Wednesday, December 16, 2009

Tabiat buruk merokok : Mencari satu penyelesaian

Tabiat buruk merokok : Mencari satu penyelesaian


Budaya merokok merupakan satu tabiat yang amat buruk. Apatah lagi ia memberi impak negatif terhadap sistem tubuh badan kita. Rokok juga telah diwartakan haram oleh kebanyakan ulama dan dibuktikan secara saintifik mampu mendatangkan seribu macam penyakit kronik.

Tambahan pula, keuntungan penjualan rokok juga disalurkan kepada badan-badan tertentu untuk menghancurkan Islam. Jelas, pengharaman dan bahayanya merokok perlu menjadi satu topik yang perlu diperingatkan dari semasa ke semasa kerana kini di Malaysia sendiri, pertambahan perokok hampir mencecah belasan juta orang. Amat menyedihkan apabila masih ada segelintir ibu dan bapa sendiri merokok dihadapan anak-anak mereka tanpa ada rasa bersalah dan malu.

Saya kerap terjumpa keluarga muslim apabila berkunjung ke gerai makan, yang mana ibunya sedang merokok. Apakah ini bibit-bibit kehancuran sedang melanda dalam institusi keluarga muslim di Malaysia? Pelbagai kempen telah dilaksanakan, tetapi natijahnya bukanlah seperti yang kita harapkan. Tabiat merokok terus menjadi budaya dalam masyarakat.

Langkah drastik kerajaan Malaysia dalam meningkatkan cukai rokok yang menyebabkan harga rokok mula melambung tinggi dan menetapkan hanya rokok berjumlah 20 batang sahaja dapat dijual adalah satu langkah yang tidak relevan dan terburu-buru. Apakah langkah ini bisa menghadkan bilangan perokok yang semakin bertambah dan membentuk kepada sosio-ekonomi masyarakat yang lebih baik?

Cukai tahunan yang dikutip oleh kerajaan daripada import dan eksport hasil tembakau amat memberangsangkan. Statistik keuntungan hasil tembakau ini dapat didefinisikan kepada pertambahan perokok baru, peningkatan merokok sehari dan harga rokok yang semakin tinggi.Tambahan pula, tabiat merokok melangkaui jurang usia dan gender, impak negatif yang cukup besar kepada pembentukan masyarakat yang berakhlak dan sihat.

Remaja sekolah yang terlibat dengan kegiatan merokok semestinya merasa terbeban dengan harga rokok yang semakin tinggi walaupun bilangan sekotak rokok bertambah kepada 20 batang rokok sekotak. Idea ini dikatakan mampu menyekat penularan tabiat merokok dalam kalangan remaja.

Namun, secara realitinya, remaja yang sudah sebati dengan ketagihan merokok tidak akan berputus asa daripada mendapatkan rokok walau dengan apa cara sekalipun. Masakan tidak, bilangan perokok di kalangan remaja semakin bertambah walaupun harga rokok meningkat naik daripada semasa ke semasa. Ditambah pula dengan serakan iklan bahaya merokok yang sudah banyak dicanang di media massa mahupun di kotak rokok sendiri.

Apa yang membimbangkan, adalah jika wang menjadi taruhan untuk mendapatkan sekotak rokok, akan tercetus banyak masalah sosial yang lain seperti mencuri, merompak, buli dan budaya memboros. Jika hal ini berlanjutan, tidak mungkin masalah sosial yang sedang membarah sekarang ini dapat ditangani dengan baik dan berhemah.

Amat mendukacitakan, idea kerajaan ini seolah-olah memenangkan pihak pengeluar rokok. Dengan hanya penjualan 20 batang rokok sekotak pada harga yang tinggi memberikan keuntungan yang amat besar kepada syarikat pengeluar rokok. Keuntungan berlipat kali ganda hasil penjualan rokok ini seakan-akan mengiyakan bahawa Malaysia merupakan sebahagian daripada pengimport rokok terbesar dunia.

Pada hemat saya, idea yang dirancangkan oleh kerajaan bagi menangani gejala merokok ini mata tidak rasional. Dan saya sekali lagi memohon keprihatinan semua pihak termasuk pihak kerajaan sendiri agar menimbang balik idea yang telah diutarakan itu. Semoga keprihatinan kita dalam membentuk sebuah negara yang sejahtera dan rakyatnya sihat dapat direalisasikan melalui idea-idea yang lebih relevan dan rasional.


Mohd Izzuddin bin Mohd Zin
Aktivis SPAQ

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)