Monday, September 7, 2009

Bantahan terhadap penghinaan agama lain: Kes kepala lembu

Kenyataan media ini telah disiarkan dalam Harakah edisi Isnin, 14-17 Sept 09.


Bantahan terhadap penghinaan agama lain: Kes kepala lembu


Tulisan ini bukan untuk menuding jari menyalahkan pihak-pihak tertentu ekoran daripada kejadian perarakan membawa kepala lembu bagi membantah pembinaan kuil di Seksyen 23 Shah Alam. Tetapi atas dasar memberikan pandangan moga kejadian yang sama tidak diulangi oleh pihak-pihak lain kerana ia mencemarkan keindahan Islam yang membenarkan toleransi kepada penganut agama lain selagi mereka tidak memerangi Islam.


Malaysia terkenal dengan penduduknya yang berbilang kaum, adat dan budaya tetapi masih boleh hidup harmoni di antara satu sama lain. Pelbagai cara yang telah dijalankan oleh kerajaan bagi merapatkan jurang antara kaum dan terbaru perdana menteri, Dato’ Najib bin Tunku Abdul Razak memperkenalkan konsep 1 MALAYSIA sempena kemerdekaan Negara yang ke-52 dengan harapan kita dapat bersatu padu dan hidup dengan harmoni tanpa menyakiti hati mana-mana kaum dan menunaikan hak antara satu sama lain.


Kejadian perarakan kepala lembu yang berlaku ekoran membantah pembinaan kuil mengundang reaksi pelbagai pihak tambahan ia berlaku pada bulan ramadhan yang penuh berkat ini. Seharusnya kita bertindak secara rasional bukan dengan emosi sehingga akhirnya mencetuskan perselisihan faham sesama Islam dan juga salah faham di kalangan yang bukan Islam.Usaha untuk menyatukan dan merealisasikan konsep 1 MALAYSIA nampaknya telah tercemar dengan kejadian ini. Islam mengajar kita bertoleransi dengan penganut agama lain dan menunaikan hak mereka. Sebagai tuntutan kepada kebebasan akidah, orang bukan Islam dibenarkan membina rumah-rumah ibadat mereka.


Islam melarang sama sekali kita menghina agama lain walaupun dalam kejadian ini ada yang mendakwa simbol lembu di sini menunjukkan kebodohan dan kedegilan kerajaan Selangor, tapi seharusnya mereka juga berfikir dan mengambil kira sensitiviti penganut Hindu memandangkan isu ini melibatkan tembat peribadatan mereka dan lembu adalah suci di sisi agama mereka. Malah sekitar bulan Januari dahulu PEWARIS ada menyembelih 2 ekor lembu di sebelah kuil seksyen 19. Adakah juga untuk menyindir kedegilan kerajaan Selangor, atau sememamgnya mereka berniat menghina agama hindu?


Dimanakah akhlak kita sebagai orang Islam kepada bukan Islam? Bagaimana orang bukan Islam hendak melihat keindahan Islam sekiranya beginilah sikap kita dalam mengatasi isu yang melibatkan penganut agama lain? Jika kita soroti sejarah Nabi Muhammad SAW ketika berdakwah ke Thaif, baginda dihalau dan seruan nabi tidak diterima. Bahkan baginda dihina, dicaci dan dimaki hamun sambil dilontari batu kerikil dan pasir. Tetapi nabi tetap bersabar dan tidak sedikit pun baginda berusaha untuk mengelak sehingga baginda keluar dari Thaif dengan tumit kaki yang berlumuran darah. Kemudian Allah memerintahkan seorang malaikat penjaga gunung menghadap nabi dan meminta kepada nabi untkl menimpakan sebuah bukit di Thaif ke atas kaum Thaqif atas perbuatan mereka. Tetapi nabi mengatakan:


“Janganlah membinasakan mereka itu. Sesungguhnya mereka itu tidak mengetahui. Apa yang aku harapkan ialah suatu hari nanti akan lahir dari sulbi mereka itu anak-anak yang akan menyembah Allah dan tidak akan menyekutukanNYA dengan sesuatu apa pun.”


Begitulah luhurnya budi pekerti nabi terhadap orang yang melukakan nabi walaupun ketika itu baginda diberi peluang untuk membalas perbuatan mereka. Baginda tidak terus menghukum bahkan melepaskan mereka yang berusaha untuk membunuh nabi atas sebab mereka tidak mengetahui. Begitu jugalah seharusnya kita berkelakuan kepada yang bukan Islam kerana mereka tidak mengetahui sedangkan kita mengetahui. Contohilah akhlak yang ditunjukkan oleh nabi. Berapa ramai kafir Quraisy yang mulanya begitu keras terhadap nabi sehingga hendak membunuh nabi tetapi akhirnya memeluk Islam kerana akhlak yang ditunjukkan kepada mereka.


Perkara yang sama berlaku di Amerika Syarikat pada hari ini. Lebih 30000 rakyat Amerika memeluk Islam setiap tahun kerana mereka tertarik dengan akhlak yang ditunjukkan oleh penganut Islam di sana di samping keindahan Islam itu sendiri yang akhirnya Allah mencampakkan hidayah ke dalam hati mereka untuk menerima Islam.


SPAQ membantah penghinaan terhadap Islam tetapi saya juga tidak bersetuju jika agama lain dihina. Sebagaimana firman Allah:


Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (al-An'am [6:10]).


Sekiranya kita berkeras dengan mereka ia bukan mendatangkan keuntungan kepada kita malahan menyebabkan imej Islam semakin kritikal di pandangan orang bukan Islam. Saat ini Islam di hina dan penganutnya ditindas ekoran fitnah dan propaganda pihak tertentu yang memusuhi Islam di tambah pula dengan sikap kita yang keterlaluan, bagaimanakah orang bukan Islam hendak melihat keindahan Islam dan sikap toleransi yang selalu kita war-warkan. Sebaliknya kita seakan membuatkan mereka mengiakan Islam adalah agama yang mengajar penganutnya bersikap keras kepada penganut agama lain. Ia bukannya mendatangkan kebaikan kepada Islam tetapi membuka luas peluang pihak yang memusuhi Islam untuk terus menghentam Islam dan maruah Islam terus dihenyak.


Cubalah fikir kesan daripada perbuatan kita kerana ia melibatkan maruah Islam. Orang bukan Islam melihat Islam sebagaimana yang ditonjolkan oleh penganutnya. Bersama-samalah kita menunjukkan contoh yang baik kepada orang bukan Islam dan bantahlah mereka dengan cara yang baik mudah-mudahan Allah akan membukakan pintu hati mereka untuk menerima Islam.


Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah

mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. (An-nahl:125)



Nursakinah Binti Suardi

Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)


No comments:

Post a Comment

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)