Saturday, January 4, 2014

BEBANAN KENAIKAN KOS BARANG- SYARIAH ISLAM PENYELESAIANNYA


BEBANAN KENAIKAN KOS BARANG- SYARIAH ISLAM PENYELESAIANNYA
Muhammad Nuruddin Bashah
Aktivis Gerakan Sokong Syariah (GESA)

MAPIM melalui sayap GESA (Gerakan Sokong Syariah) telah lama giat mempromosi agenda tagyir (perubahan) agar umat isla khususnya kaum melayu optmis, yakin dan cintakan perlaksanaan syariah Islam secara holistik.

Hal ini tidak hanya menumpu kepada isu-isu hukuman syariah jenayah sepertimana yang ada dalam kotak fahaman minda melayu, syariah Islam yang syumul ini juga sebenarnya adalah preskripsi ubat yang amat mujabat bagi permasalahan tekanan ekonomi yang melanda rakyat sehinggakan tahun 2014 digelar sebagai Tahun Naik.

Dalam hal kenaikan harga barang yang disebabkan isu monopoli misalannya, ia telah lama menjadi bebanan rakyat. Malah rakyat malaysia dijadikan ‘Guinea pig’ untuk dieksperimenkan dan menerima bahana untuk pengekalan kekayaan dan ‘survival’ keuntungan syarikat-syarikat kapitalis yang juga sebenarnya berpengaruh dalam banyak polisi kerajaan.

Contoh pertama yang boleh penulis sediakan di sini adalah hal kenaikan harga gula.
Sebelum Bajet 2014 kerajaan menarik balik subsidi gula untuk rakyat berjumlah RM551.25 juta. Pada 26 Oktober 2013, harga gula telah meningkat ke harga RM 2.84 sekilogram. Kita tidak persoalkan niat ‘suci’ kerajaan yang ingin menjaga statistik pengidap diabetis. Yang menjadi persoalan kenaikan harga barangan yang bersifat tidak anjal sebenarnya akan hanya mendera rakyat kerana hakikatnya rakyat akan tetap membeli gula.
Barang yang sangat penting kepada pengguna seperti gula, elektrik, dan beras mempunyai permintaan tak anjal. Ini bermaksud, peningkatan harga barang yang banyak hanya akan mengurangkan sedikit permintaan.

YB Dato’ Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah (Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) telah mengesahkan di dalam Dewan Rakyat pada sidang hari Khamis (21 November 2013) bahawa Kerajaan Malaysia telah memeterai kontrak jangka panjang untuk membeli gula mentah pada harga yang kini lebih tinggi dari harga pasaran. Mengapa pula kerajaan Malaysia yang terlibat dengan perjanjian merugikan negara sedangkan gula dimonopoli oleh engimport monopoli antaranya milik syarikat Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary.

Monopoli gula ini diberikan kepada syarikat-syarikat ini melalui satu sistem permit import (AP) gula mentah yang hanya diberikan kepada syarikat-syarikat ini. Dalam keadaan Malaysia langsung tidak mempunyai ladang atau perusahaan yang mengeluarkan gula mentah, industri gula di Malaysia bergantung sepenuhnya kepada import gula mentah dari pasaran antarabangsa.

Sepatutnya untuk mengawal manipulasi keuntungan harga gula, permit import (AP) untuk membeli gula mentah pada harga yang lebih rendah perlu dibuka dan permit import (AP) untuk membeli gula bertapis juga dibuka untuk mewujudkan persaingan harga.
Dalam keadaan harga gula mentah pasaran dunia adalah lebih rendah, dengan lebih banyak syarikat diberi peluang untuk membawa masuk gula mentah dan gula bertapis sudah tentu ia lebih murah dari harga yang ditentukan oleh syarikat monopoli.

Contoh kedua yang boleh dibahas di sini adalah isu kenaikan tarif harga yang membebankan rakyat.

Ketua pegawai eksekutif suruhanjaya Tenaga , Datuk Ahmad Fauzi menyatakan peningkatan tarif elektrik yang diumumkan kerajaan adalah untuk menampung kos penyelengaraan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia. Kos penyelenggaraan itu turut melibatkan kerosakan yang banyak berlaku di janakuasa dan juga ke atas masalah ketidaklancaran sistem. Masalah berkenaan dikesan banyak berlaku sejak tiga tahun lalu.

Keuntungan TNB bersih selepas tukaran wang asing berjumlah adalah sekitar RM4.61 bilion bagi keseluruhan tahun kewangan berakhir pada 31 Ogos 2013. Keuntungan ini meningkat sebanyak 4.6 peratus berbanding RM4.41 bilion pada 2012. Jadi ke mana perginya keuntungan tersebut sehingga tidak mampu menyelengga aset syarikat sendiri sehingga terpaksa menaikkan harga pengguna.



Jika syarikat bukan monopoli misalnya syarikat bateri kereta. Adakah Pengurus Besar syarikat bateri kereta akan menaikkan harga bateri hanya kerana menampung kos penyeenggaraan bumbung kilang atau untuk membeli mesin yang sofistikated? Bukankah rutinnya syarikat sebegini akan melabur keuntungan simpanan syarikat sendiri demi memajukan syarikat untuk terus relevan dalam arus persaingan. Lain pula syarikat monopoli, mereka manaikkan harga produk sesuka hati untuk menampung penyelenggaraan premis sendiri.

Pada dasarnya dalam ekonomi Islam, perniagaan syarikat monopoli tidak dilarang jika ditakdirkan hanya syarikat itu yang wujud. Sesiapapun boleh bermuamalah tanpa dikira apakah mereka satu-satunya penjual (monopoli) atau wujudnya ada penjual lain, asalkan tidak melanggar nilai-nilai Islam.

Dalam hal ini yang dilarang berkaitan dengan monopoli adalah ikhtikar, iaitu kegiatan menjual lebih sedikit barang dari yang seharusnya sehingga harga menjadi naik untuk mendapatkan keuntungan di atas keuntungan normal. Misalnya menyekat atau menimbun produk untuk menaikkan harga pada saat keperluan awam. Hal ikhtikar jelas ianya diharamkan oleh syara’.

Konsep yang sewajarnya menjadi pegangan pemerintah adalah konsep توزيع الثروة في المجتمع (Tauziu’l sarwah fi majtama’), iaitu konsep edaran kekayaan di kalangan masyarakat.

Sejajar dengan Allah SWT: "...agar harta itu jangan hanya berputar di kalangan orang-orang kaya di antara kamu sekalian..." (QS 59: 7).
Selain riba, syarikat monopoli adalah komponen utama yang akan membuat kekayaan terkonsentrasi di tangan segelintir kelompok,

Ibn Taimiyyah misalnya, dalam kitabnya Al-Hisbah fil Islam menyatakan bahawa Islam sangat mendorong kebebasan untuk melakukan aktiviti ekonomi selagi tidak bertentangan dengan agama iaitu tiada isu riba, penindasan, eksploitasi dan bebanan kepada mana-mana pihak baik penjual mahupun pembeli.

Ibnu Taimiyah menekankan pentingnya diwujudkan lembaga al-Hisbah sebagai agensi negara yang bertugas untuk memantau pasar, mengawasi kondisi ekonomi dan sekaligus mengambil tindakan jika terjadi ketidakseimbangan pasar akibat monopoli dan praktik-praktik lain yang tidak sesuai dengan syariat Islam.

Kenaikan 2 perkara yang penulis nyatakan diatas cukup untuk memberi momentum kenaikan harga keperluan asas rakyat. Hal ini belum lagi dimasukkan akibat kenaikan harga petrol.

Maka disini perlulah pemerintah negara ini kembali meneliti prinsip asas perekonomian Islam. Memahami teori tanpa memahami prinsip asas keadilan syariah islam menyebabkan pemimpin yang mungkin memiliki asas agama menolak perlaksanaan syariah secara holistik. Malah gejala ini memalukan apabila ribuan graduan syariah dalam jabatan kerajaan tidak mampu membantu membawa syariah ke mainstreem yang sepatutnya disebabkan kekangan dalam pemerintahan.

4 Januari 2014




No comments:

Post a Comment

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)