Thursday, January 23, 2014

Kuasa Mahkamah Syariah; bagai berumah tanpa isi


Kuasa Mahkamah Syariah; bagai berumah tanpa isi
Muhammad Nuruddin Bashah
Aktivis Gerakan Sokong Syariah (GESA)
Unit Kajian Ilmiah MAPIM Utara


Tahun 1786 tidak memberi erti kepada sesiapa yang tidak peka dengan perkembangan syariah tanahair kita. Tahun ini adaah titik mula kedatangan Inggeris mengambil Pulau Pinang serta menjadi titik mula usaha penghakisan Undang-undang Islam.

British yang membangunkan Common Law menganggap Pulau Pinang atau nama lamanya Tanjung Bidara ketika itu tidak mempunyai sebarang sistem perundangan dan mendakwa undang-undang Islam yang diamalkan adalah zalim.

Bantahan demi bantahan oleh penduduk tempatan, para peniaga Islam, Sultan dan ulama’ menyebabkan pada 1880 Inggeris mula a bersetuju menggubal Ordinan Perkahwinan Mohammedan No. 5 Tahun 1880. (kahwin & cerai umat Islam). Hal ini juga bermulanya isu kuasa Mahkamah Syariah hanya melibatkan isu rumah tangga, secara simbolik bermakna tidak boleh keluar daripada pagar rumah tangga orang Melayu.

Pada tahun 1948 tahun di mana gerakan Islam diharamkan di Tanah Melayu, Ordinan Mahkamah Persekutuan dan sistem kehakiman persekutuan memisahkan Mahkamah Syariah dari hierarki mahkamah. Pada masa pemerintahan kuasa asing, segala urusan agama diberi kuasa kepada raja-raja Melayu tetapi terhadap bidang yang terbatas seperti perkahwinan, adat istiadat, dan agama. Inilah bahana sekularisasi.

Selepas merdeka penjajah meninggalkan kita tetapi dengan bagasi perundangan yang sarat dengan tali hayat Common Law dan Liberalisme Sekular. Misalnya jelas kelihatan dalam Perlembagaan Tanah Melayu, Perkara 4(1) dimasukkan bertujuan untuk mempastikan perkara 3(1) tidak menguntungkan Islam dan mengukuhkan sekularisme di Malaysia.

Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa :

“Perlembagaan Persekutuan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan hendaklah terbatal setakat mana yang berlawanan itu”

Peruntukan inilah yang digunakan oleh pemimpin tertentu untuk menghalang perlaksanaan enakmen hudud di Kelantan dan Terengganu.

Peruntukan ini menyebabkan kerajaan negeri tidak boleh menghalang apa-apa tindakan kerajaan pusat dan juga Parlimen. Begitu juga dengan Dewan negeri, ia tidak boleh meluluskan sebarang Enakmen yang bertentangan dengan perlembagaan atau di luar kuasa masing-masing, khususnya yang berhubung dengan agama Islam.

Tulisan kali ini sebenarnya adalah untuk mengupas analogi rumah tanpa isi. Mahkamah Syariah di Malaysia memang wujud daripada Mahkamah Tinggi Syariah hingga ke Mahkamah Rendah. Mahkamah Syariah bagaikan sebuah rumah agam yang indah dan kukuh.

Kehebatan mahkamah Syariah ditambah lagi dengan peruntukan Perkara 121 (1A) iaitu Mahkamah ini setaraf dengan Mahkamah Sivil dan keputusannya tidak boleh digugat oleh Mahkamah Sivil.

Jika kita mengabaikan peruntukan Perkara 4 (1) masih relevan untuk dilaksanakan syariah kerana Akta Mahkamah Syariah 1965 telah wujud walaupun mungkin agak terbatas.

Jadi di mana masalahnya? Masalahnya ialah
  1. di mana bidang kuasa Mahkamah Syariah?
  2. Berapa hukuman maksima atau bentuk hukuman yang boleh dilaksanakan?

Apabia berbahas dua perkara diatas, jelas Mahkamah Syariah memang dibina bagaikan rumah yang kukuh tetapi tiada isi, perabot, kemudahan dan sebagainya. Ia hanya rumah kosong tanpa manfaat yang sewajarnya.

Menurut Abdul Basir Alias dalam bukunya Ancaman Nasionalis Sekular Ekstrim di Malaysia , dalam soal agama, di dalam Perlembagaan Persekutuan walaupun ianya berada di bawah senarai negeri iaitu dalam Jadual Kesembilan, Senarai Dua (Senarai Negeri) tetapi bidangkuasa pusat lebih luas dan mungkin bercanggah dengan kepentingan negeri.

Misalnya, jika Dewan Undangan Negeri meluluskan satu Enakmen Undang-undang Islam yang berlawanan dengan perlembagaan atau lebih daripada bidangkuasa yang telah diperuntukkan, maka enakmen itu akan terbatal dan undang-undang persekutuan dikira sah kerana wujudnya Perkara 4 (1).

Menurut Syeikh Ghazali Ab. Rahman (1988) dalam tulisan beliau "Perlaksanaan Undang-undang Islam Di Negeri-negeri di Malaysia dan Masalah-Masalah yang Dihadapi" menyatakan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Selangor) 1952 merupakan enakmen pertama yang digubal untuk mengatur pentadbiran Undang-undang Islam di Malaysia.

Ia bertujuan membataskan pemakaian Undang-undang Islam supaya terhad kepada orang-orang Islam di dalam tiga bidang sahaja iaitu undang-undang Keluarga, Warisan
dan beberapa kesalahan Ta'zir. Enakmen ini meligitmasikan hasrat peminggiran kuasa Mahkamah Syariah yang mengehadkan kuasa Mahkamah.

Bidangkuasa Kerajaan Persekutuan.
JADUAL KESEMBILAN
Senarai I—Senarai Persekutuan
4. Undang-undang dan tatacara sivil dan jenayah dan pentadbiran keadilan, termasuk—

(a) Keanggotaan dan susunan semua mahkamah selain Mahkamah Syariah;
(b) Bidang kuasa dan kuasa semua mahkamah itu;
(c) Saraan dan keistemewaan lain hakim dan pegawai yang mengetuai mahkamah itu;
(d) Orang yang berhak menjalankan amalan di hadapan mahkamah itu;
(e) Tertakluk kepada perenggan (ii), perkara yang berikut:
(i) Kontrak; perkongsian, agensi dan kontrak khas yang lain; majikan dan perkhidmat; rumah inapan dan tuan rumah inapan; perbuatan salah boleh dakwa; harta dan pindah hakmiliknya serta hipotekasinya, kecuali tanah; bona vacantia; ekuiti dan amanah; perkahwinan, perceraian dan kesahtarafan; harta dan taraf perempuan bersuami; pentafsiran undang-undang persekutuan; surat cara boleh niaga; akuan berkanun; timbang tara; undang-undang persaudagaran; pendaftaran perniagaan dan nama perniagaan; umur dewasa; budak-budak dan orang belum dewasa; pengangkutan; pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat; probet dan surat kuasa mentadbir; kebankrapan dan ketidakmampuan bayar; sumpah dan ikrar; batasan; penguatkuasaan bersaling penghakiman dan perintah; undang-undang keterangan;
(ii) perkara yang disebut dalam perenggan (i) tidak termasuk undang-undang diri Islam yang berhubungan dengan perkhawinan, perceraian, penjagaan, nafkah, pengangkatan, kesahtarafan, undang-undang keluarga, alang atau pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat;
(f) Rahsia rasmi; perbuatan rasuah;
(g) Penggunaan atau penunjukkan jata, lambang kebangsawanan, bendera, lambang, pakaian seragam, darjah kebesaran dan bintang kehormatan selain bagi sesuatu Negeri;
(h) Pewujudan kesalahan berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan atau yang diperkatakan oleh undang-undang persekutuan;
(i) Tanggung rugi berkenaan dengan mana-mana perkara dalam Senarai Persekutuan atau yang diperkatakan oleh undang-undang persekutuan;
(l) Pertaruhan dan loteri.

Bagi bidangkuasa negeri,
Jadual Kesembilan
Senarai II—Senarai Negeri
1. Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkhawinan, perceraian, mas kahwin,nafkah, pengangkatan, kesahtarafan, penjagaan, alang, pecah milik dan amanah bukan khairat; Wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairat dan agama, pelantikan pemegang amanah dan pemerbadanan orang berkenaan dengan derma kekal agama dan khairat, institusi, amanah, khairat dan institusi khairat Islam yang beroperasi keseluruhannya di dalam Negeri; adat Melayu; Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam; penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak dan adat Melayu.

(c) Permit dan lesen untuk mencari gali bagi lombong; pajakan melombong dan perakuan melombong;
(e) Pindah hakmilik tanah, gadai janji, pajakan dan gadaian berkenaan dengan tanah; isemen ; dan
(f) Rad; harta karun tidak termasuk benda purba.
3. Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, pertanian dan perhutanan, termasuk—
(a) Pertanian dan pinjaman pertanian; dan
(b) Hutan.
5. Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, perkhidmatan lain yang berciri tempatan, iaitu:
(f) Pelesenan panggung, panggung wayang dan tempat hiburan awam.

Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan mengandungi Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama seperti di atas.
Parlimen menggubal undang-undang dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama manakala Dewan Undang Negeri menggubal undang-undang dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Jadi negeri hanya mampu membuat undang-undang Syariah sekadar yang ada dalam senarai Jadual Kesembilan ini.

Jadual inilah yang mengehadkan bidang kuasa perlaksanaan syariah oleh negeri-negeri. Walaupun memiliki mandat, mandat itu pula terbatas.

Perkara jenayah terletak di dalam item 4 Senarai Persekutuan. Jika undang-undang hudud tertentu seperti mencuri ingin digubal oleh Dewan Undang Negeri, pindaan terhadap Item 4 ini perlu dilakukan terlebih dahulu.

Bagi Senarai Persekutuan, Undang-undang kontrak, jenayah, tort dan lain-lain adalah terletak di bawah Senarai Perundangan Persekutuan.

Dalam hal kewangan Islam, Senarai 1 Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan juga menetapkan bahawa hal ehwal kewangan adalah tertakluk di dalam bidang kuasa Parlimen dan kerajaan persekutuan. Ia juga disokong oleh Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan. Hal ini menjadi punca kes kewangan Islam diselesaikan di Mahkamah Sivil bukannya di Mahkamah Syariah.
Menurut Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) masalah isi kandungan Jadual Kesembilan, Senarai 2, Perenggan 1, diterjemahkan sebagai syarat awal dalam pelbagai enakmen negeri yang mengawal bidang kuasa mahkamah syariah. Perlembagaan mesti dipinda untuk membuang keterbatasan Jadual 9, Senarai 2, Perenggan 1, khasnya dalam permasalahan berhubung pertembungan hak antara orang Islam dan bukan Islam.

Kadar hukuman juga menjadi dilema hakim-hakim syariah yang faham hukuman cara Islam. Kadar hukuman itu ditentukan oleh Akta Mahkamah Syariah 1965. Ia memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah hanya boleh menjatuhkan hukuman maksimum RM5000.00 denda, ataupun penjara maksimum 3 tahun ataupun sebatan 6 kali ataupun gabungan antara hukuman-hukuman berkenaan.

Untuk menambah keberkesanan perlaksanaan syariah, senarai negeri Jadual Kesembilan perlu ditambah agar seimbang dengan bidang kuasa kerajaan pusat yang menyelia Mahkamah Sivil. Kadar hukuman juga perlu diubah dalam Akta Mahkamah Syariah 1965 untuk memastikan kadar hukuman menyerupai hudud dan qisas dipraktikkan.

Bertam
12.34 malam

24 jan 14

Wednesday, January 22, 2014

Akta Undang-undang Sivil 1972 dan peranan mengurang pengaruh Undang-Undang Syariah



Akta Undang-undang Sivil 1972 dan peranan mengurang pengaruh Undang-Undang Syariah

Muhammad Nuruddin Bashah
Aktivis Gerakan Sokongan Syariah (GESA)
Unit Kajian Ilmiah MAPIM Utara

Ramai mungkin kurang menyedari status perundangan Malaysia diklasifikasikan sebagai negara dengan sistem Undang-undang common bercampur dengan Undang-undang berasas agama. Antara negara yang sedarjah dengan Malaysia adalah Qatar, Brunei, Pakistan, India dan Nigeria.

Walaupun Mahkamah sekular di Malaysia digelar mahkamah sivil, ia bukan bermakna Malaysia ‘menganut’ Civil Law. Civil Law yang dianuti oleh majoriti negara antarabangsa merujuk kepada undang-undang yang berdasarkan undang-undang Roman yang diamalkan di kebanyakan negara-negara Eropah atau disebut Undang-undang Europe Continental atau istilah Rechtsstaat.

Malaysia mengambil Common Law kerana ia dijajah oleh British yang mengamalkan Common Law. Tetapi dalam Common Law terbahagi kepada dua iaitu akta sivil (perkara am, kontrak, tanah, syarikat dan lain-lain) serta kanun jenayah (criminal code). Jadi istilah sivil di sini merujuk pengamal mahkamah sekular menjadi medan bicara kes sivil.

Tulisan kali ini cuba mengupas secara umum kesan kehadiran Akta Undang-Undang Sivil 1956 (semakan 1972) terhadap perundangan syariah di Tanah Melayu.

Setahun sebelum British meninggalkan Malaya Civil Law Act 1956 dikanunkan. Ia memperuntukkan bahawa “Common Law of England” dan “the rules of equity” seperti yang berkuatkuasa di England pada 7 April 1956 hendaklah di pakai, melainkan jika ianya didapati tidak sesuai dengan keadaan di sini. Demikian juga dengan undang-undang perdagangan. Peruntukan ini juga terpakai di Sabah dan Sarawak. Namun menurut Prof Aziz Bari, perinsip ini bukan bermakna kesemua Common Law Inggeris diborong masuk melainkan jika tiada undnag-undang tempatan dalam hal tertentu. Namun begitu ia masih sebuah cek kosong yang membenarkan kebanjiran keputusan Mahkamah Inggeris ke dalam perbendaharaan mahkamah sekular Malaysia.

Benar kata Dato’ Abdul Hamid bin Haji Mohamad (Hakim Mahkamah Rayuan, Malaysia) bahawa pembahagian antara “mahkamah syariah” dengan “mahkamah sivil” adalah jelas berdasarkan peruntukan 121 (1A). Tetapi, pembahagian antara “undang-undang Islam” dengan “undang-undang sivil” tidaklah sejelas yang kerap dianggapkan.



Dato’ Abdul Hamid juga mempersoal isu mengapa setahun sebelum memberi kemerdekaan kepada Malaya (pada masa itu) undang-undang Akta Undnag-Undang Sivil 1956 dibuat. Adakah pihak British ingin memastikan bahawa Malaya yang merdeka akan terus memakai “Common Law of England”dan “the rules of equity” sepertimana British ingin pastikan pemakaian “basic law” di Hong Kong apabila proses penyerahan balik ke China?

Common Law ada semangat dan egonya tersendiri. Undang-undang Inggeris merupakan hasil dari suatu tradisi yang panjang dalam perjalanan sejarah, dan tidak terganggu oleh Revolusi bermula sejak tahun 1066 M sebelum penaklukan Norman, hingga kini. Pada Common Law ciri tradisionalnya ditekankan. Hal ini menyebabkan doktrin Akta Undang-Undang Sivil 1956 cukup berkesan meresap ke dalam penghakiman tempatan walaupun puluhan tahun penjajah meninggalkan kita.



Akta ini menentukan bahawa apabila tidak ada peruntukan tentang sesuatu kes yang dibuat maka undang-undang Common Law Inggeris dan kaedah Equity yang ditadbirkan di England pada 7 April 1956 hendaklah diterima pakai di Semenanjung Malaysia.

Sebenarnya ini membawa maksud, setelah kejatuhan kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah, negara umat Islam yang bernaung di bawah panji Turki benar-benar dijajah jiwa dan fizikal, sehinggakan undang-undang yang ingin dilaksanakan di dalam Negara mereka pun diganggu gugat penjajah.

Misalnya, sekiranya undang-undang tempatan berhubung dengan prinsip undang-undang tertentu tidak ada, maka seksyen 5(1) Akta Undang-undang Sivil 1956 (Semakan 1972) menyebutkan seperti berikut:

Dalam segala masalah atau isu yang timbul atau yang perlu diputuskan di dalam negeri-negeri selain Melaka dan Pulau Pinang mengenai undang-undang perkongsian, perbadanan, bank dan urusan bank, prinsipal dan ejen, pembawa melalui udara, darat dan laut, insurans laut, averej, insurans nyawa dan kebakaran dan mengenai undang-undang persaudaraan umumnya, undang-undang yang harus ditadbirkan hendaklah sama sebagai yang ditadbirkan di England dalam perkara yang sama pada tarikh berkuatkuasa Akta ini…”

Menurut peruntukan Akta Undang-Undang Sivil 1956 juga , Common Law yang menjadi kiblat kepada Malaysia ialah Common Law yang digunakan di England sebelum 7 April 1956 bagi Semenanjung Malaysia, 1 Disember 1951 bagi Sabah dan 12 Disember 1949 bagi Sarawak.

Suatu ketika Prof. Ahmad Ibrahim pernah menggesa supaya parlimen membubar undang-undang sivil yang bercanggah dengan prinsip keadilan dan diganti dengan undang-undang Islam.



Menurut beliau Akta Undang-Undang Sivil 1956 perlu dipinda supaya tidak memerlukan Mahkamah Sivil merujuk kepada Common Law England dan kaedah- kaedah ekuiti yang ditadbirkan di England. Cadangan beliau pula Mahkamah Sivil hendaklah diberi kuasa mengadakan dan mengikut Common Law Malaysia, yang boleh diubahsuaikan dengan merujuk kepada hukum syarak, apabila pihak-pihak di dalam suatu kes itu ialah orang Islam.

Misalnya dalam akta-akta tertentu tanpa diubah kepada nama Islam, dimasukkan nilai dan semangat Islam secara bebas tanpa pelru mengimport prinsip Inggeris.

Beliau juga mengesyorkan supaya undang-undang sedia ada tentang hukum balas dipinda jika wali atau ahli waris memberi kemaafan berdasarkan hukum Diyat.

Begitu juga berdasarkan Seksyen 27 Akta Undang-Undang Sivil mengenai hak jagaan kanak-kanak yang memerlukan rujukan dibuat kepada undang- undang di England hendaklah dimansuhkan oleh kerana Malaysia telah mempunyai undang-undang bertulis mengenai perkara itu bagi orang-orang Islam dan orang-orang bukan Islam.

Tokoh seperti Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim juga mengkritik akta ini. Beliau telah mencadangkan rujukan kepada Common Law Inggeris dimansuhkan daripada undang-undang sivil negara ini kerana ia menggambarkan minda pengamal undang-undang tempatan yang masih terjajah.

Beliau juga menegur sesetengah pengamal undang-undang yang terus mengguna pakai Common Law Inggeris dalam kes-kes perbicaraan tertentu serta menyifatkan mereka sebagai ‘katak di bawah tempurung penjajah’.

Dalam sepucuk surat daripada Tun Dato’ Seri Mohd. Eosoff B. Chin Ketua Hakim Negara Malaysia kepada Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman, Hakim-Hakim Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendaftar, Penolong Kanan Pendaftar Majisteret, beliau mengingatkan agar tidak terburu-buru mengimport masuk Common Law dalam keputusan penghakiman mereka.

Beliau dalam surat bertarikh 25 Mei 1999 memetik Seksyen 3 (I) (al (b) dan. '(C) iaitu
"Common law of England" dan "rule of equity" hanya boleh dipakai di Malaysia -
I) jika tidak ada apa-apa undang- undang bertulis di Malaysia mengenai sesuatu perkara itu;
ii) prinsip- prinsip "common law" di England selepas tarikh- tarikh yang disebutkan dalam perenggan (al {b) dan (c) seksyen 3 '(1) itu tidak. mengikat mahkamah- mahkamah di Malaysia;

iii) pemakaian prinsip "common law'' di England dan "rule of equity" itu adalah tertakluk kepada proviso kepada seksyen 3(1) itu, iaitu kepada adat resam dan budaya penduduk-penduduk diMalaysia.

Oleb itu kata beliau janganlah para hakim terburu-buru untuk menerima pakai tanpa mengkaji dengan mendalam keputusan-keputusanyang diputuskan dalam Mahkamah England selepas tarikh- tarikh yang ditetapkan oleh Seksyen 3, Akta Undang-undang Sivil 1956 itu.

Firman Alah
Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” (Al-Ma’idah :50).

Proses mengislamkan kehakiman Malaysia sebenarnya terletak kepada iman para pemimpin Islam. Ia tidak mustahil dilakukan. Sebenarnya kebanyakan apa yang kerapkali dipanggil “undang-undang sivil”, itu sebenarnya, tidak bercanggah dengan apa yang dipanggil “undang-undang Islam”. Malah terdapat banyak persamaan antara kedua-dua prinsip undang-undang.

Undang-undang Common Law dan Civil Law juga dipercayai mengadaptasi banyak prinsip islam untuk melengkapkan perbendaharaan undang-undang mereka.
Contohnya didapati daripada kata-kata pendahuluan yang ditulis oleh David Musa Pidcock dalam buku “Napoleon and Islam” yang mengatakan bahawa 96% daripada Code Napoleon adalah diambil daripada fatwa dan pendapat Imam Malik.

Menilai tahap pengislaman undang-undang Malaysia juga pelru adil. Jangan sesekali mengaggap kesemua akta yang dilulus Parlimen bercanggah dengan Islam. Dalam prinsip siasah syariyyah dan masoleh mursalah, pemimpin boleh mencipta peraturan yang memandu masyarakat jika ia tiada dalam korpus fiqh Islam.

Kata Dato’ Abdul Hamid bin Haji Mohamad,
kita perlu melihat kepada isinya, bukan hanya kepada nama yang diberi. Bagi saya, semua undang-undang yang tidak bercanggah dengan undang-undang Islam adalah “Islamik (dari aspek semangatnya)”,

Bertam,
11.11 malam


22 Jan 2014

Sunday, January 19, 2014

FAKTA PENTING- Kerajaan Malaysia Dan Sin -Tax (CUKAI HASIL DOSA)


FAKTA PENTING- Kerajaan Malaysia Dan Sin -Tax (CUKAI HASIL DOSA)
Muhammad Nuruddin Bashah
Aktivis Gerakan Sokong Syariah (GESA)
Unit Kajian Ilmiah MAPIM Utara
Firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 219:

Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya adadosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: Dermakanlah apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir.
  1. Cukai dosa (Sin Taxadalah sejenis cukai sumptuary : cukai khusus dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan secara amnya tidak diingini,
  2. Contohnya alkohol dan tembakau , perjudian, dan kenderaan yang mengeluarkan bahan pencemar yang berlebihan.
  3. Penerimaan cukai sumptuary mungkin lebih besar daripada cukai pendapatan atau cukai jualan.

ARAK1
Akta-akta berkaitan arak
  1. Arak di kedai serbaneka dibenarkan oleh UMNO!
    1. Kerajaan Malaysia (dipimpin oleh UMNO-Islam) - luluskan Akta Eksais 1976 (Akta 176)
    2. Juga Peraturan-Peraturan Eksais (Penjualan Liqour yang memabukkan) 1976.
  2. Lesen arak Lesen Eksais/Bia yang dibenarkan oleh kerajaan Malayia (UMNO-Islam)
    1. Jualan Runcit - jualan sahaja dan tidak dibenarkan minum di premis
    2. Rumah Awam Kelas I menjual minuman keras secara runcit
    3. Rumah Awam Kelas II tidak termasuk todi.
    4. Rumah Awam Kelas III Jual dan minum di premis sahaja
    5. Pemborong - jualan sahaja dan tidak dibenarkan minum di premis.
  3. Akta longgar, misalnya;
    1. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), hanya boleh ambil tindakan - Perintah Perihal Dagangan (penggunaan perbahasan 'halal' dan penandaaan makanan) 1975, juga di bawah Akta 87 turut digunakan untuk penguatkuasaan status halal.
    2. Akta Kastam 1967, Seksyen 2(1) mentakrifkan in toxicating liquor atau alkohol yang memabukkan ialah cecair yang mengandungi 2% sahaja alcohol proved atau pun alkohol mutlak.
    3. Akta Eksais 176,
      1. Seksyen 20(1) sudah menetapkan semua rak yang disuling atau yang ditapai memerlukan lesen.
      2. Seksyen 32(1) yang mensyaratkan penjualan liquor yang memabukkan juga memerlukan lesen.
      3. Namun Seksyen 32(1)(a) dan (b) pula mengecualikan jualan runcit bir atau todi dalam botol atau dalam tin dan ini tidak memerlukan lesen.
      4. Seksyen 32(1) (c) pula membenarkan jualan runcit liquor yang memabukkan di kedai-kedai bebas duti yang dilesenkan di bawah Seksyen 65 (d) Akta Kastam 1967.
      5. Dalam Seksyen 32 (3) pula memberi kuasa mutlak kepada Menteri (Kewangan) untuk membenarkan sesiapa sahaja menjual secara runcit apa-apa liquor yang memabukkan.
      6. Seksyen 32(c) - sekiranya jualan runcit liquor ini tidak melebihi 27 liter - tidak memerlukan lesen.
      7. Jadi kalau undang-undang induk dalam Akta Eksais mengatakan bahawa bir boleh dijual. Maka pihak PBT tiada kuasa untuk mengehadkan jualan bir itu. Inilah masalah yang dihadapi oleh PBT.
  4. Percanggahan undang-undang syariah-sivil dalam hal arak
    1. Seksyen 19(1) dan Seksyen 19(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan telah mengatakan bahawa adalah menjadi kesalahan mana-mana orang Islam kalau diabuat, dia minum, dia jual, dia pamer, dia beli, dia menyimpan semuanya minuman mabuk dia salah.
    2. Enakmen syariah ini tidak mampu dilaksanakan apabila Akta Eksais membenarkan.
    3. Kes boleh dicabar ke Mahkamah Sivil melalui Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan sebagainya.
    4. Beer adalah kategori minuman (yang juga memabukkan) dengan kandungan alkohol yang rendah - tetapi tidak tertakluk kepada akta-akta tadi. Dari sudut perundangan yang ada di Negara ini, ia setaraf coca-cola, pepsi, 7-up dan lain-lain minuman ringan dalam tin. ini yang banyak diminum dan mudah didapati di kedai 24 jam dan kedai restoren bukan Islam. Budak-budak melayu Islam yang kita emosikan tadi kebanyakkannya melanggah yang jenis ini.
    5. Jika ditangkap, didakwa di bawah Enekmen Jenayah Syariah boleh dibebaskan.
UMNO-BN dan arak bagai isi dan kuku
  1.  The Star (Isnin 23 May 2011) atas tajuk: Malaysia di antara 10 negara seluruh dunia yang terbanyak peminum arak, walaupun penduduk dan keluasannya boleh dikatakan kecil.
  2. Kerajaan Kedah (PAS) sebelum ini tidak mampu membuat perubahan di Langkawi kerana Akta Eksais 176 seksyen 32(1) (c) memberi pengecualian kepada kedai runcit bebas duti yang dilesenkan dibawah seksyen 65(D) Akta Kastan 1967.
  3. UMNO tidak pernah membantah iklan arak berbahas Inggeris dalam akhbar bawah MCA (The Star)
  4. UMNO-Islam tidak pernah membantah arak dihidangkan dalam pesawat MAS
  5. Ucapan DR SITI MARIAH MAHMUD (PAS-Kota Raja), di Parlimen pada 29 Mac 2010 Malaysia menduduki tangga kesepuluh terbesar dalam pengambilan arak di dunia.
  6. Walau pun kita hanya mempunyai 26 juta rakyat tetapi kedudukan kita sepuluh tertinggi di dunia.
  7. Rakyat Malaysia dikatakan membelanjakan USD 500 juta iaitu lebih kurang RM1.75 bilion untuk minuman keras.
  8. Penjualan bir berkembang di antara 5% hingga 7% setahun. Ia melebihi kadar pertumbuhan penduduk pada kadar 2.4% dan umur purata ketagihan arak ialah 22 tahun2.
  9. Semakin ramai remaja mula mengambil minuman beralkohol dan 45% dari belia Malaysia di bawah umur 18 tahun mengambil alkohol secara regular.
  10. Amerika - terdapat 10 hingga 15 juta penagih arak dan daripada jumlah itu 4.5 juta adalah daripada kalangan remaja. Jumlah kematian yang disebabkan oleh arak di Amerika adalah 100,000 orang setiap tahun.
  11. November, 2001, sebuah institut yang berkaitan dengan masalah alkohol di Amerika yang dikenali sebagai National Institute on Alcohol Abuse And Alcoholism melaporkan, kerosakan dan kerugian berpunca daripada penggunaan alkohol berjumlah $185 bilion setahun.
  12. UK BBC News bertarikh 17 Ogos, 2001 melaporkan, peratus wanita yang mengambil alkohol melebihi kadar yang diizinkan meningkat sebanyak 50% di dalam masa 10 tahun.
  13. Amerika - National prohibition of alcohol (1920-33)--the "noble experiment" pada awalnya berjaya kurangkan penggunaan, kemudian naik mendadak seiring dengan jenayah dan amsalah sosial. Gagal diharamkan jika tanpa kefahaman3.
  14. Badan Kesehatan Dunia (WHO) pada tahun 2011 mencatat sebanyak 2,5 juta penduduk dunia meninggal akibat alkohol dan sekitar 9 persen dari kematian itu terjadi pada orang muda berusia 15-29 tahun.
  15. Minuman keras tidak dimasukkan sekali dalam Akta Dadah Berbahaya sedangkan kesannya ke atas kehidupan manusia ataupun rakyat begitu meluas sekali.
JUDI
  1. Akta-akta berkaitan judi
    1. Akta Pertaruhan 1953 (Akta 495)- pengawalan perjudian dan rumah judi terbuka.
    2. Akta Betting And Sweeptake Duties Act 1948 (Akta 201)
    3. Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) -“Perjudian adalah permainan yang berasaskan nasib atau kepandaian dan nasib bagi pertaruhan wang atau barang ganti wang dan termasuk sebarang permaian dibawah ruangan 1 jadual pertama dan kedua Akta Rumah Perjudian Terbuka”.
    4. Akta Cukai Perjudian 1972 ( Akta 65)
    5. Akta Loteri 1952 (Akta 288) - pengawalan perjudian bagi sebab keagamaan, pelajaran.
    6. Akta Pertaruhan Pool 1967 (Akta 384)- penubuhan lembaga bagi mengurus perlesenan, operasi pertaruhan mesin slot pool)
    7. Akta Eksasis 1976 [Akta 176],
    8. Akta Perlumbaaan (Lembaga Totalisator) 1961[Akta 494]
    9. Akta Duti Pertaruhan Dan Ambil
    10. Tagan 1948 (pertaruhan) [Akta 201].
UMNO-BN dan judi bagai isi dengan kuku
  1. Siapa kawal perlesenan judi?
    1. Akta Perlesenan Perniagaan 1948 telah pun diisytiharkan sebagai undang-undang Persekutuan sebagai mengikut Perlembagaan Persekutuan. Di bawah Ordinan tersebut, Kerajaan Negeri tidak ada kuasa di sisi undang-undang untuk memberi apa-apa arahan kepada Pihak Berkuasa Pelesenan supaya tidak mengeluarkan Lesen Perniagaan Judi.
  2. Kerajaan Pakatan Rakyat sukar membendung industri judi kerana;
    1. Perlembagaan Persekutuan JADUAL KESEMBILAN [Perkara 74, 77]
Senarai Perundangan
Senarai I—Senarai Persekutuan
4. Undang-undang dan tatacara sivil dan jenayah dan pentadbiran keadilan, termasuk—
(l) Pertaruhan dan loteri
Senarai II—Senarai Negeri
(f) Pelesenan panggung, panggung wayang dan tempat hiburan awam.
  1. Apa yang mampu kerajaan Pakatan Rakyat lakukan?
    1. Kerajaan negeri, hanya ada kuasa hadkan premis judi melalui Pihak Berkuasa Tempatan iaitu melalui Undang-Undang Kecil [Penggunaan Premis-Premis].
    2. Undang-Undang Kecil ini adalah dibuat di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1961, dan oleh itu ditadbir oleh Kerajaan Negeri.
    3. Kerajaan negeri hanya boleh hadkan premis atau tempat judi, bukannya lesen judi.
    4. Lesen judi hanya dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat, Premis di bawah kerajaan negeri. Di Kelantan, judi langsung tiada premis disebabkan itulah lesen tidak bermanfaat di Kelantan.
  2. Hentikan jadikan perlancongan judi sebagai ikon negara
    1. Sepertimana Las Vegas dijadikan ikon perlancongan judi di Amerika. Malaysia kini terkenal melalui Genting Highland yang menjadi lubuk dosa kepada negara Islam, contoh kepada negara OIC lain, sepertimana yang dibanggakan oleh pemimpin UMNO.
    2. Genting Highlands Resort kadang-kadang dikenali sebagai Las Vegas Malaysia kerana di sinilah didirikan satu-satunya kasino yang diniagakan secara sah di Malaysia.Genting Highlands Resort dibina oleh Tan Sri Lim Goh Tong Kasino ini dikendali oleh Kumpulan Genting. Kawasan percutian ini juga terdiri daripada beberapa hotel yang dimilik anak syarikat Genting, termasuk Genting Hotel, Highland Hotel, Resorts Hotel, Theme Park Hotel, Awana Genting dan First World Hotel.
    3. First World Hotel mempunyai sejumlah 6,118 bilik, menjadikannya hotel terbesar di dunia pada masa kini, mengatasi MGM Grand Las Vegas, bekas pemegang gelaran hotel terbesar di dunia dengan 6,118 bilik. Kemudahan-kemudahan lain dalam kawasan percutian ini termasuk taman tema, padang golf, pusat beli-belah, simulator terjun langit, dewan konsert dan banyak lagi.
  3. Masih ramai umat islam masuk ke premis judi walaupun ada papantanda judi itu haram bagi orang muslim.
    1. kesalahan berjudi bagi individu Islam pula diperuntukkan dalam Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Negeri-Negeri. Sebagai contoh Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559]. Seksyen 18 menyatakan, antara lain seperti berikut: ―18. Berjudi (1) Mana-mana orang yang berjudi, atau didapati berada di rumah judi, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didendatidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
    2. Peruntukan undang-undang yang sedia ada kelihatan tidak mampu menghalang kaum muslim terutama melayu daripada memasuki premis judi. Masih ada melayu bebas masuk ke kedai tikam nombor.

  1. Pengarah syarikat judi masih ada yang beragama Islam. Sedangkan umat islam dilarang masuk ke premis judi dan dihalang berjudi.
Fakta daripada buku 'Malaysia, Darul Kasino' Cetakan Pertama Jun 2003 oleh Datuk Husam Musa, EXCO Kerajaan Negeri Kelantan (sehingga 2010) terbitan Lajnah Penerangan PAS Pusat, saham pemimpin melayu islam dalam syarikat judi adalah : 
Dalam Magnum Corporation Sdn Bhd:
  1. Bekas EXCO Pemuda UMNO, Datuk Mohamed Al-Amin Al-Haj.
  2. Bekas Menteri Pelajaran dan bekas Pengarah Magnum Corporation Sdn Bhd, Tan Sri Khir Johari
  3. Bekas Peguam Negara dan Pengerusi Suhakam, Tan Sri Abu Talib Othman.
  4. Anak perempuan Tan Sri Abu Talib, Nor Anita Abu Talib.
b) Dalam Genting Berhad
  1. Bekas Spekaer Dewan Rakyat, bekas Pengerusi Genting Bhd serta datuk kepada Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Tan Sri Noah Omar.
  2. Yayasan Noah (kini diwarisi oleh Najib dan Hishammuddin)
  3. Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Amin Othman dan bekas Pegawai Bank, Dato’ Paduka Nik Hashim Yusof menjadi Pengarah Genting Berhad.
  4. Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Wan Sidek Wan Abdul Rahman dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Alwi Jantan merupakan Pengarah Resort World.c) Dalam Sports Toto
  1. Sports Toto yang diasaskan pada tahun 1969 dimiliki Tan Sri Vincent Tan, kroni Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Setiausaha Kerja UMNO Malaysia.
  2. Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.
  3. Dua orang bekas pegawai kanan polis, Tan Sri Jaafar Abdul dan Mohamad Salleh Gomu, adalah Pengarah Sport Toto.
Datuk Anuar Zaini dan Datuk Sulaiman Mohd Noor (Pengarah Berjaya Land Berhad).
4. Sinonim kerajaan UMNO dengan judi Kenyataan dangkal pemimpin UMNO terhadap judi

  1.  Umno mengingkari fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Pulau Pinang pada tahun 1951 iaitu Tuan Haji Abdullah Fahim ( Tok Wan mantan PM Tun Abdullah Ahmad Badawi) bahawa judi loteri adalah haram. Ulamak di dalam Umno membantah loteri kebajikan adalah haram. Pemimpin Umno tidak memperdulikan bantahan ulamak dalam Umno, berakhir dengan episod penubuhan PAS pada 24 November 1951.
  2. Loteri Kebajikan Masyarakat yang diwujudkan semasa pemerintahan Tunku Abdul Rahman kekal sehingga sekarang walaupun dengan penjenamaan semula seperti 4 Nombor Ekor, Sports Toto dan sebagainya.
  3. Pada tahun 1991, kerajaan Malaysia telah menutup operasi Lembaga Loteri. Penjualan tiket Loteri Kebajikan Masyarakat (LKM) ini sebenarnya sudah sekian lama bergerak. Ketika itu ramai umat Islam keliru sama ada tiket Loteri Kebajikan Masyarakat ini ditakrifkan sebagai judi atau tidak kerana ia berlabelkan ‘kebajikan untuk masyarakat’.
  4.  Apabila tamat tempoh operasi LKM, tidak pula memberi kesan positif kepada rakyat. Pemberhentian LKM tidak begitu banyak hilang hasilnya kerana syarikat judi lain terus membayar cukai lantaran budaya judi semakin meningkat.
  5. Kerajaan UMNO-Islam (bukan DAP) telah menganugerahkan kepada Lim Goh Tong tanah di Genting Highland untuk industri judi yang terbesar di Asia Tenggara. Hasil negara sebahagiannya adalah dari hasil judi.

Isu Sin Tax (cukai hasil dosa)
  1. Cukai sin-tax dimasukkan dalam Akaun Disatukan- antaranya bayar gaji penjawat awam.
  2. Sumber pendapatan negara hasil dari arak, judi, pelacuran berlesen, riba', rampasan hak petroleum, penindasan terhadap rakyat merupakan satu pendapatan yang tidak berkat dan negara akan terus dihimpit dengan hutang yang semakin lama semakin bertimbung tanpa jalan penyelesaian.
  3. Menurut Us Zaharudin Abd Rahman4 -
  1. Selagi mana mereka melakukan kerja-kerja dan tugasan yang halal. Beban dosa dari tugasan haram tadi pula akan ditanggung oleh setiap orang atasan yang membuat keputusan.
  2. Dari sudut percukaian pula, adalah DIBENARKAN atau harus pihak kerajaan Islam tadi menerima cukai hasil perniagaan arak tadi memandangkan ia dikutip menurut peruntukan hukum Islam yang sohih. Harta tersebut boleh digunakan untuk maslahat awam termasuk membayar gaji kakitangan awam tanpa sebarang masalah.
Arak-Hasil pendapatan negara
  1. Duti Eksais arak dikecualikan kepada Syarikat Air Asia X Sdn Bhd melalui Perintah Duti Eksais (Pengecualian) (Pindaan) No 2 (2008) yang diwartakan pada 1 Jun 2008.
Judi-Hasil pendapatan negara
  1. Jawapan Menteri Kewangan dalam pertanyaan lisan daripada Ahli Parlimen Padang Terap Nasir Zakaria.
    1. sebanyak 1818 lesen perjudian telah dikeluarkan oleh kerajaan kepada sembilan syarikat termasuklah, Genting Malaysia Berhad, Sport Toto Sdn Bhd, Magnum Corporation Sdn Bhd, Sarawak Turf and Equestrian Club dan Pan Malaysian Pools Sdn Bhd.
  2. 2014- terdapat tambahan sebanyak 66 kali cabutan nombor ekor untuk diperjudikan di Semenanjung Malaysia
  3. 2014-jumlah hari perjudian cabutan nombor ekor 178 hari.
  4. Jawapan Menteri Kewangan pada sidang Parlimen September 2013, kerajaan Malaysia telah mengutip RM70.8 juta untuk cukai cabutan khas bagi tempoh Januari hingga Jun 2013.
  5. Jawapan Parlimen pada 31 Oktober 2013 juga menjelaskan jumlah cukai pertaruhan daripada enam syarikat operator nombor ramalan bagi tahun 2008 hingga 2012 adalah RM6.3 bilion.Purata kerajaan mengutip RM1.26 bilion setiap tahun daripada perjudian nombor ramalan tidak termasuk daripada Kasino Genting Highlands dan mesin slot di kelab persatuan atau persendirian.
  6. Mesin slot, cukai yang dikutip kerajaan RM73.6 juta, pada tahun 2010, RM77.3 juta (2011) danRM82.4 juta (2012).
  1. Mutakhir hasil kutipan judi ;
      1. Tahun 2008 sebanyak RM2,202,054,597.67,
      2. 2009 (RM2,292,892,729.5),
      3. 2010 (RM2,335,160,184.27)
      4. 2011 (RM2,486,975,543.29).
      5. Jumlah = RM9,317,068,054.74

Bertam
12.21 malam 20 Jan 2014
1 Tokoh Islam kontemporari, Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi misalnya pernah mengeluarkan pandangan bahawa penggunaan kandungan alkohol sebanyak 0.5 peratus adalah dibenarkan. Alkohol yang dimaksudkan adalah etanol yang mungkin digunakan sebagai pelarut atau pembawa kepada bahan seperti perisa atau pewarna makanan. Istilah alkohol yang dimaksudkan di sini bukanlah arak. Kerana jika arak ditambah, walaupun pada kadar yang sedikit, tidak memenuhi keperluan halal.Alkohol, secara umumnya pula merujuk kepada etanol tulen dan etanol nyahasli pada sebarang kepekatan (proof). Secara kimia, alkohol merujuk kepada sebarang sebatian kimia yang mengandungi kumpulan hidroksil (-OH).
2 Malaysia arak murah - 40 % alkohol. Beer terkuat di dunia Snake Venom 67.5% alkohol.

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)