dan galakan supaya umat Islam terus mengkaji kerana melaluinya juga kita akan semakin kenal penciptaan dan kekuasaan Allah.

Melihat beberapa isu dan kajian yang diketengahkan oleh SIS, sebenarnya tiada halangan untuk SIS melakukan kajian serta membantu wanita Islam dari segi perundangan, kebajikan, kaunseling keluarga dan sebagainya tetapi berhati-hatilah apabila ia melibatkan hukum atau saranan agama. Tafsiran sumber-sumber teks Islam tidak boleh dilakukan secara wewenang apatah lagi apabila pengkajinya tidak mempunyai latar belakang ilmu agama yang lengkap seperti ilmu Usul al-tafsir, Usul al-Fiqh, Usul al-Hadith dan al-Jarah wa al-Ta’dil.

Di sinilah letaknya kepentingan pendapat dan tafsiran dari ulamak dan mufti yang muktabar dan terkini. Golongan yang menjadi pendokong kepada ilmu teras Islam ini mesti dirujuk terlebih dahulu dan pendapat mahupun fatwa yang dikeluarkan mesti digunapakai dan bukan dipertikaikan.


Puan,

Selaku kumpulan wanita Islam yang bergerak dengan misi memperjuangkan kesamaan, keadilan dan kebebasan wanita Islam, amatlah diharapkan SIS turut sama terlibat dalam menangani gejala sosial yang melibatkan remaja Muslim khasnya. Masalah remaja perempuan Muslim yang bakal menginjak kaki ke alam kewanitaan ini bukan lagi suatu fenomena berkala tetapi sudah menjadi masalah besar serta bertambah dari hari ke hari. SIS boleh ‘turun padang’ dan melihat sendiri permasalahan yang berlaku.

Selain itu, prinsip pemakaian tudung juga perlu dijelaskan lagi memandangkan ibadah ini sangat sinonim dengan wanita Muslim. Bukan sahaja golongan bukan Muslim malah dalam kalangan wanita Muslim ada yang masih keliru serta menganggap Islam mengongkong golongan wanita melalui pemakaian tudung.

Amalan yang diwajibkan oleh Islam ini patut menjadi fokus utama mana-mana kumpulan yang memperjuangkan hak wanita kerana tudung itu sendiri sebenarnya membawa unsur kebebasan kepada wanita serta melindungi pemakainya dari bahaya provokasi lelaki. Pemekaian tudung juga adalah salah satu daripada manifestasi konsep diri sebagai seorang Muslim dan menyerah diri kepada Allah s.w.t. Konsep ini harus diterima dan diterangkan dengan baik walaupun ahli-ahli SIS tidak mengamalkannya.

Puan,

Selain saranan di atas, adalah diharapkan pihak SIS mengambil berat dan bertindak melakukan perubahan berdasarkan gesaan terbaru dari Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz supaya SIS merujuk kepada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sekiranya melibatkan isu pelaksanaan dan pentadbiran atau Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) jika membabitkan bidang kehakiman (Utusan Malaysia, 17 Jun 2009). Andaikata perubahan tersebut direalisasikan, pasti golongan alim ulamak juga menyambut baik pendekatan SIS dan dakwah Islam dalam konteks yang diperjuangkan SIS yang akan lebih bersepadu dan tersusun.


Puan,

Umat Islam di Malaysia kini semakin terbuka dan berlumba-lumba mencari kebenaran Islam. Besarlah harapan kami agar pihak SIS tidak memberi pandangan yang mengelirukan atau membawa idea-idea baru yang secara tidak langsung menyentuh syariat Islam. Semoga SIS dapat berubah ke arah yang lebih baik pada masa-masa akan datang.

“ Sesungguhnya agama (yang diridhai) disisi Allah hanyalah Islam. tiada berselisih orang-orang yang Telah diberi Al Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, Karena kedengkian (yang ada) di antara mereka. barangsiapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah Maka Sesungguhnya Allah sangat cepat hisab-Nya.”
(Al-Imran:19)


Sekian Terima kasih,

Yang benar,


…………………………………………..
WARDAH BT ABDUL RAHMAN
Setiausaha Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)


Sunday, June 21, 2009

Kajian Sister In Islam Pertikai Undang-undang Hudud Terengganu

Sister In Islam Pertikai Undang-undang Hudud Terengganu
Kajian oleh : Mohd Izzuddin Bin Mohd Zin (Setiausaha 2 Skuad Penyelamat Aqidah)
Tarikh kes : 17 Julai 2002

Sister In Islam (SIS) telah mempersoal perlaksanaan hukum hudud di Terengganu dan Kelantan. Dengan menyatakan bahawa ada keraguan pada peruntukan-peruntukan lain yang bercanggah dengan syarak. Dalam erti kata yang lain, kenyataan ini seolah-olah mencabar kredibiliti ulama dalam menunaikan amanah mereka. Kenyataan mereka seperti berikut.

‘...Selama ini, kerajaan negeri PAS di Terengganu dan Kelantan telah cuba menghalang kritikan dengan mendakwa bahawa versi undang-undang "hudud" mereka adalah Hukum Allah swt. Hakikat bahawa percanggahan ketara terdapat di antara beberapa peruntukan asal mereka dengan apa yang tertulis didalam al-Qur'an dan hadith sahih telah menimbulkan keraguan tentang kesesuaian peruntukan-peruntukan lain dalam cadangan tersebut dengan semangat dan maksud sebenar Hukum Syara'...’

Contoh yang dinyatakan oleh pihak SIS untuk menyokong kenyataan tersebut.

‘...Masih terdapat kekeliruan mengenai jenayah rogol dan kesalahan zina, apabila rogol dianggap sebagai "zina paksa" yang dirangkumi oleh peruntukan mengenai zina...’

Tambahan pula, SIS mengkritik pindaan Seksyen 9 berkenaan kes rogol tersebut. SIS secara terang menyanggah pengiktirafan Al-Quran terhadap saksi.

‘...Seksyen 9 telah dipinda untuk membenarkan mangsa rogol membawa keterangan qarinah jika tidak terdapat empat orang saksi, dan adalah dikatakan jika terdapat qarinah, aduan rogol itu akan disiasat...’

Qarinah yang memberi maksud erti, bukti atau pembawaan kepada bukti. Pada pendapat ada, apakah itu qarinah dalam erti kata yang sebenar? Sudah tentu bukti sahih keadaan fizikal mangsa rogol. Samada melalui ujian analisis DNA, koyakan pada kemaluan atau sesi kaunseling dengan pengadu. Ini boleh dilakukan oleh pakar-pakar kesihatan dan psikologi yang bertauliah dan adil. Bagi saya ini menjawab beberapa persoalan pra-matang yang diajukan oleh SIS dibawah.

‘...Persoalannya, Apakah pendekatan kepada "siasatan" ini? Adakah ia bertujuan untuk mencari maklumat bagi membawa penjenayah ke muka pangadilan atau untuk membuktikan samada dakwaan wanita itu benar-benar sahih ataupun tidak? Adakah beban pembuktian diletak di atas bahu perempuan itu atau di atas pihak berkuasa negeri?...’

Pendekatan siasatan ini menjurus kepada keadilan dan bukan penindasan mahupun diskriminasi mana-mana pihak. Tujuannya adalah memberi adil kepada pengadu dan tertuduh. Jika dakwaan wanita itu benar, maka wajib perogol itu dikenakan hukuman yang sewajarnya berlandaskan syariat islam. Jika tidak, maka wanita tersebut pula dikenakan hukuman kerana dakwaan palsu atau fitnah. Jika kedua-duanya bersalah, maka wajib atas mereka hukuman hudud bagi pesalah zina.
Apakah ini masih tidak adil lagi? Zalim sangatkah peraturan Allah? Apakah ulama yang menegakkan hukuman Allah ini dianggap kolot dan berkepentingan? Ya, mereka ‘berkepentingan’, dalam gerak kerja dakwah islam dan menjana umat berakhlak. Beban pembuktian itu terletak kepada pihak pendakwa dan hakim yang mengadilinya. Sebab itu, dalam soal ini kredibiliti makhamah syariah usah diperlekeh. Tetapi ada segelintir masyarakat kita masih menyanjung undang-undang rimba peninggalan penjajah dalam mengadili permasalahan berkaitan dalam perundangan Islam.

Lontaran soalan kurang cerdik lagi daripada SIS yang membuat saya geli perut untuk menjawabnya lagi.

‘...Adakah perempuan itu mungkin dituduh melakukan qazaf dan/atau zina sekiranya penyiasat memutuskan bahawa keterangan itu kurang menyokong dakwaannya? Adalah diakui oleh pengamal undang-undang, serta juga para doktor dan kaunselor bahawa keterangan qarinah bukanlah mudah untuk diperolehi dalam kes rogol...’

Selaput dara perempuan juga boleh terkoyak jika perempuan tersebut selalu aktif dan tidak semestinya melalui persetubuhan. Dan perempuan itu masih lagi dikatakan dara selagi mana tidak melakukan sebarang hubungan kelamin. Berbalik kepada soalan tersebut, perempuan tersebut akan diadili setelus dan seadilnya, dan soal salah atau tidak bergantung kepada bukti dan keputusan hakim syariah. Sebab itu saya katakan tadi, kes yang semacam ini, bawalah kepada makhamah syariah. Insya-Allah, disana ada pakar-pakar perubatan dan pengamal undang-undang yang bertauliah dan diakui keadilan mereka.

Kita sedia maklum, kebanyakkan kes rogol yang diadukan adalah dikalangan remaja belasan umur. Kedua pengadu dan tertuduh, masing-masing mengenali rapat antara satu sama lain. Besar kemungkinan, berlakunya zina antara mereka apabila cinta kera terlarang terjalin tanpa ada ikatan nikah yang sah. Inilah virus yang terus merebak dalam jiwa dan pemikiran anak-anak muda kita. Zina menjadi kebiasaan kerana hukuman Allah Taala tak diguna pakai. Lama-lama rasa bertuhan itu terhakis dan inilah yang menjadi penyakit dalam umat islam hari ini.

Tambahan pula, menyalahkan hukuman hudud sebagai tidak adil adalah satu penghinaan yang jelas terhadap Allah. Apa yang dirancangkan oleh kerajaan Terengganu pada ketika itu tidak bercanggah langsung dengan ketetapan hukuman Allah Taala. Tetapi isu ini menjadi kontroversi apabila perlaksanaannya dalam kalangan masyarakat majumuk Malaysia. Namun tidak mustahil, ia dapat direalisasikan berdasarkan negara contoh Madinah yang juga berbilang puak dan agama. Berikut ialah kenyataan SIS.

‘...Undang-undang Hudud yang diluluskan oleh kerajaan Terengganu juga dengan jelas melanggar prinsip keadilan yang utamakan oleh Islam. Sebagai contoh, seorang Islam yang terlibat dalam jenayah curi akan dipotong tangannya tetapi orang bukan Islam hanya akan dihukum penjara. Penjenayah bukan Islam pula diberi pilihan bebas sama ada hendak dibicarakan di bawah undang-undang hudud ataupun tidak...’

‘...Ini bermakna bahawa jika difikirkannya bahawa ia akan dibebaskan di bawah undang-undang hudud, dia akan memilih undang-undang hudud, dan jika difikirkannya bahawa ia akan disabitkan, ia akan memilih undang-undang lain pula. Ketidakselarasan ini hanya akan menimbulkan konflik serta ketidakpuasan hati pelbagai pihak dan bukannya keadilan dalam masyarakat kita yang berbilang agama...’

Sebab itulah, dalam Islam, proses pendidikan manusia ini berkala dan konsisten mengikut tahap umur dan pemikiran seseorang tersebut. Lihat sahaja kewajipan solat, pada awal kanak-kanak, hanya suruhan mengerjakan solat. Tetapi denda merotan boleh dikenakan apabila menjelang peringkat remaja, asalkan bertujuan mendidik dan tidak melampaui batasan syarak. Begitulah halnya dengan perlaksanaan hudud, takzir dan qisas.

Kesimpulannya, kesesatan liberalisma yang dicanang oleh SIS dalam mempertikaikan hukum Allah, secara senyap masuk kedalam umat islam hari ini. Natijahnya, lahirlah kerosakan demi kerosakan sosial yang tiada sudah. Sebagai seorang muslim, mengaku dirinya muslim dan tertulis pada kad pengenalannya juga Islam, bersangka baiklah dengan Allah. Nescaya kamu beroleh hidayah dan redha Nya.

Friday, June 19, 2009

Kajian Bukti Sister In Islam bercanggah dengan Islam

Kajian Bukti Sister In Islam bercanggah dengan Islam.
Oleh : Muhammad Nuruddin Bashah (Pengerusi Skuad Penyelamat Aqidah )


1. Sumber buku Critical Thought on Islam, Rights and Freedom in Malaysia (2007). Ditulis oleh bekas pengasas SIS, Salbiah Ahmad. Beliau ddihalang bertudung oleh ahli SIS lain. Dalam pertemuan SIS dengan Ford Foundation, ada ahli menarik tudung Salbiah menyebabkan beliau keluar pada tahun 1997 walaupun menubuhkannya pada tahun 1987 lagi.
2. Kenyataan Rasmi SIS Controversy On Polygamy 8 januari 2002. Mereka berkata bukan isunya berbincang isu poligami orang bukan Islam, malah orang Islam perlu bincang kerelevanan undang2 poligami dalam system syariah Malaysia. Mereka tolah dalil Qatie tentang poligami secara mutlak.
3. Mereka adakan kempen monogamy dalam Coalition Women’s Right pada 16 Mac 2003.
4. Secara rambang mengeluar ‘fatwa’ bahawa Kongsi raya is not relogous ritual pada 16 Jun 2006. Mereka tidak sertakan dalil serta menolak pandangan ulama’ muktabar. Raya dalam Islam adalah ibadah. Dalam prinsip ibadah adalah ‘sesuatu ibadah adalah haram dilakukan kecuali ada nas membenarkan’.
5. Isu Musawah

Budaya pendakwah atau budaya pengecam: isu Sister In Islam

Isu Sister In Islam kelihatan isu bermusim. Tanpa kita ketahui asal usul gerak kerja mereka, kenyataan-kenyataan media rasmi mereka, dalang-dalang disebalik karikatur mereka malah kita mengamuk apabila ada isu-isu tertentu yang disentuh secara biadab oleh mereka.

Sejauh mana kita adalah pendakwah? Siapakah pendakwah? Adakah kita hanya ‘pengecam’ ? Kita kecam kesesatan kenyataan mereka, kita mengeluh dengan kebejatan Islam Liberal, kita melaung perang terhadap gerakan sebegini.

Pernahkah kita berdakwah kepada mereka? Ada yang berbual dengan saya, ada yang memberi SMS, jangan diharamkan SIS sebaliknya perlu didakwah? Persoalan saya, jom lah berdakwah? Sudikah anda berdakwah bersama saya atau ‘kami’? Atau hanya sudi berdegar di kedai kopi?

Jika jangan diharamkan, apa tindakan anda pula untuk kekang liberalisasi syariah di Malaysia? Jika kita tidak pernah bersua dengan mereka, berapa kalikah kita mengutus surat peribadi, email atau surat terbuka dakwah kepada mereka? Inilah persoalan di akhirat kelak kepada generasi yang ‘pernah’ ditarbiah untuk berdakwah.

Jika ingin diharamkan, sudahkan anda bersedia dengan kemampuan undang-undang anda? Apakah jalan sah untuk haramkan sesuatu pertubuhan mengikut undang-undang dan perlembagaan kita? Bolehkah dengan mengecam sahaja, sesuatu pertubuhan akan diharamkan.

Dilema 2 kutub pandangan ini, saya melalui Skuad Penyelamat Aqidah mengajak rakan-rakan gerakan Islam, individu pendakwah mahupun NGO Islam untuk berbuat sesuatu bukan sebagai pemerhati bebas sahaja. Kerja semakin bertambah.

Tulisan ini adalah muhasabah untuk SPAQ dan untuk semua umumnya.

SPAQ akan mengutus surat dakwah kepada SIS. SPAQ juga akan mengutus surat galakan kepada JAKIM untuk memobilasikan Majlis Muzakarah Fatwa untuk bersidang kes ini. Kesediaan SPAQ bersama NGO lain sebagai penyokong JAKIM sekiranya tindakan diambil adalah satu tindakan cetusan. Jika Fatwa haramkan aliran Islam Liberal telah ada, ia masih mentah dan belum diwartakan dalam Parlimen dan DUN. Malah galakan SPAQ agar fatwa haramkan SIS selepas siasatan terperinci dilakukan adalah satu tindakan terfokus dan tertumpu untuk hasilkan praktikal yang berguna. Belum ada lagi fatwa haramkan sesuatu pertubuhan di Malaysia selepas Al Arqam.

Muhammad Nuruddin Bashah
Pengerusi Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)

Thursday, June 18, 2009

Kronologi Gerakan Femenisme

Kronologi Gerakan Femenisme
Kajian oleh : Nuraini Ruzi (Ketua Penyelidikan Skuad Penyelamat Aqidah)

Kini satu wabak yang berbahaya mulai melanda hati-hati permata dunia ini. Bicara saya berkisar tentang feminisme.

Menurut pengertian yang dikumpul melalui internet dan beberapa buah makalah, feminism merupakan himpunan teori sosial, gerakan politik dan falsafah moral tentang pembebasan wanita dan penyisihan kaum lelaki. Penyokong gerakan ini percaya bahawa lelaki dan wanita berhak mempunyai persamaan antara taraf sosial, politik, dan ekonomi. Selain itu, golongan ini juga menganggap jantina/gender hanyalah rekaan masyarakat semata-mata, iaitu bukan secara nature tetapi nurture.

Menyingkap sejarah silam, istilah feminism ini digunakan di Perancis buat pertama kalinya oleh Hubertine Auclert sekitar tahun 1880. Namun, ada juga sumber yang mengatakan istilah feminism ini lahir di Barat iaitu ketika zaman pencerahan (Eropah) oleh Lady Mary Wortley Montagu dan Marquis den Condorcet yang pada ketika itu berjuang untuk hak pendidikan bagi perempuan. Perkumpulan ilmiah wanita pertama dibentuk di Middleburg, iaitu di selatan Belanda pada 1785. Kata feminisme ini direkreasikan buat pertama kalinya oleh aktivis sosialis utopis, Charles Pourier pada tahun 1837 dan pergerakan ini mula menyusun langkah ke Amerika lalu bercambah dengan subur sejak penubuhan The Subjection of Women (1869).

Apabila kita telusuri sejarah dunia, kita dapati kaum wanita merasa dirugikan oleh kaum lelaki tetapi itu sebenarnya hanya sekadar permasalahan yang sengaja digembar-gemburkan oleh puak-puak liberalisme yang mula menodai pemikiran kita semua, dalam usaha untuk meruntuhkan tamadun-tamadun yang lain. Hal ini kerana, feminisme ini mula tercetus dengan hebatnya setelah hampirnya era Liberisme di Eropah dan terjadinya Revolusi Perancis pada abad ke-18 yang kesannya merebak ke Amerika Syarikat dan seluruh pelusuk dunia.

Jadi, bertitik tolak dari situlah, gerakan untuk menaikkan darjat perempuan ini berkembang. Namun kekuatannya masih belum cukup mencengkam hinggalah tiba revolusi sosial dan politik di Amerika Syarikat. Mary Wollstonecraft, penulis Vindication of the Right of Women, telah berhasil menerapkan prinsip-prinsip feminisme dan sekaligus membantu wanita untuk menikmati hak dan keistimewaan yangs selama ini hanya dinikmati oleh kaum lelaki dari aspek pendidikan dan politik.

Saya redah senario hari ini. Bagaimana prinsip-prinsip yang disemai oleh para liberisme itu masih ‘berdaki’ dalam silibus pendidikan guru-guru pelatih di negara kita yang tercinta ini. Mengikut ilmu sosiologi yang wajib dipelajari oleh guru-guru pelatih (contoh) jurusan TESL (Teaching English as the Second Language), istilah-istilah seperti persamaan gender, sterotaip, siling kaca dan sebagainya merupakan faktor bagaimana bangkitnya gerakan feminis ini. Jadi tidak hairanlah jika dalam dewan kuliah pun, ada perang dingin antara dua jantina ini. Paling mengharukan, pensyarah sendiri turut menyalakan obor perbalahan tersebut. Jelas bukan, agenda yang diatur oleh puak liberisme sejak beratus tahun dahulu semakin menampakkan hasilnya.

Mari kita buka kembali lipatan sejarah, usai berakhir Perang Dunia Kedua, muncul negara-negara baru yang bebas dari cengkaman Eropah. Maka lahir feminisme Gelombang Kedua. Gelombang ‘berkuasa’ ini dipelopori oleh para feminis Perancis seperti Helena Cixous (Yahudi Algeria) dan Julia Kristeva (Bulgarian) yang menetap di Perancis yang sealiran dengan kelahiran dekonstruksionis Derrida.

Setelah saya meneluri dan menghalusi tentang susur-galur feminisme ini, sebenarnya ia meliputi penentangan yang membuta-tuli terhadap nilai-nilai maskulin. Apa yang saya mampu simpulkan, Feminisme Gelombang Kedua banyak berkisar tentang menaikkan darjat perempuan dunia ketiga. (perempuan berkulit hitam).

Perempuan dunia pertama menginginkan status semua perempuan adalah sama. Dan, setelah tamat Perang Dunia Kedua, negara-negara yang dijajah telah dipimpin oleh golongan elit nasionalis lelaki. Ketika ini, Feminisme Gelombang Kedua memuncak, tetapi perempuan dunia ketiga masih membatu. Jadi, bermula dari sinilah, perempuan dunia pertama ingin memisahkan perempuan dunia ketiga ini dari krisis kolonialisasi, seksisme, dan relasi sosial.

Jika kita perhatikan, gerakan yang dianggotai oleh golongan feminis ini bermula dari barat dan melebarkan pengaruhnya ke negara-negara Arab, negara Islam sebetulnya. Mereka menuntut hak-hak yang dirasakan milik mereka seperti, persamaan dalam harta pusaka, hak poligami lelaki tidak wajar, persamaan hak dalam penceraian, penentangan pakaian yang menutup aurat, dan menjadikan wanita barat sebagai contoh teladan. Dalam dunia Islam, feminisme muncul pada akhir kurun ke-19 di Mesir, Syria, Turki dan lain-lain. Pada abad inilah, perbincangan tentang hak-hak wanita dilakukan secara terbuka oleh tokoh-tokoh intelektual muslim.

Menurut sebuah artikel yang ditulis oleh Amin Fadillah, terdapat 2 golongan yang menjadi tunjang tentang penubuhan wacana ini (feminisme) iaitu konservatif dan moderat. Golongan konsevatif memperjuangkan hak-hak wanita dengan merujuk terus kepada Al-Quran, Sunnah Nabi dan pendapat ulamak. Mereka mengutuk nilai-nilai yang dipupuk dalam gerakan wanita barat yang menuntut hak sama rata dengan lelaki. Bagi mereka, apa yang diperjuangkan oleh wanita barat itu secara jelasnya menyimpang dari fitrah kerana secara zahir dan batinnya, lelaki dan wanita berbeza dari sudut keupayaannya.

Manakala, golongan moderat pula sedikit sebanyak banyak dipengaruhi oleh gerakan wanita barat. Tetapi, mereka masih lagi berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah sebagai landasan kepada gerakan mereka. Mereka hanya melihat perbezaan antara lelaki dan wanita ini hanya dari sudut biologi sahaja tanpa mengelirukan pemikiran dari sudut yang menyalahi hukum alam.

Apa yang saya dan kita semua kesalkan adalah wujudnya gerakan feminisme yang melampau sehinggakan hukum-hukum agama dianggap sebagai juzuk kecil dalam kehidupan menuju akhirat. Apabila sesuatu pekerjaan dilakukan tanpa berpandukan agama, maka banyaklah kemusnahan yang akan timbul. Hayati potongan ayat ini,
"Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikit pun." (Ibrahim: 26).

Antara gerakan feminisme yang paling menonjol di Malaysia adalah Sisters in Islam. Gerakan yang pernah dikepalai oleh Zainah Anwar ini secara terang-terangan mempersendakan hukum-hukum Allah tentang hak antara lelaki dan perempuan. Gerakan ini menuntut hak-hak yang tidak masuk akal seperti hak berpoligami, harta pusaka dan sebagainya. Gerakan ini menanamkan semangat dan perasaan bahawa wanita mampu hidup sendirian tanpa lelaki sehingga timbul golongan wanita yang menolak perkahwinan.

Alangkah ruginya wanita yang menidakkan perkahwinan dalam hidup. Sikap ini bertentangan dengan kehendak Islam yang menggalakkan perkahwinan malahan berlawanan dengan fitrah semulajadi manusia. Golongan wanita yang tidak berkahwin, (bukannya wanita yang tidak menemui jodoh mereka), tidak akan mendapat kesempurnaan dalam agama. Amat mudah bagi wanita mendapat maqam solehah dan ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW, “Sekiranya seorang wanita dapat melakukan empat perkara iaitu sembahyang 5 waktu, puasa di bulan ramadhan, menjaga maruah dan taat kepada suami maka masuklah syurga melalui mana-mana pintu syurga yang dikehendaki”


SIS memasakkan doktrin yang berbahaya dalam hati wanita Islam dengan mengatakan bahawa kaum wanita ditindas sejak dahulu lagi dalam Islam dan diinjak-injak dalam sistem pusaka atau pembahagian harta kerana lelaki mendapat bahagian yang lebih dari wanita. Selain itu, mereka menuntut hak mentafsir ayat-ayat suci Al-Quran diberikan kepada wanita kerana pada pandangan mereka, diskriminasi terhadap wanita berpunca daripada hak mentafsir Al-Quran hanya diberikan kepada lelaki. Bukankah ini satu kebodohan?

Cuba kita lihat betapa adil dan sempurnanya hukum yang Allah tetapkan untuk lelaki dan wanita. Telah terjadi dialog antara Asma’ binti Sakan dengan Rasulullah SAW. Asma’ merasakan ketidakadilan antara hak lelaki dan wanita dalam Islam. Asma' berkata, "Wahai Rasulullah, bukankah Engkau diutus oleh Allah untuk kaum lelaki dan juga wanita. Mengapa sejumlah syariat lebih berpihak kepada kaum lelaki? Mereka diwajibkan jihad, kami tidak. Malah, kami mengurus harta dan anak mereka di kala mereka sedang berjihad. Mereka diwajibkan melaksanakan solat Jum'at, kami tidak. Mereka diperintahkan menghantar jenazah, sedangkan kami tidak." Rasulullah saw. terpegun atas pertanyaan wanita ini sambil berkata kepada para sahabatnya, "Perhatikan! betapa bagusnya pertanyaan wanita ini." Beliau melanjutkan, "Wahai Asma'! sampaikan jawapan kami kepada seluruh wanita di belakangmu, iaitu apabila kalian bertanggung jawab dalam berumah tangga dan taat kepada suami, kalian dapatkan semua pahala kaum lelaki itu." (Diterjemahkan, HR Ibnu Abdil Bar).


Monday, June 15, 2009

Rangkaian feminisme dunia

Rangkaian feminisme dunia

1. WLUML (Women Living Under Muslim Laws)

Bagaimana gerakan Sister in Islam boleh berdiri megah dan menyebarkan ideologi mereka? Semestinya sokongan datang segenap penjuru. Antara organisasi yang mencetus semangat dan langkah SIS ialah WLUML, (Women Living Under Muslim Laws) . WLUML merupakan saluran sokongan antarabangsa yang menyumbangkan maklumat dan menawarkan bantuan kepada wanita yang berada dalam persekitaran undang-undang Islam. Pengaruhnya telah berkembang melebihi 2 dekad dan meliputi sekitar 70 buah negara iaitu dari Afrika Selatan ke Uzbekistan, Senegal ke Indonesia, dan dari Brazil ke Perancis.

Sejarah penubuhan WLUML bermula pada tahun 1984 apabila ada 3 kes melibatkan penafian hak wanita di beberapa buah negara Islam berlaku. 9 wanita dari Algeria, Sudan, Iran, Mauritius, Tanzania, Bangladesh dan Pakistan menubuhkan WLUML untuk mengumpul semangat dan usaha wanita tempatan agar tidak ditindas.

Jika kita rincikan setiap misi dan matlamat WLUML, memang benar-benar mengikut laluan yang sama seperti SIS dan mereka ini saling bertautan. Kita lihat sahaja pada program-program yang dijalankan, antaranya ialah ;

1. A theme based Dossier, an occasional journal which provides information about the lives, struggles and strategies of women in various Muslim communities and countries;
2. A quarterly Newsheet on women, laws and society by Shirkat Gah, WLUML Asia Regional Coordination Office;
3. Occasional Papers - specific studies and materials which, for reasons of length or style, cannot be included in the Dossier series and;
4. Other publications on specific issues of concern such as family laws, women's movements, initiatives and strategies, etc.

SIS semakin berani meniru agenda-agenda gerakan feminis yang lain untuk digerakkan dalam Malaysia. ‘Kejayaan’ paling besar adalah MUSAWAH yang diadakan di Prince Hotel Kuala Lumpur di mana hak-hak wanita Islam kononnya diperjuangkan dengan idea-idea karut-marut mereka. Saya sangat yakin MLUML menumbuhkan banyak perancangan-perancangan SIS untuk masa hadapan. SIS ingin turut sama menyokong segala usaha yang membawa ke arah pembentukan masyarakat yang mendokong prinsip-prinsip Islam seperti kesaksamaan (al-musawah), keadilan (al-adala), kebebasan (al-huriyya), bermartabat (al-karama) dan kasih sayang antara insan (mu'asyarah bil'ruf) dalam negara demokrasi.

2. APLWD (Asia Pacific Forum on Women, Law and Development)

Gerakan feminis ini ditubuhkan hasil dialog antara wanita Asia Pasifik yang memiliki kerjaya sebagai peguam, saintis dan aktivis sosial pada Forum Dunia Wanita Ketiga pada tahun 1985 yang diadakan diNairobi, Kenya. Objektif APLWD adalah untuk menggunakan (memperalatkan) undang-undang untuk menegakkan hak-hak wanita dari segi keadilan, kuasa, kesamarataan dan pembangunan. Gerakan feminis ini melebarkan langkah apabila mengadakan perjumpaan kedua hasil kesepakatan di Kenya. Perjumpaan yang berlangsung pada Disember 1986 dihadiri delegasi wanita serantau Asia di Tagaytay, Filipina untuk membincangkan isu-isu penindasan wanita dan mencari solusi untuk terus bekerjasama.

Hasilnya mengejutkan. Rangkaian ini ‘membiak’ ke Malaysia. Tapak APLWD diperkukuhkan di Malaysia apabila sekreteriatnya dibentuk di sini pada tahun 1986 di Kuala Lumpur. Kemudian pusat gerak kerja APLWD dipindahkan ke Chiangmai Thailand pada Oktober 1997.

Selama lebih 20 tahun gerakan feminis ini beroperasi dan misinya yang telah dilaksanakan adalah ;

-APWLD’s programs and activities are focused in promoting women’s rights human rights as an analytical and strategic framework of engaging with the legal system to empower women.

-APWLD has engaged primarily in policy advocacy, education, training and other activities to address issues and concerns of poor and marginalized women in the region. It has lobbied at regional and international levels for the implementation of government commitments in international conventions and the integration of gender issues at regional and international fora.

-APWLD has developed partnership with women’s groups, human rights groups and development NGOs in the Asia Pacific region to consolidate, expand and strengthen networks working on women, law and development.

3.. DAW (Divison for the Advancement of Women)

Antara gerakan feminis yang juga mempunyai konsep dan matlamat sama seperti SIS adalah DAW. Gerakan ini menyokong pemulihan status wanita di peringkat antarabangsa dalam mencapai tahap yang sama dengan apa yang dicapai oleh lelaki. Jika kita telusuri matlamat ini, jelas benar sealiran dengan SIS.

Lihat sahaja bagaimana SIS berusaha mendapatkan hak menjadi imam solat jumaat dan kadi serta mentafsir Al- Furqan. DAW menggunakan isu-isu seperti diskriminasi terhadap wanita, siling kaca, dan sebagainya untuk menggerakkan jentera mereka. Gerakan feminis ini berpusat di Amerika Syarikat dan semestinya di bantu oleh kerajaan Amerika sendiri. Secara tidak langsung, dakyah yang dibawa oleh DAW, sekurang-kurangnya mampu menembusi negara-negara Islam. Itu sebetulnya.

Di bawah adalah antara ‘tanggungjawab’ yang kononnya mereka uar-uarkan untuk menambat hati wanita Islam khususnya untuk meyertai mereka.

>To support formulation of policy, global standards and norms on gender equality and women’s empowerment at global level, including through analysis and research;
>To promote, support and monitor the implementation of international agreements on gender equality and empowerment of women, including the Beijing Platform for Action, at international and national levels;
>To support the implementation of the Convention on the Elimination of all Forms of Discrimination against Women and its Optional Protocol;
>To promote the mainstreaming of gender perspectives across all sectors, both within and outside the United Nations system;



Nuraini Ruzi
Ketua Penyelidik
Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)

Surat tahniah kepada Saudara Chandra yang peka dengan sensitiviti agama Islam


Tulisan ini lebih berbentuk kepada surat terbuka untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada saudara Chandra A/L Jaghanathan, 42 tahun di atas keperihatinannya terhadap sensitiviti umat Islam di Malaysia.

Saudara Chandra telah dilaporkan oleh Majalah Al Islam keluaran Jun 2009, menjumpai tulisan Allah pada kasut yang dijualnya selama ini. Akibat penemuan itu, beliau dengan sikap prihatin telah tampil melaporkan perkara tersebut kepada pihak penguatkuasa JAWI pada 27 Mac 2009 yang lalu.

Sikapnya yang jujur, peka serta proaktif untuk membuat laporan tersebut bukan atas keinginan pangkat atau nama, sebaliknya telah menjadi amalan dalam kehidupan beliau untuk menjaga kehormatan agama lain seperti Hindu dan Kristian sebelum itu. Saya mewakili umat Islam ingin mengucapkan tahniah atas sikap beliau tersebut.

Dalam ketegangan suasana akibat ketidakfahaman golongan bukan Islam terhadap sistem agama Islam, sistem syariah dan mahkamah syariah, beliau menunjukkan bahawa toleransi antara kaum dan beragama adalah boleh ditonjolkan melalui sikap penghormatan dan menjaga nama baik agama kaum lain. Malah di dalam Islam terbukti Rasulullah menyuruh para sahabatnya untuk melindungi sesiapa sahaja yang berada di dalam rumah ibadat, dilarang memecahkan rumah ibadah bukan Islam di kala peperangan serta dilarang menghina agama lain.

Dunia hari ini menjadikan premis kesenian dan hak media serta hak untuk bersuara untuk lantang menghina agama lain termasuk melukis kartun tipikal yang sensitif. Jika dalam agama Islam, jumhur ulama (muslim scholar) mengharamkan aktiviti melukis gambar Nabi Muhammad, begitu juga Hindu pada pandangan Chandra, di mana umat Hindu dilarang memakai gambar lukisan Ganesha, Murugan dan sebagainya pada T-Shirt dengan tujuan fesyen. Jelas, etika menjaga kesucian agama juga menjadi nilai sepunya (common value) terhadap umat agama lain.

Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada Utusan Karya melalui Pengarang Kanan Al Islam, En. Zulkarnain yang telah menjenguk beliau di rumahnya serta menghadiahi keluarganya dengan hamper, majalah agama serta langganan percuma Al Islam. Inilah metodologi dakwah dan keharmonian hubungan yang kita inginkan. Malah saya optimis dengan menjaga sensitiviti kaum lain, keharmonian di dalam sesebuah negara boleh dipupuk dan dibina.


Muhammad Nuruddin Bashah
Pengerusi Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)

Sunday, June 14, 2009

Surat kepada YAB Lim Guan Eng: Isu SIS


Salam Hormat,

Y.A.B. TUAN LIM GUAN ENG
Ketua Menteri Pulau Pinang,
Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang,
Tingkat 28, KOMTAR,
10503 Pulau Pinang.

15 Jun 2009

Merujuk Isu Kes Pengharaman NGO Sister In Islam oleh Muktamar PAS

Tuan,

Surat ini ditulis atas rasa muhibbah, bernada muzakarah atas prinsip pertukaran idea dan pendapat sebagai warganegara Malaysia serta saya selaku penganut Islam.

Merujuk kes usul Muktamar PAS ke-55 untuk mengharamkan Sister In Islam selepas penyiasatan dilakukan, saya ada melihat beberapa komentar dari pihak Tuan atas premis pendapat Parti DAP serta pendapat YB Teresa Kok. Komentar Tuan disiarkan dalam TV 3 8 Jun 2009.

Kenyataan Akhbar oleh Teresa Kok, Setiausaha Organisasi DAP & Ahli Parlimen Seputeh di Kuala Lumpur pada Isnin, 8 Jun 2009: Muktamar PAS tidak harus mendesak kerajaan mengharamkan pertubuhan Sisters In Islam (SIS) “SIS bebas bersuara dan jika mana-mana pihak tidak bersetuju dengan pendiriannya, maka perlu dibahas secara sopan dan terbuka. Jika mana-mana pihak mahu mengharamkan SIS atau organisasi yang berbeza pendapat dengannya, ia adalah sifat kuku besi yang tidak harus menjadi budaya kita”.(Laman Web DAP Malaysia)

Sebagai penganut Islam saya juga telah lama mengikuti perjalanan aktiviti dan agenda Sister In Islam. Benar seperti pendapat YB Teresa Kok yang menolak sebarang tindakan zalim, mencabuli hak bersuara agar tidak disamakan dengan UMNO-BN, namun begitu isu SIS bukan sekadar menggariskan hak bersuara tetapi perlu juga diteliti agenda dan segala kenyataan-kenyataan SIS yang bercanggah dengan agama Islam.

Tuan,
Aliran pemikiran SIS adalah liberalisme dalam Islam. Mereka secara terbuka mengakui ketidak-adilan syariah Islam sebaliknya mencadangkan beberapa ‘adjustment’ radikal dalam kondisi dalaman syariah Islam. Jika hal yang sama dilakukan oleh NGO lain terhadap penganut agama Kristian dan Hindu umpamanya, ketidakpuashatian jelas akan kedengaran juga seperti yang syariah Islam alami sekarang.

Tuan,
Muktamar PAS Ke-55 baru-baru ini, telah menerima tanpa bahas usul PAS Kawasan Shah Alam supaya Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang didakwa membawa aliran Islam liberal dan mengharamkannya jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam. Bermakna ia ada syaratnya iaitu terbukti menyeleweng. SIS adalah penganut Islam serta tertakluk di bawah undang-undang syariah negeri-negeri Islam di bawah akta ajaran menyeleweng bagi setiap negeri. Malah telah ada fatwa yang mengharamkan sebarang gerakan yang cuba mempromosi ajaran liberal dalam agama Islam walaupun berkemungkinan fatwa ini belum diwartakan atau dijadikan perundangan. Namun telah ada isyarat justifikasi tindakan usul dari PAS berkenaan.

Dalam Seminar Pemikiran Islam Peringkat Kebangsaan yang diadakan pada 23 – 24 Ogos 2008 bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, anjuran Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) dan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) dengan tema “Menangani Pemikiran Islam Liberal di Malaysia”.

Resolusi yang ke-2
Memohon pihak kerajaan dan pihak autoriti agama peringkat pusat dan negeri menguatkuasakan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali yang ke 74 tahun 2006 berkenaan dengan Aliran Pemikiran Liberal di Malaysia iaitu “memutuskan Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam.”

Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali yang ke 74 memutuskan bahawa Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam.( Tarikh Keputusan : 25 Julai 2006
Tarikh Muzakarah : 25 Julai 2006 hingga 27 Julai 2006)

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan, SIS bukannya NGO Islam malah ahlinya juga tidak mampu untuk memperkata atau membahaskan isu-isu mengenai Islam berdasarkan ilmu.

Islam mengalukan gerakan femenisme yang berjuang dalam gelanggang perundangan, membela hak pendidikan, pengupayaan, politik dan ekonomi bagi wanita, tetapi menyedihkan apabila SIS mengambil tindakan menyerang banyak undang-undang tetap dalam Islam yang HARAM dilanggar oleh umat Islam sendiri.

Tuan,
Kini ramai berpendapat bahawa PAS ingin mengharamkan SIS serta merta sedangkan ayat USUL berkenaan tidak dipaparkan secara lengkap. PAS atau NGO Islam lain dikatakan tidak pernah menegur mereka sedangkan beratus-ratus artikel dan kertas kerja yang mereka sendiri mampu memilikinya melalui internet, menegur dan menjelaskan kesesatan mereka.

Presiden PAS menegaskan, PAS pernah berunding dan menegur pandangan SIS yang bercanggah dengan Islam tetapi usaha itu tidak dipedulikan.

"Kita telah menghantar (Ahli Jawatankuasa PAS Pusat) Dr Mariah Mahmood menyertai majlis anjuran SIS dan menegur pandangan mereka yang bercanggah dengan Islam. Tetapi mereka sentiasa beri pandangan bukan daripada ilmu mereka”.


Tuan,
Selaku pemimpin daripada Pakatan Rakyat serta pemimpin untuk rakyat, saya berharap pihak Tuan dapat mendalami lagi isu ini secara rasional dan saksama. Islam adalah agama yang tidak mewajibkan sesiapa untuk menganutnya. Tetapi apabila menganut Islam, penganutnya wajib menjalankan kesemua perintah Allah SWT tanpa ragu dan bimbang kerana di dalam syariah Islam ada ‘kehidupan’ yag bermaksud ketenangan, keheningan jiwa, keadilan dan keharmonian kepada umat manusia.

Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus”.
( Surah Al Maidah : 17)


Sekian, Terima kasih.

Yang benar,


…………………………………………..
MUHAMMAD NURUDDIN BASHAH
Pengerusi Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)

Friday, June 12, 2009

Fatwa Haram Islam Liberal

RESOLUSI
SEMINAR PEMIKIRAN ISLAM
PERINGKAT KEBANGSAAN 2008

Seminar Pemikiran Islam Peringkat Kebangsaan yang diadakan pada 23 – 24 Ogos 2008 bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, anjuran Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) dan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) dengan tema “Menangani Pemikiran Islam Liberal di Malaysia”.

di bawah adalah resolusi yang ke-2
Memohon pihak kerajaan dan pihak autoriti agama peringkat pusat dan negeri menguatkuasakan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali yang ke 74 tahun 2006 berkenaan dengan Aliran Pemikiran Liberal di Malaysia iaitu “memutuskan Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam.”

Dilema SIS : Antara HARAM atau BIAR

Pendahuluan



Usul pengharaman Sister In Islam (SIS) yang dibentangkan oleh Muktamar PAS baru-baru ini mengundang berjuta reaksi daripada segenap lapisan masyarakat. Isu ini menjadi lebih kontroversi apabila didepani oleh ramai politikus, sosialis, aktivis dan ulama. Dengan bermodalkan kepentingan masing-masing, usul ini dicanang merata-rata tanpa ada perbahasan ilmiah dan komprehensif sehingga menimbulkan pelbagai persepsi dan kekeliruan dalam masyarakat tentang kenapa SIS patut diharamkan.



Namun, saya melihat banyak ruang dakwah yang dapat digapai oleh setiap aktivis dakwah apabila mendepani polemik ini. Masakan tidak, umum mungkin tertanya-tanya siapakah sebenar SIS? Dan mengapa badan ini patut diharamkan? Apakah agenda mereka? Dan siapakah penggerak-penggerak disebalik organisasi ini yang dibiayai oleh badan antarabangsa? . Inilah yang saya katakan sebagai salah satu titik mula dimensi dakwah dengan memberi imuniti kepada masyarakat mengenai serangan dakyah golongan Liberal ini seterusnya menjernihkan kembali kesucian Islam yang selama ini tercemar. Pengharaman SIS bukanlah berita yang patut diulang-ulangkan oleh media massa, tetapi pemikiran dan agenda SIS yang bertunjangkan fahaman Liberalisma itulah yang sepatutnya dijelaskan oleh media yang mana mengheret SIS kepada kecaman.


Antaranya, kenyataan yang dibuat oleh Dr. Asri Zainal Abidin dalam Sinar Harian (11 Jun 2009) berhubung isu ini ialah melihat PAS seolah-olah mempolitikkan Islam dan menghalang hak kebebasan bersuara apabila ingin mengharamkan SIS. Saya terkedu apabila seorang bekas mufti mengeluarkan pendapat sebegitu. Saya ingin tegaskan sekali lagi, bukan soal hak kebebasan bersuara yang menjadi isunya sekarang, tetapi lebih kepada serangan Liberalisme terhadap Islam. Apakah Dr. Asri rela melihat Islam di Malaysia diratah sedikit-sedikit oleh golongan sesat ini?



Sinisnya, terdengar juga suara-suara sumbang dalam PAS sendiri yang menentang usul tersebut. Persoalan saya, dimanakah saraf kamu yang paling sensitif apabila dicucuk jarum beracun ini? Pada iman yang selama ini disemai atau pada nafsu yang selama ini dipuja. Tepuk dada, tanya iman masing-masing.


Hampir berpuluh tahun, institusi intelektual syariah islam menjenamakan semula hukum-hukum yang sedia ada dalam Al-Quran dan As-Sunnah demi melihat masyarakat islam kembali kepada ajaran islam yang sebenar. Namun usaha ini dilihat seolah-olah mengundang persepsi negatif dan kurang senang dikalangan segelintir umat melayu-islam sendiri yang mahukan kebebasan dalam beragama sehinggakan melintasi had yang disempadani oleh syariat. Retetan ini berdasarkan timbulnya isu-isu sosial seperti fatwa pengharaman yoga dan pengharaman berkelakuan dan bertampil dengan imej berlainan jantina (isu penkid, tomboy, lesbian, makyah, pondan dan gay). Fatwa-fatwa ini semacam menjentik entiti islam dalam diri masyarakat yang selama ini berhibernasi.
Malah lebih teruk lagi ada segelintir badan NGO yang berlabel Islam menempelak fatwa-fatwa tersebut. Mereka membidas kerelevanan hukum tersebut dan menuduh ianya berkepentingan pihak tertentu. Padahal mereka bukan ahli (bukan arif dan tidak berautoriti) dalam menentukan hukum syariat tersebut. Dan ini termasuklah organisasi SIS yang berhujah isu pengharaman ini menindas hak kebebasan bersuara. Atas dasar inilah golongan ini yang beraliran Islam Liberal terus menerus meracuni pemikiran muda mudi khususnya feminis dalam mempersoalkan hukum yang telah nyata ditetapkan oleh Al-Quran.
Lantas bangkitlah sebilangan golongan lain yang bukan Islam kononnya bersimpati atas nasib umat islam yang ditindas oleh syariat Islam. Mereka sanggup mengeluarkan bajet yang besar untuk memastikan agenda Liberalisasi Islam di Malaysia berhasil. Mengapa mereka teruja untuk campur tangan dalam urusan agama Islam sedangkan mereka buta terhadap indahnya Islam itu? Jarum kesemarataan gender terus dicucuk seolah-olah membakar semangat perjuangan membela muslimah. Sebenarnya, apa yang mereka perjuangkan? Tidak cukup lagikah Islam sebagai platform membela setiap ahlinya. Dan sejarah membuktikan kedatangan Islam mengangkat darjat wanita sebagai insan yang sama-sama mempunyai hak tertentu dan keistimewaan tersendiri yang tidak boleh dipertikaikan. Disinilah intipati Tauhid diuji dalam menyakini Keadilan Allah dalam penciptaan makhluk.



Allah berfirman dalam Surah Al-A’raf ayat 30. Mafhumnya:“Sebahagian diberiNya petunjuk dan sebahagian lagi telah pasti kesesatan bagi mereka. Sesungguhnya mereka menjadikan syaitan-syaitan pelindung (mereka) selain Allah, dan mereka mengira bahawa mereka mendapat petunjuk”



Sejarah ringkas pertubuhan SIS



Sister In Islam (SIS) adalah satu perkumpulan wanita muslim yang kebanyakan dianggotai oleh isteri-isteri menteri kerajaan dan wanita yang bekerjaya besar. Dibentuk pada tahun 1988 dan didaftarkan sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) pada tahun 1993 atas nama SIS Forum (Malaysia) Berhad. Dan nama Sister in Islam menjadi ‘authorship’ mereka. Di awal pertubuhan mereka, organisasi ini mempromosikan prinsip islam yang sebenar dalam menekankan aspek kesamarataan gender. Tetapi, golongan ini yang kebanyakkannya tidak bertudung, sewenang-wenangnya mentafsir ayat-ayat Al-Quran dan Hadith mengikut logik akal dan ilmu mereka yang dangkal. Mereka berlagak seperti pakar bedah Al-Quran yang lebih hebat berbanding para ulama yang mendapat pengajian ilmu Al-Quran secara formal. Pada mereka, pentafsiran yang dibuat oleh ulama-ulama muktabar itu menzalimi sifat wanita. Sebenarnya mereka ingin menzahirkan yang Al-Quran itu novel yang menindas hak wanita.


Isu mereka berkisarkan hal-hal feminisma seperti hak-hak wanita dalam keluarga, poligami, diskriminasi wanita, pembahagian faraid dan lain-lain lagi. Yang melucukan, mengapa mereka tidak menyentuh punca gejala sosial wanita dan pencegahannya? Seperti penutupan aurat, pendidikan wanita, tanggungjawab wanita bekerjaya dan lain-lain lagi.Jika mereka benar-benar telus dalam perjuangan mereka. Ini tidak, SIS lebih suka menimbulkan salah faham dalam kerangka berkaitan wanita islam dan bukan menjelaskan hal yang sepatutnya berpandukan tafsiran sebenar Al-Quran dan As-Sunnah. Atas dasar inilah, agenda mereka dalam menimbulkan dakyah kesesatan ini harus dihentikan dengan pengharaman kumpulan ini.



SIS yang membawa agenda Islam Liberal yang menekankan sirip-sirip kebebasan dalam menafsirkan syariat Islam dan menstrukturkan semuala islam tanpa merujuk kepada jumhur ulama ahlul Sunnah wal Jamaah. Penafsiran semula islam ini dikenali sebagai Islam Progresif yang seangkatan dengan Islam Liberal. Sebab itu, kita tidak asing lagi dengan Zainah Anwar yang merupakan graduan Fletcher School of Law and Diplomacy dan mendapat Master daripada Universiti Tuft dalam bidang Journalism dan Hubungan Antarabangsa. Beliau adalah pengarah eksekutif SIS suatu ketika dulu dan sekarang berkemungkinan besar masih lagi aktif dalam meneruskan agenda SIS. Walaupun beliau berkelulusan tinggi, namun tidak ada hak baginya untuk membincangkan perkara pokok yang telah nyata hukum dan perlaksanaanya dalam Al-Quran dan Hadith.



Penglibatan Agensi Antarabangsa



Permulaannya, gerakan Islam Liberal ini didokong kuat oleh pertubuhan Kristian Fundamental seperti RAND Corp, Asia Foundation, Pathfinder Fund, Ford Fund dan Soros Foundation. Mereka menyediakan platform awam untuk menyampaikan agenda mereka. Serangan mereka lebih tertumpu kepada negara yang masih mengamalkan Islam Fundamental (Islam yang sebenar). Disamping itu juga, mereka membawa sekali fahaman sesat pluralisme (anggapan semua agama ini sama sahaja termasuk Islam, bermakna kesucian Islam itu tiada), sekularisme (pemisahan pendidikan,pemerint ahan,politik dan ekonomi daripada Islam) dan hak kebebasan manusia (yang sebenarnya menindas golongan tertentu). Kerajaan Amerika melaung-laungkan demokrasi ciptaannya dengan garapan sang yahudi Laknatullah beserta fahaman-fahaman tersebut tetapi realitinya mereka merogol hak-hak tersebut. Lihat sahaja hak wanita yang berkahwin di Amerika, mereka hilang identiti dan mengikut nama suami. Golongan peribumi Red Indians dihapuskan dengan terancang dan dasar perkauman masih terus diapi-apikan. Dan organisasi sosialis dan liberal kita di Malaysia masih lagi menjadikan mereka sebagai role model. Sungguh mengaibkan.



Kemuncak MUSAWAH di Malaysia



Kita semakin tersentak apabila SIS menganjurkan program MUSAWAH (Global Movement for Equality and Justice in the Muslim Family) baru-baru ini 13 Februari 2009 di hotel bertaraf 7 bintang sekitar Kuala Lumpur. Disana, pendokong anutan Liberalisme dan Orientalis berkumpul membincangkan hal-hal berkaitan islam. Ianya seolah-olah seperti berkumpulnya atlit gimrama untuk membincangkan strategi permainan bola sepak. Inilah yang dinyatakan oleh cendekiawan agung, Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang mengungkapkan masyarakat kita harini menjadi bangsa yang hilang adab, memperlekeh ulama-ulama silam muhaqqiqin.



Pertemuan itu dihadiri oleh Muhammad Khalid Masud (Pengerusi Majlis Ideologi Islam Pakistan), Farida Bennani, Sana Benachour, Hussein Muhammad, Ziba Mir-Hosseini, Zainah Anwar, Siti Musdah Mulia, Nur Rofia dan lain-lain lagi termasuklah aktivis bukan islam seperti Cassandra Balchin. Pembaca boleh membuat sedikit pembacaan lanjut daripada senarai nama-nama tersebut dan melihat sendiri agenda dakyah yang dibawa oleh mereka di negara masing-masing. Disamping itu lebih 200 Liberalis Muslim telah dijemput dari 30 buah negara bagi menjayakan program tersebut.



Perjumpaan tertutup itu memberikan kita satu mesej tersembunyi yang dibawa oleh mereka dengan tidak membenarkan agensi luar dan NGO Malaysia turut serta dalam program tersebut. Berpangkalan di Malaysia, semestinya memberi tanggapan dan imej yang buruk terhadap negara Malaysia yang dalam usaha mengembalikan kesucian Islam dan Undang-undang Syariah. Semasa awal berlangsungnya program tersebut, Jabatan Agama Islam di setiap negeri membisu dan tidak tahu mengenainya. Ditambah pula dengan pihak JAKIM yang tahu keesokkan harinya apabila bantahan MUSAWAH dibuat oleh badan NGO Islam yang prihatin. Disini saya lihat kredibiliti JAKIM selaku badan Islam dalam kerajaan, lesu dalam membuat pemantauan. Apatah lagi, program MUSAWAH ini dirasmikan oleh seorang menteri wanita melayu-Islam. Sebab itulah SIS masih kebal terhadap kecaman dan undang-undang kerana ramai pembela muslim Liberal ini masih membela kesinambungan fahaman mereka ini.



Sepatutnya, penganjuran program ini terlebih dahulu merujuk kepada Badan yang berautoriti dalam hal ehwal berkaitan agama Islam seperti JAKIM dan Majlis MUFTI. Penyelaran MUSAWAH ini dikhuatiri dibiayai oleh gerakan Liberalisme Antarabangsa tertentu kerana dana yang disalurkan amat besar.



Kertas kerja yang dibentangkan semasa perjumpaan tersebut dilihat berhajat untuk menginterperentasik an semula Al-Quran dan As-Sunnah daripada sudut pandangan wanita yang selama ini dibiaskan kepada lelaki. Dan ini bakal merubah kesucian Al-Quran dengan menyatakan bahawa Al-Quran mampu ditafsirkan oleh sesiapa sahaja kerana Al-Quran diturunkan kepada semua manusia. Padahal, untuk mentafsirkan satu perkataan sahaja daripada Al-Quran, memungkinkan ulama-ulama silam merantau mencari ilmu dan guru untuk mendalaminya. Bukan sambeorono sahaja untuk menterjemahkannya. Tambahan pula, ianya dihadiri oleh Amina Wadud yang mencetuskan kontroversi mengimami solat Jumaat suatu ketika dulu.



Allah berfirman dalam Surah Al-A’raf ayat 33. Mafhumnya:“Katakanlah (wahai Muhammad), Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan keji sama ada nampak mahupun tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) memepersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujah untuk itu dan mengharamkan berbicara berhubung dengan Allah apa yang tidak kamu ketahui”



Haram bukan satu penyelesaian?



Ramai blogger mula memperkatakannya. Melihat penghapusan SIS sebagai satu pencabulan kepada hak demokrasi dan kebebasan bersuara. Sesetengahnya mencadangkan agar SIS ini menukar namanya kepada Sister In Malaysia. Mereka berhujah bahawa jika SIS ini bertukar nama, ia memberi gambaran sebarang reaksi dan dakyah yang disampaikan oleh SIS bukan lagi atas nama Islam. Dan ini tidak mencemarkan Islam. Mereka mengkritik islam sedangkan mereka tidak membawa imej islam pada nama organisasi mereka. Apatah lagi jika diharamkan, ia boleh menimbulkan suasana tegang dalam masyarakat kita, kemungkinan berlaku demostrasi besar-besaran dan negara menjadi huru hara. Isu ini juga tidak akan selesai, apabila SIS yang dihapuskan, tidak mustahil akan bercambah kembali atas nama yang berlainan. Apatah lagi, mereka dibiayai dengan dana yang cukup besar. Apabila saya fikir, ada benarnya juga hujah itu.



Tetapi sampai bilakah ianya harus dibiarkan? Kita umat islam yang sedar ini hanya mengambil langkah defensif sahaja. Terus menerus bertahan dan memberikan kefahaman sebenar kepada masyarakat tanpa memusnahkan sumber utama punca tersebarnya dakyah sesat tersebut. Sepatutnya kita lebih bersikap agresif dan ofensif dengan SIS. Dan usul pengharaman SIS merupakan salah satu langkah terbaik sebagai permulaan. Disusuli dengan pemulihan ahli-ahlinya dengan akidah Islam sebenar secara ilmiah dan berhikmah. Untuk mengelak timbul lagi pembiasan gender, ia harus dimonopoli oleh Muslimah yang thiqah terutama daripada Nisa’, Dewan Muslimah PAS dan NGO muslim yang lain. Kaedah pemulihan bukan bererti menghumban mereka kedalam penjara atau diperlakukan semacam tahanan. Cadangan saya, kita menyediakan platform untuk mereka berbincang, berdiskusi dan mendekati fahaman mereka. Seterusnya membetulkan salah faham tersebut. Merangka satu program khas, kelas mingguan atau apa-apa sahaja yang dirasakan sesuai. Biarlah ruangan itu dipenuhi dengan kabus emosional tetapi ada lampu-lampu rasional sebagai sumber untuk mereka bertanya dan berbincang serta mendapatkan kepastian. Ini sangat penting, lebih-lebih lagi apabila membicarakan soal akidah dan syariat Islam.



Ajaran-ajaran sesat seperti ajaran ayah Pin, rasul melayu palsu Kahar dan gerakan Al-Arqam yang suatu ketika menggemparkan negara kini hampir hilang umbinya. Saya mengambil contoh gerakan Al-Arqam. Boleh dikatakan, hampir separuh umat Islam Malaysia menyertai pertubuhan tersebut. Pada awalnya, ia berkisarkan soal-soal dakwah dan pembangunan ekonomi umat Islam. Tetapi apabila dipimpin oleh segelintir orang yang berkepentingan peribadi, timbullah pelbagai kesesatan yang selama ini berselindung disebalik kejernihan imej umat Islam ketika itu. Lantas menjadi ancaman kepada akidah umat islam kerana menabur fitnah kepada Rasulullah. Saya tidak akan mengulas lebih lanjut soal ini. Yang saya cuba tekankan disini, adalah apabila gerakan Al-Arqam diharamkan, ahli-ahlinya berpecah dan mencari identiti baru mereka. Dan saat itulah, sebilangan gerakan Islam yang prihatin mendekati mereka dan memberi faham akan mereka kepada kebenaran. Hingga saat ini, saya pasti, walaupun ada ura-ura untuk menghidupkan kembali gerakan tersebut walaupun namanya mungkin sahaja berlainan, tetapi jika pemantauan berterusan dapat dibuat, fahaman yang terpesong ni dapat dibendung penularannya.



Insya Allah, mungkin hal yang sama juga boleh dilakukan terhadap SIS. Soal SIS dibiayai oleh agensi luar negara itu, kita sandarkan pada Ketentuan Allah dan peranan yang akan dimainkan oleh pemimpin negara. Apa yang penting, usah biarkan virus feminisme tajaan barat ini terus menjadi wabak dalam masyarakat kita. Lakukanlah sesuatu, terutamanya NGO Muslimah. Ini tidak, NGO Muslimah lebih kepada mengejar untuk menduduki pimpinan atas sesuatu organisasi. Mendominasi idea dan keputusan organisasi. Tapi gerak kerjanya kurang. Mereka seolah-olah sama sahaja dengan SIS. Saya tidak katakan semua NGO Muslimah sebegitu, tetapi ada yang macam itu. Tidak salah untuk memberi respon dan pendapat, tetapi biarlah beradab dan pastikan amanah yang dipegang itu dilaksanakan sebaiknya dahulu.



Keterlibatan NGO Muslimah ditagih




Saya memetik satu kenyataan selepas Muktamar PAS baru-baru ini, yang meyelar tindakan pimpinan parti memencilkan peranan Nisa’ dan Muslimah PAS dengan memberi sedikit sahaja tugasan dan kedudukan dalam parti. Persoalan saya, apakah mereka ni hanya menunggu arahan atasan semata-mata jika peluang dakwah di depan mata dibiarkan begitu sahaja? Seperti soal penutupan aurat kalangan remaja dan wanita, soal rumahtangga kerana kurang fahamnya hak dan tanggungjawab suami isteri dan kelemahan soal pendidikan anak-anak yang semakin lama melahirkan anak-anak yang biadap terhadap pegangan agama mereka. Gerak kerja ini yang sepatutnya diteliti dan diperhalusi serta digerakkan terlebih dahulu. Barulah menyentuh soal kenaikan harga minyak dan isu-isu besar dalam negara yang memerlukan daya rasional yang mantap, abiliti (kekuatan) yang tinggi dan komitmen gerak kerja yang seragam. Apatah lagi, jika kalangan mereka ada yang telah berkahwin, bebanan tanggungjawab mereka lebih terarah kepada soal rumahtangga.


Realistiknya, ia bukan soal tugasan, tetapi lebih kepada amanah yang akan dipertanggungjawabk an dihadapan Allah kelak. Sepatutnya mereka lebih selesa kerana diberikan ruang lingkup tertentu untuk jalankan gerak kerja dakwah. Yang dapat menghindari daripada fitnah dan mehnah yang berat. Saya amat berharap agar semua NGO Muslimah lebih banyak terlibat dalam soal ini dan secara tidak langsung meredakan sedikit ancaman yang dibuat oleh SIS. Mereka bukan sahaja merosakkan pemikiran anak-anak muda kita tetapi meletakkan negara kita berdepan dengan isu sosial dan akidah yang lebih parah.

Kesimpulan


Justeru, peranan setiap umat islam seharusnya digerakkan dalam kerangka kondisi masing-masing. Bukan hanya melihat dan melatah di kemudian harinya. SIS yang membawa fahaman Liberal dan menjadikan Islam di Malaysia sebagai tubuh untuk membiakkan virus-virus kesesatan tersebut sepatutnya diharamkan. Mereka berkhayal yang mereka lah pejuang ummah Islam yang unggul, tetapi hakikatnya mereka menjadi keldai tunggangan Imperialisme Barat. Diharap agar kerajaan Malaysia mengambil hal yang serius berhubung isu ini.


Rujukan:
1) Al-Quran, Surah Al-A’raf:30,33.
2) Risalah-risalah SPAQ berhubung isu Liberalisasi Umat Islam.
3) Kenyataan dalam Akhbar Sinar Harian.
4) Kenyataan dalam Harakah Daily.
5) Kenyataan dalam Star Online.
6) Isu MUSAWAH dalam majalah Milenia Muslim edisi Mei 2009.
7) Laman Web Sister In Islam (http://www. sistersinislam. org.my).
9) Laman Web MUSAWAH (http://musawah. org).
10) Blogger Zulkifli Nordin.


Mohd Izzuddin
Aktivis SPAQ Pulau Pinang

Monday, June 8, 2009

Di Sebalik Muktamar PAS-Usul Pengharaman SIS

Salam,
sekadar meluahkan rasa kecewa kepada kondisi sekarang. PKR dan DAP menghentam PAS kerana usul yang telah diluluskan dalam PENGHARAMAN Sister In Islam (SIS). Pada pendapat saya, sepatutnya DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat tidak perlu campur tangan sebarang usul yang dibentangkan dalam muktamar PAS baru-baru ini. Kerana ia melibatkan 'internal management' PAS. Mungkin selepas ini barulah dalam syura Pakatan Rakyat, usul yang akan dibawa oleh PAS dibincang semula dengan bersama-sama secara telus dan komprehensif. Tegasnya di sini, SIS sepatutnya di HARAM kan. Saudara/saudari boleh melihat sendiri gerakan SIS ini yang terlalu LIBERAL dalam memperlekehkan syariah Allah dalam banyak soal terutama penutupan aurat, kesamarataan gender dan bab kekeluargaan islam. Saya mendapat sumber ini daripada temubual Lim Guan Eng semasa Buletin Utama TV3 td (8 jun 2009) dan STAR ONLINE (http://thestar. com.my/news/ story.asp? file=/2009/ 6/8/nation/ 4070007&sec= nation)

Isu pengHARAMan SIS oleh PAS bukan bertujuan kepentingan politik tetapi menjernihkan kekeliruan sesetengah pihak terhadap syariah islam yang sebenar. Golongan bukan Islam diharapkan agar tidak masuk campur. Ia bukan menghalang kebebasan bersuara tetapi lebih menjaga kesucian Islam itu daripada dilacurkan oleh orang Islam sendiri yang sentiasa bersangka buruk pada arahan Tuhan mereka. PKR dan DAP, jangan bermain api. Ia merugikan Pakatan Rakyat itu sendiri.
Mohd Izzuddin
Aktivis SPAQ, Pulau Pinang

Peranan Ulama' dan Mufti dalam rangka Melayu Islam

Kenyataan Media :
Peranan Institusi Ulama’ dan Mufti dalam rangka Melayu Islam

Penulisan ini adalah tulisan bebas tanpa terikatan elemen politik kepartian. Namun dalam kondisi sebenar tulisan ini adalah suatu pemaknaan kepada situasi siasah syariyyah dalam pengertian teoretikal dan praktikal. Isu penyelaran mufti kelihatan sebagai suatu tragedi pada hari ini. Lebih malang apabila isu sensitif dalam politik kotor Barisan Nasional di Perak telah mengheret Mufti ke dalam lembah serba salah dan dalam keadaan apologatik yang kritikal. Manipulasi media serta pemahaman rakyat biasa yang jarang menganalisa fakta menyebabkan institusi Ulama’ dan Kemuftian ini diselar dengan begitu teruk.

TERAS adalah antara NGO yang tegar memperjuang nilai Islam, sistem pentadbiran Islam, penataran dan pengupayaan melayu berteraskan Islam serta institusi yang menjadi ‘tiang seri’ melayu iaitu Ulama’, Mufti dan raja-raja melayu. Untuk berinteraksi dengan sistem mufti dan raja-raja melayu, suka untuk saya jelaskan pengertian politik menurut teoretikal Islam serta praktikal politik raja berpelembagaan hari ini.

Walaupun raja-raja melayu berada di atas politik kepartian, dalam erti sebenar kedudukan Raja melayu dan Mufti adalah ‘seia’ dan ‘sekata’ dalam sistem politik siasah Islam sejak awal kesultanan Melayu. Lantaran itu umara’ dan ulama’ seiring dan sejalan dalam menentu dasar bukan sekadar dalam persejarahan Melaka, malah juga dalam pentadbiran Kesultanan Brunei, Kesultanan Sulu, Kesultanan Fatani Darussalam, Kesultanan Islam Acheh serta pentadbiran Islam di pantai Timur.

Hari ini apabila politik bertukar kepada Raja Berpelembagaan, kedudukan Raja pula masih dijunjung tinggi, namun dengan nasihat eksekutif dan pemantauan legislatif. Manakala Mufti masih kekal diletakkan di tempatnya tanpa ada pengaruh politik kepartian.

Dalam kes kegeringan politik di Perak, pendapat dan kenyataan Mufti Perak pada saya adalah bersifat teoretikal umum iaitu penjelasan kedudukan Raja melayu. Tiada hal atau isu bahawa Mufti telah menyebelahi mana-mana parti politik. Malah jasa dan kelantangan Mufti Perak dalam menyelar isu murtad, mempertahankan adanya agenda murtadisasi terancang di Malaysia, mempertahankan umat Islam daripada Islam liberal serta mengeluarkan banyak fatwa yang mencabar agenda-agenda hedonisme amat perlu kita nilai dan hargai semula. Mufti perlu kekal sebagai kedudukannya sama seperti kedudukan raja yang diterima pakai umum sebagai kerusi bukan politik kepartian walaupun dalam erti hakikat, mereka mengapung kondisi siasah Islam yang sebenarnya.

Walaupun begitu jika ada teguran kepada Mufti-mufti, ia adalah saranan yang penuh keluwesan dan menampilkan sikap rakyat Malaysia yang senantiasa menegur kepincangan dan kerosakan yang berlaku di Malaysia. Tegurlah secara berhemah tanpa menjatuhkan kedudukan Mufti dan ulama’ sebagai teras peneguhan kosmo melayu Islam. Sebagaimana hemahnya kita menegur raja-raja melayu dengan adab dan kesusilaan yang luhur, perlu juga ulama’ dan mufti yang telah berabad-abad wujud di bumi melayu sebagai pendokong rangka tubuh Melayu yang berteraskan Islam dilayan dengan sewajarnya, kena pada tempatnya.

Pada saya Mufti juga manusia yang mungkin ada kesilapannya. Namun tugasan mufti selaku pengkaji fatwa, rangka dasar syariah dan hukum-hakam Islam yang amat tinggi tanggungjawabnya di akhirat kelak bukan mudah untuk disandang, malah terlalu ramai alim ulama’ yang akan menolak jawatan tersebut.

Namun Mufti selaku ‘pendakwah utama’ dalam sesebuah negeri perlu memainkan peranan optima, aktif dan berkesan agar wibawa dan karisma institusi Mufti tinggi di mata rakyat yang rata-rata keliru dan kurang jelas dengan peranan penting Mufti-Mufti. Mufti juga perlu memiliki agenda aktivisme agar dakwah dan siar raya Islam efektif dalam masyarakat.

Diharapkan penulisan ini berperanan sebagai salah satu pandangan umum (public opinion) untuk diteliti ramai dalam usaha menobatkan Islam, sistem ulama’ dan ketuanan Islam di bumi Malaysia.


Muhammad Nuruddin Bashah
Jurutera Metallurgis
Setiausaha TERAS Perak

Wednesday, June 3, 2009

Keperihatinan kita dalam isu Aqidah kes Muhd Ridzwan; isu yang berulang

Keperihatinan kita dalam isu Aqidah kes Muhd Ridzwan; isu yang berulang
Disediakan oleh: Muhammad Nuruddin Bashah
Setiausaha TERAS cawangan PERAK
Pengerusi Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)

Sekadar berkongsi maklumat dan keperihatinan terhadap isu Aqidah-isu kes hak penjagaan anak Kes Muhd Ridzwan. Kebetulan pada hari Jumaat yang lepas (29 Mei 2009), saya mewakili TERAS cawangan Perak telah menghadiri majlis pertemuan di antara Indira iaitu bekas isteri Muhd Ridzwan dengan anak-anak mereka, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) di Hotel Seri Malaysia Ipoh. Islam tidak pernah menghalang pertemuan dan kasih sayang seorang ibu kepada anak mereka walaupun menurut Islam hak penjagaan anak adalah diserahkan kepada pasangan yang memeluk Islam.

Anak-anak adalah mengikut agama Islam sama ada yang memeluk Islam adalah bapa ataupun ibu .(Fellow MANHAL PMRAM 2009).

Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh kebanyakan para fuqaha Islam daripada mazhab al-Hanafiyyah, al-Syafi`iyyah dan al-Hanabilah. Hujah pandangan pertama ini adalah hadith Rasulullah yang berbunyi:
عَنْ عَائِذِ بْنِ عَمْرٍو الْمُزَنِيِّ قَالَ : ((عَنِ النَّبِيِّ الإسْلاَمُ يَعْلُوْ وَلاَ يُعْلَى )) . رواه البيهقي والدارقطني والروياني .
Daripada A'idz bin Amr Almuzani, daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Islam tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya."

Anak-anak adalah mengikut agama Islam apabila yang memeluk Islam adalah bapa. Sekiranya yang memeluk Islam adalah ibu, anak-anak tidak dianggap beragama Islam. Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam Malik. Hujah yang dipegang oleh al-Imam Malik adalah seseorang anak adalah dinasabkan kepada si ayah dan bukannya dinasabkan kepada si ibu. Maka kerana itulah keislaman si ayah sahaja yang akan menyebabkan si anak turut beragama Islam sebagai mengikut agama si ayah

Namun ada pendapat ulama’ yang membenarkan kanak-kanak belum aqil baligh untuk dijagai oleh ibu yang bukan Islam sehingga cukup umur mukallaf. Walau bagaimanapun kesimpulannya Islam tidak pernah menghalang kasih ibu dan anak serta menjamin hubungan kekeluargaan. Bersama saya adalah Ustaz Suhaimi YDP ABIM Perak, wakil KAMI Perak serta wakil Peguam bagi Muhd Ridzwan.

Selepas Muhd Ridzwan pada 12 April 2009 memohon hak penjagaan anak tersebut di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh kemudian mendapat perintah mahkamah untuk mendapat hak penjagaan anaknya pada 3 Mei 2009, si isteri pula telah membawa kes ke Mahkamah Sivil pada 4 Mei 2009. Manipulasi dikatakan berlaku apabila pihak peguam Indira tidak mendedahkan bahawa Ridzwan telah mendapat perintah mahkamah syariah malah mahkamah syariah tertakluk di dalam artikel 121(1A) yang berasingan kuasa dari mahkamah sivil. Apabila kes ditangguh ke 14 Mei 2009, hakim sivil sendiri mengakui tidak mendapat maklumat yang cukup mengenai perbicaraan di mahkamah syariah. Maka kes itu ditangguh keputusan hingga ke 20 Julai 2009. Maka telah ada jarak masa 2 bulan setengah. Adakah dalam tempoh ini si anak tidak akan boleh bertemu si ibu terutama yang berusi 1 tahun itu (masih menyusu badan)?. Jawapannya boleh. Malah pihak peguam Ridzwan berusaha mempertemukan mereka. Namun begitu pada 29 Mei 2009 di Hotel Sri Malaysia, Ridzwan tidak dapat ditemui.

Ridzwan adalah kontraktor dan pernah menjalankan tugasan di Terengganu. Akibat dakwah yang diterimanya, beliau memutus untuk memeluk Islam. Beliau pernah mengajak Indira tetapi mendapat maklumbalas yang tidak memberangsangkan.

Apakah masalah yang timbul kini?

1. Pertamanya Rizdwan berada dalam keadaan trauma dan ketakutan. Begitulah maklumat yang diketahui. Mungkin ada ‘kekerasan’ dari pihak tertentu yang tidak diketahui umum.
2. Ridzwan tidak dapat lagi bekerja dengan baik akibat trauma yang dihidapinya. Bantuan kewangan banyak dikeluarkan oleh peguam-peguamnya sendiri malah khidmat guaman mereka adalah percuma. Pada saya setiap NGO muslim perlu melaporkan diri kepada barisan peguam Muhd Rizwan untuk menyalurkan bantuan efisien agar kena pada sasaran dan tempatnya. Kini yang banyak mengurus Ridzwan adalah peguam-peguamnya sendiri.
3. Perbincangan dan wacana untuk membantu kes sebegini banyak kedengaran seperti dari JAKIM dan sebagainya. Tetapi ketidaksatuan berlaku kerana perbincangan dan bantuan yang ingin diberi tidak dilibatkan dengan peguamnya sendiri. Malah kelihatan isu ini hanya dihangatkan tanpa ada yang ingin membantu secara konsisten di Perak. Malah pihak tertentu dari Kuala Lumpur lebih aktif dan peka dengan perjalanan isu ini di Perak. Tahniah kepada ABIM Perak dan Muafakat yang memberi keutamaan kepada isu ini.
4. Parti-parti Islam dan Melayu seperti PAS, UMNO dan PKR perlu memainkan peranan mengambil tahu sekaligus menyalurkan kepekaan mereka secara jelas dan efektif. Lihat bagaimana DAP kini menaungi peguam-peguam Indera! Malang apabila kes politik di Perak, di Penanti dan Kelantan ramai yang mengambil tahu tetapi mengabaikan kes perjuangan aqidah muallaf di negeri sendiri. Perjuangan kes sebegini menjadi indikator penting menilai sejauh mana matlamat kita membela Islam dan aqidahnya.
5. Betapa akta menjadi suatu rujukan utama dalam mahkamah syariah sekalipun dan bukannya hujah Al Quran dan Hadis. Malah ada ketikanya Hakim yang mendengar kes tidak faqih dalam ilmu syariah. Betapa perlunya juga pendakwah muslim hadam perundangan teras Islam dari Al Quran dan Hadis, kemudiannya mendalami undang-undang syariah Malaysia (berteraskan akta) serta undang-undang sivil sekular di negara ini. Inilah kekurangan kita.

Mari teliti isu ini bila pertikaian dibawa ke mahkamah sivil. Andainya kes berkaitan pertikaian ini didengar di Mahkamah Sivil maka undang-undang yang akan diterima pakai adalah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

Dalam Seksyen 51 akta tersebut, jika salah seorang pasangan terbabit memeluk agama Islam, hanya pasangan yang kekal dengan agama asal yang boleh memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan, iaitu selepas tiga bulan pasangannya memeluk Islam.

Ini bermakna selagi dia tidak memfailkan petisyen perceraian tersebut di Mahkamah Sivil, bererti perkahwinan sivil Ridzwan bersama pasangan yang telah memeluk Islam tetap dianggap sah di bawah akta tersebut serta tertakluk dibawahnya. Peguam Indira hanya boleh menghalang pembubaran perkahwinan jika menggunakan undang-undang sivil berkenaan tetapi hak penjagaan anak akan kembali menjadi topik yang tidak diselesaikan.

Adalah jelas berlaku ketidakadilan kepada pasangan yang telah memeluk Islam kerana langsung tidak mempunyai hak untuk memfailkan petisyen perceraian seperti yang dihuraikan di bawah seksyen itu.

Kepada suami atau isteri yang telah memeluk Islam pula, hak mereka hanya diperuntukkan di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam.

Seksyen 46(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan asal bukan Islam memeluk Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuat kuasa untuk membubarkan perkahwinan itu melainkan sehingga disahkan oleh Mahkamah (Syariah).

Namun timbul satu persoalan, adakah pasangan yang tidak memeluk Islam itu boleh disaman untuk hadir ke Mahkamah Syariah?

Seksyen 4 akta Undang-undang keluarga Islam tersebut telah memperuntukkan bahawa ia terpakai untuk orang Islam semata-mata. Katakanlah Mahkamah Syariah memutuskan permohonan untuk membubarkan perkahwinan menurut Seksyen 46(2) akta tersebut dilakukan.

Namun, adakah ia diiktiraf sebagai perintah membubarkan perkahwinan asal dalam agama mereka yang dahulunya telah di daftarkan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (sivil)?

”Pada pandangan saya, ia bukan menyelesaikan masalah, sebaliknya mengundang pelbagai persoalan dan merumitkan lagi keadaan. Saya berpendapat, bentuk penyelesaian terbaik adalah dengan meminda Seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 tersebut dengan memasukkan peruntukan mana-mana pihak (sama ada yang memeluk Islam atau yang masih kekal dalam agama asal) boleh memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan, Sebaik-baik sahaja salah seorang pasangan memeluk Islam. Barulah ia adil kepada kedua-dua pihak,” kata Musa Awang Timbalan Presiden Peguam Syarie.

Dalam perkara yang melibatkan agama anak pula, menurut Musa juga , keputusan Kabinet tersebut nyata sekali bertentangan dengan
-Perkara 12(3) Tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.
-dan 12(4) Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.
-Perlembagaan Persekutuan
-serta kes Subashini melawan Saravanan yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan. Subashini, 28, yang beragama Hindu, mahu menghalang suaminya itu, yang telah memeluk Islam dengan nama Muhammad Shafi Saravanan Abdullah, daripada membawa prosiding perceraian mereka ke mahkamah syariah. Tindakan permohonan cerai Muhammad Shafi terhadap isterinya tidak sah di mahkamah syariah sebaliknya Muhammad shafi juga tidak boleh ke Mahkamah Sivil memohon cerai kerana telah menganut Islam.

Suaminya telah memeluk agama Islam pada bulan Mei 2006 bersama-sama dengan anak lelaki sulung mereka, Dharvin Joshua, 4. Subashini memfailkan petisyen perceraian itu 12 hari sebelum tamat tempoh tiga bulan pengislaman Muhammad Shafi. Jadi tidak sah. Suaminya kemudiannya membawa prosiding perceraian mereka ke mahkamah syariah serta memohon hak penjagaan anak lelaki kedua mereka, Sharvin, 2.

Mahkamah Persekutuan juga memutuskan bahawa Muhammad Shafi tidak menyalahgunakan proses mahkamah apabila menukar agama anaknya yang berusia empat tahun itu tanpa pengetahuan ibunya. Muhammad Shafi menang atas sebab Artikel 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah tertinggi negara telah memutuskan bahawa salah seorang ibu atau bapa boleh menentukan keislaman anak tersebut. Maka mahkamah syariah paling sesuai dijadikan medan memandangkan Ridzwan yang telah Islam dilarang mengeluar petisyen penceraian di Mahkamah Sivil.

Keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut juga telah menjawab percanggahan keputusan beberapa mahkamah bawahan seperti
-kes Chang Ah Mee
-dan Gengga Devi Chelliah yang memutuskan bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan untuk menukar agama anak di bawah 18 tahun.
-serta kes Nenduchelian di Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang memutuskan hanya kebenaran salah seorang ibu atau bapa diperlukan.

Kesimpulan: . Perbicaraan di mahkamah syariah tidaklah bermakna bahawa pintu hadhanah “terkunci mati” kepada ibu atau bapa yang bukan beragama Islam kerana masih terdapat banyak pandangan fuqaha yang masih memberi ruang kepada mereka, kerana isu utamanya ialah kemaslahatan anak dan bukannya kemaslahatan ayah atau ibu! ( YDP ABIM Perak SUHAIMI BIN LATIP)

Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung-pelindung selain Allah adalah seperti laba-laba yang membuat rumah. dan Sesungguhnya rumah yang paling lemah adalah rumah laba-laba kalau mereka Mengetahui. ( Al Ankabut : 41)

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)