Saturday, October 25, 2014

Syarah Ucapan Bertindak ke16- MEMURNIKAN POLITIK BANGSA DENGAN ISLAM


MEMURNIKAN POLITIK BANGSA DENGAN ISLAM
Muhammad Nuruddin Bin Bashah1
Unit Kajian Ilmiah MAPIM Utara

Tulisan ini ikhlasnya untuk menyahut seruan dan gagasan Presiden TERAS yang mambawa tema MEMURNIKAN POLITIK BANGSA , MEMBANGUN NEGARA BERWIBAWA sebagai Ucapan Bertindak PPMK TERAS Kali ke 16 tahun 2014 / 1435 H. Politik dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud pengetahun dan ilmu dasar negara, siasah dan kenegaraan.

Manakala istilah bangsa di sini saya yakin ia bukan bermaksud terma etnik yang chauvinis. Ia merupakan suatu pandang sarwa yang luas berkenaan konsep bangsa Malaysia yang ditunjangi politiknya oleh kamum Melayu Islam.

Negara berwibawa bukanlah maksudnya hanya cemerlang, terbilang dan terkenal semata-mata. Bukan mengejar perkembangan KDNK, FDI mahupun mengejar rangking indeks tertentu sesebuah negara. Negara berwibawa pastilah cocok dengan klausa baldatun tayyibatun atau negara tayyibah yang merupakan pra syarat kerajaan yang mendapat rahmat dan kasih Allah SWT.

Gagasan memurnikan politik melayu adalah suatu gagasan setelah melihat sesuatu yang tulen telah tercemar. Perkara yang tulen ituah siasah meayu yang berteraskan Islam. Ia kian tercemar dan rosak akibat pragmatisme, machivellisme, sekularisme dan liberalisme yang merosakkan mabda’ (asas) bagi agenda politik melayu. Kesemua isme yang dinyatakan di atas mencalar teruk nilai akhlak, adlu wal ihsan yang merupakan ruh dalam politik Islam.

Akibat keterhakisan akhlak : politik fitnah menfitnah, aib mengaib, kawan makan kawan, cenderung dengan dasar yang merugikan Islam, melatah dan melulu dalam membuat polisi kepada rakyat sehingga menghilangkan cahaya akhlak di muka pemimpin.

Akibat keterhakisan keadilan: Pengagihan bajet, harta kepada golongan yang bukan hak, skim bantuan yang berasaskan miledge politik kepartian, membantu hanya kepada penyokong sendiri sahaja bukan tanggungjawab untuk semua rakyat, salah guna harta negara, skim perumahan, percukaian dan pendidikan yang nampaknya meringankan beben tetapi bersifat selektif, menzalimi sebahagian pihak, berbaur politik kepartian dan sebagainya.

Akibat keterhakisan ihsan : Hilang rasa belas kepada kepayahan rakyat, menarik subsidi dan bantuan walaupun ia adalah suatu sunnah yang syarie untuk kestabilan ekonomi sosial zaman Nabi dan Sahabat, rakus boros dalam mengurus harta dana negara dan sebagai imbalannya poket rakyat menjadi sumber kewangan negara.

Namun antara ketiga elemen ini akhlaklah yang paling penting dan perlu diberi perhatian kerana akhlak yang memandu seseorang pemimpin untuk berlaku adil dan ihsan.

Perhalusi juga bagaimana sejarah Islam mengubah politik bangsa Melayu.

Latar belakang siasah bangsa Melayu- Islam mewarnai politik Melayu

Islam dan dakwah dikatakan berjaya semasa pemerintahan Khalifah Umar Ibn Aziz sehingga ke Nusantara. Usaha dakwahnya dikatakan menyebbkan Raja Srindravarman pengganti Lokitavarman pada 718 Masihi memeluk Islam dan menukar nama kerajaan kepada Sribuza Islam.2
Unsur akhlak adalah unsur utama selain penyucian aqidah yang meresap dalam sosio politik dan budaya melayu.

Agama mempunyai pengaruh sebagai alat integratif dalam masyarakat di mana kegiatan beragama mempunyai nilai fungsi kepada kesejahteraan hidup manusia, di mana ia berperanan mengatur sistem moral dan sosial masyarakat hingga muncul keharmonian dalam kehidupan masyarakat. Sarjana dari dahulu lagi berpendapat dimensi agama mempunyai peranan untuk membentuk manusia menjadi pendorong, pengatur dan penjana pembangunan tamadun di muka bumi ini3.

Inilah peranan yang juga dimainkan oleh Islam semasa di awal kemunculnnya di Nusantara.
Islamisasi kepulauan Melayu pesat mulai abad ke 13M selepas kejatuhan Abbasiyyah di Baghdad4.
Penghakisan konsep Deva raja berlaku bertukar kepada Al Sultan Zillullah Fi Al Ard ( Sultan bayangan Allah di bumi).

Prof Hassan Ahmad - selepas Islam, konsep Tuan dengan Hamba bertukar kepada konsep pohon dengan akar (nasihat Sultan Alaudin Riayat Syah kepada anaknya)5

Politik yang digagas oleh Al Farabi adalah antara gagasan yang terbaik boleh dicontohi oleh pemimpin politik Melayu Malaysia khususnya. Al-Farabi adalah seorang ilmuan yang mengutamakan kebahagiaan dan kesempurnaan dalam negara.

Idea ini timbul apabila al-Farabi melihat sistem pemerintahan yang ada pada waktu itu menzalimi rakyat dan banyak kepincangan yang berlaku di dalam pentadbiran hingga menjejaskan kebahagiaan rakyat.
Al-Farabi menggambarkan ideanya dalam satu bentuk analogi yang cukup cantik, iaitu kaitan antara sistem pentadbiran dan struktur tubuh badan manusia. Negara yang terbaik adalah idaman setiap manusia. Seluruh rakyat bekerja untuk membina kehidupan serta membangunkan negara sebagaimana peranan anggota tubuh badan tadi.

Ketua negara bertindak sebagai ‘hati’, di mana tanggungjawab mereka adalah memimpin rakyat dan mentadbir negara dengan baik.

Setiap negara yang dibangunkan mestilah mempunyai tujuan dan harapan yang ingin dikecapi tanpa mengambil kira struktur dan asas (ideologi) negara itu diwujudkan.
Abbas Mahmud menyatakan bahawa apa yang diinginkan oleh al-Farabi ialah sebuah negara yang dapat memberikan kebahagiaan kepada rakyatnya untuk dua dunia, iaitu dunia ini dan akhirat6.

Islam menolak kediktatoran dan kezaliman
Raja Ali Haji dalam Thamarat al mahammah - kritik perilaku raja yang langgar syariat. Digelar pujangga istana tetapi tidak mengampu istana7.

Beliau Kritik Sultan Mahmud (Riau Lingga) yang tidak peduikan rakyat.
Dalam Sulallatus Salatin - ada termuat wasiat Sultan Mansur Syah kepada puteranya agar melaksanakan keadilan, jangan memakan harta orang, bermusyawarah, menolong sesiapa yang teranaiya8.

Prof Hassan Ahmad - istilah feudal adalah istilah barat yang merosakkan makna institusi kepimpinan Melayu Islam kerana sistem feudal adaah hubungan pemimpin dengan hamba pertanian. Bukti-bukti menunjukkan keadilan Sultan Melayu dan ia dicemari dengan tokok tambah filem, kisah, hikayat Melayu yang ada unsur sumber Barat9.

Melayu unggul dengan Islam
TERAS beranggapan, persoalan Melayu adalah Islam dalam peruntukan perlembagaan adalah suatu pernyataan untuk menyatukan bangsa Melayu atas nama Islam bukan atas nama Bangsa semata-mata dan ia tidak bermakna suatu klausa menafikan hak beragama kaum lain10.
TERAS menegaskan hanya parti yang berdasarkan Islam, konssiten dengan kaedah syarak dan hujah ilmu yang mampu menjaga kepentingan Melayu dan bukannya pihak pragmatik yang berasas ideologi nasionalisme yang sudah kehilangan wibawa mewakili orang Melayu11.

Mengislamkan politik Melayu
Konsep sekarang terbalik kuang. Ingin menang dahulu dalam pilihanraya barulah Islam dan akhlak diterapkan dengan mudah. Sedangkan konsep yang ditinggalkan oleh Imam Mawardi adalah iqamah ad dian wa siasah ad dunya bih (bangunkan agama dan tadbirlah bumi dengannya yakni Islam)
Prof Hassan Ahmad pernah berkata bangsa melayu paling banyak menjahanamkan bangsa sendiri-paling banyak perang dingin, fitnah dan mengaibkan bangsa sendiri secara terbuka, mengamal rasuah dan maksiat. Pemimpin yang dipilih rakyat boleh dikuasai dengan wang dan boleh dibeli12.

Ancaman-ancaman yang menghilangkan kemurnian siasah/politik Melayu
Ancaman kebendaan - sejak kemerdekaan 1957, pembangunan adalah seruan yang dianggap syurga oleh rakyat13.
Prof Hassan Ahmad senaraikan 3 ancaman besar kepimpinan Melayu14:
  • Ancaman rasisme
  • Ancaman model kemajuan yang salah
  • Ancaman kepimpinan tidak cekap dan rasuah

Pemimpin politik yang menggelar diri sebagai pejuang islam juga kian meninggalkan bagasi akhlak, tatacara politik Islam sebaliknya menerapkan machievellisme dan pragmatisme atas nama maslahah dan menghapuskan mudharat lebih besar. Penggunaan semberono kaedah-kaedah fiqh untuk menghalalkan tindakan politik juga menjadi penyakit mutahir ini.

Kelihatan juga maqasid syariah (objektif agama) dilupai oleh sebilangan besar ahli politik Melayu tanpa mengira parti dan pemikiran.

Perlunya ahli politik, para pemimpin dan bakal pemimpin menghayati benar-benar apakah intipati sebenar maqasid syariah yang perlu dibawa melalui agenda politik.

24 Oktober 2014
Bandar Puteri jaya
7.40 malam


1 Bekas Setiausaha TERAS Perak, Aktivis Jamaiy, kini bergiat sebagai aktivis Gerakan Sokng Syariah (GESA) serta Unit Kajian Ilmiah MAPIM Utara. Penulis boleh dihubungi : 017-6291368 (jihadin82@yahoo.com)
2 Abdul Rahman Haji Abdullah, Pemikiran Umat Islam Nusantara, DBP, 1990 (halaman 35)
3 Mansor Mohd Noor, Islam dan Kedinamikan Lokal Di Malaysia: Adaptasi, Harmoni dan Konflik, Annual Conference on Islamic Studies Banjarmasin, 1 – 4 November 2010 (ACIS) Ke - 10
4 Siddiq Fadzil, Islam dan Melayu,Akademi Kajian Ketamadunan Kompleks Dar Al Hikmah, 2012 (halaman 92)
5 Dewan Masyarakat Februari 2009 (halaman 44)
7 Siddiq Fadzil, Islam dan Melayu,Akademi Kajian Ketamadunan Kompleks Dar Al Hikmah, 2012 (halaman 95)
8 Siddiq Fadzil, Islam dan Melayu,Akademi Kajian Ketamadunan Kompleks Dar Al Hikmah, 2012 (halaman 97)
9 Dewan Masyarakat Mei 2008 (halaman 44)
10 Mohd Azmi Abdul Hamid, Gagalnya Kepimpinan Melayu Tanpa Islam, TERAS, 2013 (halaman 7)
11 Mohd Azmi Abdul Hamid, Gagalnya Kepimpinan Melayu Tanpa Islam, TERAS, 2013 (halaman 66)
12 Dewan Masyarakt Mei 2011 (halaman 48)
13 Siddiq Fadzil, Islam dan Melayu,Akademi Kajian Ketamadunan Kompleks Dar Al Hikmah, 2012 (halaman 99)

14 Dewan Masyarakat Februari 2011 (halaman 28)  

Ucapan Bertindak PPMK TERAS ke 16- MEMURNIKAN POLITIK BANGSA , MEMBANGUN NEGARA BERWIBAWA




MEMURNIKAN POLITIK BANGSA , MEMBANGUN NEGARA BERWIBAWA
Ucapan Bertindak PPMK TERAS Kali ke 16
Mohd Azmi Abdul Hamid



Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum,Maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia .
( AR-Ra'adu:11)

Sesungguhnya Allah amat menyukai orang –orang yang berjuang di jalannya dalam barisan yang teratur umpama bangunan yang tersusun:kukuh
(Ash-Shaff:4)

Sesungguhnya (agama Tauhid) Ini adalah agama kamu semua; agama yang satudan Aku adalah Tuhanmu, Maka sembahlah Aku. ( Al-Anbiyaa’: 92)




"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mwengetahui ."
( Al Imran 103 )

Kami mengalu-alukan kehadhiran saudara-saudari dan para Teman dalam Milad PPMK kali ke 16 TERAS . Pertemuan yang punya bobotnya tersendiri sejak kelahirannya 16 tahun yang lalu terus memikul amanah bangsa dan umat yang besar dan berat. Kami memutuskan agar 1 Muharam setiap tahun menjadi tarikh keramat untuk mengingatkan agenda besar Teras . Iaitu membawa risalah nubuwwah selaras tanggungjawab iqamatuddin demi mencapai hadaf usuliyatnya mengabdi kepada Illahy , membangun bangsa dan watani , berkhidmat kepada insani.

Terlalu banyak yang telah kita lalui , maseh banyak yang perlu kita laksanakan. Kemelut umat dan bangsa ternyata muncul bertali arus. Namun kami tidak pernah alpa memberi fokus kepada persoalan usul yakni mengembalikan bangsa kepada Islam seutuhnya. Sesungguhnya inilah persoalan pokok. Berulangkali dipertegaskan , berkali-kali dihujahkan. Bangsa akan hanya selamat dengan Islam. Menjarak diri dari Islam mengundang zillah , mengabung diri dengan Islam menjamin Izzah.

Namun tema kali ini menarik kami untuk mengenengahkan persoalan siyasah bangsa. Lantaran hiruk pikuk siyasi telah mendedahkan umat dan bangsa kepada kelunturan rukun keutuhan umat paling utama iaitu wehdatul ummah . Rasa khuatir dan cemas kami dan mungkin sebahgian besar idealis Islam sangat berasas. Perbezaan yang melahirkan kesangsian , seterusnya melarat kepada persengketaan , kemudian menajamkan permusuhan. Lebih parah ialah tatkala semua faham bahawa siyasah umat hanya punya satu matlamat iaitu menegakkan agama dan menguruskan dunia , akan tetapi perbedaan ideologi siyasah telah memporak-perandakan keutuhan umat sehingga berberontakkan sesama sendiri.

Semakin terserlah nampaknya . Budaya berpolitik yang bersemangatkan roh Islam yang berteraskan Al Quran dan Al-Sunnah , tidak dihayati dengan sebenarnya untuk memperjuangkan kedudukan Islam dan memperbaiki keadaan umat Islam di negara ini , dikalangan aktivis politik .

Amat merunsingkan umat sudah semakin tidak yakin dengan perjuangan sebahagian besar ahli politik yang hanya mementingkan kedudukan dan kuasa lebih dari menjaga dan mengurus kebajikan rakyat. Saling bersaing dalam wadah siyasah nyaris melencongkan perhatian kepada matlamat asal wadah siyasah yang diceburi . Runding dan tawar menawar kuasa dan jual beli undi dalam pasaran bebas politik demokrasi bagaikan sebuah perdagangan politik tanpa batas. Percaturan politik berubah menjadi medan memeta " political career " dalam " political game " untuk menentukan " political future " .

Menambah parah lagi Umat Islam tidak mempunyai kefahaman yang mendalam mengenai kriteria memilih pemimpin dengan betul mengikut panduan Islam. Akibatnya rakyat hanya menjadi mangsa sebagai alat kepada calon para ahli politikus yang bernafsu dan manipulatif. Puncanya pendidikan dan kesedaran politik maseh sangat dangkal dikalangan massa masyarakat Islam . Maudhu politik sebagai bagian spektrum kehidupan masyarakat bernegara hilang tempat dalam keilmuan umat lantaran ideologi politik kepartaian mendominasi perbahasan lebih dari inti politik murni.

Natijahnya sangat merisaukan. Perpecahan politik yang tidak sihat antara parti dan di dalam parti politik dikalangan umat Islam semakin menonjolkan persengketaan yang merugikan umat Islam. Tumpuan tenaga dan sumber teralih kepada persaingan yang sukar dikonsolidasikan. Perbedaan bukan lagi dilihat sebagai pengkayaan akan tetapi sebagai pengukuhan antara puak yang semakin menjurang. Khilaf sesama umat bukan lagi dipayungi rahmat namun bermutasi menjadi musibah yang melesukan .

Khilaf politik kepartaian mewabak bila diskriminasi , penyelewengan dan muslihat kotor berleleuasa. Amalan politik yang menajamkan perseteruan dikalangan ahli politik yang berkuasa telah menjejaskan usaha untuk menyatukan umat Islam. Akibatnya usha memperkukuhkan kedudukan Islam terbantut. Perhitungan yang menjadi perkiraan paling utama ialah mengejar kerusi lalu mengadaikan prinsip. Persaingan untuk merebut jawatan mendahului agenda untuk membangun politik perdamaian. Budaya fitnah politik menganas dalam arena perang politik untuk menjatuhkan lawan dan mengenepikan pesaing.

Dalam beberapa tahun ini suhu politik umat diperingkat nasional dan antarabangsa meledak bagaikan tidak ada penyudah. Setiap kali ada kemajuan dalam da'wah untuk meneroka melebarkan mesej Islam , ia sering terbantut bila ada keghairahan untuk bersaing dalam gelangang politik kepartaian. Isu yang jelas tidak sepatutnya menimbulkan khilaf , akan tetapi menjadi rumit bila politik kepartaian mula mewarnai perbahasan.

Politik machiaveli dihalalkan demi memastikan pengukuhan kedudukan kuasa terjamin. Dengan sebab itulah politik umat menjadi arena sangat tidak beradab bila segala kaedah diabsahkan. Mengaibkan lawan , membogelkan seteru , menfitnah pesaing , menyerang peribadi musuh menjadikan politik suatu medan " free for all " .

Demikian parahnya berpolitik dewasa ini. Harapan umat agar kuasa politik bukan lagi medan yang bersifat jual beli undi dan perebutan jawatan kini semakin luntur. Kepentingan Islam dipinggirkan akibat terlalu ghairah untuk memegang kedudukan dan kuasa politik. Kepimpinan politik umat Islam tidak meletakkan agenda memartabatkan Islam sebagai agenda utama dalam proses pembangunan negara. Pendidikan yang diterapkan kononnya untuk mendidik patriotisme kini telah menjadi indokrinasi politik yang tidak sihat dan mendedahkan keburukan umat Melayu-Islam dihadapan orang bukan Islam .


Keadaan umat yang belum di islahkan.
Dengan pelbagai babak perjuangan kemerdekaan yang dirintis oleh pejuang kemerdekaan dari kalangan ulama’ , pencinta Islam dan kelompok nasionalis , sejarah telah merakam segala babak-babak perjuangan yang kekal abadi untuk dinilai oleh generasi mendatang. Sejak jeritan kemerdekaan dikumandangkan kita belum sempat melaksanakan sebuah Muhasabah Nasional mengenai apakah kedudukan umat Islam dan Islam itu sendiri di tanah air yang tercinta ini. Sejauhmanakah martabat Islam dan status umat telah dapat ditegakkan dan didaulatkan? Apakah yang telah terkorban dan apakah yang telah umat capai sepanjang usia 50 tahun ini.? Apakah dapatan kita dan apakah yang tergadai? Sejauhmanakah pengisian kemerdekaan negara telah semakin mendekatkan kita kepada penghayatan dan perlaksanaan Islam selengkapnya ataukah disebaliknya kita sedang menyaksikan penghakisan ciri dan asas Islam itu sendiri.?
Secara menyeluruh disaat ini kita sedang menyaksikan pelbagai krisis umat Islam yang sedang melanda masyarakat. Dahulunya umat pernah merasai kekuatan sebuah tamadun Islam yang pernah unggul dan gemilang dirantau ini , kini kita sedang dilanda awan mendung ketika de-Islamisasi sedang berlangsung lewat asakan faham liberal dan pluralisme agama yang diasak melalui faham sekular yang semakin menajam.
Kemalapan umat Islam sangat terasa dalam hampir pelbagai aspek. Kelemahan ekonomi, perpecahan politik, kelunturan daya intelektual dan kekacauan akhlaq sudah menjadi wajah umat yang sangat meruncing. Jika dianalisis keadaan umat masa kini , akan terdedah pelbagai punca yang mengakibatkan umat Islam berada dalam keadaan yang amat lemah.
Punca kepada kelemahan ekonomi dan pembangunan manusia dikalangan umat Islam ialah ketiadaan kepimpinan negara yang benar-benar berasaskan ajaran Islam. Ruang yang ada untuk masyarakat sivil dikalangan umat Islam berkembang masih sangat terbatas disebabkan kecurigaan dari pihak berwewenang yang berprasangka setiap kali berlaku percanggahan pendapat dengan pihak pemerintah.
Sayangnya pilihanraya sebagai saluran umat menuntut Islam dijadikan asas pemerintahan gagal dimanfaatkan sehingga pilihanraya hanya tinggal amalan ritual untuk mengabsahkan kuasa pemimpin autoritarian. Pihak yang berbeda pendapat dengan pemerintah dipaksa menghadapi pelbagai tekanan. Budaya takut dan patuh kepada pihak berkuasa telah ditanam melalui undang-undang yang menekan, pendidikan yang tidak mendidik pemikiran kritikal dan media massa yang terus diguna untuk mengekalkan kuasa elit pemerintah.
Golongan elit pemerintah kini lebih mementingkan pengekalan kedudukan dan kuasa dari menumpukan kepada menjaga kebajikan umat sehingga umat Islam terpaksa tunduk kepada kehendak pemimpin tanpa soal.
Terdapat jurang yang luas dalam hal pemilikan kekayaan dan akses kepada sumber dan peluang. Rasuah dan salahguna kuasa maseh berleluasa yang memberi kesan kepada seluruh perkhidmatan awam. Perbendaharaan dan kekayaan nasional ada yang diselewengkan melalui pelbagai projek mega yang membazir atau dengan menyalurkan wang  kepada sanak saudara, keluarga dan kroni dikalangan golongan elit  pemerintah.
Semak Realiti
Secara keseluruhannya status Islam dan kondisi Umat Islam dewasa ini sedang berhadapan dengan realiti berikut:
1 Penyebaran faham SEKULARISME, LIBERALISME dan PLURALISME yang bercanggah dengan Islam.
2. Gerakan Islam sedang dicurigai dan dijadi sebagai sasaran (Targeting Islam) atas nama memerangi ‘Terrorisme’.
3. Syariah Islam di pinggir dan di cabar dalam perundangan negara.
4. Institusi-institusi Islam di cabar dan kewibawaannya dipersoal.
5. Kedudukan Islam dalam perlembagaan dipersoal dan dipersempitkan.
6. Pengurusan sumber manusia dan asset umat tidak efesien dan semakin menghakis penguasaan ekonomi masyarakat Islam.
7. Kepincangan dan penyelewengan dalam pengurusan ekonomi umat melibatkan amalan korupsi, kronisme dan nepotisme.
8. Ekonomi Umat dalam pelbagai sektor masih keterbelakang dan bergantung kepada pihak luar Islam.
9. Pembinaan kemahiran dalam keusahawanan Islam masih lemah dan tidak berkesan.
10. Keruntuhan akhlak dan ketidakstabilan sosial melanda umat sehingga mencetuskan krisis sahsiah yang semakin parah
  • Penyalahgunaan dadah
  • Sumbang mahram
  • Buang anak
  • Lepak
  • Bohsia
  • Arak
  • Zina
  • Judi
  • Perceraian
  • Jenayah rogol
  • Pornografi
  • Metroseksual
  • Lumba haram
  • Mat rempit
  • Black metal
  • Gaya hidup artis
  • Akhlak dalam berpakaian dan bergaul
  • Hiburan liar dan melampau
  • Pondan, lesbian dan gay
  • Hubungan luar nikah
11. Organisasi masyarakat Islam yang tidak jitu dan terkordinasi serta tidak bersatu dalam menangani masalah umat terutama kemelut dikalangan kelompok akar umbi (masyarakat tertindas)
12. Kepimpinan Umat di pelbagai peringkat yang penuh kepincangan dari segi memelihara amanah, menegakkan keadilan dan menjaga kemurniaan akhlak masyarakat.
13. Agensi dan Institusi yang diterajui oleh golongan birokrat Islam yang gagal menterjemahkan agenda Islam dalam profession masing-masing.
14. Kelesuan daya Intelektual umat keseluruhannya dalam menghadapi cabaran pemikiran yang di asak dengan agresif dari luar
15. Keberkesanan dan kualiti pendidikan umat yang tidak mencapai prestasi yang diharapkan, malah pembangunan pendidikan Islam tidak berkembang dengan lancar.
16. Kegagalan golongan ulama’ dan umara menjalinkan sinergi dalam mengemudi bahtera umat untuk membangun pelbagai aspek kehidupan masyarakat Islam (Ekonomi, Kebajikan, Pendidikan, Kesihatan, Budaya dan lain-lain
17. Golongan generasi muda Islam berhadapan dengan krisis identiti dan krisis budaya yang semakin parah.
18. Peranan media massa yang menyumbang kepada pencemaran serta porak-perandanya pemikiran dan nilai masyarakat yang bercanggah secara langsung dengan Islam.
19. Umat Islam terutama di kalangan golongan yang lemah terdedah kepada peminggiran, penyisihan dan alienasi akibat dari proses dan model pembangunan yang mengakibatkan marginalisasi golongan lemah.
20. Isu-isu lain yang melengkari umat Islam di negara ini
  • Perumahan dan petempatan penduduk Islam yang semakin tidak terancang dengan sempurna
  • Etika berpakaian Islam yang maseh terus dipersoal..
  • Penguatkuasaan enakmen syariah tidak dipertegaskan.
  • Penyeragaman undang-undang Islam maseh belum sempurna.
  • Isu kesucian barangan dan makanan untuk orang Islam belum diatasi dengan baik.
  • Isu orang Islam yang bekerja di sektor yang diharamkan oleh syara’ seperti pusat hiburan , GRO dan kilang arak tidak diberi perhatian..
  • Penghinaan dan kritikan terhadap agensi-agensi Islam tidak direspon dengan berkesan.
  • Isu pengurusan tanah wakaf maseh tidak berlaku dengan berkesan
  • Perundangan dan penguatkuasaan undang-undang mengenai murtad dan jenayah syariah belum ditangani dengan sempurna.
  • Hubungan antara agama belum berlaku dengan harmonis akibat salah faham dan pra sangka terhadap umat Islam.
  • Syiar Islam seperti membaca asma’ul husna di sekolah, azan dikawasan perumahan mula dipersoal.
21. Kewibawaan institusi fatwa yang belum cukup kukuh untuk mempengaruhi kehidupan umat
22. Pengajian Islam di Institusi Pendidikan tinggi belum mantap melahirkan ahli profesional yang berpemikiran dan bersahsiah serta berjiwa Islam untuk turut aktif terlibat dalam memperjuangkan nasib umat.


Berdasarkan realiti tercatat diatas , kami menegaskan :


Bahawa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan di Negara ini , menjelang 50 tahun kemerdekaan Malaysia maseh memerlukan pengukuhan , pembaikan dan pemulihan.

Bahawa Islam sebagai tonggak membina bangsa dan Negara belum mencapai martabat sewajarnya sebagaimana yang dituntut mengikut panduan Al-Quran dan Al-Sunnah.

Bahawa Islam yang menduduki tempat yang istimewa dalam Negara belum dapat diterjemah sepenuhnya dalam kehidupan umat Islam sebagai agama yang menyusun semua aspek kehidupan yang merangkumi dan meliputi segala ruang dan dimensi kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Bahawa kedudukan umat Islam dalam aspek sosio-ekonomi dan politik ditingkat lokal dan nasional maseh menunjukkan kepincangan yang ketara sehingga martabat umat tidak memenuhi prestasi sebagai “khairo-ummah” sebagimana yang diungkap dalam Al Quran Karim

Bahawa cabaran yang sedang dihadapi oleh umat bukan sahaja datang dari luar malah juga dari dalam diri umat Islam itu sendiri.

Bahawa kepekaan dan kesedaran umat untuk menghayati dan mempertahankan Islam belum cukup menyerlah akibat serangan agenda globalisasi neo-liberal yang sedang dicatur oleh adikuasa imperialis dari Negara-negara Barat dan kuncu-kuncunya di Negara umat Islam sendiri.

Bahawa kepimpinan umat untuk mengemudi dan menyatukan kekuatan sumber alam dan sumber daya manusia amat lemah malah penuh kepincangan akibat dari kepentingan diri yang mengatasi keutamaan kepada membela nasib umat.

Bahawa kefahaman sesat seperti sekularisme , liberalisme dan pluralisme sedang dikembangkan dikalangan masyarakat Islam terutama dikalangan cerdik pandai dengan pelbagai label gerakan masyarakat sivil atas nama memperjuangkan hak gender , hak asasi manusia , kebebasan beragama , demokrasi , modernisasi , liberalisasi dan globalisasi .

Bahawa sejak negara di rantau Alam Melayu mencapai kemerdekaan, masalah pokok yang dihadapi ialah keinginan di kalangan sesetengah pejuang kemerdekaan untuk melakukan transformasi dan pembaharuan terhadap dasar yang ditinggalkan penjajah.Ratusan tahun umat Islam di jajah di rantau ini menyebabkan jiwa mengagumi Barat masih sarat dalam pemikiran.

Bahawa psikologi feudal masih utuh dalam amalan, upaya ilmu dan pendidikan yang Islami sifatnya berkembang dalam batas yang amat ritual dan rohaniah sifatnya.Ia menyebabkan perubahan yang bersifat simbolik berlaku tetapi tidak berkembang dalam skop ilmu yang bersatu dan mampu menjana pembaharuan menterjemahkan Islam seutuhnya .
Bahawa tradisi pondok dan madrasah, pesantren dan maahad masih menumpu memperkasa ilmu mengurus diri secara ritual dan kurang fokus terhadap ilmu mengurus sistem yang lebih konprohensif. Peranan institusi ini amat besar menjadi benteng keyakinan umat terhadap Islam tetapi belum mampu menjadikannya wadah membangun ilmu yang sepadu.Apatah lagi menghasilkan ulama dan ilmuwan yang terbabit dalam arus penggubalan dasar serta strategi pembangunan negara.Keadaan bertentangan ini menyebabkan konflik berpanjangan antara pendukung yang mahu hidup bersyariat dengan kelompok status-quo yang masih teguh dengan strategi keBaratan dan sekular.

Pemurnian yang di perlukan.

Kefahaman terhadap pengertian dan penghayatan Islam sebagai sebuah sistem yang menyeluruh dan melengkapi dalam semua aspek kehidupan merangkumi sosio-budaya , ekonomi , kebajikan , penggunaan sumber alam , urustadbir , politik dan kepimpinan , pendidikan , pengurusan pembangunan , undang-undang dan kehakiman hendaklah diterapkan ke dalam semua peringkat umat.

Sementara itu cabaran semasa dari sudut intelektual dan faham-faham yang menyimpang dari prinsip-prinsip yang muktamad dalam Islam perlu dihadapi dengan tuntas. Faham sesat sekularlisme , liberalisme dan pluralisme yang cuba diketengahkan oleh kelompok –kelompok tertentu dikalangan jurnalis , penulis , ahli akademik , ahli politik , aktivis sosial , hendaklah ditangani dengan berkesan sehingga ke akar umbinya.

Adalah menjadi kewajipan semua golongan intelektual , cendekiawan dan ulama Islam perlu memainkan peranan menjaga kemurnian dalam faham kebenaran dan keadilan seperti yang dianjurkan oleh Islam agar pegangan umat Islam mengenai Islam sebagai satu-satu “ad-dinnul haq” dipertahankan.

Kepekaan umat perlu dibangkitkan supaya tercetus kewaspadaan yang tinggi dikalangan umat Islam terhadap segala cabaran aqidah , pemikiran , sosio-budaya , ekonomi , politik dan keselamatan yang sedang merosakkan umat Islam dari dalam. kepekaan terhadap hak dan tanggungjawab umat perlu dibina sehingga mampu mengeluarkan umat dari belenggu kekeliruan dan kedangkalan ilmu dan mencetuskan kebangkitan yang tulin demi merealisasikan transformasi ke arah membentuk masyarakat yang Islamik dalam seluruh aspek kehidupan umat.
Bahawa semua penggerak dan aktivis Islam yang bergiat secara individu mahupun melalui organisasi formal dan tidak formal , awam atau swasta , lokal atau internasional hendaklah bergerak secara bersungguh-sungguh , berdisiplin , sistematik , terkordinasi , mapan , konsisten dan saling mengukuh serta mengutamakan kesatuan dan persatuan umat untuk mengangkat martabat umat Islam dan bekerja ke arah mendaulatkan Islam seutuhnya di Negara ini khususnya dan dunia amnya.

Kami berpandangan kelompok yang sangat krusial dalam menggerakkan pemurnian siyasah negara adalah umara dan ulama. Peranan kedua kelompok ini menentukan keabsahan arah tuju politik umat .



Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil ( kepada sesiapa jua ) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. ( Al Maidah : 8 )

Ujudnya jurang yang semakin jauh antara ulama dan umara akibat dari ketiadaan kesefahaman dan saling mengukuh antara ulama dan umara dalam memandu pembangunan Negara menyebabkan keadaan semakin kritikal.Golongan ulama tradisional sering dikritik dengan tidak wajar dan penuh prejudis oleh golongan sekular liberal yang beralasan bahawa ulama ini tidak menyumbang kepada pembangunan Negara.

Sementara itu ujudnya ulama yang tidak berperanan dengan berkesan dalam menegur dan memperbetulkan umara dan dengan itu menghilangkan rasa hormat dan kepercayaan umat terhadap ulama yang sedemikian. Kelesuan dokongan umat kepada kepimpinan ulama akibat dari serangan yang bertubi tubi oleh mereka yang bersikap pra sangka kepada ulama menambah parah keadaan.

Tidak kurang juga ujudnya umara’ elitis yang tidak menghormati teguran dan pandangan ulama kerana ditakuti akan menjejaskan kedudukan dan kekuasaan mereka. Ini lantaran umara’ yang mahu memperalat ulama untuk kepentingan diri.

Sayangnya ujud pula organisasi ulama’ yang tidak kuat dan kurang efektif untuk bergerak sebagai sebuah angkatan yang berpengaruh dan mampu memimpin umat dalam menghadapi pelbagai isu yang tercetus dari masa ke semasa.

Sebab itu sangat diperlukan usaha dilancarkan dengan bersungguh untuk memperkemaskan wadah-wadah ulama’ yang sedia ada ke arah mengujudkan pergerakan ulama yang benar-benar berfungsi , berkesan , berdisiplin , cergas , dan sangat dihormati. Supaya kepimpinan ulama’ hendaklah ditampilkan dan ulama’ dilibatkan dalam menangani pelbagai masalah umat. Ulama’ perlu bersama umat yang menghadapi penindasan , kezaliman , peminggiran , penganiayaan , kemiskinan dan penafian hak. Ulama perlu bersuara untuk membantah penyelewengan , penyalahgunaan kuasa , dan pemusnahan alam .

Ulama’ perlu menegaskan sikapnya terhadap sebarang penyelewengan umara’ tanpa sebarang kompromi. Umara’ yang memegang amanah kuasa perlu mendengar teguran ulama’ dengan ikhlas supaya umat Islam tidak menjadi mangsa kepada pengkhianatan amanah, Kerjasama antara ulama’ dan umara’ dalam membangun negara hendaklah berjalan dengan harmonis dan saling melengkap akan tetapi hendaklah bersikap tegas terhadap prinsip kebenaran dan keadilan yang mesti dipertahankan.

Ulama’ dan umara’ perlu menjalinkan kesepakatan untuk menegak dan mendaulatkan Islam seutuhnya dalam ruang undang-undang yang sedia ada dan bekerja keras supaya akhirnya kedaulatan Islam dapat didirikan dalam semua aspek kehiduapan umat.

Harus diusahakan agar institusi Majlis raja-raja dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong mempertegaskan fungsinya untuk menjaga kesucian dan martabat agama Islam dalam ertikata sebenar. Dalam hal ini institusi Raja-raja Melayu perlu berperanan tegas membendung gejala keruntuhan akhlak dan kelonggaran pegangan aqidah umat Islam. Institusi Raja-raja Melayu juga perlu melaksanakan fungsi yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan demi menterjemahkan Islam sebagai agama Persekutuan dalam ertikata Islam yang menyeluruh ( kaffah). Pihak kerajaan hendaklah memperkasakan kedudukan ulama sebagai institusi yang berwibawa. Majlis Fatwa Kebangsaan perlulah diberi status undang-undang agar martabat institusi fatwa benar-benar dihormati.

Pemurnian politik yang diperlukan.

Jelas sekali kita perlu mengatur percaturan politik yang strategis, dan merangka maqasid Islam yang jelas, yang memperlihatkan kekuatan dan dinamisme pemikiran dalam sejarah bangsa.

Kita perlu melakarkan aspirasi politik yang tuntas dengan menggariskan hasrat dan cita-cita perjuangan dan asas kebudayaan yang meyakinkan. Kita perlu membina ahli politik yang memilikki keunggulan falsafah, taushiyah diniyah dan nilai perjuangan yang sangat tinggi serta ketegasan pendirian yang kental. Kita sangat perlu mengemukakan pemikiran politik yang murni dan nilai perjuangan yang ulung. watak ahli politik yang seharusnya inspiratif kepada anak muda yang terdiri daripada “pemuda-pemuda Islam yang menaruh himmah, dan bercita-cita tinggi”. Demikian tanggapan tokoh besar bangsa , Mohammad Natsir dalam karyanya At-Taushiatul Khamsah :

" Satu-satunya jalan itu, ialah membimbing dan mempersiapkan tunas-tunas muda daripada generasi yang akan menyambung permainan di pentas sejarah. Mempersiapkan jiwa mereka, melengkapkan pengetahuan dan pengalaman mereka, mencetuskan api cita-cita mereka, menggerakkan dinamika mereka, menghidupkan “self – dicipline” mereka yang tumbuh daripada Iman dan Taqwa. "

Kita mengidamkan aktivis politik Islam yang hadhir dan berkembang dalam pergulatan sejarah yang rencam. Sumbangannya yang penting kepada umat dan usaha yang gigih untuk melakarkan faham politik yang inklusif, mendobrak benteng taqlid, memugar kefahaman dan dakwah tawhid, menggariskan prinsip maqasid, dan mengembangkan tradisi ilmu seharusnya menjadi aset bagi umat untuk mengasaskan politik, dakwah dan fiqh kontemporari yang akan membangunkan umat.

Kami menegaskan bahawa pemimpin dan aktivis politik perlu meletakkan keutamaan perjuangan Islam mengatasi perjuangan politik kepartian yang sempit.. Mereka hendaklah belajar dan menghayati adab dan etika politik mengikut prinsip Islam seperti yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w .

Kesungguhan mengamalkan kehidupan dan gayahidup sederhana dalam setiap tangkahlaku pemimpin-pemimpin politik sepatutnya ditekankan .Menghayati akhlaq Islam sepenuhnya dalam setiap gerakgeri dan keperibadian sebagaimana yang ditunjukkan dan dipandu oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a.

Bagi mereka yang terpilih sebagai wakil rakyat , menggunakan setiap ruang yang ada untuk memperkukuhkan kedudukan umat Islam dan martabat Islam itu sendiri dalam semua bidang kehidupan rakyat perlu menjadi agenda yang paling utama.

Menyuarakan pandangan , bantahan , cadangan disemua ruang demi membela kedududukan Islam dalam negara hendaklah diketengahkan .

Bahawa permasalahan pemuafakatan politik umat pada hari ini amat mendesak. Aktivis politik perlu kembali kepada prinsip atau konsep berbeda pendapat dalam bermuafakat serta adabul ikhtilaf (adab-adab berbeda pendapat) yang wajar diamalkan dalam masyarakat Islam hari ini. Setiap aktivis politik hendaklah kembali berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar dengan merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Semangat berpegang kepada tali Allah dan jangan berpecah belah perlu disuburkan dalam konteks politik umat hari ini.

Semua aktivis politik Islam perlu mengusahakan pembinaan pemuafakatan politik umat agar diwujudkan suatu situasi yang kondusif untuk mewujudkan pakatan politik yang teguh meskipun wujudnya perbedaan pendapat yang ketara. Perlu juga diwujudkan pemuafakatan dalam politik secara keseluruhannya dalam menangani pelbagai isu umat termasuk soal ekonomi, sosial, pendidikan, perundangan , urustadbir , pengurusan sumber alam , pembangunan , pendidikan dan kesihatan.


Umat Islam perlu membangunkan diri dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi, politik, sains-teknologi, pendidikan dan seumpamanya yang dapat meningkatkan penyatuan dikalangan umat serta mengatasi kelemahan umat Islam hari ini yang umumnya mudah ditindas. Umat perlu menggalakkan kembali partisipasi golongan ulama’ dan ilmuan Islam dalam politik umat. Setiap warga Muslim perlu berusaha meningkatkan kepekaan dan kesedaran mengenai politik dan hubungannya dengan menegakkan syariat Islam di tanah air ini.

Setiap warga Muslim hendaklah meletakkan kepentingan Islam dalam melahirkan sikap dan pendirian politik terhadap sebarang isu yang tercetus dalam negara dan diperingkat antarabangsa.. berhubung dengan hal ini , semua NGO Islam perlu melaksanakan tarbiyyah politik yang betul dan tepat dikalangan masyarakat Islam bermatlamatkan menegak dan mendaulatkan Islam dalam seluruh kehidupan umat.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

































































































































































































Sekitar Perhimpunan Penggerak Melayu TERAS kali ke 16





Perhimpunan Penggerak Melayu TERAS kali ke 16 tahun 2014/1436 H telah diadakan di Baitul Ummah MAPIM Utara.

Majlis sederhana  ini masih berjaya mengumpul wakil-wakil TERAS seuruh negara. Program dimulakan dengan bacaan surah Al isra' oleh adik Salim dari Baitul Hikmah (anak-anak Muhajirin Rohingya). Kemudian diikuti dengan alunan nasyid sedap berbasa arab dan inggeris oleh anak-anak Mujihajirin juga. Mereka berbakat cuma pelru banyak diberi peluang persembahan untuk bangunkan keyakinan mereka.

Ucap tama Presiden kali ini bertema Memurnikan Politik Bangsa amat kena dengan suasana hari ini dalam dan luar negara.

Dalam psotimg yang lain saya sediakan tulisan penuh ucapan beliau.

Forum diteruskan dengan ahli Panel Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman Tim Pres MAPIM), Ustaz hafiz Mustafa Lubis (Naib Pres TERAS) dan Ustazah Rubiah Harun (Tim YDP Salimah)

Saya berminat untuk mengupas ebberapa sorotan isu yang dibawa oleh Cikgu Azmi dalam posting kan datang.





















PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)