Monday, January 13, 2014

Isu Kewangan Islam; Sampai bila harus ke Mahkamah Sivil?


Isu Kewangan Islam; Sampai bila harus ke Mahkamah Sivil?
Muhammad Nuruddin Bashah
Aktivis Gerakan Sokong Syariah (GESA)
Unit Kajian Ilmiah MAPIM Utara

Bukan sehari dua Malaysia mengiktiraf sistem kewangan Islam berlandaskan syariah. Sistem perbankan Islam telah mendapat tempat di Malaysia sejak 1983 lagi, apabila tertubuhnya Bank Islam Malaysia Berhad sebuah bank Islam pertama di Malaysia. Lebih 30 tahun ia dilaksanakan secara ‘legal’ dan ini bermakna sistem kewangan Islam Malaysia boleh dianggap usia matang dan mantap.

Kepercayaan masyarakat Malaysia bukan sahaja kaum Islam malah bukan Islam juga mulai menceburi perbankan Islam setelah melihat ketahanannya menghadapi badai ekonomi dunia. Menurut Zulkifli Hasan daripada fakuti Undang-undang dan Syariah USIM, industri perbankan Islam di Malaysia berkembang pada kadar 10 hingga 15 peratus setahun manakala sebaliknya, sektor perbankan konvensional yang diwakili oleh bank-bank yang sama saiznya menyaksikan deposit purata tahunan mengembang lima peratus, ekuiti enam peratus, pelaburan empat peratus dan aset enam peratus3 . Tambahan pula semasa kegawatan ekonomi yang melanda Asia pada tahun 1997 dan 1998 sektor perbankan Islam di Malaysia terus berkembang sedangkan bank-bank konvensional mencatatkan pertumbuhan negatif.

Namun begitu GESA melihat senario ini dalam perspektif perlaksanaan kesyumulan syariah. Sejauhmana perlaksanaan undang-undang kewangan Islam ini berlaku secara menyeluruh tanpa ada campur tangan sekularisme.

Penulis merujuk tulisan Najahudin Lateh yang dibentangkan dalam Seminar Syariah & Undang-undang Peringkat Kebangsaan yang diadakan pada 2-3 November 2010 di USIM. Kata beliau kerangka perundangan sistem kewangan Islam di Malaysia masih lagi tertakluk kepada undang-undang Sivil dan terkongkong oleh sekular.


Hal ini kerana Perlembagaan Persekutuan yang membahagikan bidang kuasa negeri dan pusat telah meletakkan Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa untuk mendengar kes-kes pertikaian berkaitan kewangan Islam. Perkara ini menyebabkan banyak tafsiran mahkamah sivil berkaitan kontrak dan aplikasi kewangan Islam yang bertentangan dengan prinsip syariah dan masih tertakluk dengan undang-undang Inggeris.

Menurut Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri, Ahli Jawatankuasa Syariah Bank Muamalat Malaysia Berhad pula, masyarakat hari ini termasuk golongan Muslim melihat produk perbankan Islam tidak jauh beza daripada produk konvensional yang menawarkan produk simpanan, pelaburan dan pinjaman. Mereka tidak meahami konsep dan falsafah ekonomi secara syariah.

Malah perbankan Islam dikatakan sebagai hasil pengubahsuaian konsep dan amalan perbankan konvensional agar patuh kepada Syariah. Kesannya, amalan ini menyebabkan potensi dan fungsi sebenar kontrak-kontrak Islam tidak digunakan secara sepenuhnya dan amalan perbankan Islam dilihat secara luaran atau dari pandangan kasar menyerupai amalan perbankan konvensional. Lebih menyedihkan dalam beberapa kes pertikaian transaksi perbankan Islam di mahkamah sivil, hakim (bukan aliran syari’e) beranggapan bahawa pembiayaan Islam sama seperti pinjaman konvensional.

Penulis juga merujuk Jurnal Undang-undang dalam makalah bertajuk Sistem Kewangan Islam di Malaysia: Perlukah ke Mahkamah'Syariah? (Islamic Financial System in Malaysia: A Needfor Recource to Syariah Court?) tulisan Jasri Jamalruzian Markom. Menurut tulisan imiah itu, kerangka perundangan kewangan Islam didasari oleh Periembagaan Persekutuan iaitu urusniaga perbankan adalah tertakluk kepada perundangan Persekutuan. Justeru itu, semua undang-undang berkaitan urus niaga kewangan Islam mestilah digubal mengikut prosedur yang telah ditentukan di Parlimen.
Hasilnya Akta Bank Islam 1983 telah digubal untuk mengeluarkan lesen urus niaga perbankan Islam. Akta ini juga mendefinisikan urus niaga perbankan Islam adalah tertakluk kepada undang-undang Syariah. Pada tahun 1983 juga Akta Pelaburan Kerajaan 1983 telah diluluskan bagi membolehkan kerajaan membuat pelaburan kepada Bank Islam melalui mekanisme Qardul Hasan. Pada tahun berikutnya, Akta Takaful 1984 telah digubal untuk memberi laluan kepada urus niaga takaful di Malaysia.

Sepuluh tahun kemudian Akta Suruhanjaya Sekuriti telah digubal bagi mengawal pasaran modal di Malaysia termasuk pasaran modal Islam.

Akta-akta yang bersifat peraturan ini perlu disokong dengan undang-undang substantif seperti Akta Kontrak 1950 yang mengawal kandungan kontrak jual beIi Islam, Kanun Tanah Negara 1960 dan beberapa undang-undang yang lain.

Jika ada pertikaian berkaitan perbankan Islam di manakah kuasa Mahkamah Syariah? Walau pindaan telah dibuat ke atas Perkara tersebut yang memasukkan fasal 121(1a) yang memperuntukkan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Namun begitu, peruntukan tersebut tidak mempunyai bidang kuasa.



Kuasa ruang lingkup mahkamah syariah Malaysia memang cukup menyedihkan. Dalam Senarai 2, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan menetapkan beberapa isu mal sahaja serta pertikaian berkaitan orang Islam sahaja tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah.


Bagaimana jika ingin dibawa juga kes perbankan Islam ke Mahkamah Syariah? Halangan wujud apabila Seksyen 3 dan 5 Akta Undang -undang Sivil menyatakan bahawa common law akan dirujuk dan digunapakai oleh mahkamah sivil ke atas isu -isu berkaitan hal komersial (lex mercatoria) seperti perbankan, insurans, agensi, syarikat, urusan perdagangan dan lain -lain.

Halangan seterusnya ialah Senarai 1 Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa hal ehwal kewangan adalah tertakluk di dalam bidang kuasa Parlimen dan kerajaan persekutuan. Ia juga disokong oleh Perkara 74 Perlembagaan Persekurtuan.

Satu kes Mahkamah Sivil dalam kes perbankan Islam boleh dijadikan indikator. Dalam kes Bank Islam Malaysia Berhad v Adnan Omar di mana Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes-kes berkaitan dengan perbankan Islam. Dalam kes ini Hakim N.H. Chan menyebutkan bahawa:
The Civil Courts have jurisdiction to hear all cases falling under the Federal List. Thus, banking and its related matters fall within the ambit ofthe Federal List, i.e. the Civil Courts have the authority to decide on the matter.

Kes Bank Islam Malaysia berhad vs.Adnan Omar [1994] 3 AMR 2291
Kes ini melibatkan pembiayaan secara BBA. Dalam kes ini Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes perbanbankan dan perkara yang berkaitan dengannya termasuklah perbankan Islam. Malah hakim telah tersilap
dengan merujuk pembiayaan secara BBA
(Bai' Bithaman Ajil -perjanjian jual beli balik) sebagai pinjaman konvensional.

Walaupun kes-kes perbankan muamalat adalah berasaskan prinsip-prinsip Islam, tetapi ia masih ditadbirkan di dalam lingkungan sistem keadilan sivil. Justeru itu, mana-mana peguambela dan peguamcara dibenarkan hadir untuk kes-kes perbankan Islam tersebut asalkan mereka mempunyai kelayakan di bawah Akta Profesion Undang-undang 1976.

Persoalannya ialah adakah hakim dan peguam Mahkamah Sivil mempunyai pengetahuan yang cukup dalam bidang perbankan Islam untuk menentukan supaya keputusan-keputusan yang akan dibuat tidak bercanggah dengan kehendak syariah Islam?

Misalnya dalam hal kepakaran ilmu Islam, syariah di Malayia sekali lagi diperekeh apabila hakim tidak merujuk kepada yang arif. Walaupun Seksyen 16B , Akta Bank Negara 1968 menghendaki supaya hakim-hakim Mahkamah Sivil merujuk perkara berkaitan hukum Islam kepada Majlis Penasihat Syariah Kebangsaan di Bank Negara tetapi ia tidak dipatuhi.
Majlis Penasihat Syariah Bank Negara (MPS) adalah autoriti tertinggi di dalam sistem kewangan Islam Malaysia.
Merujuk Akta Bank Negara Malaysia 2009, Seksyen 55 menyatakan pihak Bank dan institusi kewangan hendaklah merujuk MPS dalam hal pertikaian dan laras syariah.
Manakala Seksyen 56 menegaskan Mahkamah atau Penimbangtara perlu merujuk MPS dalam isu Syariah.
Dalam Seksyen 58 pula menyatakan keputusan MPS lebih tinggi daripada komiti Syariah lain.

Misalnya dalam kes Affin Bank Berhad vs Zulkijli Abdullah, Mahkamah enggan merujuk kepada Majlis Penasihat Syariah Kebangsaan

Walaupun Akta Bank Negara 1968 meminta hakim merujuk Majlis Penasihat Syariah Kebangsaan atau kemudiannya ditubuhkan MPS, ianya sebenarnya dengan cara mahkamah ivil boleh berpendapat bahawa kes tidak melibatkan isu Syariah. Mahkamah sivil masih boleh melakukan semakan kehakiman berdasarkan ‘inherent jurisdiction’

MPS adalah merupakan unit daripada Badan Eksekutif (Bank Negara). MPS tidak memiliki kuasa memberi keputusan muktamad sepertimana badan kehakiman.

Dalam isu lain, perlembagaan yang memberi kuasa kepada Mahkamah Sivil untuk
membicarakan kes-kes kewangan Islam seolah-olah mengenetepikan peranan hakim syariah dan peguam syarie. Ini sepatutnya tidak berlaku kerana pentafsiran muamalat Islam hendaklah dilakukan oleh ahli dalam bidang tersebut dan bukannya hakim serta peguam sivil yang biasanya lebih merujuk kepada tafsiran konvensional dan bukannya atas prinsip syariah.

Oleh itu, langkah uutuk meluaskan kuasa Mahkamah Syariah sedia ada atau sekurangnya menubuhkan mahkamah khas untuk kes-kes perbankan Islam amat tepat. Walau bagaimanapun perlulah dipastikan bahawa hakim-hakim yang diberi tanggungjawab untuk mendengar kes-kes di mahkamah itu mempunyai kepakaran yang tinggi dalam hal berkaitan perbankan Islam.

Dari aspek lain, kita juga melihat ‘double standard’ juga berlaku melalui Seksyen 3 (1) Akts Bank Islam 1983 yang membataskan lesen perbankan Islam hanya kepada ‘company’ (perbadanan) yang di bawah Akta Syarikat 1965. Ini menyebabkan Bank Rakyat sebuah bank yang mengaplikasikan prinsip Islam tidak boleh beroperasi seperti Bank Islam kerana Bank Rakyat tertakluk kepada Akta Persatuan Koperasi 1993 dan Akta Bank Rakyat 1978 dan bukannya Akta Syarikat 1965.

Sebagai penutup penulis sekali lagi membawa cadangan Najahudin Lateh dalam kertas kerjanya untuk direnungi oleh semua pencinta syariah.

Pertama pinda Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 74 (2) dan Jadual Kesembilan, Senarai I (Senarai Persekutuan) dan akta-akta berkaitan supaya undang-undang Islam secara menyeluruh termasuk sistem muamalat Islam dimasukkan dalam Senarai Persekutuan. Ini bagi membolehkan sistem kewangan Islam dapat beroperasi dan Mahkamah Syariah diberi bidang kuasa mendengar kes-kes berkaitan kewangan dan muamalat Islam.

Kedua tafsiran yang luas berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah pada klausa ‘hukum syarak’ dalam Jadual Kesembilan, Senarai II (Senarai Negeri) merangkumi bidang kewangan Islam dan bukan terbatas kepada undang-undang keluarga dan diri sahaja.

Langkah tambahan boleh diambil adalah menggubal perundangan kewangan Islam seperti undang-undang kontrak, jual beli atau syarikat yang sememangnya wujud dalam muamalat Islam bagi mengantikan Akta Kontrak 1950, Akta Sewa Beli 1956 dan Akta Syarikat 1965.

Pinda juga Seksyen 3 dan Seksyen 5 (1) Akta Undang-undang Sivil 1956 yang memperuntukan bahawa mahkamah boleh mengguna pakai undang-undang Inggeris jika tiada peruntukkan undang-undang dalam persoalan atau isu berkaitan bank dan perbankan sama ada dengan (i) menghapuskan akta tersebut; atau (ii) memasukkan
undang-undang Islam sebagai rujukan mahkamah terutama kes melibatkan isu syariah.

Jika benar sesebuah kerajaan komited dan optimis dengan keberkensanan ekonomi Islam memakmurkan ekonomi negara, mereka wajar mencuba mengikuti saranan ahli akademik dan pakar undang-undang untuk memperkasakan sistem ekonomi Islam yang dijamin syuarga bagi pengamalnya bukan sekadar ‘survival’ duniawi.

11.27
13 Januari 2014

Bertam

No comments:

Post a Comment

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)