Sunday, September 13, 2009

Bantah Penggunaan 'Take Beer'



BANTAH PENGGUNAAN 'TAKE BEER'
Isu Pemindahan Kuil di Selangor

Islam ialah konsep bertuhan yang sahih dalam penerapan cara hidup yang mulia kepada semua makhluk. Dan juga agama yang menjadi rahmat bagi seluruh alam, cara hidup contoh bagi seluruh umat manusia. Indahnya Islam dapat dikongsi dengan adanya
ketelusan dalam tolenrasi dan menghormati kepercayaan masyarakat lain. Dasar tolenrasi Islam agar semua masyarakat yang pelbagai lapisan karakter dan kepercayaan, hidup aman dan sejahtera tanpa menggadaikan prinsip Tauhid dan perlonggaran syariah.

Sayangnya hakikat kemulian agama ini masih belum di sedari dan difahami dengan mendalam oleh realiti masyarakat kita hari ini terutamanya mereka yang menggelar diri mereka sebagai islam tetapi dalam masa yang sama menjatuhkan imej dan kemulian Islam dengan tindakan yang tidak sepatutnya.

Umum sudah maklum dan mengetahui mengenai isu pemindahan kuil Sri Mariamman di Seksyen 19 ke Seksyen 23 Shah Alam. Kekecohan bermula apabila ada pihak yang meng
ambil kesempatan disebalik isu ini dengan mengadakan satu demonstrasi jalanan di pejabat kerajaan Selangor dalam membantah projek pemindahan tersebut tanpa menggunakan saluran-saluran alternatif dalam menyampaikan rasa tidak puas hati tersebut.


Pijak Kepala Lembu

Tindakan biadap sekumpulan penduduk yang membawa sepanduk tertera ‘Take Beer’ dan upacara memijak kepala lembu. Tindakan mereka ini memijak kepala lembu jelas menunjukkan mereka menghina agama hindu yang menganggap lembu adalah suci bagi kepercayaan mereka. Bagi mereka menghina lembu adalah umpama sesiapa sahaja melukis gambar Allah dan menghenyak dengan kaki di hadapan kita.

Tindakan mereka menghidupkan api perkauman ini sepatutnya dipandang serius oleh pihak-pihak tertentu yang menjadi pendokong setia ISA dan pihak berkuasa. Kejahatan mereka inilah yang sepatutnya menjadi sebab keberlangsungan akta kejam ISA dan bukannya cetusan syak wasangka dan fitnah yang membawa kepada hukuman zalim dan tanpa pengadilan sewajarnya.

Islam agama yang datang daripada Allah amat mulia dan terpuji. Setiap umat Islam di minta memelihara Islam dan mempertahankannya daripada dicemari oleh musuh-musuh yang jahil dan kufur. Antara tuntutan Islam bagi memelihara agama ini ialah melarang umatnya menghina agama dan kepercayaan umat lain. Tuntutan ini jelas dinyatakan di dalam surah Al-An’am ayat 108 yang bermaksud :


“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembahyYang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas Dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”
Penghinaan secara terbuka terhadap kepercayaan lain merupakan sesuatu yang amat mengaibkan sekaligus membawa sifat prejudis dan fobia mereka terhadap Islam. Bahkan kejahatan mereka yang melampau ini akan merugikan umat Islam itu sendiri. Allah yang Maha Pengasih memerintahkan kita berdakwah dan bukannya mencela atau menghina.

Polemik ‘Take Beer’

Tambahan pula, reaksi jahiliyyah yang ditonjolkan oleh mereka dengan menggunakan perkataan ‘Take Beer” pada salah satu kain rentang benar-benar membuktikan bahawa mereka rela dalam kemungkaran apabila inisiatif yang diambil oleh kerajaan Selangor dalam membendung gejala menjual arak.

Perkataan ‘Take Beer’ seolah-olah mempersenda ungkapan mulia Takbir. Oleh kerana kepentingan politik, mereka sanggup mengeksploitasikan hal-hal yang berkaitan dengan Islam dengan cara yang jijik dan angkuh.

Kelantangan mereka dalam menyuarakan rasa tidak puas hati dengan langkah awal pencegahan penularan gejala minuman keras ini hanya berorientasikan tunjang politik perkauman semata-mata dan bukan daripada kefahaman aqidah yang sebenar. Jelas di sini, mereka hanya Islam pada nama sahaja dan sebahagian pemikiran mereka dibenih dengan sikap jahil dan munafiq.

Kita tidak terkejut apabila masyarakat bukan Islam membantah usul ini kerana mereka tidak beriman dan kurang arif tentang Islam tetapi yang menghairankan, puak-puak yang hanya labelnya Islam bersubahat menentang keras perlaksanaan peraturan ini secara terang mahupun tersembunyi. Agenda mereka, memenangkan kepuasan nafsu duniawi mereka sahaja termasuk kepentingan politik jahiliyyah tanpa pembelaan Islam diletak sebagai titik kemuncak kemenangan.

Kita hairan apabila mufti-mufti dan ulama dalam kerajaan mengambil sikap membisu dalam persoalan ini, sama ada menyokong atau membantah. Sepatutnya mereka sebagai orang yang arif tentang Islam memberi respon kepada masyarakat Islam khususnya, tentang setiap perkara yang berkaitan. Dengan ini, corak pemikiran masyarakat Islam Malaysia lebih bernas dan islamik dalam menganalisis setiap isu dan menangkis serangan dakyah kuffar.


Proaktif kepada dialog umum

Tempoh hari, satu perjumpaan khas dibuat oleh pihak kerajaan Selangor dengan penduduk setempat, retetan daripada demostrasi yang dibuat oleh sebahagian penduduk tersebut di hadapan bangunan kerajaan Selangor. Namun, belum sempat perbincangan ilmiah seperti yang diharapkan oleh barisan kepimpinan kerajaan Selangor sampai ke penghujung, wujud kacau-bilau oleh puak-puak tertentu dengan menganggu dan menjahanamkan perjalanan program.

Mereka melemparkan kata-kata kesat, maki-hamun dan fitnah kepada barisan kepimpinan yang ada pada masa itu. Kecelakaan karakter yang ditonjolkan oleh mereka amat menjijikkan apatah lagi ianya berlaku dalam bulan Ramadhan yang Mulia. Mereka seolah-olah hilang pertimbangan iman sehingga sanggup menodai kesucian dan keharmonian Ramadhan.

Pada mereka, kuil hindu tidak sepatutnya dibina di situ atas alasan masyarakat di situ majoriti Islam, kebimbangan mereka risau pengaruh agama hindu meresap dalam jiwa penduduk Islam disitu. Mereka juga khuatir daripada aspek keselamatan mereka kurang terjamin kerana upacara umum masyarakat hindu akan menggamit ramai orang asing bertandang kesitu.

Mungkin ada betulnya andaian mereka, tetapi apakah mereka tidak menggunakan saluran yang sewajarnya seperti yang disediakan untuk merungkai kebimbangan tersebut. Adakah kuil itu benar-benar dihadapan rumah mereka dan aspek keselamatan mereka terabai? Ini yang sepatutnya dibincangkan dan bukan merosakkan majlis tersebut dengan kata-kata nista dan kesat.

Apakah agenda sebenar mereka? Jelas, agenda mereka, memenangkan kepuasan nafsu duniawi mereka sahaja termasuk kepentingan politik jahiliyyah tanpa pembelaan Islam diletak sebagai titik kemuncak kemenangan.


Muhasabah diri

Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri, terutamanya segelintir daripada kita yang hanya bertindak berlandaskan nafsu dan melulu ini. Pertama, kita membantah pembinaan kuil tetapi dalam masa yang sama kita membatukan diri apabila masjid diroboh.

Kedua, kita yang kecoh dengan rumah ibadat kepercayaan lain, tetapi kita tidak kisah apabila ramai yang tidak ke masjid dan surau untuk solat berjemaah, mendengar tazkirah dan lain-lain ibadah. Natijahnya, ramai daripada kalangan kita tidak solat langsung tanpa sebab yang diizinkan syarak.

Persoalan umum, apakah mereka ini Islam yang sebenar-benarnya atau hanya plastik sahaja? Islam tidak perlu kepada pelaris yang bersifat menghina kepercayaan orang lain. Kerana Islam terlalu indah.



Mohd Izzuddin b Mohd Zin
Setiausaha Eksekutif
Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)

No comments:

Post a Comment

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)