Thursday, March 25, 2010

Langkah menyelamat tulisan jawi perlu lebih bersistematik

Langkah menyelamat tulisan jawi perlu lebih bersistematik

TERAS cawangan Perak mengalu-alukan usaha UMNO untuk mewajibkan setiap cawangannya membeli naskhah Utusan Melayu sebagai satu usaha pemartabatan tulisan jawi. Seperti yang dilaporkan oleh Kosmo 25 Mac 2010, Datuk Ahmad Maslan akan mengambil beberapa tindakan untuk memartabatkan kembali tulisan ini memandangkan kementerian penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah membelanjakan RM2.2 juta sebagai cara untuk memastikan kelangsungan hayat akhbar Utusan Melayu.

Namun TERAS mengingatkan kerajaan dan semua rakyat Malaysia bahawa tulisan jawi kini bukan sekadar telah menjadi nyawa-nyawa ikan, malah telah lama dipinggirkan sehingga hampir pupus akibat dasar kerajaan yang tidak menyebelahi kepada pengekalan tulisan ini. Tulisan ini yang menyimpan sejumlah besar ketamadunana islam serta korpus ketinggian nilai agama dan peradaban melayu kini hanya mampu menjadi sisipan kepada program kementerian, hanya layak dijadikan tulisan pelajaran pendidikan islam sekolah agama serta canggung digunakan dalam sebarang urusan harian masyarakat.

Sebelum ini terdapat seruan agar semua syarikat milik Bumiputera termasuk agensi kerajaan di negara ini diminta melanggan akhbar Utusan Melayu sebagai langkah awal menyokong usaha kerajaan memartabatkan semula tulisan jawi.

Pengerusi Biro Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Azizul Nizam Bidin juga pernah menyatakan bahawa langkah untuk menghidupkan kembali akhbar Utusan Melayu merupakan satu langkah positif dan memerlukan sokongan semua pihak.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sokongan padu berkaitan kenyataan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang pernah menyatakan kerajaan tidak teragak-agak meminda sebarang akta atau dasar berkaitan bahasa Melayu dalam usaha memperkasa dan memartabatkan bahasa tersebut. Jika benar kementrian pelajaran sanggup memninda akta bahasa, ianya adalah suatu rahmat bagi umat Melayu untuk melihat tamadun Islam kembali bersinar. Namun begitu telah beberapa usul dinyatakan dalam banyaak seminar mahupun simposium dan ia hanya tinggal catatan tanpa ada sebarang reaksi yang progresif dan positif.

Sebagai contoh adalah usul oleh Universiti Malaya dalam Konvensyen Tulisan Jawi 1984.

3.1- Sebuah Jawatankuasa penyelidikan dan penyelarasan tentang sistem ejaan jawi di peringkat serantau hendaklah dibentuk. Gerakan penulis seluruh negara, mencadangkan supaya Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan pindaan 1967 disemak semula, dan dimasukkan sama tulisan jawi”.

Usul yang diberikan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan dalam Konvensyen Tulisan jawi 1984 pula berbunyi,

2.1- Tulisan jawi hendaklah dijadikan salah satu asas keperibadian bangsa dengan cara menetapkan taraf tulisan tersebut iaitu dengan mengadakan akta atau undang-undang khas tentang tulisan jawi”.

Lihat juga cadangan Prof, Dato Ismail Ibrahim semasa ucapan dasarnya merasmikan Konvensyen Tulisan Jawi 1991,

Usul ke-6 Memasukkan tulisan Jawi ke dalam akta Bahasa Kebangsaan sebagai tulisan rasmi bagi bahasa kebangsaan. Akta yang ada sekarang kelihatan seperti meletakkan tulisan Jawi di kelas bawahan selepas tulisan rumi dan para penerbit buku Melayu tidak berminat untuk menerbitkan buku di dalam tulisan Jawi, para pengiklan tidak menggunakan tulisan Jawi di dalam iklannya, para pekedai dan pengurus pejabat kerajaan dan swasta tidak memberikan perhatian tentang kepentingan tulisan Jawi. Tulisan Jawi tidak mempunyai nilai ekonomi dan budaya, dan tidak mendapat perlindungan undang-undang. Jadi Akta Bahasa Kebangsaan yang berkaitan perlulah diperkemaskan supaya menjadi lebih tegas” .

Melihat usul-usul di atas kita dapat menilai kedudukan tulisan ini yang kian dipinggirkan hingga kehilangan sifat praktikalnya serta dinamiknya. Tragedi ini adalah amat menyedihkan sekali.

Usul-usul di atas semuanya masih belum dilaksanakan malah hanya didiamkan.

TERAS menggesa pihak kementerian dan kerajaan khususnya untuk memasukkan tulisan jawi ke dalam Akta Bahasa Kebangsaan mahupun Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan melalui langkah pindaan. Adakan juga akta khas untuk membenarkan sesiapa sahaja yang menggunakan tulisan ini dalam urusan rasmi kerajaan.

Teknik pareto dalam penyelesaian masalah juga perlu diperhatikan iaitu menyelesaikan permasalahan yang lebih besar iaitu dominasi tulisan rumi, penggunaan bahasa melayu rojak, pengkomersialan bahasa Inggeris, penswastaan dan liberalisasi pendidikan dan sebagainya perlu diselesaikan bukan sekadar memuziumkan tulisan ini dalam Utusan Melayu semata-mata.

Muhammad Nuruddin Bashah

Setiausaha TERAS cawangan Perak

Wednesday, March 24, 2010

Kelainan Jom Hebah di Kelantan jadi teladan

Disiar Harakah 1 April 2010

Kelainan Jom Hebah di Kelantan jadi teladan

Saya rasa ramai umat Islam mengalu-alukan usaha kerajaan Kelantan untuk membenarkan penganjuran JOM HEBOH di Kota Bahru bermula 26 hingga 27 Mac 2010 ini.

Sokongan umat Islam mungkin ada yang disebabkan memandang dari aspek hiburan atau perniagaan semata-mata. Bagi pengamat dakwah dan sosial Islam pula, penganjuran Jom Heboh di Kelantan yang penuh kelainan ini perlu dinilai sebagai indikator keanjalan Islam dalam meraikan hiburan dan kehendak massa tanpa mengabaikan peraturan syarak. Tahniah kepada kerajaan Kelantan yang mengutamakan agenda islah dan muslih dalam aplikasi pentadbirannya.

Jika di negeri lain Jom Heboh akan menjadi gelanggang hiburan tanpa batasan, namun, lain pula dengan Jom Heboh yang akan diadakan di sini pada 26 dan 27 Mac ini, tiada artis wanita ditampilkan pada konsert yang akan diadakan atas sebab mengelakkan mudarat dan kesukaran mengawal aurat dan sebagainya.

Konsert itu pada malam 27 Mac hanya menampilkan artis lelaki termasuk Jay Jay, Jamal Abdillah, Kumpulan Raihan dan Megat Nordin.

Selain itu, difahamkan tiada siaran langsung dibuat bagi konsert berkenaan seperti dilakukan TV3 di negeri-negeri lain sebelum ini.

Kelainan juga dapat disaksikan apabila tempat duduk di antara lelaki dan wanita diasingkan pada persembahan konsert terbabit. Sebenarnya aplikasi pemisahan tempat duduk adalah antara cara termudah bagi mana-mana negeri di malaysia untuk menganjurkan program yang penuh bermoral dan beretika tanpa mebgira program agama atau sosial.

Pegawai Khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Nasruddin Mahmud Muhaidin berkata, pihak penganjur Jom Heboh telah memberi jaminan akan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan kerajaan negeri iaitu Enakmen Kawalan Hiburan 1998 yang dikuatkuasa di negeri Kelantan.

Tambah menarik apabila Produk islamik berupa ubatan tradisional, perawatan Al Quran seperti Produk Tok Guru mengambil peluang juga untuk menjadi penganjur bersama. Nilai komersial yang berunsur dakwah terhasil apabila produk yang berlambangkan Guru agama, simbolik kepada institusi pondok dan Islam bersaing bersama jenama biasa lain dalam program ternama sebegitu.

Dakwah tadarruj (berperingkat dan berhikmah) yang diamalkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz bukan perkara baru. Malah sejak penganjuran Konsert Mawi oleh kerajaan Kelantan, pengunjungan para artis dan selebriti ke Kelantan berjumpa sendiri dengan beliau menjadi satu fenomena baru. Tuan Guru Nik Abdul Aziz berjaya memecah tembok pemisah antara golongan seni dengan golongan ulama’. Inilah petanda sunnah dakwah Rasulullah berjaya diamalkan di Kelantan hasil kebijaksanaan dan kesabaran pemimpinnya.

SPAQ mengalukan lagi usaha sebegini dalam memartabatkan syariah sebagai penyelesai permasalahan masyarakat malah masyarakat tanpa mengira kaum boleh berpaut dengan syariah Islam di negara ini.

Muhammad Nuruddin Bashah

Pengerusi Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)

Monday, March 22, 2010

Bersama TERAS dalam isu Rohingya

Usaha SPAQ bersama Muslim Aid mengadakan kelas Bahasa minggu untuk anak-anak pelarian Rohingya telah mendapat perhatian serius daripada Cikgu Azmi Hamid Presiden TERAS. Malah beliau mencadangkan saya untuk berhubung dengan Petugas Sepenuh Masa Pelarian Rohingya di Pejabat TERAS Merbok Kedah. Bagi saya ini petunjuk jelas usaha ini akan terus luas jaringannya malah ia akan menjadi satu cetusan kerja amal melibatkan aktivis muda dalam isu kemanusiaan dan aqidah seranta.

Insya Allah saya dan SU SPAQ (merangkap isteri saya) akan berkunjung ke Pejabat TERAS Merbok pada awal bulan 4 untuk memahami aliran kerja da pengurusan isu ini secara lebih terperinci. Malah saya akan membawa para petugas/fasi kelas bahasa SPAQ untuk mendengar taklimat dan penerangan berkenaan isu Rohingya sehingga mereka faham obligasi ini sebagai obligasi aqidah dan agama bukan sekadar tanggungjawab kemanusiaan.

Saya mengharapkan kerjasama lebih luas di kalangan anak muda yang ingin bersama memperjuang hak kaum Rohingya yang terhimpit akibat undang-undang dunia yang tidak menyebelahi mereka.

Terima kasih semua.

Muhammad Nuruddin Bashah

Pengerusi Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)

Saturday, March 20, 2010

Demi satu kesinambungan tamadun

Demi satu kesinambungan tamadun

Hari ini saya berpeluang untuk turut hadir ke Kelas Bahasa Melayu untuk anak-anak Rohingya di Bagan Dalam Pulau Pinang. Program anjuran Muslim Aid dan Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ) dengan tajaan UNHCR United Nation ini telah diadakan beberapa kali. Hanya kali ini saya dan isteri berpeluang bersama rakan-rakan fasilitator dari kalangan pelajar Institut Perguruan Persekutuan Pulau Pinang (IPPPP).

Bangunan tempat belajar bagi saya cukup selesa bagi pelajar Rohingya yang dahagakan ilmu pengetahuan. Bagunan ini adalah rumah lama yang dijadikan madrasah atau pusat ilmu untuk kanak-kanak rohingya. Rata-rata mereka mampu berbahasa melayu dan membaca kerana ada yang mampu mengambil kelas tusyen secara peribadi. Tujuan hanya satu, mengelak diri daripada ditipu serta memastikan mereka terus ‘hidup’ di bumi Malaysia ini.

Kelas ini walaupun seminggu sekali, ia seolah-olah sekolah bagi mereka kerana mereka dilatih seperti di sekolah. Makan bermula dengan doa beramai-ramai, diterapkan adab belajar serta diajar oleh guru pelatih dari institut perguruan tempatan. Semua fasi yang serta program ini metrasakan mereka sedang berlatih mengajar sebelum bergelar guru bertauliah.

Rohingya adalah manusia yang berwajah seperti Bangladesh beragama Islam dan ada yang serupa sahaja dengan kaum mamak di Pulau Pinang tetapi agak cerah sedikit. Dengan agama dan resam mereka yang jauh berbeza dengan amalan Buddha dan Hindu, tidak hairan jika mereka dipulau, dihalau dan dihambat seperti haiwan oleh Junta Tentera Myanmar selama ini.

Usaha SPAQ bekerjasama dengan Muslim Aid untuk mengadakan kelas ini secara ‘legal’ adalah atas satu matlamat. Memastikan jika mereka ada tamadun, tamadun mereka akan kekal dari generasi ke generasi. Jika mereka ada sedikit sisa peradaban, peradaban itu kekal dalam kehidupan mereka. Bagaimana metodnya? Ia bermula dengan memastikan mereka hidup dan tahu kehidupan di bumi mana mereka berhijrah. Bahasa tempatan adalah nyawa utama bagi kaum ini untuk terus mandiri dan bertahan mengekalkan bangsa mereka yang bermaruah sebelum mereka ditakdirkan memiliki tanah dan bumi sendiri selepas dihalau oleh Myanmar dan ditolak oleh Bangladesh.

Bukan bangsa ini sahaja, malah SPAQ akan terus mengadakan lagi kelas dan latihan untuk kaum-kaum migrasi muslim yang lain atas dasar ukhuwah dan persaudaraan Islam sejagat sepertimana yang dipraktiskan oleh Imam Al Banna.

Rohingya di Pulau Pinang jauh lebih bernasib baik berbanding Rohingya di kawasan lain malah di kilang tempat saya bekerja, Rohingya menjadi sasaran ejekan oleh pekerja kontrak bangladesh. Kerap pergaduhan berlaku bila banga mereka dimaki oleh kaum lain. Mereka hanya sah menjadi makhluk di bumi ini atas kaad UNHCR yang diberi oleh PBB sahaja. Jika tidak, mereka jauh lebih hina daripada haiwan akibat diperlaku teruk oleh kaum barbarian serata dunia hari ini.

Di sini anak-anak Rohingya akan menjadi peminta sedekah terhormat di Komtar dan Chowrasta untuk mencari duit untuk keluarga mereka. Malah dengan wang tersebut mereka mencari guru Al Quran untuk terus belajar agama dan fardhu ain demi mengesahkan mereka beragama Islam. Mereka juga mencari guru temapatan untuk belajar sedikit ilmu bahasa melayu dan matematik.

SPAQ menyeru para insan yang bersimpati untuk memberi perhatian khusus untuk kaum Rohingya serata negara malah kami mengalu-alukan sebarang kerjasama untuk tujuan murni ini.

Muhammad Nuruddin Bashah

Pengerusi Skuad penyelamat Aqidah (SPAQ)



















PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)