Sunday, August 30, 2009

Perlaksanaan hukuman sebat; jangan mengira politik dan mengira bulu.

Kenyataan media ini disiarkan dalam akhbar Harakah edisi Isnin, 7-10 Sept 09

Kes hukuman penjara, denda dan sebat yang dijatuhkan terhadap Kartika Sari Dewi Soekarno atas sabit kesalahan meminum arak telah menimbulkan pelbagai perspsi dan reaksi masyarakat.

TERAS cawangan Perak memerhatikan isu ini secara kritikal dan terperinci lantaran usaha TERAS selama ini adalah untuk memartabatkan sistem kehakiman syariah.

Apa yang ingin disentuh di sini bukanlah satu kenyataan membantah keputusan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di Kuantan Pahang, akan tetapi isu ini cuba dikupas dalam aspek keadilan sejagat menurut Islam.

TERAS menyokong kenyataan ABIM berkaitan perlunya rakyat Malaysia mematuhi keputusan mahkamah syariah yang berada di bawah bidang kuasa raja di peringkat negeri malah peruntukan undang-undangnya amat terhad iaitu denda maksimum sebanyak RM 3,000.00, 5 bulan penjara dan enam kali sebatan.

Walaupun pelbagai pihak membantah perlaksanaan hukuman sebat tersebut atas alasan ia bukan seiring dengan kaedah sebatan Islam (hudud) yang lebih kepada aspek mendidik (tarbiah) dan sekatan pengajaran) kepada orang lain, namun begitu hukuman sebat yang dijatuhkan terhadap Kartika adalah menurut Seksyen 125 dan 126 Enakmen Tatacara Syariah 2002 Negeri Pahang.

Tatacara ini jauh berbeza dengan sistem hukuman sivil yang mencederakan, mengaibkan dan zalim. Kurungan dua menyebut: Alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya, hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter. Kurungan 3 (e): orang itu hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah; (f) selepas mengenakan satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya.

Reaksi kaum liberal dalam web tertentu semestinyalah membantah hukuman ini kerana ia menyerupai suatu penularan sistem Islam (creeping of islamization system). Lantaran itu hujah gender digunakan untuk menarik rasa simpati terhadap Kartika. Malah kerisauan golongan ini lebih kepada takutkan penyempurnaan sistem hudud kerana tatacara sebatan jenayah syariah Pahang menyerupai teknik sebatan hudud walaupun jumlah bilangan sebatannya amat berbeza.

Dalam aspek yang lain kita melihat pula bagaimana risaunya golongan pro-arak di kalangan pemerintah, korporat, artis dan sebagainya terhadap perlaksanaan hukuman ini. Perlaksanaan hukuman ini dilihat berlaku berunsurkan politik semata-mata apabila pemimpin yang terlibat dengan arak tidak pernah dihukum sebat. Islam bukan melaknat peminum sahaja malahan juga si pembuka kilang, yang meluluskan lesen, yang menjual serta yang menutup penyelewengan dalam meluluskan lesen arak yang berleluasa. Terlalu banyak bukti media yang boleh didapati dan menyabitkan pembabitan artis dengan arak, namun tiada tindakan positif yang diambil. Malah artis atau individu yang terlibat dengan gerakan liberal atau pemimpin negara tertentu akan diselindungkan jenayah mereka seumpama kes Zouk Club 2005 dahulu.

Perspektif yang lain pula adalah kesediaan untuk dihukum secara syariah. Kartika terkilan kerana hukuman akan dilaksanakan secara tertutup malah beliau sebenarnya merayu agar hukumannya dibuat di khalayak awam bagi memberi pengajaran kepada orang lain. Permintaan Kartika itu mungkin akibat kesedaran dan keinsafan beliau sendiri dan mahukan hukuman sebatan syariah itu dijalankan. Tiada pula suara hak asasi liberal melayu yang mengalu-alukan keputusan beliau. Jika difikir secara logik, pilihan Kartika adalah tepat kerana sebatan di tempat awam juga menghindar dari salah laku dan salah perlaksanaan hukuman tersebut.

Sikap Kartika mencerminkan taubat beliau di atas kesalahannya. Inilah sikap terpuji yang perlu digariskan oleh setiap pejuang sistem syariah. Walaupun ada ruang untuk membuat rayuan (malah Islam membenarkan rayuan) beliau tetap berpegang kepada prinsip hukuman secara Islam.

Menurut Zainul Rijal Abu Bakar bekas pemimpin Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), apabila Mahkamah Tinggi Syariah Pahang menjatuhkan hukuman sebatan kepada seorang peminum arak, maka timbul pelbagai rungutan dan kritikan terhadap hukuman yang dijatuhkan itu. Tidak kurang juga yang memperlekehkan keputusan itu tanpa terlebih dulu mengkaji apakah sebenarnya hukuman yang dijatuhkan.

Namun apabila mahkamah sivil menjatuhkan hukuman sebatan, hampir tidak kedengaran suara yang sama menangisi hukuman yang dijatuhkan itu walaupun hakikatnya sebatan sivil jauh lebih dahsyat kesannya berbanding sebatan syariah. Menurut beliau, persepsi inilah yang perlu diperbetulkan kerana mahkamah syariah mempunyai jurisprudennya yang tersendiri. Segala tindakan yang dilakukan tidaklah lari dari apa yang diperuntukkan oleh hukum syarak.

Kes Kartika ini seumpama menjawab isu polemik arak di Selangor serta mendesak Ketua Menteri Melaka memeriksa kesalahan kerajaan selama ini dalam menyebarluaskan arak.

Jangan pula keputusan kes ini semata-mata untuk menampilkan imej kerajaan yang juga Islamik menentang arak. Perlaksanaan kes ini kelihatannya dipercepatkan walaupun masih banyak penangguhan pelbagai kes mahkamah syariah seperti hak penjagaan anak dan penceraian. Hal ini menimbulkan tanda tanya adakah ia cuba dipolitikan untuk bersaing dalam imej siapa yang paling awal melaksanakan hudud/hukuman Islam.

Walaupun apa sekalipun, perlaksanaan hukuman syariah seumpama sebatan cara Islam ini perlu dilakukan terhadap semua muslim yang terlibat tanpa mengira politik, pangkat atau kedudukan dalam masyarakat kerana hal inilah yang membina tembok fitnah kepada mahkamah syariah.

Muhammad Nuruddin Bashah
Setiausaha TERAS Cawangan Perak
Pengerusi Skuad Penyelamat Aqidah

Wednesday, August 5, 2009

KENYATAAN MEDIA KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN BAYAN BARU BERKAITAN KENYATAAN Y.B JEFF OOI DI STAR AHAD

KENYATAAN MEDIA KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN BAYAN BARU BERKAITAN KENYATAAN Y.B JEFF OOI DI STAR AHAD

Saya merujuk kepada kenyataan yang di buat oleh YB Jeff Ooi, Ahli Parlimen Jelutong (DAP) merangkap Ketua Staf YAB Ketua Menteri Pulau Pinang yang disiarkan didalam akhbar 'The Sunday STAR' bertarikh 02.08.2009 mukasurat N.12.Didalam kenyataannya, YB Ooi melemparkan kritikan hebat kepada Sdr. Mohd. Razali bin Abdullah, Ahli Majlis Kerajaan Tempatan Pulau Pinang daripada PKR.YB Ooi menuduh Sdr. Mohd. Razali sebagai "Muslim extremist" kerana menjadi ahli Jemaah Islah Malaysia (JIM) yang mempunyai misi "to develop Malaysia into a country which fully adopted Syariah law by 2020" (membentuk Malaysia sebagai negara yang menerima pakai undang-undang Syariah sepenuhnya menjelang tahun 2020).YB Ooi mendesak "the council should not allow "a religious extremist" in its administration" (pihak majlis tidak sepatutnya membenarkan seorang ekstremis agama (Islam) didalam pentadbirannya) . Beliau selanjutnya menyatakan "the state was setting a dangerous precedent by allowing an alleged extremist religious activist to infiltrate the local government system" (pihak kerajaan negeri telah membuka ruang untuk membolehkan seorang ekstrimis agama (Islam) untuk menyusup masuk kedalam sistem kerajaan tempatan").
Angkatan Muda Bayan Baru menolak kenyataan yang bersifat fitnah ini sekeras-kerasnya. Jemaah Islah Malaysia @ JIM merupakan sebuah NGO yang berteraskan Islam yang telah lama ditubuhkan dan berdaftar dengan pendaftar pertubuhan di Malaysia. Pelbagai bentuk program berbentuk kemasyarakatan dan kebajikan berjaya dianjurkan oleh JIM. Malah ramai dari kalangan pimpinan JIM telah menunjukkan sokongan terbuka kepada Pakatan Rakyat selepas 1999.
Merujuk kepada 'track record' Sdr. Mohd. Razali bin Abdullah merupakan seorang jurutera yang mendapat kelulusan cemerlang. Berdasarkan latar belakang professional beliau serta kebolehan beliau, maka nama beliau telah diangkat untuk mewakili Parti Keadilan Rakyat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh YB Jeff Ooi mengambarkan yang beliau tidak mempunyai maklumat yang tepat berkaitan isu yang dibangkitkan. Beliau harus mendapatkan nasihat serta pandangan dari pelbagai pihak sebelum mengeluarkan kenyataan ini. Beliau seharusnya sedar bahawa setiap dari Ahli Majlis MPPP yang dilantik adalah berdasarkan kriteria- kriteria tertentu yang diputuskan oleh Parti yang diwakili mereka.
Angkatan Muda Keadilan Bayan Baru dengan ini mendesak agar YB Jeff Ooi menarik balik kenyataan beliau dan membuat permohonan maaf secara terbuka., bukan sahaja permohonan maaf kepada Sdr Mohd Razali Abdullah tetapi juga kepada Jemaah Islah Malaysia (JIM) dan Parti Keadilan Rakyat Pulau Pinang.
Angkatan Muda Keadilan Bayan Baru juga mendesak YB Jeff Ooi agar menggunakan saluran yang bersesuaian untuk memberi teguran kepada mana-mana pegawai atau kakitangan yang dirasakan bermasalah atau perlu diberi teguran. Beliau juga harus segera berhenti dari menggunakan media untuk mengetengahkan pandangan beliau.
Sekian. Terima Kasih.

Ahmad Azrizal Tahir
Ketua Angkatan Muda Keadilan,
Parti Keadilan Rakyat,
Bayan Baru, Pulau Pinang
r
izaltahir@gmail. com

Tuesday, August 4, 2009

KENYATAAN AKHBAR-Zulkifli Nordin mnegenai isu penghinaan Islam oleh Adun P.Pinang

KENYATAAN AKHBAR
ZULKIFLI BIN NOORDIN
AHLI PARLIMEN KULIM BANDAR BHARU
Isnin 12 Sya'ban 1430 / 03 Ogos 2009

Saya merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh YB Jeff Ooi, Ahli Parlimen Jelutong (DAP)merangkap Ketua Staf YAB Ketua Menteri Pulau Pinang yang disiarkan didalam akhbar The Sunday STAR bertarikh 02.08.2009 mukasurat N.12.

Didalam kenyataannya, YB Ooi mengkritik hebat Sdr. Mohd. Razali bin Abdullah, Ahli Majlis Kerajaan Tempatan Pulau Pinang daripada PKR.

YB Ooi menuduh Sdr. Mohd. Razali sebagai "Muslim extremist" kerana menjadi ahli Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang mempunyai misi "to develop Malaysia into a country which fully adopted Syariah law by 2020" (membentuk Malaysia sebagai negara yang menerimapakai undang-undang Syariah sepenuhnya menjelang tahun 2020).

YB Ooi mendesak "the council should not allow "a religious extremist" in its administration" (pihak majlis tidak sepatutnya membenarkan seorang ekstremis agama (Islam)didalam pentadbirannya) . Beliau selanjutnya menyatakan "the state was setting a dangerous precedent by allowing an alleged extremist religious activist to infiltrate the local government system" (pihak kerajaan negeri telah membuka ruang into membolehkan seorang ekstrimis agama (Islam) untuk menyusup masuk kedalam sistem kerajaan tempatan").

Saya mengambil pendirian mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan, tohmahan dan dakwaan yang dibuat oleh YB Ooi tersebut. Adalah jelas kenyataan tersebut dibuat samada sebagai seorang yang terlalu dangkal dan bodoh atau pun kerana kesombongan dan keangkuhan yang melampau.

Pertama, Sdr. Mohd. Razali Abdullah adalah seorang jurutera yang berkelayakan dan mendapat kelulusan akadamik yang cemerlang. Beliau adalah ahli Parti Keadilan Rakyat dan diberi amanah dan mandat mewakili PKR didalam Majlis Kerajaan Tempatan Pulau Pinang.

Kedua Jamaah Islah Malaysia adalah sebuah badan NGO berteraskan Islam yang menjadi badan naungan beribu-ribu pelajar Muslim Malaysia terutamanya yang belajar diluar negeri. JIM tidak ada kena mengena dengan Kumpulan JI yang difitnah dan ditohmah sebagai sebuah badan teroris oleh Barat dan yang sewaktu dengannya.

Buat pengetahuan YB Ooi, kebanyakan pelajar Muslim Malaysia yang belajar diluarnegeri akan menjadi ahli kepada beberapa gerakan dan NGO Islam samada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Jemaah Tabligh Malaysia ataupun Kelab Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan lain-lain.

Buat makluman YB Ooi dan yang sewaktu dengan beliau, menuduh seseorang Muslim sebagai ekstremis kerana "bercita-cita untuk membentuk Malaysia sebagai sebuah negara yang menerimapakai undang-undang syariah sepenuhnya" adalah satu pertuduhan yang biadap dan melampau. Setiap Muslim yang beriman, samada di Malaysia atau dimana juga didunia ini, sudah pasti akan mempunyai cita-cita saperti itu. Hanya cara dan mekanisma untuk mencapainya sahaja yang berbeza. Ada yang berjuang melalui perjuangan bersenjata, ada yang melalui ruang politik, ada yang melalui proses demokrasi, ada yang melalui cara berdakwah dan banyak lagi kaedah dan cara. Pokok pangkalnya, setiap Muslim beriman mempunyai cita-cita yang sama.

Every Muslim worth his salt would definitely aspire to have full syariah law implemented in their way of life. To accuse such Muslim as extremist for believing so would mean you are accusing every single faithful Muslim gulity of being an extremist. And if aspiring to have syariah law implemented in full is considered extremist, then every faithful Muslim would be proud to be labelled as extremist!

Sebenarnya sikap yang ditunjukkan oleh YB Ooi dalam mengeluarkan kenyataan tersebut menyerlahkan sikap beliau sendiri sebagai seorang yang ekstremis dan chauvinis.

Saya dengan ini mendesak YB Ooi supaya menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf secara terbuka khususnya kepada Sdr. Mohd. Razali Bin Abdullah dan Jamaah Islah Malaysia, dan umumnya kepada umat Islam. Kenyataan dangkal, bodoh dan sombong yang dibuat beliau itu telah mengguris perasaan umat Islam yang telah lama bersabar dengan karenah dan mehnah serta sikap sombong melampau orang saperti beliau.

Saya khuatir dengan sikap Islamophobia dan prejudis dan prasangka terhadap agama Islam dan umat Islam yang ditunjukkan oleh pimpinan DAP saperti YB Ooi yang sudah pasti akan membawa kesan negatif kepada usaha untuk memperkukuhkan persaudaraan dan perpaduan diantara agama di negara ini. Malaysia tidak memerlukan mereka yang bersikap ekstremis dan chauvinis serta berfahaman sempit saperti YB Ooi ini.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
12 Sya'ban 1430 / 03 Ogos 2009

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)