Monday, March 16, 2009

Laporan 2 LANDAS-SPAQ

7 MAC, SABTU : Latihan Praktikal dakwah lapangan diteruskan pada sebelah malam,
selepas sesi muhasabah dan penerangan daripada Ustaz Kamarudin. Dalam slot
muhasabah, para peserta menceritakan pengalaman turun ke lapangan pada sebelah
petang di Central Square, Sungai Petani.

Kawasan sekitar Lagenda Park, Sungai Petani menjadi medan kepada para peserta
mempraktikkan segala teori pada sebelah malam. Aktiviti remaja pada sebelah
malam tertumpu kepada penggunaan arak secara terbuka. Penulis sempat bertemu
dengan sekumpulan remaja sedang melepak sambil meminum arak.

Setelah mendapati terdapat botol arak berhampiran dengan remaja terbabit,
penulis mengambil botol arak tersebut. Satu botol yang masih penuh dan satu
botol telah habis diminum. Pada mulanya, remaja terbabit tidak mengaku arak
tersebut milik mereka, tetapi apabila penulis bercadang mengambil botol
terbabit, seorang daripada remaja tersebut mengaku miliknya dan mengambilnya
daripada tangan penulis.

Penulis mula bersembang dengan remaja-remaja terbabit. Penulis bertanya mengapa
mereka minum arak sedangkan masing-masing mengetahui hukum meminum arak adalah
haram. Malah, seorang daripada remaja terbabit memberitahu kepada semua bahawa
ibadah tidak akan diterima selama 40 hari jika kita meminum walau setitik arak.
Persoalan hukum, semua sudah jelas. Tetapi mengapa mereka masih meminum arak?
Penulis terus bertanya untuk mengetahui dengan lebih lanjut perihal mereka
semua.

"Kami dan kawan-kawan yang lain, sebelum masuk ke dalam tentera, semuanya baik,
tidak tinggal solat, tidak minum arak. Tetapi selepas masuk ke dalam tentera,
mula kenal perempuan, kenal arak, tinggal solat dan lain-lain." Seorang remaja
yang merupakan anggota tentera di salah sebuah kem latihan tentera membeitahu.

Keempat-empat remaja yang berumur antara 20-23 tahun terbabit merupakan anggota
tentera yang datang dari kem-kem latihan yang berbeza. Mereka berkumpul pada
hujung minggu untuk melepak bersama-sama. Apabila ditanya, mengapa mereka
meminum arak, penjelasan yang diberikan mudah.

"Kami terpaksa membuat latihan yang keras di dalam kem. Apabila kami minum arak,
badan kami akan rasa segar setelah bangun daripada tidur keesokan harinya."

"tak mabukkah minum arak?" penulis bertanya apabila melihat label 35% alcohol
tertera pada botol arak tersebut.

"kami tak minum sampai mabuk. Kalau mabuk, kami tak duduk sini lah. Dah lama
kami ambil motor, pergi berlumba." seorang remaja menjawab.

Penulis terus bertanya untuk mengetahui tentang masalah yang berlaku dalam kem
tentera.

"ragging (buli) di dalam tentera merupakan perkara biasa. Kepala saya pernah
dihantuk ke lantai, kemudian dipijak sehingga bengkak oleh senior. Kemudian,
apabila ada junior yang masuk, kami pula akan melakukan perkara yang sama.
Perkara ini akan berterusan."

"tak boleh ubah kah cara dan pendekatan tu. Buat usrah ka, perbincangan agama
sesama senior dan junior. Kita boleh buat kalau kita nak berubah kan?" penulis
sengaja menduga remaja terbabit.

"ini tradisi. Memang tak ubah. Apa yang kami terima, kami buat pula dekat orang
bawah." seorang tentera memberi penjelasan.

"bagaimana pula dengan orang atasan. Mereka tidak peduli kah dengan kes-kes
seperti ini? Takkan langsung tak peduli dengan semua ni."

"pihak atasan? Kalau kami teruk, diorang lagi teruk. Arak ni, orang atasan siap
ada pub sendiri. Bila kami minum, depa marah. Tapi depa sendiri buat, tak apa."
Agak keras remaja terbabit memberitahu penulis.

"orang atasan pun teruk, macam mana nak bagi elok orang bawah?" seorang lagi
menambah.

"rasanya tak semua orang atas macam tu kan?" penulis mahu meredakan `kemarahan'
tentera tersebut. "masih ada yang baik. Kenapa tak ikut yang tu."

"susah nak cakap."

Penulis berhenti menyoal tentang perkara tersebut. Penulis mula mempersoalkan
tindakan mereka meminum arak. Penulis memberitahu kepada mereka tentang
keburukan meminum arak, lebih-lebih lagi arak yang diminum mengandungi peratus
alkohol yang tinggi. Penulis juga mengingatkan mereka tentang tujuan manusia
diciptakan oleh Allah.

"kita semua nanti akan mati. Takkan nak mati dengan cara ni?

Mereka tidak menjawab, sebaliknya seorang daripada mereka memberi satu soalan
yang pelik.

"jika semua air di dunia ni tak ada, kecuali arak ni, hang akan minum tak?"

Penulis tidak menjawab pertanyaan tersebut, sebaliknya penulis mengatakan
kembali kepada tentera yang bertanya tadi bahawa soalan tersebut hanya sebagai
alasan untuk 'menghalalkan' perbuatan mereka.

"anda merupakan baris hadapan negara sekiranya ada perkara yang tak diingini
berlaku kepada negara. Tapi kalau barisan hadapan pun dah macam ni, bagaimana
nak mempertahankan negara."

Penulis sedikit kesal dengan keadaan tentera harapan dan kebanggaan negara
terlibat dengan aktiviti yang tidak bermoral, lebih-lebih lagi mereka merupakan
seorang muslim. Dan, apa yang mereka ceritakan kepada penulis tentang keadaan di
dalam kem tentera menyebabkan penulis tertanya-tanya tentang kredibiliti
tentera. Mungkin ini hanya sebahagian kecil sahaja. Penulis berharap begitulah
keadaannya. Hanya sebahagian kecil...

Penulis tidak pernah memandang serong terhadap tentera, malah penulis begitu
berbangga dengan tentera. Keluarga penulis sendiri ada yang pernah menjadi
pegawai di dalam tentera. Namun, penulis masih beranggapan bahawa tidak
sepatutnya perkara sebegini berlaku di dalam tentera.

Ramai yang maklum bahawa kebanyakan anggota tentera terdiri daripada orang
melayu islam. Hal ini merupakan satu peluang kepada pihak yang bertanggungjawab
untuk membentuk mereka menjadi seorang muslim yang berkualiti.

Perkara yang dimaklumkan kepada penulis oleh anggota tentera yang penulis jumpa
tentang perubahan sikap anggota tentera yang baru menyertai kem tentera bermula
dari 'rumah bujang' tentera. Di dalam rumah tersebut, para tentera bersama-sama
dengan rakan-rakan mereka menerima 'tarbiyyah' sebagai seorang tentera. Di sana,
mereka mengenal dunia tentera, istilah ragging, mengenal arak, mengenal
perempuan, dan mengenal segala-gala yang dikaitkan dengan tentera.

Perlu ada perubahan yang harus dilakukan kepada 'rumah bujang' tersebut. Adakah
sanggup kerajan melihat tentera-tentera yang 'dilahirkan daripada kem-kem
tentera di seluruh negara menjadi tentera yang hanya kuat dan sihat dari segi
fizikal, tetapi lemah, dan rosak dari segi rohani.

Sirah membuktikan bahawa kekuatan dalaman, keimanan dan keyakinan kepada Allah
yang melahirkan dan menghasilkan kekuatan fizikal.

Tentera Badar yang serba kekurangan dari sudut kuantiti dan juga kelengkapan
mampu mengalahkan tentera musyrik yang berjumlah seribu orang. Tentera Talut
yang terlalu sedikit bilangannya berbanding tentera si kafir Jalut mampu
mengalahkan lawannya. Semua ini berpunca daripada kekuatan 'dalaman'. Malah
kekuatan dalaman ini juga mampu mengundang pertolongan daripada Allah
sebagaimana yang berlaku kepada para pejuang di Palestin.

PIHAK BERKUASA

Amat memalukan sekiranya ayat ini keluar dari mulut orang bawahan:

"Orang atas pun teruk, macam mana nak jadikan orang bawah baik?"

Tidakkah pihak yang bertanggungjawab merasa 'terpukul' dengan kata-kata
tersebut.

Suka penulis ingatkan bahawa para tentera merupakan 'benteng hadapan' negara.
Jika benteng hadapan sudah 'rapuh', bagaimana pula mahu menjaga segala isi
negara? Amanah yang diberikan oleh Allah untuk menjadi pemimpin, memimpin sebuah
organisasi, persatuan mahupun kerajaan bukanlah untuk menjaga kepentingan diri.
Malah pemimpin perlu menggunakan 'kuasa' yang diamanahkan oleh Allah untuk
memakmurkan bumi Allah dengan syariatNYA. Nilai-nilai islam perlu diterapkan
dalam segenap lapisan masyarakat. Pemimpin, golongan atasan, golongan
pertengahan, mahupun golongan bawahan perlu dididik dengan nilai-nilai islam.
Sudah jelas masalah yang berlaku di depan mata, namun pemimpin masih lagi mampu
membutakan mata, membiarkan kemaksiatan berlaku.

Penulis tidak mengatakan bahawa pemimpin atau pihak atasan perlu sama untuk
turun ke lapangan berjumpa dengan golongan-golongan bermasalah. Penulis yakin,
para pemimpin mempunyai bebanan dan tanggungjawab tersendiri untuk membolehkan
mereka dapat bersama-sama turun dan bergelumang dengan golongan bawahan,
walaupun yang demikian merupakan perkara terbaik sekiranya dapat dilakukan.
Namun, penulis sangat berharap agar pemimpin, dengan kuasa yang diberikan mampu
untuk menyumbang dari sudut bantuan dan sokongan, kewangan dan peruntukan, serta
menggerakkan badan-badan dan organisasi yang berkaitan untuk sama-sama
'menziarahi' golongan bermasalah dalam masyarakat. Penulis sebagai seorang
remaja merasa sangat sedih dan terkilan melihat golongan yang memenuhkan
pusat-pusat hiburan serta yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti tidak bermoral
adalah di kalangan remaja MELAYU-ISLAM.

Tidak ramai orang yang mahu melakukan aktiviti seperti ini. Berjumpa dengan
golongan bermasalah, mengambil tahu tentang masalah dan latar belakang mereka,
lalu cuba memberi nasihat dan membantu menyelesaikan masalah tersebut. Sudahlah
kuantitinya sedikit, tidak pula diberi sokongan dari sudut bantuan kewangan dan
kemudahan.

Bukanlah niat penulis hendak 'merayu' memohon bantuan daripada pihak berkuasa
dan pemimpin. Namun, ketiadaan bantuan sedikit sebanyak membantutkan usaha yang
murni ini. Perkara sebegini berpotensi untuk lebih dikembangkan lagi dengan
adanya sumbangan dan sokongan daripada pihak berkuasa.

MASYARAKAT

Sejauh mana masyarakat pada hari ini cakna dan mengambil peduli terhadap perkara
yang berlaku di sekeliling. Penulis tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam hal
ini. Malah penulis juga, hanya mampu untuk mengambil inisiatif berjumpa dengan
saudara-saudara seagama yang bermasalah apabila berada dalam program. Jika pada
hari-hari yang biasa, mungkin penulis juga termasuk dalam golongan kelompok
masyarakat yang tidak peduli tentang masalah di sekeliling mereka.

Alasannya, dia bukan anak aku. Dia bukan saudara aku. Aku tak kenal pun dengan
orang itu, mengapa harus aku peduli apa yang dia hendak buat? Jangan suka
menjaga tepi kain orang.

Dalam masalah ini, bukan soal menjaga tepi kain orang, tetapi menjaga kain di
badan sendiri, kerana Rasulullah pernah bersabda, yang membawa maksud:

Sesiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan
tangan (kuasa), jika tidak mampu, hendaklah dia mengubahnya dengan lidah (lisan
dan penulisan), jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan hati (membenci
perbuatan tersebut). Yang demikian itu merupakan selemah-lemah iman.

Jelas, mengambil peduli masalah orang lain bukannya menjaga tepi kain orang,
tetapi menjaga diri sendiri daripada termasuk dalam golongan orang yang tidak
beriman. Mati tanpa iman, tempatnya di dalam neraka. Jadi, soal siapa kalau
bukan soal diri sendiri?

Aku tiada ilmu. Aku bukan ustaz dan ustazah. Aku pun masih belum sempurna.
Adakah ini akan dijadikan alasan di hadapan Allah untuk tidak bersama-sama
mengambil tahu keadaan masyarakat dan kemudian berusaha untuk sama-sama
membanterasnya?

Rata-rata peserta yang terlibat dalam program latihan dakwah dalam masyarakat
ini bukanlah mempunyai latar belakang pendidikan agama, malah ada yang masih
baru hendak `berjinak-jinak' dengan agama. Kemahuan itu yang penting. Kemahiran
dan ilmu boleh diasah dan dipertingkatkan. Jika hendak menunggu diri menjadi
sempurna, penulislah orang yang paling tidak layak untuk berada bersama-sama
mereka.

PARA GURU / ORANG AGAMA / PENDAKWAH

Golongan pendidik, para guru dan ustaz/ustazah merupakan golongan yang paling
hampir dengan remaja, selepas ibu bapa mereka. Mereka berpeluang berinteraksi
secara langsung dengan para remaja yang menjadi anak didik mereka.

Seorang guru juga perlu bertindak sebagai pendidik atau murabbi. Seorang
pendidik bukan hanya menyampaikan ilmu, tetapi juga cuba menjadikan ilmu yang
disampaikan itu berguna. Seorang guru juga merupakan seorang kaunselor. Seorang
guru juga merupakan ibu dan bapa. Rasulullah merupakan contoh seorang guru.
Baginda tidak hanya menyampaikan ajaran, tetapi mendidik masyarakat serta
umatnya mengikut segala isi kandungan ajarannya.

Tetapi, apa akan terjadi kepada anak murid sekiranya seorang guru itu hanya
melihat kerjanya meyampaikan ilmu yang berada di dalam buku? Samalah seperti
pelajar bukan islam yang belajar subjek agama islam dan mampu mendapat skor A di
dalam subjek pendidikan islam, tetapi langsung tidak dapat menghayati isi
kandungan islam tersebut.

Tugas guru bukan sekadar menyampaikan `kuliah ilmu', tetapi juga membimbing anak
bangsa mengenal makna serta hakikat diri mereka diciptakan oleh Allah.

Tetapi, para guru terlebih dahulu harus mampu menjadi contoh teladan dan role
model kepada anak-anak muridnya. Jangan pula guru menjadi lebih teruk daripada
anak murid. Guru bukanlah satu `kerjaya' tetapi merupakan satu `tanggungjawab
dan amanah'.

Begitu juga dengan para ustaz/ustazah. Andalah sumber ilmu agama kepada
anak-anak bangsa. Apa salahnya keluar sedikit daripada silibus agama yang hanya
mampu melahirkan seorang muslim yang TAHU tentang islam, tetapi tidak MAHU
kepada islam.

Penulis berasa berat hati sebenarnya untuk menulis sesuatu yang seolah-olah mahu
`menegur' para guru dan ustaz/ustazah. Bukanlah niat penulis mahu mengajar
golongan yang paling penulis hormati dan sanjungi selepas ibu bapa, tetapi
sekadar mahu menyampaikan hasrat di dalam hati penulis, kerana antara kelompok
yang ditemui semasa latihan diadakan merupakan bakal pendidik anak bangsa.
Malah, realiti di Universiti, bakal-bakal pendidik anak bangsa inilah yang
terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang kurang bermoral, tidak mahu bersama-sama
dengan kelompok yang mahu melihat islam dimartabatkan, malah menjadi golongan
yang cuba menentang. Allahu'lam, jika penulis tersilap. Namun itulah hakikat dan
realitinya bakal-bakal pendidik anak bangsa. Maaf sekiranya ada di kalangan para
guru dan bakal guru yang terasa hati dengan apa yang penulis cuba sampaikan.

IBU BAPA / KELUARGA

Tiada guru yang lebih baik daripada ibu bapa.

Semasa menjalankan gerak kerja di lapangan, kumpulan kami berjumpa dengan
seorang bapa yang mendapat tahu anaknya datang ke Central Square, lalu bergegas
ke sana untuk mencari anak gadisnya itu. Anak gadis itu akhirnya pulang ke rumah
setelah tidak henti-henti dihubungi oleh bapanya. Hasil tindakan segera dan
ambil peduli bapa itu menyebabkan anak itu merasakan dirinya sentiasa dikawal,
lalu gerak gerinya juga akan terkawal. Kebanyakan ibu bapa hari ini tidak peduli
ke mana dan dengan siapa anak mereka keluar. Buktinya, seorang sahabat
memberitahu bahawa ada seorang anak muda lelaki yang keluar bersama-sama dengan
kawannya, seorang perempuan. Apabila ditanya, adakah ibu bapanya maklum tentang
kedatangannya ke pasaraya tersebut, dia menjawab ibu bapanya tahu. Malah tahu
dia keluar dengan perempuan. Namun, apa tindakan ibu bapa anak muda tersebut?

Apabila tertanam dalam benak pemikiran ibu bapa bahawa perkara-perkara tersebut
bersifat "tidak apa", maka anak-anak juga merasakan "tidak apa" untuk melakukan
apa-apa sahaja, dengan alasan ibu bapanya tidak kisah.

Penulis bukan seorang bapa untuk memberi komen tentang tanggungjawab ibu bapa.
Masa depan yang lebih mencabar pastinya akan penulis hadapi pada masa akan
datang. Cuma, penulis risau dengan sikap segelintir ibu bapa yang langsung tidak
mengambil peduli perbuatan dan tindakan anak-anaknya. Perkara sebegini akan
melahirkan generasi yang terus menerus tidak peduli tentang apa yag bakal
berlaku kepada sesiapa pun.

INDIVIDU.

Penulis berada di dalam kelompok ini. Dan setiap daripada kita juga berada di
dalam kelompok yang sama.

Apabila ada istilah `dakwah', pastinya di sana terdapat juga istilah mad'u
(sasaran dakwah) dan juga dai'e (pendakwah). Penulis cuba fokuskan tentang
DAI'E. Hakikatnya, kita semua merupakan dai'e kerana kita merupakan ummat Nabi
Muhammad dan bukannya ummat Nabi Musa. Amanah dakwah telah terpikul di bahu
masing-masing. Cuma sama ada kita sedar atau tidak, itulah yang menjadi
persoalan.

Dakwah dapat dijalankan dengan pelbagai pendekatan. Turun berjumpa masyarakat di
lapangan merupakan salah satu kaedah daripada berbagai-bagai kaedah. Menyedari
hal tersebut, hampir tiada alasan untuk setiap daripada kita mengelak daripada
menjalankan amanah dakwah tersebut. Penulis juga sebagai `pendakwah', tidak
pernah memikirkan bahawa penulis mahu `mengajar' orang semasa melakukan gerak
kerja. Tetapi, lebih kepada saling ingat mengingati. Penulis sering memberitahu
orang yang penulis temui, bahawa tujuan penulis bukan untuk mengajarnya, tetapi
untuk mengingati diri penulis sendiri, sambil mengingatkan orang lain. Dan
penulis juga memberitahu bahawa adalah menjadi tugas mereka untuk mengingatkan
kembali diri penulis sekiranya mereka melihat penulis melakukan sesuatu yang
dimurkai Allah. Itulah konsep "fazakkir" yang diajar dalam islam.

Apabila kita pergi dengan membawa pemikiran `mahu mengajar' orang lain, hal itu
yang menyebabkan kita melihat tugas kita itu terlalu besar sehingga kekadang
membantutkan niat dan tujuan asal, kerana tidak mampu melakukan perkara yang
`besar' tersebut. Tegurlah dengan niat menegur diri sendiri. Betulkan orang
lain, dengan hasrat mahu membetulkan diri sendiri. Ingatkan masyarakat dengan
harapan dapat mengingatkan diri sendiri. Insyaallah, itulah yang akan mendorong
kita untuk terus berada pada jalan ini.

PENUTUP

Segala catatan di atas merupakan pandangan peribadi penulis. Penulis memohon
maaf sekiranya tulisan yang mewakili kata-kata penulis di atas kurang disenangi
oleh mana-mana pihak. Penulis tidak bercadang untuk menyakitkan hati dan
perasaan sesiapa. Sekadar mahu betulkan diri jua.

Allahu'alam..

-HISYAMUDDIN BIN KAMARUDIN-
Anak Muda Cinta Masyarakat (AMiM),
Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)

http://hisyamonline.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)