Monday, September 7, 2009

SPAQ Menggesa Mufti Mengeluarkan Fatwa berkenaan Hukum Menghina Agama Islam dan Hukum Menghina Agama Lain

Kenyataan media ini disiarkan dalam Harakah edisi Jumaat, 18-20 Sept 09
Kenyataan media; Gesaan agar Mufti Mengeluarkan Fatwa Hukum Menghina Agama Islam dan Hukum Menghina Agama Lain.

SPAQ menggesa agar golongan mufti dapat mengeluarkan fatwa berkenaan hukum menghina agama Islam. Dalam bahagian ini, dicadangkan pembahagian ke atas individu atau kelompok yang memperlekehkan atau melakukan penghinaan perlu ditambah kerana ia mungkin melibatkan penghinaan dari Muslim sendiri atau penganut agama lain. Tindakan atau perkataan yang dikelaskan sebagai menghina agama Islam juga perlu diperincikan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan Muslim mahupun bukan Muslim.

Selain itu, diharapkan fatwa berkenaan hukum menghina agama lain turut dapat dikeluarkan dan disertakan dengan panduan yang jelas akan tindakan dan aspek yang bagaimana boleh dikelaskan sebagai penghinaan kepada agama selain Islam. SPAQ merasakan perlunya fatwa ini dikeluarkan bagi membela maruah serta identiti Islam selain mengharapkan juga golongan bukan Islam akan lebih faham bagaimana Islam sebenarnya amat menjaga hubungan sesama manusia bahkan dari agama yang berlainan.

SPAQ percaya, fatwa dalam dua hal ini dirasakan amat penting dan tepat mengenai skop fatwa seperti yang digariskan di dalam portal e-fatwa Malaysia. Isu yang berlaku dalam masyarakat kini belum jelas hukumnya dan memerlukan huraian segera dari golongan alim ulama’ serta mufti untuk menjelaskannya.Beberapa situasi yang berlaku di negara kini telah menimbulkan pelbagai anggapan serta pandangan yang tidak baik ke atas agama Islam. Sepertimana peristiwa Ahli Parlimen Jelutong, YB Jeff Ooi yang pernah membuat kenyataan berbaur prejudis terhadap umat Islam awal bulan Ogos yang lalu dan menarik kembali kenyataan tersebut selepas menerima bantahan, kenyataan beliau umumnya dilihat turut mempunyai unsur penghinaan terhadap Islam. Situasi yang melibatkan individu bukan Islam ini dilihat akibat dari kurangnya kefahaman undang-undang syariah bahkan kenyataan melulu dikeluarkan. Serangan berunsur peribadi ke atas Ridhuan Tee Abdullah sedikit masa lalu juga melibatkan penghinaan terhadap Islam, agama beliau kini.

Bagaimana pula dengan tindakan umat Islam sendiri yang dikatakan menghina agama sendiri? Artis berpakaian kurang sopan mengungkap kalimah suci atas tiket meraikan kejayaan mahupun pencapaian mereka di dalam industri seni, pemimpin yang terang-terangan mempersenda hukum Islam walaupun belum dilaksanakan sepenuhnya, perlaksanan hukum syariah Islam dipersoal dan ditentang atas nama hak asasi serta keadilan dan pelbagai lagi isu yang berlaku hingga dikatakan penghinaan terhadap Islam kini semakin melampau. Ini belum lagi sumber di media elektronik dan laman sesawang yang menayangkan video ataupun penulisan yang berunsurkan fitnah ke atas agama Islam mahupun agama lain.

SPAQ amat berharap fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam selaku pihak yang paling berautoriti bakal menjadi rujukan dan benteng kepada kekeliruan mahupun kejadian yang tidak diingini pada masa-masa akan datang. Bukan hanya demi kepentingan umat Islam tetapi kesucian agama yang menaungi kita yang lebih utama.


Wardah bt Abdul Rahman
Setiausaha Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)

No comments:

Post a Comment

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)