Monday, September 7, 2009

ISU ARAK : ABIM SELANGOR MAHU PENGUATKUASAAN LEBIH SERIUS DAN MENGGESA SEMUA PIHAK TANGANI ISU INI DENGAN PENUH TANGGUNGJAWAB

KENYATAAN AKHBAR

ABIM NEGERI SELANGOR

ISU ARAK : ABIM SELANGOR MAHU PENGUATKUASAAN LEBIH SERIUS DAN MENGGESA SEMUA PIHAK TANGANI ISU INI DENGAN PENUH TANGGUNGJAWAB

11 OGOS 2008 / 20 SYAABAN 1430 HIJRAH

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Selangor mengalu-alukan penguatkuasaan yang berkesan daripada mana-mana pihak yang mempunyai bidang kuasa untuk membenteras penjualan arak secara terbuka dan bebas kepada orang Islam di negeri Selangor ini khususnya di kawasan yang penduduknya majoriti orang melayu dan beragama Islam.

Keprihatinan ABIM ini bersandarkan kepada fakta bahawa pada masa ini kita sedang berhadapan dengan pelbagai penyakit masyarakat terutama yang melibatkan golongan belia Islam seperti kes ragut, rogol, lumba haram, rempit, rompak, zina, pengambilan arak yang serius dan sebagainya. Memandang arak sebagai “ibu maksiat” yang meransang kepada perlakuan devian dan jenayah di luar batas kesedaran seseorang, justeru tidak hairanlah kalau minuman keras ini diharamkan dalam agama Islam. Maka langkah penguatkuasaan terhadap pengawalan penjualan arak kepada umat Islam adalah wajar dilaksanakan.

ABIM negeri Selangor menyeru kepada semua pihak agar memberi kerjasama padu dalam usaha untuk menjalankan penguatkuasaan ini, dan sepatutnya bukan hanya kepada premis-premis terpilih dan dianggap kecil sahaja, tetapi juga semua premis besar yang menjual arak secara runcit dan mudah dibeli oleh orang Islam. Penguatkuasaan ini perlu serius dengan langkah-langkah berkesan contohnya dengan meletakkan label pada premis yang menjual arak – ORANG ISLAM DIHARAMKAN MEMBELI ARAK" atau "DILARANG MENJUAL ARAK KEPADA ORANG ISLAM" seperti perlaksanaan di kedai judi. Selain itu langkah meletakkan gambar kesan arak kepada manusia seperti yang dilekatkan di kotak rokok perlu dijalankan untuk menjadikan penguatkuasaan dan pendidikan ini berjalan seiring dan memberi kesan.

ABIM negeri Selangor mencadangkan dan mengesa agar kempen bahaya arak ini dibuat lebih konsisten dan agresif oleh semua pihak sama ada badan kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) agar pendidikan menyeluruh dapat disampaikan ke segenap lapisan masyarakat terutama golongan belia dan remaja Islam. Gunakanlah semua ruang dan peluang yang ada di program kerajaan, di media massa, media cetak, masjid-masjid , surau-surau dan sebagainya. Usaha ini perlu digerakkan bersama demi melihat masa depan yang lebih gemilang.

MEMBINA DAN MENGGERAK GENERASI KHAYRA UMMAH


MOHD ZAWAWI BIN AHMAD MUGHNI

Yang Di Pertua

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Negeri Selangor Darul Ehsan

No comments:

Post a Comment

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)