Thursday, June 18, 2009

Kronologi Gerakan Femenisme

Kronologi Gerakan Femenisme
Kajian oleh : Nuraini Ruzi (Ketua Penyelidikan Skuad Penyelamat Aqidah)

Kini satu wabak yang berbahaya mulai melanda hati-hati permata dunia ini. Bicara saya berkisar tentang feminisme.

Menurut pengertian yang dikumpul melalui internet dan beberapa buah makalah, feminism merupakan himpunan teori sosial, gerakan politik dan falsafah moral tentang pembebasan wanita dan penyisihan kaum lelaki. Penyokong gerakan ini percaya bahawa lelaki dan wanita berhak mempunyai persamaan antara taraf sosial, politik, dan ekonomi. Selain itu, golongan ini juga menganggap jantina/gender hanyalah rekaan masyarakat semata-mata, iaitu bukan secara nature tetapi nurture.

Menyingkap sejarah silam, istilah feminism ini digunakan di Perancis buat pertama kalinya oleh Hubertine Auclert sekitar tahun 1880. Namun, ada juga sumber yang mengatakan istilah feminism ini lahir di Barat iaitu ketika zaman pencerahan (Eropah) oleh Lady Mary Wortley Montagu dan Marquis den Condorcet yang pada ketika itu berjuang untuk hak pendidikan bagi perempuan. Perkumpulan ilmiah wanita pertama dibentuk di Middleburg, iaitu di selatan Belanda pada 1785. Kata feminisme ini direkreasikan buat pertama kalinya oleh aktivis sosialis utopis, Charles Pourier pada tahun 1837 dan pergerakan ini mula menyusun langkah ke Amerika lalu bercambah dengan subur sejak penubuhan The Subjection of Women (1869).

Apabila kita telusuri sejarah dunia, kita dapati kaum wanita merasa dirugikan oleh kaum lelaki tetapi itu sebenarnya hanya sekadar permasalahan yang sengaja digembar-gemburkan oleh puak-puak liberalisme yang mula menodai pemikiran kita semua, dalam usaha untuk meruntuhkan tamadun-tamadun yang lain. Hal ini kerana, feminisme ini mula tercetus dengan hebatnya setelah hampirnya era Liberisme di Eropah dan terjadinya Revolusi Perancis pada abad ke-18 yang kesannya merebak ke Amerika Syarikat dan seluruh pelusuk dunia.

Jadi, bertitik tolak dari situlah, gerakan untuk menaikkan darjat perempuan ini berkembang. Namun kekuatannya masih belum cukup mencengkam hinggalah tiba revolusi sosial dan politik di Amerika Syarikat. Mary Wollstonecraft, penulis Vindication of the Right of Women, telah berhasil menerapkan prinsip-prinsip feminisme dan sekaligus membantu wanita untuk menikmati hak dan keistimewaan yangs selama ini hanya dinikmati oleh kaum lelaki dari aspek pendidikan dan politik.

Saya redah senario hari ini. Bagaimana prinsip-prinsip yang disemai oleh para liberisme itu masih ‘berdaki’ dalam silibus pendidikan guru-guru pelatih di negara kita yang tercinta ini. Mengikut ilmu sosiologi yang wajib dipelajari oleh guru-guru pelatih (contoh) jurusan TESL (Teaching English as the Second Language), istilah-istilah seperti persamaan gender, sterotaip, siling kaca dan sebagainya merupakan faktor bagaimana bangkitnya gerakan feminis ini. Jadi tidak hairanlah jika dalam dewan kuliah pun, ada perang dingin antara dua jantina ini. Paling mengharukan, pensyarah sendiri turut menyalakan obor perbalahan tersebut. Jelas bukan, agenda yang diatur oleh puak liberisme sejak beratus tahun dahulu semakin menampakkan hasilnya.

Mari kita buka kembali lipatan sejarah, usai berakhir Perang Dunia Kedua, muncul negara-negara baru yang bebas dari cengkaman Eropah. Maka lahir feminisme Gelombang Kedua. Gelombang ‘berkuasa’ ini dipelopori oleh para feminis Perancis seperti Helena Cixous (Yahudi Algeria) dan Julia Kristeva (Bulgarian) yang menetap di Perancis yang sealiran dengan kelahiran dekonstruksionis Derrida.

Setelah saya meneluri dan menghalusi tentang susur-galur feminisme ini, sebenarnya ia meliputi penentangan yang membuta-tuli terhadap nilai-nilai maskulin. Apa yang saya mampu simpulkan, Feminisme Gelombang Kedua banyak berkisar tentang menaikkan darjat perempuan dunia ketiga. (perempuan berkulit hitam).

Perempuan dunia pertama menginginkan status semua perempuan adalah sama. Dan, setelah tamat Perang Dunia Kedua, negara-negara yang dijajah telah dipimpin oleh golongan elit nasionalis lelaki. Ketika ini, Feminisme Gelombang Kedua memuncak, tetapi perempuan dunia ketiga masih membatu. Jadi, bermula dari sinilah, perempuan dunia pertama ingin memisahkan perempuan dunia ketiga ini dari krisis kolonialisasi, seksisme, dan relasi sosial.

Jika kita perhatikan, gerakan yang dianggotai oleh golongan feminis ini bermula dari barat dan melebarkan pengaruhnya ke negara-negara Arab, negara Islam sebetulnya. Mereka menuntut hak-hak yang dirasakan milik mereka seperti, persamaan dalam harta pusaka, hak poligami lelaki tidak wajar, persamaan hak dalam penceraian, penentangan pakaian yang menutup aurat, dan menjadikan wanita barat sebagai contoh teladan. Dalam dunia Islam, feminisme muncul pada akhir kurun ke-19 di Mesir, Syria, Turki dan lain-lain. Pada abad inilah, perbincangan tentang hak-hak wanita dilakukan secara terbuka oleh tokoh-tokoh intelektual muslim.

Menurut sebuah artikel yang ditulis oleh Amin Fadillah, terdapat 2 golongan yang menjadi tunjang tentang penubuhan wacana ini (feminisme) iaitu konservatif dan moderat. Golongan konsevatif memperjuangkan hak-hak wanita dengan merujuk terus kepada Al-Quran, Sunnah Nabi dan pendapat ulamak. Mereka mengutuk nilai-nilai yang dipupuk dalam gerakan wanita barat yang menuntut hak sama rata dengan lelaki. Bagi mereka, apa yang diperjuangkan oleh wanita barat itu secara jelasnya menyimpang dari fitrah kerana secara zahir dan batinnya, lelaki dan wanita berbeza dari sudut keupayaannya.

Manakala, golongan moderat pula sedikit sebanyak banyak dipengaruhi oleh gerakan wanita barat. Tetapi, mereka masih lagi berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah sebagai landasan kepada gerakan mereka. Mereka hanya melihat perbezaan antara lelaki dan wanita ini hanya dari sudut biologi sahaja tanpa mengelirukan pemikiran dari sudut yang menyalahi hukum alam.

Apa yang saya dan kita semua kesalkan adalah wujudnya gerakan feminisme yang melampau sehinggakan hukum-hukum agama dianggap sebagai juzuk kecil dalam kehidupan menuju akhirat. Apabila sesuatu pekerjaan dilakukan tanpa berpandukan agama, maka banyaklah kemusnahan yang akan timbul. Hayati potongan ayat ini,
"Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikit pun." (Ibrahim: 26).

Antara gerakan feminisme yang paling menonjol di Malaysia adalah Sisters in Islam. Gerakan yang pernah dikepalai oleh Zainah Anwar ini secara terang-terangan mempersendakan hukum-hukum Allah tentang hak antara lelaki dan perempuan. Gerakan ini menuntut hak-hak yang tidak masuk akal seperti hak berpoligami, harta pusaka dan sebagainya. Gerakan ini menanamkan semangat dan perasaan bahawa wanita mampu hidup sendirian tanpa lelaki sehingga timbul golongan wanita yang menolak perkahwinan.

Alangkah ruginya wanita yang menidakkan perkahwinan dalam hidup. Sikap ini bertentangan dengan kehendak Islam yang menggalakkan perkahwinan malahan berlawanan dengan fitrah semulajadi manusia. Golongan wanita yang tidak berkahwin, (bukannya wanita yang tidak menemui jodoh mereka), tidak akan mendapat kesempurnaan dalam agama. Amat mudah bagi wanita mendapat maqam solehah dan ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW, “Sekiranya seorang wanita dapat melakukan empat perkara iaitu sembahyang 5 waktu, puasa di bulan ramadhan, menjaga maruah dan taat kepada suami maka masuklah syurga melalui mana-mana pintu syurga yang dikehendaki”


SIS memasakkan doktrin yang berbahaya dalam hati wanita Islam dengan mengatakan bahawa kaum wanita ditindas sejak dahulu lagi dalam Islam dan diinjak-injak dalam sistem pusaka atau pembahagian harta kerana lelaki mendapat bahagian yang lebih dari wanita. Selain itu, mereka menuntut hak mentafsir ayat-ayat suci Al-Quran diberikan kepada wanita kerana pada pandangan mereka, diskriminasi terhadap wanita berpunca daripada hak mentafsir Al-Quran hanya diberikan kepada lelaki. Bukankah ini satu kebodohan?

Cuba kita lihat betapa adil dan sempurnanya hukum yang Allah tetapkan untuk lelaki dan wanita. Telah terjadi dialog antara Asma’ binti Sakan dengan Rasulullah SAW. Asma’ merasakan ketidakadilan antara hak lelaki dan wanita dalam Islam. Asma' berkata, "Wahai Rasulullah, bukankah Engkau diutus oleh Allah untuk kaum lelaki dan juga wanita. Mengapa sejumlah syariat lebih berpihak kepada kaum lelaki? Mereka diwajibkan jihad, kami tidak. Malah, kami mengurus harta dan anak mereka di kala mereka sedang berjihad. Mereka diwajibkan melaksanakan solat Jum'at, kami tidak. Mereka diperintahkan menghantar jenazah, sedangkan kami tidak." Rasulullah saw. terpegun atas pertanyaan wanita ini sambil berkata kepada para sahabatnya, "Perhatikan! betapa bagusnya pertanyaan wanita ini." Beliau melanjutkan, "Wahai Asma'! sampaikan jawapan kami kepada seluruh wanita di belakangmu, iaitu apabila kalian bertanggung jawab dalam berumah tangga dan taat kepada suami, kalian dapatkan semua pahala kaum lelaki itu." (Diterjemahkan, HR Ibnu Abdil Bar).


No comments:

Post a Comment

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)