Monday, June 15, 2009

Surat tahniah kepada Saudara Chandra yang peka dengan sensitiviti agama Islam


Tulisan ini lebih berbentuk kepada surat terbuka untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada saudara Chandra A/L Jaghanathan, 42 tahun di atas keperihatinannya terhadap sensitiviti umat Islam di Malaysia.

Saudara Chandra telah dilaporkan oleh Majalah Al Islam keluaran Jun 2009, menjumpai tulisan Allah pada kasut yang dijualnya selama ini. Akibat penemuan itu, beliau dengan sikap prihatin telah tampil melaporkan perkara tersebut kepada pihak penguatkuasa JAWI pada 27 Mac 2009 yang lalu.

Sikapnya yang jujur, peka serta proaktif untuk membuat laporan tersebut bukan atas keinginan pangkat atau nama, sebaliknya telah menjadi amalan dalam kehidupan beliau untuk menjaga kehormatan agama lain seperti Hindu dan Kristian sebelum itu. Saya mewakili umat Islam ingin mengucapkan tahniah atas sikap beliau tersebut.

Dalam ketegangan suasana akibat ketidakfahaman golongan bukan Islam terhadap sistem agama Islam, sistem syariah dan mahkamah syariah, beliau menunjukkan bahawa toleransi antara kaum dan beragama adalah boleh ditonjolkan melalui sikap penghormatan dan menjaga nama baik agama kaum lain. Malah di dalam Islam terbukti Rasulullah menyuruh para sahabatnya untuk melindungi sesiapa sahaja yang berada di dalam rumah ibadat, dilarang memecahkan rumah ibadah bukan Islam di kala peperangan serta dilarang menghina agama lain.

Dunia hari ini menjadikan premis kesenian dan hak media serta hak untuk bersuara untuk lantang menghina agama lain termasuk melukis kartun tipikal yang sensitif. Jika dalam agama Islam, jumhur ulama (muslim scholar) mengharamkan aktiviti melukis gambar Nabi Muhammad, begitu juga Hindu pada pandangan Chandra, di mana umat Hindu dilarang memakai gambar lukisan Ganesha, Murugan dan sebagainya pada T-Shirt dengan tujuan fesyen. Jelas, etika menjaga kesucian agama juga menjadi nilai sepunya (common value) terhadap umat agama lain.

Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada Utusan Karya melalui Pengarang Kanan Al Islam, En. Zulkarnain yang telah menjenguk beliau di rumahnya serta menghadiahi keluarganya dengan hamper, majalah agama serta langganan percuma Al Islam. Inilah metodologi dakwah dan keharmonian hubungan yang kita inginkan. Malah saya optimis dengan menjaga sensitiviti kaum lain, keharmonian di dalam sesebuah negara boleh dipupuk dan dibina.


Muhammad Nuruddin Bashah
Pengerusi Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)

No comments:

Post a Comment

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)