Sunday, June 14, 2009

Surat kepada YAB Lim Guan Eng: Isu SIS


Salam Hormat,

Y.A.B. TUAN LIM GUAN ENG
Ketua Menteri Pulau Pinang,
Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang,
Tingkat 28, KOMTAR,
10503 Pulau Pinang.

15 Jun 2009

Merujuk Isu Kes Pengharaman NGO Sister In Islam oleh Muktamar PAS

Tuan,

Surat ini ditulis atas rasa muhibbah, bernada muzakarah atas prinsip pertukaran idea dan pendapat sebagai warganegara Malaysia serta saya selaku penganut Islam.

Merujuk kes usul Muktamar PAS ke-55 untuk mengharamkan Sister In Islam selepas penyiasatan dilakukan, saya ada melihat beberapa komentar dari pihak Tuan atas premis pendapat Parti DAP serta pendapat YB Teresa Kok. Komentar Tuan disiarkan dalam TV 3 8 Jun 2009.

Kenyataan Akhbar oleh Teresa Kok, Setiausaha Organisasi DAP & Ahli Parlimen Seputeh di Kuala Lumpur pada Isnin, 8 Jun 2009: Muktamar PAS tidak harus mendesak kerajaan mengharamkan pertubuhan Sisters In Islam (SIS) “SIS bebas bersuara dan jika mana-mana pihak tidak bersetuju dengan pendiriannya, maka perlu dibahas secara sopan dan terbuka. Jika mana-mana pihak mahu mengharamkan SIS atau organisasi yang berbeza pendapat dengannya, ia adalah sifat kuku besi yang tidak harus menjadi budaya kita”.(Laman Web DAP Malaysia)

Sebagai penganut Islam saya juga telah lama mengikuti perjalanan aktiviti dan agenda Sister In Islam. Benar seperti pendapat YB Teresa Kok yang menolak sebarang tindakan zalim, mencabuli hak bersuara agar tidak disamakan dengan UMNO-BN, namun begitu isu SIS bukan sekadar menggariskan hak bersuara tetapi perlu juga diteliti agenda dan segala kenyataan-kenyataan SIS yang bercanggah dengan agama Islam.

Tuan,
Aliran pemikiran SIS adalah liberalisme dalam Islam. Mereka secara terbuka mengakui ketidak-adilan syariah Islam sebaliknya mencadangkan beberapa ‘adjustment’ radikal dalam kondisi dalaman syariah Islam. Jika hal yang sama dilakukan oleh NGO lain terhadap penganut agama Kristian dan Hindu umpamanya, ketidakpuashatian jelas akan kedengaran juga seperti yang syariah Islam alami sekarang.

Tuan,
Muktamar PAS Ke-55 baru-baru ini, telah menerima tanpa bahas usul PAS Kawasan Shah Alam supaya Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang didakwa membawa aliran Islam liberal dan mengharamkannya jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam. Bermakna ia ada syaratnya iaitu terbukti menyeleweng. SIS adalah penganut Islam serta tertakluk di bawah undang-undang syariah negeri-negeri Islam di bawah akta ajaran menyeleweng bagi setiap negeri. Malah telah ada fatwa yang mengharamkan sebarang gerakan yang cuba mempromosi ajaran liberal dalam agama Islam walaupun berkemungkinan fatwa ini belum diwartakan atau dijadikan perundangan. Namun telah ada isyarat justifikasi tindakan usul dari PAS berkenaan.

Dalam Seminar Pemikiran Islam Peringkat Kebangsaan yang diadakan pada 23 – 24 Ogos 2008 bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, anjuran Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) dan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) dengan tema “Menangani Pemikiran Islam Liberal di Malaysia”.

Resolusi yang ke-2
Memohon pihak kerajaan dan pihak autoriti agama peringkat pusat dan negeri menguatkuasakan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali yang ke 74 tahun 2006 berkenaan dengan Aliran Pemikiran Liberal di Malaysia iaitu “memutuskan Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam.”

Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali yang ke 74 memutuskan bahawa Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam.( Tarikh Keputusan : 25 Julai 2006
Tarikh Muzakarah : 25 Julai 2006 hingga 27 Julai 2006)

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan, SIS bukannya NGO Islam malah ahlinya juga tidak mampu untuk memperkata atau membahaskan isu-isu mengenai Islam berdasarkan ilmu.

Islam mengalukan gerakan femenisme yang berjuang dalam gelanggang perundangan, membela hak pendidikan, pengupayaan, politik dan ekonomi bagi wanita, tetapi menyedihkan apabila SIS mengambil tindakan menyerang banyak undang-undang tetap dalam Islam yang HARAM dilanggar oleh umat Islam sendiri.

Tuan,
Kini ramai berpendapat bahawa PAS ingin mengharamkan SIS serta merta sedangkan ayat USUL berkenaan tidak dipaparkan secara lengkap. PAS atau NGO Islam lain dikatakan tidak pernah menegur mereka sedangkan beratus-ratus artikel dan kertas kerja yang mereka sendiri mampu memilikinya melalui internet, menegur dan menjelaskan kesesatan mereka.

Presiden PAS menegaskan, PAS pernah berunding dan menegur pandangan SIS yang bercanggah dengan Islam tetapi usaha itu tidak dipedulikan.

"Kita telah menghantar (Ahli Jawatankuasa PAS Pusat) Dr Mariah Mahmood menyertai majlis anjuran SIS dan menegur pandangan mereka yang bercanggah dengan Islam. Tetapi mereka sentiasa beri pandangan bukan daripada ilmu mereka”.


Tuan,
Selaku pemimpin daripada Pakatan Rakyat serta pemimpin untuk rakyat, saya berharap pihak Tuan dapat mendalami lagi isu ini secara rasional dan saksama. Islam adalah agama yang tidak mewajibkan sesiapa untuk menganutnya. Tetapi apabila menganut Islam, penganutnya wajib menjalankan kesemua perintah Allah SWT tanpa ragu dan bimbang kerana di dalam syariah Islam ada ‘kehidupan’ yag bermaksud ketenangan, keheningan jiwa, keadilan dan keharmonian kepada umat manusia.

Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus”.
( Surah Al Maidah : 17)


Sekian, Terima kasih.

Yang benar,


…………………………………………..
MUHAMMAD NURUDDIN BASHAH
Pengerusi Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)

No comments:

Post a Comment

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)