Friday, June 25, 2010

Pelarian Rohingya kritikal, perlu sumbangan - Teras

Pelarian Rohingya kritikal, perlu sumbangan - Teras
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 25 Jun: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) menyeru rakyat Malaysia yang prihatin untuk menghulurkan bantuan kecemasan kepada pelarian Rohingya di Bangladesh.

Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) memberitahu, Teras dan Shura bersama-sama Citizens International akan berusaha menghantar misi kemanusiaan kepada mereka sesegera mungkin setelah berjaya mengumpul sumbangan daripada orang ramai.

"Kami akan mengusahakan untuk menghantar misi bantuan kemanusiaan secepat mungkin apabila sumbangan orang ramai dapat menampung pembelian barangan bantuan yang diperlukan," katanya kepada Harakahdaily, di sini, hari ini.

Menurutnya, penubuhan tabung bantuan untuk pelarian Rohingya itu diumumkan pada hari ini apabila melihat kepada situasi mereka di Bangladesh yang semakin kritikal.

"Citizens International bersama dengan Teras dan Shura melancarkan bantuan kecemasan untuk para pelarian Rohingya yang kini tinggal di kem-kem ini.

"Menurut Setiausaha Agung Persatuan Kebajikan Muslim Rohingya di Bangladesh, Mahmud Ayaz, bajet yang diperlukan untuk membeli khemah untuk dijadikan bumbung, buluh untuk membina dinding banguann, menggali perigi tiub, membeli makanan asas seperti beras, kacang dal, minyak masak, peralatan dapur dan ubatan dianggarkan sebanyak USD300,000," katanya yang juga koordinator kempen Citizens International.

Mengulas lanjut, beliau berkata, situasi di kem pelarian Rohingya di Bangladesh ketika ini tidak ubah seperti Gaza kerana segala bentuk bantuan yang diberikan pihak luar tidak dibenarkan masuk.

"Di Bangladesh ketika ini ada persamaan dengan kes di Gaza iaitu segala bahan bantuan disekat masuk," katanya.

Kaum Rohingya merupakan populasi muslim terbesar, sekitar 3.5 juta orang di Myanmar yang kebanyakannya tinggal di Rakhine, salah sebuah negeri di Myanmar yang berkongsi sempadan dengan Bangladesh.

Mereka menjadi pelarian di Bangladesh, Pakistan, Thailand, Malaysia dan negara lain sejak lebih 50 tahun dahulu akibat penindasan dan penganiayaan pemerintahan Burma dan penganut Buddha ke atas mereka.

Bilangan mereka di Bangladesh kini dianggarkan 200,000 hingga 400,000 orang yang sedang berada di kem pelarian.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), The Physician for Human Rights (PHR), melaporkan kekurangan zat makanan telah mencapai tahap kritikal dan bilangan penghuni kem pelarian semakin bertambah.

Menurut badan bebas itu, tanpa sebarang akses kepada bantuan makanan akan menyebabkan lebih banyak kematian dan penyakit jika krisis kemanusiaan ini tidak ditangani.

Sehubungan itu, Teras dan Shura mengambil inisiatif untuk menghantar misi kemanusiaan kepada mereka lebih-lebih lagi kesengsaraan pelarian Rohingya ini tidak diketahui umum.

"Mereka berdepan dengan gangguan bukan sahaja daripada pihak berkuasa Bangladesh tetapi juga daripada penduduk tempatan yang membentuk Jawatankuasa Penentangan Rohingya yang menuntut supaya pelarian Rohingya dihalau dari negara itu," cerita Azmi lagi.

Azmi juga menegaskan,misi kemanusiaan itu tidak boleh dilengah-lengahkan kerana Bangladesh sedang menghadapi musim hujan dan pelarian Rohingya yang tinggal di kem sementara ini sedang berdepan dengan keadaan yang sangat sukar.

"Kita tidak boleh lambatkan misi kemanusiaan ini. Sebab itu saya target tempoh dua minggu untuk kumpul sumbangan untuk dihantar ke sana kerana situasi mereka yang sangat memerlukan.

"Lebih daripada 11, 000 keluarga Rohingya tinggal di kem sekitar Ledda, Shamlapur, Baharcara, Kutupalong dan Cox Bazaar amat memerlukan bahan asas untuk membuat pondok tempat berteduh bagi megelakkan dariapda hujan, perigi tiub bagi menyediakan air minuman yang selamat serta makanan dan ubatan untuk mencegah lebih banyak kematian," jelasnya.

Ujarnya juga, Teras dan Shura telah lama membawa isu Rohingya ini walaupun tidak diketahui umum kerana United Nation (UN) mengambil tindakan yang tidak begitu intensif terhadap mereka.

"Kita telah lama bawa isu ini namn hari ini baru kita umumkan misi ini kerana keadaan yang sangat mendesak. United Nation ada ambil tindakan tapi tidak berapa intensif dan tumpuan tidak begitu diberikan terhadap Rohingya ini," katanya.

Sementara itu,wakil komiti Rohingya, Abdul Ghani Abdul Rahman, memberitahu, Teras telah banyak bekerjasama dengan mereka dalam memberikan bantuan kepada mereka.

"Bolehlah dikatakan Teras yang menjuarai isu Rohingya ini. United Nation hanya beri tumpuan kepada Rohingya yang berdaftar sahaja, bukan kepada pelarian," katanya yang hadir bersama dua rakannya, Rofik Alam dan Ustaz Muhammad Islam Sultan Ahmad.

Kepada mereka yang berminat untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan ini boleh berbuat demikian melalui akaun Teras iaitu BIMB 02020010021351.

Manakala maklumat lanjut mengenai Rohingya boleh didapati di www.rohingya student dan youth.com.

Azmi memberitahu, laman web khusus mengenai penderitaan pelarian Rohingya sedang ditubuhkan.

"Kita memang dalam proses menubuhkan laman web khusus mengenai Rohingya tapi setakat ini maklumat bolehlah didapati di laman web yang sedia ada itu." katanya.

Thursday, June 17, 2010

Layari blog Jamaiy

Sila layari blog http://jamaiyperak.blogspot.com/ untuk mendapat maklumat terkini aktiviti Jamaiy Perak (Jaringan Permuafakatan Pertubuhan Islam Perak) serta MAPPIM (Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia)

Umat Islam diseru tidak terbuai dengan janji Israel dan kuncu-kuncunya.

Kenyataan Media

Umat Islam diseru tidak terbuai dengan janji Israel dan kuncu-kuncunya.

Kabinet Keselamatan baru sahaja membincangkan kemungkinan untuk melonggarkan sekatan ke atas Semenanjung Gaza selepas sekian banyak dosa akibat serangan dan sekatan sejak tahun 2006.

Justeru itu, umat Islam dinasihatkan tidak alpa dengan isu ini kerana sikap lidah bercabang adalah sikap semulajadi Israel.

Kedua-dua saluran umum dan swasta Channel 10 melaporkan, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang menerima tekanan kuat dari pihak antarabangsa, memutuskan untuk mengurangkan sekatan dan mengambil langkah-langkah menamatkannya.

Netanyahu berjanji akan kekalkan sekatan laut ke atas Gaza, langkah yang dikatakan penting bagi menghalang Gaza daripada menjadi ‘pelabuhan Iran’ yang membolehkan senjata dibawa masuk secara bebas.

Pendekatan baru yang dianggap mungkin sebagai rahmat ‘persefahaman Blair-Netanyahu’, hanyalah satu usaha jangka pendek yang hanya bertujuan mengalih perhatian dunia terhadap kekejaman Israel.

Tanpa ada sebab musabab dalam hal perbincangan isu kelonggaran sekatan, Iran pula cuba dikaitkan dalam hal penyeludupan senjata melalui laut dan ini petanda awal bahawa Israel dan abangnya AS akan menumpu perhatian untuk memusnahkan Iran.

Sebelum negara haram ini menerima banyak tekanan diplomasi (sekadar ucapan beberapa pemimpin PBB sahaja) Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, menolak untuk menarik sekatan ke atas Gaza, malah menegaskan larangan bantuan beberapa siri Viva Palestin dan Konvoi pelbagai NGO serata dunia melalui jalan darat dan laut adalah sebagai punca membuka pintu penyeludupan persenjataan Hamas.

"Ini bukan 'Kapal penyelamat'," kata Netanyahu "Itu adalah kapal kerosakan."

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga bersetuju mengambil balik bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dirampas oleh Israel dan mengagihkannya di kawasan penempatan Palestin yang ditutup selepas didesak k oleh semua pihak serta langkah awal pelobi yahudi di dalam PBB untuk mengelakkan tekanan politik bertukar menjadi tekanan ekonomi seperti pada tahun 2006 dahulu.

Penyelaras PBB bagi rantau Asia Barat, Robert Serry memberitahu Majlis Keselamatan PBB, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sudah memperoleh kebenaran pemilik tiga kapal yang didaftar di Turki bagi mengambil alih bahan berkenaan dan memikul tanggungjawab memastikan ia diagihkan di Gaza bagi tujuan kemanusiaan.

Bank Dunia membuat anggaran bahawa 80% impot ke Gaza datang dari terowong bawah tanah. Pada tahun 2008, rakyat Gaza merobohkan pagar sempadan dengan Mesir, dan PBB menganggar bahawa setengah dari 1.5 juta populasi Gaza segera berhijrah ke Mesir untuk mendapatkan gas, minyak masak, dan semua keperluan sehari-hari sebelum sempadan (Rafah) tersebut ditutup kembali oleh tentera Mesir.

Ini menunjukkan bagaimana eksplosifnya situasi pada saat itu. Semenjak itu, situasi telah menjadi semakin parah, dimana pemerintah Mesir mulai membangun sebuah tembok besi bawah tanah guna memblok terowongan-terowongan dari Gaza melalui nasihat Zionis. Tambahan pula, tanpa perdagangan sah, terutama dengan Israel, ekonomi Gaza telah runtuh. CIA World Factbook mengestimasikan bahwa tingkat pengangguran pada tahun 2009 adalah 40%. 44% dari populasi adalah anak muda berumur 14 ke bawah.

Inilah situasi yang ada di Gaza, dimana seluruh rakyat ditahan di sebuah penjara terbuka.

Pihak NGO seleuruh negara ini, serta di serata dunia diseru untuk memantau pengagihan barang bantuan daripada kapal-kapal yang telah ditawan, serta memastikan konvoi bantuan terus dilakukan melalui jalan laut dan darat yang telah dibuka oleh pihak Mesir. Sikap Mesir juga perlu dicurigai kerana mereka boleh menutup sempadan pada bila-bila masa sahaja atas desakan musyrikin Zionis. Tekanan kepada Mesir juga wajar diteruskan.

MAPPIM akan menganjurkan Konvoi Ramadhan di Gaza pada bulan puasa tahun ini serta akan menyerahkan memorandum mendesak kerajaan Mesir konsisten membuka sempada Rafah serta mengabaikan desakan Zionis.

Muhammad Nuruddin Bin Bashah

Ketua Media Teras Pengupayaan Melayu

Merangkap Koordinator Sekreteriat MUDA-Teras


Tuesday, June 15, 2010

MAHATHIR TERSASAR JAUH MENUDING BANTAHAN RAKYAT SEBAGAI BERSIFAT POLITIK

Kenyataan Media

Gerakan Rakyat Membantah Judi

15hb Jun 2010

MAHATHIR TERSASAR JAUH MENUDING BANTAHAN RAKYAT SEBAGAI BERSIFAT POLITIK

Kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa bantahan banyak pihak terhadap langkah kerajaan mengeluarkan lesen judi sukan lebih bersifat politik semata-mata adalah tersasar jauh dari realiti.

Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) yang sudah disokong lebih 40 pertubuhan termasuk dari kalangan bukan Islam adalah petanda yang jelas Tun Mahathir tidak mengikut perkembangan semasa dengan betul.

Kenyataan beliau tersasar jauh dari sentimen dan suara rakyat yang kini bukan sahaja datang dari pihak luar kerajaan malah juga dari dalam kerajaan BN sendiri.

Apakah beliau turut menuding bahawa UMNO Johor dibawah pimpinan Datuk Seri Ghani Osman yang telah mengeluarkan kenyataan menolak lesen judi sukan itu turut dianggap beralasan politik dan bukan atas landasan agama?

Mahathir jelas terlalu ghairah untuk melihat sesuatu isu dari kacamata politik bila ia disuarakan oleh lawan politiknya sehingga hal yang jelas ditolak rakyat juga ditafsir olehnya sebagai berpolitik.

GMJ terkejut kenyataan beliau bahawa langkah kerajaan mengeluarkan lesen judi sempena pertandingan bola sepak Piala Dunia hendaklah diterima secara terbuka untuk membendung kegiatan itu daripada berleluasa.

Hujah sebegini jelas ditolak oleh rakyat kerana ia hanya berasaskan logik sempit. GMJ menganggap hujah aneh dan berbaur menjaga kepentingan kaki judi ini hanya datang dari mereka yang ingin mengaut keuntungan dari masalah sosial yang ujud.

GMJ menolak dengan keras pendekatan komersialisasi masalah iaitu bila suatu masalah tidak dapat diatasi maka caranya ialah dengan “melesenkan masalah” dan pihak yang mendapat lesen tersebut akan mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan mengeksploitasi ketagihan golongan kaki judi.

Apakah dengan mengatakan sama ada lesen judi dikeluar atau tidak, judi tetap berlaku di negara kita kerana orang-orang Cina memang suka berjudi, maka Mahathir berpendirian dengan kaedah yang serupa boleh dipakai kepada masalah-masalah yang lain seperti pelacuran dan dadah?

GMJ tidak dapat menerima tuduhan beliau terhdap orang Cina memang suka berjudi . Kenyataan beliau ini terlalu umum yang boleh menyebabkan kaum Cina tersinggung . Apakah benar ini suatu fakta atau pemerhatian yang umum semata-mata. Walau apapun kenyataan itu sangat menghina. .

GMJ juga melihat kenyataan beliau bahawa “jika ada pihak berjudi tanpa lesen, tidak ada satu cara untuk kita menentukan perjudian itu tidak berleluasa” sebagai pendapat yang dangkal. Apakah dengan diberi lesen kepada pencetus masalah akan membendung orang dari berjudi dengan berleluasa?

Pandangan beliau ini jelas bukan bersifat untuk menyelesaikan masalah namun cenderung untuk hanya menghalalkan masalah.

GMJ berpendirian walaupun dari segi agama ia tidak haram bagi orang Cina namun itu tidak bermakna kegiatan yang membawa implikasi buruk kepada kehidupan sosial tidak ditolak oleh kaum tersebut.

Kami sangat kesal terhadap kenyataan Dr. Mahathir bahawa perlu diasingkan politik dari agama .

Walaupun beliau menuding kenyataan itu kepada parti politik bukan kerajaan , namun kenyataan ini terbabas jauh dari tuntutan Islam. Memisahkan agama dan politik adalah suatu pemikiran yang ternyata sesat dan tidak boleh diterima.

Beliau berhak untuk berkata pihak politik lawan menolak judi kerana motif politik , akan tetapi kenyataan beliau bahawa agama dan politik perlu dipisahkan adalah pandangan beliau yang sudah sarat dengan pemikiran sekular yang sangat mendalam.

GMJ mengesa Dr. Mahathir berhenti menjadi pembela kepada tauke judi dan mereka yang mahu berjudi.Jika dizaman beliau berkuasa , beliau gagal membendung industri judi dari berleluasa, janganlah sekarang beliau tampil pula menjadi seorang jaguh mempertahankan industri judi.

Jikapun ini hanya pendapat peribadi beliau , akan tetapi kerana belaiu adalah mantan Perdana Menteri dan mantan Presiden UMNO dan BN , pandangan beliau dilihat melambangkan pendirian kerajaan , UMNO dan BN.

GMJ bertegas bahawa gerakan membantah judi sukan akan diteruskan sehingga kerajaan membatalkannya dan gerakerja untuk mendidik rakyat untuk membendung tabiat berjudi akan digiatkan diseluruh negara.

Mohd Azmi Abdul Hamid

Pengerusi Gerakan Rakyat Membantah Judi

Sunday, June 13, 2010

Laporan Persidangan Khas Pasca Freedom Flotilla-Agenda NGO Malaysia Bebaskan Palestin

Laporan Persidangan Khas Pasca Freedom Flotilla-Agenda NGO Malaysia Bebaskan Palestin
Tarikh : 11 Jun 2010 (Sabtu)
Tempat : Perak Techno Trade Centre, Jelapang, Ipoh, Perak.
Masa : 2.30 petang – 5.30 petang

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) pada 11 Jun 2010 telah menganjurkan persidangan khas dengan matlamat melancar dan meneruskan kempen bagi mendokong perjuangan rakyat Palestin pasca Freedom Flotilla. Persidangan yang mensasarkan kehadiran wakil-wakil NGO Malaysia ini turut merangka agenda bertindak yang bakal dilaksanakan bagi memastikan semangat membebaskan Palestin tidak surut dalam jiwa masyarakat Islam khususnya dan masyarakat awam umumnya. Cikgu Azmi selaku Setiausaha Agung MAPIM telah mempengerusikan sesi pembentangan pelan tindakan. Antara wakil NGO yang hadir adalah daripada :
1. Ummah Care
2. Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang
3. TERAS Pengupayaan Melayu
4. SALIMAH-Teras
5. Amnesty International Perak
6. JAMAI’Y
7. CITIZEN International
8. Angkatan Pemuda Masjid


Pelan bertindak NGO Malaysia telah melibatkan beberapa agenda:


1. Penjelasan tujuan persidangan khas ini diadakan
a. Membina gerak kerja yang bersepadu antara NGO Malaysia untuk menangani isu Palestin.
b. Menyebarkan kefahaman dan maklumat terkini situasi di Palestin melalui mekanisme yang berkesan.
c. Mengembleng masyarakat dan massa bagi menyokong perjuangan Palestin secara berterusan.
d. Mewujudkan kerjasama dan korelasi tenaga kerja antara NGO Malaysia dalam usaha membantu pembebasan Palestin.
e. Melancarkan pelbagai kempen di peringkat nasional dan antarabangsa untuk memberi tekanan kepada Israel sehingga Palestin dibebaskan.
f. NGO mengambil inisiatif dengan jaringan NGO dunia bagi berusaha menangani isu Palestin dan tidak hanya pasif menantikan tindakan dai kerajaan sahaja.

2. Pembentangan pengalaman wakil MAPIM yang menyertai misi Freedom Flotilla ke Gaza (Saudara Mustafa Mansur).

3. Perincian isu utama Palestin.
a. Gerakan Zionis/Freemason
b. Membebaskan Gaza
-buka kepungan (blockade)
-jalan darat di Rafah, Mesir
-jalan laut sehingga 78 batu nautika (melebihi undang2 antarabangsa)
c. Membebaskan Masjid Al-Aqsa
d. Hak kembali ke tanah Israel
e. Hak pelarian Palestin yang berada di luar negara
f. Jenayah perang dan perlanggaran hak asasi oleh Israel
g. Perampasan tanah secara haram dan pemusnahan rumah rakyat Palestin oleh Israel (illegal settlement)
h. Penyelesaian dua negara iaitu usaha perbincangan antara Palestin dan Israel itu sendiri
i. Bantuan kemanusiaan kepada Palestin
j. Penguatkuasaan resolusi PBB
k. Peranan OIC


4. Senarai agenda tindakan NGO
a. Kempen boikot barangan/produk Yahudi
b. Program kesedaran masyarakat dan mobilisasi massa
c. Tabung kemanusiaan Palestin
d. Jaringan serantau dan antarabangsa
e. Kempen media
f. Aksi langsung (direct action)
g. Demonstrasi
h. Penerbitan
i. Latihan sukarelawan


5. Tugasan yang perlu dibuat
a. Melobi di peringkat antarabangsa supaya pintu Rafah dibuka dengan bebas.
b. Menghimpunkan dana untuk membantu Palestin
c. Memilih delegasi untuk ke Palestin
d. Membina bubungan dengan pihak di Gaza


6. Pengenalan misi ‘Ramadhan di Gaza‘

Disediakan oleh:
Wardah Abd Rahman
Muhammad Nuruddin Bashah






Sekilas di majlis wacana Pemikiran Islam anjuran MAPIM



Sekilas di majlis wacana Pemikiran Islam anjuran MAPIM


Sekilas di majlis wacana Pemikiran Islam anjuran MAPIMSIRI WACANA PEMIKIRAN ISLAM anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)telah Berjaya diadakan malah ia menepati misi awal penganjurannya iaitu untuk menghasilkan rakyat Malaysia yang celik dan berilmu melalui pemupukan budaya membaca.Program wacana ini diadakan dalam bentuk Bedah Buku “ AGAMA dan POLITIK” karangan Syeikh Dr. Yusuf Qardhawi pada 12 hb Jun 2010 , 9.00 pagi di Tingkat 11 , Perak Tech Trade Center, Jelapang , Ipoh , Perak iaitu pejabat kerja MAPIM.

Pertama kali saya menghadiri majlis bedah buku dan diskusi yang dikkordinasikan oleh Cikgu Mohd Azmi Abdul Hamid walaupun telah setahun saya memiliki buku bernilai tersebut dalam perpustakaan mini di rumh saya.Sikap Presiden Teras merangkap Setiausaha Agong MAPIM ini untuk mendidik masyarakat tidak terhenti setakat mengupayakan melayu dan petani, mengasuh dan membimbing gerakan NGO pelarian, malah beliau kini bergiat mendidik para ahli politik baik dari parti mana sekalipun mengenai erti politikyang sebenar menurut agama.

Malah pada pandangan beliau bergiat dalam NGO adalah untuk membaiki sistem pentadbiran dan membaikpulih perjalanan politik negara yang kian tidak senonoh.Kehadiran wakil-wakil parti politk yang pelbagai kelmarin cukup memberi pelaung untuk beliau mengupas betapa eratnya hubungan peribadi muslim dan sistem syariat dengan kenegaraan, pemerintahan serta mekanisme politik.Sebagai pemimpin NGO, pihak MAPIM , SHURA, TERAS dan sebagainya kerap berada memerhati perjalanan persidangan parlimen malah menegur menteri secara dekat. Mengedar memorandum serta mengadakan kenyataan media di luar Parlimen sejurus selesai sesuatu perbahasan.

Pada saya ini satu advokasi dan lobi yang kena dengan saranan agama melalui pentas NGO.Negara Islam adalah negara sivil tetapi mengamalkan pentadbiran sejajar dengan Al Quran walaupun dalam konteks moden dan kepelbagaian kaum. Negara islam bukan satu albel atau dicanang-canang tanpa ada isi yang realiti.Saya merasakan Bedah Buku yang kemas dengan nota powerpoint adalah satu cara istiqamah untuk MAPIM mendidik masyarakat dan ahli politik negara ini.Muhammad Nuruddin BashahSekreteriat MUDA Teras

Tuesday, June 8, 2010

Implikasi Konvensyen Pelarian 1951 terhadap status pelarian Rohingya di Malaysia

Implikasi Konvensyen Pelarian 1951 terhadap status pelarian Rohingya

di Malaysia

Terdapat perbezaan secara defenitif apabila kita membincangkan isu pelarian, imigran kerja serta pendatang tanpa izin. Imigran selalunya adalah pendatang dengan dokumen yang sah serta hadir untuk tujuan pengajian dan mencari rezeki di negara ini. Manakala pendatang tanpa izin adalah bertujuan yang sama tanpa memiliki dokumen yang sah. Pelarian pula adalah suatu kelompok manusia yang meninggalkan negara mereka yang sedang bergolak sama ada akibat tindakan ganas kerajaan mereka atau campur tangan asing seperti yang berlaku di IndoChina dahulu. Dalam konsep Islam, melarikan diri dari negara bukan Islam yang menzalimi mereka dan keluar ke negara yang melindungi Islam adalah wajib dan ini dikenali sebagai hijrah. Malah sebahagian ulama’ fiqh mengharamkan umat Islam berlindung di bawah kerajaan bukan Islam yang menghalang syariah jika tanpa keperluan (seperti menyambung pengajian dan sebagainya.)

Namun begitu, insiden keganasan dan kezaliman RELA dan Polis negara ini terhadap PATI serta dibabitkan juga dengan kaum pelarian seperti Champa, Rohingya dan sebagainya menunjukkan betapa negara ini masih kabur dalam aspek kefahaman definisi pelarian, malah gagal memahami hak-hak asasi pelarian serta pengurusan pelarian yang sewajarnya.

Sebagai contoh kenyataan pemimpin Malaysia sejurus selepas Persidangan ASEAN di Bali pada tahun 2009 yang banyak membahaskan obligasi Myanmar untuk menerima Rohingya semula tanpa mengeluarkan kenyataan untuk terus mendesak Myanmar melalui pintu PBB dan lain-lain jalan antarabangsa.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Abdul Rahim Bakri pernah berkata, terdapat tuduhan melulu termasuk yang dibuat Jawatankuasa bagi Pelarian dan Pendatang Amerika Syarikat (USCRI) yang meletakkan Malaysia antara negara paling teruk mencabuli hak pelarian.

''Malaysia tidak pernah menandatangani atau mengiktiraf Konvensyen Hapuskan Status Pelarian 1951 dan protokolnya pada 1967 kerana kedudukan geografi Malaysia yang berada di tengah-tengah Asia Tenggara. Kerajaan menolak sekeras-kerasnya sebarang dakwaan negara luar mengatakan Malaysia tidak mempunyai prosedur perlindungan, pendaftaran dan bersikap diskriminasi dengan perkara berkaitan agama terhadap pelarian”. (23/07/2008 Utusan)

Benar, Malaysia masih membenarkan pelarian seperti Rohingya untuk berada di bumi Malaysia. Namun begitu bagaimana pula dengan pendidikan mereka? Prosedur pendidikan mereka untuk ke sekolah formal masih kabur, tanpa pekeliling dan arahan absah Kementerian Pelajaran kepada guru-guru besar dan PPD untuk menerima pelajar pelarian. Tiada juga pekeliling dan arahan Parlimen kepada ketua-ketua kampung kerajaan untuk menerima kehadiran mereka serta memastikan mereka menerima dokumen sokongan ketua kampung untuk muamalah dan sebarang aktiviti formal mereka di Malaysia. Undang-undang seperti Akta Imigresen 1951/1963 juga tidak memperincikan golongan pelarian secara khusus. Lebih malang lagi, kerjasama UNHCR yang mulai baik dengan PDRM diburukkan dengan ketidakselarasan RELA untuk mengenali antara pelarian dengan golongan PATI. Semua inilah antara cebisan masalah yang ditimbulkan oleh USCRI bukan menafikan sumbangan NGO dan kerajaan Malaysia terhadap pelarian.

Kedua, kenyataan beliau bahawa Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Hapuskan Status Pelarian 1951 adalah salah kerana konvensyen yang sebenar ialah Konvensyen Pelarian 1951 (Refugee Covention 1951) dan bukannya suatu konvensyen untuk mengadakan jus soli membabi buta terhadap pelarian.

Malaysia bukan ahli dalam Konvensyen 1951 berhubung dengan Status Pelarian dan Protokol 1967, dan undang-undang negara ini tidak memberi status pelarian atau pemohon suaka. Kerajaan belum mewujudkan satu sistem untuk memberi perlindungan kepada pelarian. Sebagai amalan, pihak kerajaan tidak memberi perlindungan terhadap tindakan mengusir atau menghantar balik pelarian ke negara-negara di mana nyawa atau kebebasan mereka boleh diancam disebabkan ras, agama, kerakyatan, keanggotaan dalam kelompok sosial tertentu, atau pandangan politik. Pihak kerajaan umumnya tidak menghantar balik individu-individu yang berdaftar dengan UNHCR dan yang sedang diproses bagi tujuan penempatan semula di negara-negara ketiga.

Pihak kerajaan masih mengusir sesetengah pelarian dan pemohon suaka tetapi membenarkan pelarian-pelarian dan orang-orang tertentu yang memerlukan perlindungan untuk terus tinggal di sini sementara menunggu untuk ditempatkan semula di negara-negara lain. Umumnya, pihak kerajaan tidak membezakan antara pemohon suaka dengan pendatang haram dan menahan mereka di pusat-pusat yang sama. Pada bulan April 2009, kerajaan mulai memberi layanan istimewa kepada mereka yang membawa kad UNHCR.

Dahulu, Tunku Abdul Rahman Putra pernah menerima kaum pelarian bangsa Champa dari Kemboja yang melarikan diri daripada kekejaman Komunis Pol Pot. Disebabkan tiada perjanjian Malaysia dengan Konvensyen tersebut, Malaysia berhak untuk menampilkan sikap sama ada menerima atau menolak kehadiran pelarian. Ketika era 1975 dahulu, masyarakat Muslim Kemboja dilayan dengan baik malah turut menerima perlindungan melalui PERKIM.

Jika diteliti dengan mendalam, dalam krisis Perang Dingin dahulu, blok komunis berlawan dengan blok kapitalis AS. Rentetannya, mangsa perang ini akan diterima oleh Britain, AS dan Perancis sebagai penduduk tetap atau warganegara mereka semasa dan selepas perang. Hal ini adalah kerana mereka menjadi mangsa percaturan perang ideologi AS dan Rusia. Maka istilah ‘Negara Ketiga’ muncul dalam pengistilahan isu pelarian iaitu negara yang bakal menerima mereka. Negara pertama adalah negara mereka sendiri, manakala negara kedua adalah negara persinggahan, sementara menanti masa ke negara ketiga.

Dalam isu Rohingya, tiada istilah negara ketiga yang wujud kerana ia adalah perang ideologi Komunis terhadap kaum Islam. AS pastinya tidak akan bertanggungjawab. Dalam isu pelarian Champa dan kaum Khmer yang beragama Buddha, mereka pasti menerima bantuan suaka politik dan perlindungan negara kedua oleh Malaysia, Thailand dan Indonesia dan sebagainya atas pengaruh AS. Saat itu semua negara blok ASEAN dan kapitalis berusaha melaksanakan kempen AS dan mencontohi sikap AS terhadap pelarian di negara yang mereka kucar-kacirkan. Lihat sahaja bagaimana AS menyokong mujahidin menentang Rusia sekitar tahun 1980an dahulu. Malaysia sendiri tidak menganggap pelajar tempatan yang berjuang di Pakistan dan Afghan sebagai pengganas. Tetapi sikap Malaysia berubah pula selepas 11 September 2001. Inilah malapetaka yang menimpa kepimpinan umat Islam.

Hari ini, Rohingya bersendirian. Tiada negara besar yanag berminat terhadap mereka menyebabkan mereka diusir oleh Thailand dan Bangladesh seperti haiwan semasa mereka menumpang seketika di perairan dan pantai negara berkenaan. Mereka juga menjadi mangsa penindasan umat Islam dan sememangnya hari ini isu penindasan terhadap umat Islam adalah rutin serta sunnah dunia hari ini. Ia bukan sesuatu yang perlu diatasi segera.

Berbalik kepada statistik pelarian di Malaysia, terdapat anggaran tiga juta warga asing di negara ini. Satu juta daripada mereka adalah pendatang haram (pada pandangan undang-undang) dan tidak mempunyai dokumen. Daripada jumlah pendatang haram tersebut, terdapat lebih kurang 90 peratus adalah kaum Chin dan Rohingya yang berasal dari Burma, dan sejumlah besar dari puak Kachin, Karen, dan Sun. Selain itu, seramai 61,000 orang Islam Filipina yang telah melarikan diri daripada pemberontakan Moro pada tahun 1970-an dilaporkan tinggal di negara ini.

Tidak ada undang-undang khusus yang melarang penyeksaan, namun undang-undang melarang "melakukan kecederaan parah" disebabkan seksaan. Terdapat beberapa tuduhan ke atas anggota RELA dan pegawai imigresen yang memukul dan menganiaya tahanan di PTI yang dikelola oleh Jabatan Imigresen dan dibantu oleh RELA.

Pada bulan Mei 2008, sebagai respons terhadap kejadian memukul seorang warga Pakistan yang ditahan oleh pegawai imigresen di PTI Lenggeng pada bulan April 2008, seorang pesuruhjaya daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah menyiasat dan menemui "bukti berlaku kes penyeksaan." Namun, tidak ada siasatan lanjutan yang diketahui telah dibuat.

Apa yang terkandung di dalam Konvensyen Pelarian 1951 itu? Menurut UNHCR, konvensyen ini mendefinasikan makna ‘pelarian’. Ia juga menggariskan hak kebebasan pelarian untuk mengamalkan agama mereka serta bergerak dalam negara kedua yang mereka singgah. Hak pendidikan serta hak mendapat dokumen perjalanan juga dinyatakan. Di samping itu, ia juga menggariskan tanggungjawab pelarian terhadap negara yang membantu mereka. Menjadi tanggungjawab negara yang menandatangani perjanjian itu untuk tidak menghantar pulang mereka ke negara asal yang mereka takuti.

Bolehkah negara yang tidak menandatangani konvensyen itu untuk menolak menerima kehadiran kaum pelarian ini? Prinsip asas undang-undang antarabangsa adalah hak asasi manusia. Tidak ada peruntukan undang-undang untuk sesebuah negara memaksa mana-mana kelompok manusia untuk pergi ke negara yang mereka takuti akibat kezaliman dan ketidakstabilan dalaman.

Pada asasnya Malaysia tidak menandatangani sokongan Konvensyen Pelarian 1951 adalah kerana masih bergelut dengan isu kerakyatan dan keadaan pendatang tanpa izin di Sabah serta isu rakyat tanpa warganegara di sana. Namun akibatnya Malaysia tiada obligasi untuk melindungi hak asasi pelarian di negara ini serta tiada negara yang boleh menyalahkan Malaysia dalam hal kebajikan pelarian. Inilah hakikat yang berlaku.

Muhammad Nuruddin Bashah

Sekreteriat MUDA-Teras

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)