Tuesday, February 11, 2014

Hudud- jangan kritik hanya kerana isu teknikal perlaksanaan


Hudud- jangan kritik hanya kerana isu teknikal perlaksanaan
Muhammad Nuruddin Bashah
Aktivis Gerakan Sokong Syariah (GESA)
Unit Kajian Ilmiah MAPIM Utara
Dalam perlaksanaan Kanun Jenayah Islam yang dikenali sebagai Hudud dan Qisas aspek teknikal perlaksanaan dan falsafah perlaksanaan adalah dua perkara yang wajar diberi perhatian serius. Malah dalam apa wacana sekalipun keseimbangan dua aspek ini amat perlu untuk memastikan wacana hudud tidak bersifat skeptikal, bias dan tidak adil.
Penulis merujuk laporan isi kandungan pembentangan kertas kerja "Implementation of Hudud in Brunei Darussalam: Differences between Brunei Darussalam and Malaysia” oleh Tun Abdul Hamid Mohamad yang merupakan Bekas Hakim Negara dalam seminar di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS).


Tindakan pengamal undang-undang sivil ini mengkritik hudud di peringkat antarabangsa melalui penelitian aspek tektikal dan teknikal semata-mata kelihatan merugikan ‘milage’ dakwah Islam. Malah kupasan beliau sebelum ini juga kelihatan INGIN menampilkan kekurangan, kelemahan undang-undang Allah sendiri walaupun mungkin beliau mungkin sedar siapakah pencipta hukum hudud berkenaan.
Antara aspek teknikal yang beliau utarakan adalah;
  1. Selepas Sudan mengisytihar Hudud, para peguam dan hakim terpaksa mencari bahan rujukan hudud kerana mereka sebenarnya tidak bersedia untuk melaksana hudud.
  2. Keadilan tidak mampu diberi kerana masalah 4 saksi yang dituntut oleh penguatkuasa negara tertentu yang melaksana hudud.
  3. Kecelaruan polis dan peguam jika hudud dilaksana di Malaysia.
Isu-isu ini sebanarnya menampilkan ketidaksediaan untuk melaksana hudud. Misalnya apabila beliau merujuk Sudan dan Mali sebagai negara yang gagal dalam aspek mengawal jenayah malah berada di rangking bawah bagi penelitian aspek keamanan dalam negara berbanding negara-negara bukan Islam yang jauh lebih maju dan aman.
Hudud hanya boleh dilaksana selepas aspek asas kemanusiaan ditangani oleh pemerintah. Tidak dapat dinafikan kegagalan hudud di Pakistan dan Sudan berpunca daripada ketidaksediaan pemerintah mencipta suasana, prasarana dan kemudahan yang sesuai untuk dilaksanakan. Mengambil kondisi negara ini untuk dibanding dengan negara tanpa hudud adalah perbandingan yang salah kerana hukum hudud adalah hukuman Allah sebaliknya yang diperbandingkan adalah negara yang mungkin tidak melaksana hudud secara tepat dan menyeluruh. Malah bagi negara seperti Nigeri hanya sebuah negerinya sahaja melaksanakan hudud. Justeru tidak layak dibanding kondisi purata negara Nigeria untuk menilai prestasi hudud di situ.

Memetik penulisan Dr Asri Zainal Abidin beliau merujuk melalui The Oxford Encyclopedia of the Modern Islamic World, John L. Esposito menyebut bahawa sekalipun hudud dijadikan undang-undang di beberapa negara tetapi tidak dilaksanakan, ini seperti di Libya dan Pakistan. Sementara di Sudan dan Utara Nigeria hanya dilaksanakan beberapa tahun selepas diperkenalkan, kemudian dihentikan. Pada zaman kini hanya Arab Saudi menjadi contoh dalam perlaksanaan hudud.
Hukuman hudud memang merupakan undang-undang yang keras. Malah ada yang nakal menyatakan ia tidak bertamadun. Persoalannya, adakah mencuri, pecah rumah, meragut, merompak peniaga yang banyak berlaku hari ini adalah satu perbuatan yang bertamadun? Orang bukan Islam tidak perlu takut kerana mereka terlepas dari hukuman hudud.
Malah sebenarnya orang yang bukan penjenayah langsung tidak perlu takut kepada hukuman hudud kerana ia hanya dikenakan kepada mereka yang buat jenayah dan mereka yang baik-baik akan dilindungi.
Sebenarnya pada tahun 2013 Tun Mohd Azmi juga pernah memberi contoh bagaimana di Pakistan terdapat kes para mangsa rogol tertindas sehingga membunuh diri hanya kerana polis menyoal mereka untuk dibawa 4 saksi.
Hudud ini juga mempunyai prosedurnya yang lebih ketat dan syarat pembuktian yang juga lebih ketat. Apabila ia lebih ketat dari undang-undang yang sedia ada, maka bukanlah mudah untuk menjatuhkan hukuman terhadap penjenayah. Polis dan pihak pendakwaraya perlu melakukan kerja yang lebih keras, lebih tepat dan lebih betul.
Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut:
Aku ingin agar diberikan perhatian tentang perkara yang penting mengenai hudud; bahawa Islam tidak terkejar-kejar mencari bukti, tidak mengintai untuk melaksanakan hukum ke atas pelaku kesalahan, tidak mencipta alat untuk mencari rahsia pelaku maksiat atau memasang kamera tersembunyi mengambil gambar ketika mereka melakukan jenayah. Tidak pula menguatkuasakan polis pencari jenayah atau perisik untuk mengintip mereka yang menyanggahi syarak sehingga ditanggap yang terbabit. Bahkan kita dapati panduan Islam dalam hal ini tegas setegas-tegasnya dalam memelihara kehormatan peribadi manusia, pengharaman tajassus (mengintip) dan mencari keaiban manusia. Tidak boleh dilakukan oleh individu, tidak juga oleh pihak kerajaan”.
Lantaran itu Tun Abdul Hamid mungkin terlupa wujudnya takzir. Takzir malah jauh lebih berat hukumannya dalam keadaan tertentu jika tiada hukuman hudud yang disabitkan. Takzir akan menjadi pilihan para hakim selepas gagal mensabitkan kesalahan dengan kaedah hudud atau kesalahan tidak termasuk dalam senarai hukuman hudud. Isu wanita tertindas dirogol tanpa pembelaan adalah masalah teknikal perlaksanaan negara tertentu yang sebenarnya idak bersedia pun untuk melaksana hukuman Allah ini.
Orang bukan Islam boleh memutuskan tidak mahu hudud dilaksanakan di atas mereka. Itu pilihan mereka sendiri di dalam negara demokrasi. Pemimpin Islam perlu menghormati pilihan tersebut. Tetapi pada masa yang sama, semua pihak perlu menghormati hak dan kewajipan orang Muslim untuk diadili dengan undang-undang jenayahnya sendiri. Inilah prinsip asas dalam negara demokrasi.
Beliau juga menyatakan bagaimana Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan bakal menghalang perlaksanaan hudud hanya ke atas kaum muslim atas alasan tidak adil untuk kaum muslim.
Sedangkan isu Perkara 8 boleh diselesai jika tafsiran Perkara 3 dikupas secara menyeluruh dan cenderung kepada pemartabatan syariah. Malah Hak Perkara 121(1a) yang membicarakan hukuman jenayah kaum muslim di Mahkamah Syariah tidak boleh dicabar di Mahakamah Sivil jika sedari awal jenayah kaum muslim itu di bawa ke Mahkamah Syariah. Masalah mungkin timbul jika jenayah dirujuk ke Mahkamah sivil terlebih dahulu di mana hakim sivil boleh menggunakan Akta Mahkamah Kehakiman 1964 sebagai perisai kepada Mahkamah Syariah.

Perkara 8 sebagai hujah kesamarataan muslim dan bukan muslim juga tidakrelevan kerana dalam hal faraid, isu mal dan pelbagai isu syariah lain mengapa ia boleh hanya dipraktik kepada kaum muslim tetapi dalam hal jenayah hudud pula Perkara 8 dikumandangkan sebagai alasan?
Bekas Hakim Negara itu juga mengkritik tindakan kerajaan negeri tertentu yang menggubal undang-undang hudud hanya kerana bidang kuasa agama berada dalam senarai kuasa negeri. Pada beliau negeri berkenaan seolah lupa peranan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan memang mampu menghalang kuasa negeri melaksana hudud kerana Jadual Kesembilan Perlembagaan tidak memasukkan senarai jenayah kepada senarai milik negeri. Maka melaksana hukum jenayah hudud di Mahkamah Syariah yang hanya diperingkat negeri dianggap tidak sah dan melanggar Perlembagaan. Begitu juga Perkara 4 juga membantu Jadual Kesembilan membenam hasrat kerajaan negeri melaksanakan hudud secara menyeluruh.
Negeri seperti Kelantan meluluskan enakmen hudud kerana ia tanggungjawab sebagai manusia yang menganut Islam. Soal ia mampu direalisasikan soal kedua. Meluluskan enakmen sepertimana tindakan Terengganu dan juga Brunei melambangkan kesediaan untuk patuh kepada undang-undang Allah. Isu tiada saksi sebagainya tidak timbul. Jika tidak mampu diperolehi saksi adil, takzir menjadi pilihan para hakim. Terlepas dari hudud disebabkan tidak menepati kriteria pendakwaan bukan bererti negara hudud melepaskan para penjenayah dan pesalah begitu sahaja.
Kelantan apabila diperintah oleh Angkatan Perpaduan Ummah pada tahun 1990 tidak gopoh meluluskan Enakmen hudud, sebaliknya isu kebajikan, keperluan dan penaiktaran tahap kehidupan rakyat diberi perhatian terlebih dahulu. Menghapus riba dan cukai dosa (judi-arak) dalam akuan negeri menjadi pilihan pertama. Selepas itu barulah Kelantan meluluskan enakmen hudud tersebut.
Tun Abdul Azmi juga kelihatan ghairah berkempen seolah-olah para penyokong hudud taksub untuk menghukum masyarakat. Pada beliau jika sesuai boleh diselesaikan tanpa hukuman mengapa perlu memilih hukuman. Kata beliau “The type of punishment is actually a means to achieve justice. If you could achieve justice without punishing, then why not? “ (Tun Abdul hamid Hudud will not cut crime rate, says ex-CJ Abdul Hamid, 5 April 2013).
Soalnya benarkah hudud terhegeh-hegeh mahu menghukum manusia atau rakyat? Jika ingin sabit saksi pun sukar ia jelas menunjukkan hukuman ini sukar disabit kesalahan tetapi wajib dilaksanakan, dinobat dan dijulang sebagai asas perundangan jenayah negara. Hukuman takzir boleh menggantikan hudud bila-bila sahaja bila gagal mensabitkan kes hudud. Tiada isu hudud mencenderungkan pimpinan untuk menghukum rakyat.
Jika menurut beliau ada penyelesaian selain hudud bagi kesalahan, tahukah beliau apakah kesalahan yang disabit dengan hudud? Jika mencuri misalnya, wajarkah dimaafkan jika merompak dan menyamun jutaan ringgit? Penyelesaian bentuk apakah lagi yang beliau mampu hidangkan? Seperti biasa, tanpa memenuhi syarat sabit hukum, kes mencuri juga boleh terlepas dari hudud seterusnya menerima hukuman takzir.
Untuk hukuman bunuh walaupun ada peruntukan qisas, Islam jauh lebih adil apabila membenarkan bayaran diyat jika keluarga mangsa memafkan kesalahan. Tetapi tidak bagi hukum svil yang tetap menghukum bunuh bagi si pembunuh walaupun menerima kemaafan keluarga mangsa. Ini bermakna selain qisas dan hudud ada penyelesaian diyat.
Penulis lebih suka membawa statistik negara Arab Saudi yang mengamal hudud berbanding membawa contoh Sudan yang miskin dan hanya separuh jalan melaksanakan hudud atau Mali yang bergolak teruk.
Jumlah kes jenayah di Arab Saudi sepanjang Tahun 2012 ialah 2669 Sahaja.
Januari-Mei 2012, Bilangan kes jenayah ialah 63,221, dan pada tahun 2011 ialah 157,891.
Inilah perbezaan ketara antara negara yang laksanakan syariah dan yang tidak melaksanakan syariah:
2,669 kes di Arab Saudi berbanding 160,000 kes di Malaysia, iaitu 60 kali ganda.
Perhatikan pula fakta di bawah : (tahun 2000)
Bagi jenayah rompakan perkapita dalam web yang sama memamparkan bahawa Malaysia berada di kedudukan 26 berbanding Arab Saudi pada tangga 60. Manakala negara yang kononnya demokratik dan berundang-undang bebas seperti Amerika Syarikat berada di tangga 11 manakala UK pada tangga ke 8 ( sumber: Seventh United Nations Survey of Crime Trends and Operations of Criminal Justice Systems, covering the period 1998 - 2000 (United Nations Office on Drugs and Crime, Centre for International Crime Prevention)
Menurut James Sheptycki, Ali Wardak, James Hardie-Bick dalam tulisan Transnational and Comparative Criminology. Routledge Cavendish muka surat 95 pada tahun 1988, kadar pembunuhan di Arab Saudi adalah 1.1 bagi setiap 100,000 penduduk, kesalahan seksual adalah 21.9 bagi setiap 100,000 penduduk, dan kecurian adalah 70.5 bagi setiap 100,000. Pada tahun 2002, sebanyak 84599 jenayah dilaporkan di Arab Saudi, atau 387 jenayah bagi setiap 100,000 orang. Menjelang tahun 2006 nombor-nombor telah turun dengan pembunuhan di 65.3 bagi setiap 100,000 penduduk, kesalahan seksual di 58.6 bagi setiap 100,000, dan kecurian kesalahan itu di 70.5 bagi setiap 100,000.
Jika aspek teknikal juga dibangkitkan lihat bagaimana Brunei belajar daripada Arab Saudi berkenaan kaedah, tatacara dan persediaan sebelum melaksana hudud.
Pada 9 Februari 2014 Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman telah mengadakan perjumpaan dengan Menteri Keadilan, Kerajaan Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Sheikh Dr. Muhammad bin Abdul Kareem Issa untuk menadapat nasihat berkenaan persediaan melaksana hudud.

Rombongan Brunei diberikan taklimat serta tayangan klip video mengenai pengurusan dan pentadbiran mahkamah-mahkamah, cara-cara perlaksanaan dan data statistik kes-kes jenayah syariah yang melibatkan hukuman hadd, qisas serta ta'zir di Kerajaan Arab Saudi dan kemudiannya turut dibawa melawat ke sekitar bangunan kementerian berkenaan bagi meninjau infrastruktur serta fasiliti yang terdapat di sana. Inilah contoh negara yang bersungguh dan ingin melaksana hukum hudud.


Bagi Malaysia pula mungkin terlalu banyak perlu dilakukan. Bukan sekadar menyedia pisau atau pedang pemancung kepala atau membeli rotan sebat sebanyak mungkin, kerajaan Malaysia perlu pinda dahulu beberapa perkara dalam Perlembegaaan persekutuan serta beberapa peruntukan dalam akta-akta tertentu. Inilah yang perlu dilakukan dahulu bukannya secara megah mengkritik perlaksanaan hudud secara simplistik.
Falsafah hudud adalah mencegah jenayah. Hudud juga membawa falsafah mentaati perintah Allah dan perlambangan kehambaan kita terhadap Allah. Janganlah hanya kerana kegagalan teknikal beberapa negara Islam dijadikan indikator dan dalil untuk menolak hukum Alah SWT.


Bertam 1 Feb 14.

12.27 malam

Saturday, February 8, 2014

SEJAUH MANA POLIS SYARIAH MAMPU BANTU SYARIAH DI MALAYSIA


SEJAUH MANA POLIS SYARIAH MAMPU BANTU SYARIAH DI MALAYSIA
Muhammad Nuruddin Bashah
Aktivis Gerakan Sokong Syariah (GESA)
Unit Kajian Ilmiah MAPIM

Ura-ura penubuhan pasukan polis khas yang dinamakan sebagai polis agama atau polis syariah kelihatan panas diperdebatkan mutakhir ini dan ia dipercayai semakin giat dibahas selepas kes pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raflie Ab Malik (gambar) yang mati selepas terkena tiga das tembakan di hadapan rumahnya. Reaksi awal jenayah itu dipercayai dilakukan oleh pengikut ajaran sesat atau syiah di Malaysia. Namun ternyataan dakwaan itu silap kerana suspek yang ditahan baru-baru ini adalah pengikut ajaran 'Tuhan Harun'.

Lantaran itu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dikatakan sedang memperincikan cadangan penubuhan sebuah pasukan polis khas bagi membanteras penyebaran ajaran sesat  di negara ini hanya kerana reaksi jenayah berkenaan.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku menteri KDN berkata cadangan itu antara lain akan membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan pegawai dan anggotanya di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai sebahagian daripada pasukan penguatkuasaan. Hal ini bermakna ia mungkin seperti pasukan polis bantuan, polis BSN dan Polis PLUS yang kini telah dipraktikkan untuk membantu sektor berkenaan. Menurut Tan Sri Musa Hasan jika sekadar status polis bantuan ia mungkin tidak membebankan PDRM.

Walaupun pihak KDN hanya mensasarkan kes ajaran sesat dan syiah yang hanya hari ini kelihatan menjadi ancaman keselamatan negara, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha pula mengesahkan bahawa unit itu akan ditugaskan untuk menguatkuasakan semua kesalahan jenayah Syariah dan bukan hanya berkaitan isu Syiah dan ajaran sesat sahaja.

Kerjasama Ahmad Zahid dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal Islam, Datuk Seri Jamil Khir Baharom kelihatan perlu dilakukan untuk merealisasikan hasrat penubuhan skuad ini.

Jika benar pasukan ini ditubuhkan untuk ditempatkan di JAKIM, ia telah menjawab persoalan segelintir ahli perundangan yang masih keliru kedudukan dan bidang kuasa pasukan ini sama ada ia akan hanya menumpu kepada kes kaum muslim atau juga mengambil kira rakyat bukan islam. Dengan diletakkan di bawah JAKIM semestinya ia hanya tertakluk kepada kaum Muslim sahaja.

Kumpulan perundangan sivil menggesa Kementerian Dalam Negeri dan Jakim supaya memberikan butiran lanjut mengenai penubuhannya dengan segera malah seperti dijangka hujah mereka hal ehwal agama berada di bawah bidang kuasa negeri manakala pasukan polis terletak di bawah kuasa Persekutuan. Hal inilah yang menjadi masalah dalam perlaksanaan syariah negara kita.

Jika polis ditempatkan di BSN dan PLUS ia kelihatan releven kerana bank dan PLUS antara bidangkuasa kerajaan persekutuan. Apabila agama hanya termaktub lesu dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan bidang kuasa menangani ajaran sesat dan syiah termasuk dalam senarai negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan menyebabkan kegusaran pendokong undang-undang sivil terhadap campur tangan PDRM yang berada dalam bidangkuada persekutuan terhadap bidangkuasa negeri-negeri.

Kelihatan benar syariah di negara ini tiada nilai dan diperlekehkan selagi mana senarai bidangkuasa agama Islam tidak diletak di peringkat persekutuan.

Sebenarnya tanpa lencana polis syariah pun PDRM sudah memiliki obligasi menguatkuasakan undang-undang syariah.


Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan dan Prosedur Jenayah Syariah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz sendiri mengakui bahawa, polis sudah mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan semua undang-undang Syariah.

Misalnya dalam Akta 560 AKTA TATACARA JENAYAH SYARIAH (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1997 kesalahan boleh tangkap” ertinya sesuatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh satu tahun atau lebih yang baginya pada lazimnya Pegawai Penguat Kuasa Agama atau pegawai polis boleh menangkap tanpa waran;

Dalam Seksyen 8. Tiap-tiap orang adalah terikat untuk membantu seseorang Hakim, Pegawai Penguat Kuasa Agama atau pegawai polis, yang semunasabahnya menghendaki bantuannya—
(a) dalam menangkap atau mencegah terlepasnya mana-mana orang lain yang Hakim, Pegawai Penguat Kuasa Agama atau pegawai polis itu diberi kuasa untuk menangkapnya; atau
(b) dalam mencegah suatu pecah keamanan yang timbul daripada penangkapan dan penahanan orang itu.

Antara undang-undang syariah melibatkan isu ajaran sesat yang telah lama dikuat kuasa melalui kerjasama PDRM adalah Seksyen 4-8 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan seksyen 3-6 Akta Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan kesalahan berhubungan dengan akidah yang merangkumi pemujaan, mendakwa orang bukan Islam untuk mengelakkan tindakan, takfir atau mengatakan mana-mana orang Islam adalah kafir, doktrin palsu5 dan dakwaan palsu.

Pasukan polis agama ini memang wujud di negara luar. Misalnya di Saudi Arabi seramai 3,500 unit khas polis dikendalikan oleh jawatankuasa hal ehwal agama dan pencegahan maksiat. Tugas mereka untuk menguatkuasakan undang-undang Syariah termasuk kod etika Islam yang merangkumi pengasingan antara lelaki dan wanita. Sebagai tambahan, pasukan itu juga mempunyai kuasa untuk menahan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti homoseksual, pelacuran, penzinaan serta tindakan mengajak orang menukar agama. Mereka juga berhak melarang penggunaan atau penjualan minuman beralkohol serta boleh merampas produk yang diharamkan dan bertentangan dengan Islam.

Di Aceh, Indonesia Polis Syariah mula beroperasi pada 2005 dengan bilangan anggota seramai 13 orang. Sehingga kini mereka mempunyai seramai 62 anggota termasuk 14 wanita. Tugas pasukan yang memakai uniform berwarna hijau zaitun ini ialah untuk menguatkuasakan undang-undang Islam. Mereka juga memantau agar kod etika Islam dipatuhi serta mencegah penjualan alkohol dan judi.

Di Nigeria pula lima daripada 12 negeri di bahagian utara negara ini yang melaksanakan undang-undang Syariah mempunyai anggota polis Syariah. Tugas mereka termasuk memastikan agar pengguna tidak ditipu di pasar. Pasukan ini dilengkapi kenderaan namun tidak boleh melaksanakan tangkapan. Mereka boleh menegur pihak yang melanggar kesalahan serta melaporkan kepada pasukan polis persekutuan. Mereka berjaya menyelesaikan isu berkaitan hal kekeluargaan apabila semua pihak bersetuju untuk bekerjasama.

GESA merasakan penubuhan polis syariah tidak efisyen dan tidak akan memartabatkan syariah selagi mana beberapa peruntukan undang-undang belum dipinda. Namun ini tidak bermakna GESA menyokong kenyataan Tun Mahathir yang membawa alasan agak sekular.

Kata Mantan PM ke-4 itu yang menilai cadangan penubuhan polis syariah ini sebagai usaha memalitkan gelaran agama Islam sebagai police state kelihatan tidak relevan memandangkan dalam hal patriotik, hal menundukkan fahaman komunis dan hal politik, kekerasan ISA dan undang-undang tanpa bicara sanggup digunakan tetapi kelihatan paranoid apabila pemerkasaan syariah dijadikan tujuan.



GESA melihat bahawa penubuhan polis agama hanya mengiktiraf dan menjulang tinggi sistem perundangan dualisme di Malaysia iaitu sistem sivil yang didokong persekutuan dengan sistem syariah yang terbatas disokong oleh kerajaan negeri secara terpisah.

Sistem dualisme sudah cukup memeningkan dan Mahkmah syariah telah lama menjadi boneka, pak turut, rendah taraf melalui sistem dualisme. Semangat perkara 121(1a) sebenarnya tidak mencukupi untuk menaik taraf Mahkamah syariah selama mana senarai negeri dan senarai persekutuan dipisahkan.

Meletak polis di JAKIM hanya meneruskan pertelingkahan undang-undang sivil-syarah sedangkan kekusutan yang sedia ada tidak mahu dibaiki oleh kepimpinan negara kita.

Misalnya, peruntukan untuk ajaran sesat, murtad dan sebagainya ada peruntukan menurut Islam. Sejauh mana hukuman terhadap kesalahan ini dalam Akta syariah yang menepati kehendak islam sebenar?

Bagaimana kewujudan pasukan ini membantu mengekang judi dan arak seumpama di Arab Saudi dan Acheh sedangkan kesamaran Akta Eksais 1976 dan Akta Kastam 1967 masih wujud. Tiada peruntukan undang-undnag mampu halang jualan arak di 7-11. Judi masih terbuka dan undnag-undang sedia ada masih belum berjaya menghalang Melayu Islam membeli nombor ekor.

Menubuhkan pasukan polis tanpa peruntukan undang-undang serta tidak dibuka kekangan terhadap bidang kuasa syariah hanya membazir tenaga kerja dan wang kerajaan. Malah masyarakat luar negara akan terus mengatakan Malaysia memiliki dua sistem. Sistem atas adalah pasukan polis awam dengan perundangan sivil manakala sistem bawahan mungkin polis syariah bersama mahkamah syariah.

Peruntukan undang-undang telah jelas menunjukkan PDRM sebenarnya telah lama layak menguatkuasa undang-undang meibatkan syariah. Malah dalam usaha mewar-war negara sebagai negara Islam, kita perlu kembali kepada sistem pentadbiran sahabat di mana anggota hisbah dan polis semenangnya bertugas menguat kuasa undang-undang negara. Undang-undang nehara daulat ketika itu adalah udang-undang Islam.

Semasa kegemilangan Abbasiyyah, Diwan Syurthah iaitu institusi polis telah ditubuhkan untuk menguatkuasa undnag-undnag negara. Memandangkan kerajaan itu benar-benar menggunakan sistem Islam, tiada istilah Syurthah Syariyyah digunakan untuk membezakan polis biasa dengan polis syariah.

Penulis juga menolak hujah Amin Iskandar dalam artikelnya Polis Syariah, moral dan undang-undang yang mengupas isu polis syariah sebelum ini melalui media maya. Menurut beliau “Dalam satu kes perebutan tanah, Nabi Muhammad sendiri hanya dapat memutuskan keadilan berasaskan keterangan daripada pihak yang merebutkannya. Ini penting untuk dilihat kerana terdapat ramai yang berhujah secara simplistik bahawa dengan pelaksanaan perundangan Islam maka segala masalah akan selesai. Hakikatnya, dalam kes perebutan tanah ini, kes dimenangi oleh pihak yang sebenarnya tidak berhak tetapi berjaya mengemukakan hujah lebih baik. Dalam perkataan lain, keadilan sebagai prinsip moral tidak dapat ditegakkan dengan mudah.

Beliau membawa kes kegagalan Rasulullah menegak keadilan hanya kerana kehebatan hujah pihak yang menuntut tanah. Sedangkan beliau terlupa itulah kehebatan undang-undang Islam iaitu Islam juga ada keserupaan dengan sivil iaitu perbicaraan dengan bukti, qarinah atau burhan dijadikan sebagai asbab kemenangan sesuatu kes.

Kegagalan pihak yang berhak menuntut disebabkan kurang bukti pihak berkenaan di zaman Rasulullah dianggap suatu bukti kegagalan sistem undang-undang Islam Nabi. Ini pandangan yang simplistik dan melulu. Malah beliau gagal mengkritik usaha penubuhan polis syariah secara objektif, membina dan kelihatan ‘menyendal’ awal hujah untuk menolak sebarang penguatkuasaan syariah atas nama kebebasan beriman. Pandangan sebegini berbaur sekular dan layak ditolak bagi pewacana yang berhasrat memartabatkan syariah di Malayia.

Adalah perlu PDRM yang sedia ada ditarbiah dan diasuh secara Islam untuk menjadikan mereka sebagai mata dan tangan syariah di negara kita. Sebeum dibahas unit baharu Polis Syariah, adalah disarankan agar pihak kerajaan berusaha mensasarkan anggota PDRM sebagai anggota yang bertaqwa dan mengamal cara hidup Islam.

Kepincangan dalam institusi polis sedia ada telah dimaklumi sehinggakan Suruhanjaya Diraja dicadangkan penubuhannya semata-mata untuk membersihkan nama buruk PDRM atas beberapa insiden melibatkan integriti dan proses kerja.

Kajian oleh Transparency International bagi tahun 2012 menerbitkan sebuah laporan di mana di antara semua institusi di Malaysia, institusi polis merupakan di antara institusi negara yang paling tidak bersih (skala 4.1 tertinggi). Tan Sri Musa Hassan juga pernah menyatakan syak dalam kes cubaan membunuh R Sri Sanjeevan Pengerusi Pasukan Khas Cegah Jenayah Malaysia (MyWatch), iaitu dikatakan mungkin ada kaitan dengan rancangan untuk mendedahkan sindiket jenayah melibatkan pegawai polis.

Perkara yang perlu diberi perhatian hari ini adalah mereformasikan institusi polis dan badan keselamatan agar sejajar dengan syariah dan seterusnya kerajaan perlu pinda beberapa peruntukan undang-undang jika benar mereka ingin melihat syariah di negara ini benar-benar subur dan hidup.
Bertam

8 Fen 2014

Saturday, February 1, 2014

LAKSANAKAN SYARIAH, WAJIBKAN BERHIJAB


LAKSANAKAN SYARIAH, WAJIBKAN BERHIJAB
Muhammad Nuruddin Bashah
Aktivis Gerakan Sokong Sariah (GESA)
Unit Kajian Ilmiah MAPIM Utara

Tarikh 1 Februari tahun ini adalah kali kedua disambut sebagai Hari Hijab sedunia.
Hijab atau istilah lain di Malaysia berkelumbung, pakai tudung atau jilbab di Indonesia. Istilah ini sewajarnya tidak lagi menjadi topik canggung sejak revolusi Islamisasi tahun pertengahan 1970an hingga awal 1980an yang dilakukan oleh ABIM, PKPIM, Al Arqam di kampus-kampus. Sebelumnya, memakai tudung dalam filem-filem adalah janggal, kalau pakai pun hanya skaf atau anak tudung sahaja sebagai syarat itu pun watak-watak benar-benar solehah sahaja yang memakainya misalnya watak ustazah.

Kehadiran penjajah sebenarnya telah banyak merubah sosial umat islam Melayu antaranya adalah budaya menutup aurat. Adalah suatu yang boleh dipercayai bahawa suatu ketika sejak zaman Kesultanan Kedah dan Melaka, umat Islam telah menutup aurat dengan sempurna. Mereka tidak memakai kain batik sepertimana watak -watak filem Chatay Keris lakonan Latifah Omar dan seangkatannya. Nenek moyang kita pernah mengalami pemerintahan dengan 100% syariah dilaksanakan. Hal inilah yang antaranya termaktub dalam isi Batu Bersurat Kuala Berang.

Jika hudud yang begitu sukar dilaksanakan pernah dilaksanakan oleh Raja Melayu inikan pula berhijab atau bertudung litup. Namun tiada rekod atau video yang mampu merakam keindahan syariat ini. Sumber bacaan sejarah kita hari ini malah Sulalatus Salatin kita pun disalin daripada salinan luar negara (Goa India) dan banyak maklumat yang masih tersimpan di Muzium dan perpustakaan penjajah. Dalam naskhah kita hari ini, kita difahamkan bahawa wanita Islam zaman dahulu di Tanah Melayu tidak berhijab, hanya berselubung selendang kain batik semata-mata.

Penulis masih teringat bagaimana penyampai berita TV3 bernama Azura memakai tudung, Ustaz Shamsuri dalam siri kulianya pernah menyarankan para pendengar untuk menulis poskad menyatakan tahniah dan syukuyr kerana beliau berani melawan arus menutup aurat dalam media sekular Malaysia.

Namun walaupun puluhan tahun berlalu, negara telah lama merdeka, syariat makin padu sewajatnya, masih kedengaran berita-berita penghinaan dan diskriminasi terhadap wanita bertudung. Penulis masih ingat diingatan bagaimana mahasiswi yang bertudung labuh didiskriminasi, dibuang kolej kediaman kerana dikatakan ekstrim, ortodoks dan sebagainya.
Dalam facebook World Hijab Day, Maryam Shila (Dubai) menulis komentar
"I work in a the Emergency Medical Service as an ambulance nurse-medic. When I reverted to Islam in the year 2009, my colleagues laugh at me because of my Hijab. They thought that one day I will remove it. But little did they knew I love the sense of it. My mom who is not a Muslim but she feels women should cover as it is ordered even in the Bible that is why she wears Hijab, how much more we Muslims? On Feb. 1; we will show the world that Hijab is not just a cover. It is where you can define modesty, and chastity, and righteousness."

Rasa pelik dan canggung dengan perlaksanaan syariah personal sepertimana menutup aurat ini bukan perkara baru. Malah ia juga berlaku di Malaysia.

Misalnya di Malaysia isu yang masih panas adalah kontroversi diskriminasi ke atas seorang guru mualaf, Choi Yi Shan, 25, diarah membuka tudung semasa mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan ina (SJKC) Nan Ya, Teluk Sengat, Johor, baru-baru ini.

Manakala Marinatasha Isnariah Mustapar, 33, seorang penyanyi membuat laporan polis di Balai Polis Sentul pada jam 2.40 pagi kerana terhina dimalukan dengan dihalau turun pentas kerana memakai tudung dalam majlis yang menghidangkan arak.

Beliau sepatutnya menyanyi bersama band Rufus mendakwa diarahkan turun daripada pentas ketika majlis makan malam sebuah syarikat pemaju hartanah yang berpusat di Plaza Damas, Sri Hartamas. Namun dalam hal ini isu wanita berhijab juga perlu mengetahui ilmu syariah lebih menyeluruh di mana hukum wanita bernyanyi lagu nyanyian lagha (sia-sia) serta hukum mengimarahkan majlis arak perlu difahami bukan sekadar isu diskriminasi wanita berhijab semata-mata.

Penulis ingin menyelit satu kes yang melibatkan kes menutup aurat di kalangan lelaki sebagai rujukan tambahan. Diskriminasi terhadap atlit menutup aurat juga berlaku terhadap pemain takraw di Malaysia negara wasatiyyah ini. Dahulu pernah berlaku kekecohan pada Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Liga Siri Super 2011 di Dewan 2020, Kangar, Perlis selepas berlaku pertikaian seluar panjang Fauzi Ghazali (kini Allahyarham) sebagai pemain pasukan Perak dalam perlawanan tersebut.

Walaupun Perak telah menang 2-1, keputusan perlawanan itu diubah menyebelahi Kedah ekoran bantahan terhadap pemakaian seluar panjang 'sut trek' yang didakwa tidak menepati peraturan permainan yang ditetapkan PSM mahupun Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf). Bekas tekong Sukan Asia Busan 2002 itu juga dikenakan kad merah dan dibuang daripada kejohanan oleh pengadil apabila masih berkeras memakainya sebelum menentang Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan digantung daripada sebarang kejohanan anjuran PSM sehingga kesnya dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib. Inilah antara kes diskriminasi menutup aurat di Malaysia.

Berkempen isu hijab juga merupakan salah satu daya tarikan dakwah kaum bukan Islam. Ada fahaman sekular menganggap jika ingin mendekti non muslim, kita perlu kelihatan seperti budaya mereka. Hal ini terbukti salah. Misalnya seorang gadis Inggeris Jessica Rhodes (21) memeluk Islam dan telah mendapat petunjuk setelah mengambil bahagian dalam Hari Hijab Sedunia dengan memakai tudung selama sebulan.



Kini statistik muallaf di Britain terus meningkat. Menurut kajian terbaru, di Inggeris selama 6 tahun terakhir, jumlah umat Islam telah berkembang sebanyak 37% dan jumlah masjid sudah mencapai hampir 1,500, termasuk banyaknya surau. Berdasarkan data dari British Institute of Gatston, rata-rata, ratusan warga Inggeris masuk Islam setiap bulan, demikian Al Jazeera melaporkan.

Jumlah muallaf sangat sangat ketara di penjara dan di sekolah-sekolah. Al-Jazeera mendapati bahawa diantara sejumlah muallaf terdiri daripada remaja, termasuk mereka yang berasal dari Brazil, Luxembourg, dan Sweden.

Menurut laporan, setiap tahun sekitar 5000 orang Inggeris masuk Islam

Hari Hijab Sedunia dirancang untuk meredakan kontroversi dan mendorong wanita bukan Muslim (atau perempuan Muslim yang tidak mengenakannya) untuk menggunakan dan mengalami pengalaman memakai tudung, sebahagian daripada usaha untuk saling memahami.

Ilmuan Islam dari Zimbabwe, Mufti Ismail Menk melihat kempen itu mampu memberikan kesedaran yang diperlukan dalam masyarakat demokratik tentang asas hak dan mendidik masyarakat tentang asal serta sebab berhijab ekoran beberapa negara telah mengharamkan pemakaian hijab.

Kempen berhijab di Malaysia masih terbatas, malap dan lemah. Ia kelihatan diswastakan kepada masjid-masjid sahaja dimana papan tanda menutup aurat hanya dipasang sebagai syarat wanita berada di kawasan perkarangan masjid. Malah kelihatan juga kerja berjuang memperomosi menutup aurat juga diswastakan kepada NGO-NGO islamik sahaja tanpa penguat kuasaan oleh pihak kerajaan sendiri.


Didikan menutup aurat pasti gagal jika anak isteri pemimpin negara masih jauh daripada hijab. Malah masih ramai pemimpin bergaya berfoto membuka aurat malah anak-anak pemimpin yang tidak menutup aurat berpesta sosial luar negara kerap memuat masuk gambar berkenaan di laman sosial sehingga menjadi 'inspirasi' kepada remaja negara ini untuk menolak menutup aurat.


Bersempena hari Hijab Sedunia tahun ini, Gerakan Sokong Syariah (GESA) menyarankan dengan tegas agar pihak kerajaan mewajibkan rakyat untuk menutup aurat dalam majlis rasmi kerajaan, diadakan kod berpakaian menutup aurat bagi penjawat awam dan mewajibkan isteri atau pemimpin wanita menutup aurat sebagai langkah meralisasikan istilah negara wasatiyyah yang sejati. Rakyat perlu dididik. Pemimpnlah yang perlu memulakan langkah memartabat syariah melalui salah satu juzuknya iaitu menutup aurat.

Bertam 2 Feb 2014

3.43 pagi

GESA menggesa rakyat Langkawi martabat Syariat Islam



GESA menggesa rakyat Langkawi martabat Syariat Islam
Muhammad Nuruddin Bashah
Aktivis Gerakan Sokong Syariah (GESA)

Sepanjang dua hari rombongan MAPIM melalui cabangnya Gerakan Sokong Syariah (GESA) hadir ke bumi Langkawi, antara tujuan utamanya adalah untuk menggerakkan suatu gerakan dakwah yang memperjuangkan pemartabatan syariah di bumi Langkawi.

Bukannya tiada imam, Jabatan agama, organisasi dakwah atau tiada ulama di sana. Syariat di bumi helang ini kelihatan kian terhakis terutama dari sudut penggunaan arak dan maksiat. Walaupun ada pihak yang sedang menguatkuasa beberapa enakmen syariah di bumi Langkawi yang juga termasuk dalam jajahan negeri Kedah, namun pembangunan, hambatan kemajuan yang cukup liberal, multi budaya serta kebanjiran keterbukaan jualan arak dan sebagainya menyebabkan benteng syariah di sana bagaikan setebal kulit membran telur rebus semata-mata. Tetlalu lemah dan bakal terobos suau hari nanti.


Kita tidak dapat menafikan bahawa sejak pengisytiharaan bumi tanpa cukai di Langkawi, cara hidup masyarakat tempatan kian berubah.





Dahulunya kampung, kini rumah kampung berebut dijadikan Chelet kerana ia lebih menguntungka daripada dipertahan rumah warisan keluarga atau setidaknya warisan tanah orang Melayu. Remaja yang di rumahnya makan dan bercakap gaya melayu Islam tidak dapat berpedoman apabila melihat gaya pelancong yang minum arak, bertelanjang sepanjang jalan ke pantai kerana rumahnya hanya bebeapa meter daripada lokasi multi budaya berkenaan. Inilah petaka yang terpaksan ditlan jika kita mahu sekelumit laba.

Kemuncak aktviti Gerakan Sokong Syariah (GESA) ini adalah Forum Langkawi Bersyariat di Masjid Temoyong. Kelihatan ratusan manusia yang cakna dan cintakan syariat hadir ke perkarangan masjid. Jualan buku syariat dan buku perjuangan agama oleh MAPIM laris terjual.

Antara panel yang terlibat adalah Presiden MAPIM sendiri Cikgu Hj Azmi Abdul Hamid, Dr Badrul Amin serta Ustaz Kamal Shaari.

Rumusan isi forum cukup baik dan tepat dengan tahap kefahaman hadirin. Syariat bukan pilihan. Itulah kesimpulan awal forum. Syariat adalah kewajipan untuk dilaksanakan bukan sekadar menundin kepada pemerintah yang sekular, ia juga perlu dilaksana oleh ketua keluarga sendiri dalam mendidik anak-anak. Syariat Islam bukan pilihan bagi orang yang beriman. Ia hanya pilihan bagi kaum bukan Islam dan ia akan dipilih apabila mereka menerima Hidayah Allah SWT.

Gejala cintakan Nabi cukup meriah sekarang ini. Dengan ratib, qasidah dan selawat ia kelihatan menepati citarasa pemerintah yang cukup gemar menganjurkan perarakan selawat dan nasyid Maal Hijrah saban tahun menjelang Maal Hijrah serta Maulid Nabi.

Lantaran itu bercambahnya gerakan qasidah sehingga meniti di media perdana negara ini buka suatu kepelikan. Ia digalakkan. Sememangnya berselawat dan berqasidah adalah aktiviti mulia. Namun apabila aktiviti itu sahaja yang dijulang tanpa ada pihak yang mahu menterjemah cta itu dalam bentuk memartabatkan syarah di muka bumi Malaysia ini.

Para hadirin majlis selawat ramai yang kelihatan tidak tahu status Mahkamah Syariah yang masih boleh diterobos dengan undang-undnag sivi melalui beberapa peruntukan akta warisan penjajah. Mereka masih tidak faham erti peruntukan Perkara 4 Perlembagaan terhadap nasib hayat syariah di bumi Malaysia. Mereka cintakan Nabi tetapi tidaks edar apa tujuan Nubuwwah sebenarnya.

Ustaz Kamal Shaari memberi analogi yang cukup indah. Islam menyuruh penganutnya melaksanakan syariat Nabi. Melaksanakan sunnah Nabi baik sunnah fi’liyyah mahupun yang bersifat konseptual dan kontekstual dengan arus semasa.

Islam tidak hanya mengajar kita kagum dengan Nabi. Sebagai misalannya, isteri diminta untuk taat dan patuh dengan suami. Ia bukan diajar untuk kagum dengan suami. Di tempat kenduri isalnya si isteri ghairah menceritakan kehebatan suaminya menceritakan kepandaian dan ketampanan akhlak suaminya sehinggakan ramai melihat bahawa isteri tersebut adalah seorang yang cukup obses dengan kehebatan suaminya sendiri.

Tetapi tatkala sampai di rumah, makan minum suami tidak diendahkan. Malah suami kelihatan tidak wujud dalam kehidupan realiti isteri tersebut. Mungkin si isteri tidak boleh dipersalah kerana beliau hanya ‘pengkagum’ suami bukan taat kepada suami. Hakikatnya beliau berdosa dan pujiannya terhadap suami bukan ajaran syariat.

Begitu juga dengan umat Melayu yang gila menjadi ‘pengkagum Nabi’ bukannya perlaksana apa yang Nabi tinggalkan. Sebab ituah muncul kata-kata syariat Nabi hanya sesuai di zamannya dan Nabi tiada pisau cukur apabila menyimpan janggut Baginda. Kagum dengan hanya berarak, berqasidah, berselawat tanpa mahu melaksana semua ajarannya.

Dr Badrul Amin juga menerangkan betapa penurunan indeks jenayah merupakan salah satu janji Allah apabila kita melaksanakan kesemua hukum hakamNYa. Inilah keindahan syariah. Beliau memberi contoh bagaimana Brunei mengalami penurunan indeks jenayah mendadak selepas sahaja Sultan Brunei mengisyiharkan hasrat melaksanakan hudud. Dr Badrul menyatakan bukan kerana rakyat gerunkan hukuman kerana hudud adalah hukuman yang sukar dsabitkan kesalahannya, tetapi ia adaah keberkatan dan janji Ilahi untuk menyelamatkan manusia yang taat dan melaksanakan hukum Al Quran.


Jika rakyat akur dan mudah menerima janji itu dan ini daripada menteri, janji keselamatan dan kemananan oleh menteri dalam negeri dan sebagainya, kenapa pula kita sebagai Muslim sukar menerima janji Allah yang bakal membela hambaNya yang menerima syariahnya?

GESA akan diperhebatkan di Langkawi. Beberapa pertemuan akan datang akan dirancang dengan beberapa aktivis yang sudi bekerjasama secara sukarela untuk memartabatkan syariah di bumi lagenda ini.








PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)