Wednesday, January 22, 2014

Akta Undang-undang Sivil 1972 dan peranan mengurang pengaruh Undang-Undang Syariah



Akta Undang-undang Sivil 1972 dan peranan mengurang pengaruh Undang-Undang Syariah

Muhammad Nuruddin Bashah
Aktivis Gerakan Sokongan Syariah (GESA)
Unit Kajian Ilmiah MAPIM Utara

Ramai mungkin kurang menyedari status perundangan Malaysia diklasifikasikan sebagai negara dengan sistem Undang-undang common bercampur dengan Undang-undang berasas agama. Antara negara yang sedarjah dengan Malaysia adalah Qatar, Brunei, Pakistan, India dan Nigeria.

Walaupun Mahkamah sekular di Malaysia digelar mahkamah sivil, ia bukan bermakna Malaysia ‘menganut’ Civil Law. Civil Law yang dianuti oleh majoriti negara antarabangsa merujuk kepada undang-undang yang berdasarkan undang-undang Roman yang diamalkan di kebanyakan negara-negara Eropah atau disebut Undang-undang Europe Continental atau istilah Rechtsstaat.

Malaysia mengambil Common Law kerana ia dijajah oleh British yang mengamalkan Common Law. Tetapi dalam Common Law terbahagi kepada dua iaitu akta sivil (perkara am, kontrak, tanah, syarikat dan lain-lain) serta kanun jenayah (criminal code). Jadi istilah sivil di sini merujuk pengamal mahkamah sekular menjadi medan bicara kes sivil.

Tulisan kali ini cuba mengupas secara umum kesan kehadiran Akta Undang-Undang Sivil 1956 (semakan 1972) terhadap perundangan syariah di Tanah Melayu.

Setahun sebelum British meninggalkan Malaya Civil Law Act 1956 dikanunkan. Ia memperuntukkan bahawa “Common Law of England” dan “the rules of equity” seperti yang berkuatkuasa di England pada 7 April 1956 hendaklah di pakai, melainkan jika ianya didapati tidak sesuai dengan keadaan di sini. Demikian juga dengan undang-undang perdagangan. Peruntukan ini juga terpakai di Sabah dan Sarawak. Namun menurut Prof Aziz Bari, perinsip ini bukan bermakna kesemua Common Law Inggeris diborong masuk melainkan jika tiada undnag-undang tempatan dalam hal tertentu. Namun begitu ia masih sebuah cek kosong yang membenarkan kebanjiran keputusan Mahkamah Inggeris ke dalam perbendaharaan mahkamah sekular Malaysia.

Benar kata Dato’ Abdul Hamid bin Haji Mohamad (Hakim Mahkamah Rayuan, Malaysia) bahawa pembahagian antara “mahkamah syariah” dengan “mahkamah sivil” adalah jelas berdasarkan peruntukan 121 (1A). Tetapi, pembahagian antara “undang-undang Islam” dengan “undang-undang sivil” tidaklah sejelas yang kerap dianggapkan.



Dato’ Abdul Hamid juga mempersoal isu mengapa setahun sebelum memberi kemerdekaan kepada Malaya (pada masa itu) undang-undang Akta Undnag-Undang Sivil 1956 dibuat. Adakah pihak British ingin memastikan bahawa Malaya yang merdeka akan terus memakai “Common Law of England”dan “the rules of equity” sepertimana British ingin pastikan pemakaian “basic law” di Hong Kong apabila proses penyerahan balik ke China?

Common Law ada semangat dan egonya tersendiri. Undang-undang Inggeris merupakan hasil dari suatu tradisi yang panjang dalam perjalanan sejarah, dan tidak terganggu oleh Revolusi bermula sejak tahun 1066 M sebelum penaklukan Norman, hingga kini. Pada Common Law ciri tradisionalnya ditekankan. Hal ini menyebabkan doktrin Akta Undang-Undang Sivil 1956 cukup berkesan meresap ke dalam penghakiman tempatan walaupun puluhan tahun penjajah meninggalkan kita.



Akta ini menentukan bahawa apabila tidak ada peruntukan tentang sesuatu kes yang dibuat maka undang-undang Common Law Inggeris dan kaedah Equity yang ditadbirkan di England pada 7 April 1956 hendaklah diterima pakai di Semenanjung Malaysia.

Sebenarnya ini membawa maksud, setelah kejatuhan kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah, negara umat Islam yang bernaung di bawah panji Turki benar-benar dijajah jiwa dan fizikal, sehinggakan undang-undang yang ingin dilaksanakan di dalam Negara mereka pun diganggu gugat penjajah.

Misalnya, sekiranya undang-undang tempatan berhubung dengan prinsip undang-undang tertentu tidak ada, maka seksyen 5(1) Akta Undang-undang Sivil 1956 (Semakan 1972) menyebutkan seperti berikut:

Dalam segala masalah atau isu yang timbul atau yang perlu diputuskan di dalam negeri-negeri selain Melaka dan Pulau Pinang mengenai undang-undang perkongsian, perbadanan, bank dan urusan bank, prinsipal dan ejen, pembawa melalui udara, darat dan laut, insurans laut, averej, insurans nyawa dan kebakaran dan mengenai undang-undang persaudaraan umumnya, undang-undang yang harus ditadbirkan hendaklah sama sebagai yang ditadbirkan di England dalam perkara yang sama pada tarikh berkuatkuasa Akta ini…”

Menurut peruntukan Akta Undang-Undang Sivil 1956 juga , Common Law yang menjadi kiblat kepada Malaysia ialah Common Law yang digunakan di England sebelum 7 April 1956 bagi Semenanjung Malaysia, 1 Disember 1951 bagi Sabah dan 12 Disember 1949 bagi Sarawak.

Suatu ketika Prof. Ahmad Ibrahim pernah menggesa supaya parlimen membubar undang-undang sivil yang bercanggah dengan prinsip keadilan dan diganti dengan undang-undang Islam.



Menurut beliau Akta Undang-Undang Sivil 1956 perlu dipinda supaya tidak memerlukan Mahkamah Sivil merujuk kepada Common Law England dan kaedah- kaedah ekuiti yang ditadbirkan di England. Cadangan beliau pula Mahkamah Sivil hendaklah diberi kuasa mengadakan dan mengikut Common Law Malaysia, yang boleh diubahsuaikan dengan merujuk kepada hukum syarak, apabila pihak-pihak di dalam suatu kes itu ialah orang Islam.

Misalnya dalam akta-akta tertentu tanpa diubah kepada nama Islam, dimasukkan nilai dan semangat Islam secara bebas tanpa pelru mengimport prinsip Inggeris.

Beliau juga mengesyorkan supaya undang-undang sedia ada tentang hukum balas dipinda jika wali atau ahli waris memberi kemaafan berdasarkan hukum Diyat.

Begitu juga berdasarkan Seksyen 27 Akta Undang-Undang Sivil mengenai hak jagaan kanak-kanak yang memerlukan rujukan dibuat kepada undang- undang di England hendaklah dimansuhkan oleh kerana Malaysia telah mempunyai undang-undang bertulis mengenai perkara itu bagi orang-orang Islam dan orang-orang bukan Islam.

Tokoh seperti Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim juga mengkritik akta ini. Beliau telah mencadangkan rujukan kepada Common Law Inggeris dimansuhkan daripada undang-undang sivil negara ini kerana ia menggambarkan minda pengamal undang-undang tempatan yang masih terjajah.

Beliau juga menegur sesetengah pengamal undang-undang yang terus mengguna pakai Common Law Inggeris dalam kes-kes perbicaraan tertentu serta menyifatkan mereka sebagai ‘katak di bawah tempurung penjajah’.

Dalam sepucuk surat daripada Tun Dato’ Seri Mohd. Eosoff B. Chin Ketua Hakim Negara Malaysia kepada Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman, Hakim-Hakim Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendaftar, Penolong Kanan Pendaftar Majisteret, beliau mengingatkan agar tidak terburu-buru mengimport masuk Common Law dalam keputusan penghakiman mereka.

Beliau dalam surat bertarikh 25 Mei 1999 memetik Seksyen 3 (I) (al (b) dan. '(C) iaitu
"Common law of England" dan "rule of equity" hanya boleh dipakai di Malaysia -
I) jika tidak ada apa-apa undang- undang bertulis di Malaysia mengenai sesuatu perkara itu;
ii) prinsip- prinsip "common law" di England selepas tarikh- tarikh yang disebutkan dalam perenggan (al {b) dan (c) seksyen 3 '(1) itu tidak. mengikat mahkamah- mahkamah di Malaysia;

iii) pemakaian prinsip "common law'' di England dan "rule of equity" itu adalah tertakluk kepada proviso kepada seksyen 3(1) itu, iaitu kepada adat resam dan budaya penduduk-penduduk diMalaysia.

Oleb itu kata beliau janganlah para hakim terburu-buru untuk menerima pakai tanpa mengkaji dengan mendalam keputusan-keputusanyang diputuskan dalam Mahkamah England selepas tarikh- tarikh yang ditetapkan oleh Seksyen 3, Akta Undang-undang Sivil 1956 itu.

Firman Alah
Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” (Al-Ma’idah :50).

Proses mengislamkan kehakiman Malaysia sebenarnya terletak kepada iman para pemimpin Islam. Ia tidak mustahil dilakukan. Sebenarnya kebanyakan apa yang kerapkali dipanggil “undang-undang sivil”, itu sebenarnya, tidak bercanggah dengan apa yang dipanggil “undang-undang Islam”. Malah terdapat banyak persamaan antara kedua-dua prinsip undang-undang.

Undang-undang Common Law dan Civil Law juga dipercayai mengadaptasi banyak prinsip islam untuk melengkapkan perbendaharaan undang-undang mereka.
Contohnya didapati daripada kata-kata pendahuluan yang ditulis oleh David Musa Pidcock dalam buku “Napoleon and Islam” yang mengatakan bahawa 96% daripada Code Napoleon adalah diambil daripada fatwa dan pendapat Imam Malik.

Menilai tahap pengislaman undang-undang Malaysia juga pelru adil. Jangan sesekali mengaggap kesemua akta yang dilulus Parlimen bercanggah dengan Islam. Dalam prinsip siasah syariyyah dan masoleh mursalah, pemimpin boleh mencipta peraturan yang memandu masyarakat jika ia tiada dalam korpus fiqh Islam.

Kata Dato’ Abdul Hamid bin Haji Mohamad,
kita perlu melihat kepada isinya, bukan hanya kepada nama yang diberi. Bagi saya, semua undang-undang yang tidak bercanggah dengan undang-undang Islam adalah “Islamik (dari aspek semangatnya)”,

Bertam,
11.11 malam


22 Jan 2014

No comments:

Post a Comment

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)