Sunday, June 21, 2009

Kajian Sister In Islam Pertikai Undang-undang Hudud Terengganu

Sister In Islam Pertikai Undang-undang Hudud Terengganu
Kajian oleh : Mohd Izzuddin Bin Mohd Zin (Setiausaha 2 Skuad Penyelamat Aqidah)
Tarikh kes : 17 Julai 2002

Sister In Islam (SIS) telah mempersoal perlaksanaan hukum hudud di Terengganu dan Kelantan. Dengan menyatakan bahawa ada keraguan pada peruntukan-peruntukan lain yang bercanggah dengan syarak. Dalam erti kata yang lain, kenyataan ini seolah-olah mencabar kredibiliti ulama dalam menunaikan amanah mereka. Kenyataan mereka seperti berikut.

‘...Selama ini, kerajaan negeri PAS di Terengganu dan Kelantan telah cuba menghalang kritikan dengan mendakwa bahawa versi undang-undang "hudud" mereka adalah Hukum Allah swt. Hakikat bahawa percanggahan ketara terdapat di antara beberapa peruntukan asal mereka dengan apa yang tertulis didalam al-Qur'an dan hadith sahih telah menimbulkan keraguan tentang kesesuaian peruntukan-peruntukan lain dalam cadangan tersebut dengan semangat dan maksud sebenar Hukum Syara'...’

Contoh yang dinyatakan oleh pihak SIS untuk menyokong kenyataan tersebut.

‘...Masih terdapat kekeliruan mengenai jenayah rogol dan kesalahan zina, apabila rogol dianggap sebagai "zina paksa" yang dirangkumi oleh peruntukan mengenai zina...’

Tambahan pula, SIS mengkritik pindaan Seksyen 9 berkenaan kes rogol tersebut. SIS secara terang menyanggah pengiktirafan Al-Quran terhadap saksi.

‘...Seksyen 9 telah dipinda untuk membenarkan mangsa rogol membawa keterangan qarinah jika tidak terdapat empat orang saksi, dan adalah dikatakan jika terdapat qarinah, aduan rogol itu akan disiasat...’

Qarinah yang memberi maksud erti, bukti atau pembawaan kepada bukti. Pada pendapat ada, apakah itu qarinah dalam erti kata yang sebenar? Sudah tentu bukti sahih keadaan fizikal mangsa rogol. Samada melalui ujian analisis DNA, koyakan pada kemaluan atau sesi kaunseling dengan pengadu. Ini boleh dilakukan oleh pakar-pakar kesihatan dan psikologi yang bertauliah dan adil. Bagi saya ini menjawab beberapa persoalan pra-matang yang diajukan oleh SIS dibawah.

‘...Persoalannya, Apakah pendekatan kepada "siasatan" ini? Adakah ia bertujuan untuk mencari maklumat bagi membawa penjenayah ke muka pangadilan atau untuk membuktikan samada dakwaan wanita itu benar-benar sahih ataupun tidak? Adakah beban pembuktian diletak di atas bahu perempuan itu atau di atas pihak berkuasa negeri?...’

Pendekatan siasatan ini menjurus kepada keadilan dan bukan penindasan mahupun diskriminasi mana-mana pihak. Tujuannya adalah memberi adil kepada pengadu dan tertuduh. Jika dakwaan wanita itu benar, maka wajib perogol itu dikenakan hukuman yang sewajarnya berlandaskan syariat islam. Jika tidak, maka wanita tersebut pula dikenakan hukuman kerana dakwaan palsu atau fitnah. Jika kedua-duanya bersalah, maka wajib atas mereka hukuman hudud bagi pesalah zina.
Apakah ini masih tidak adil lagi? Zalim sangatkah peraturan Allah? Apakah ulama yang menegakkan hukuman Allah ini dianggap kolot dan berkepentingan? Ya, mereka ‘berkepentingan’, dalam gerak kerja dakwah islam dan menjana umat berakhlak. Beban pembuktian itu terletak kepada pihak pendakwa dan hakim yang mengadilinya. Sebab itu, dalam soal ini kredibiliti makhamah syariah usah diperlekeh. Tetapi ada segelintir masyarakat kita masih menyanjung undang-undang rimba peninggalan penjajah dalam mengadili permasalahan berkaitan dalam perundangan Islam.

Lontaran soalan kurang cerdik lagi daripada SIS yang membuat saya geli perut untuk menjawabnya lagi.

‘...Adakah perempuan itu mungkin dituduh melakukan qazaf dan/atau zina sekiranya penyiasat memutuskan bahawa keterangan itu kurang menyokong dakwaannya? Adalah diakui oleh pengamal undang-undang, serta juga para doktor dan kaunselor bahawa keterangan qarinah bukanlah mudah untuk diperolehi dalam kes rogol...’

Selaput dara perempuan juga boleh terkoyak jika perempuan tersebut selalu aktif dan tidak semestinya melalui persetubuhan. Dan perempuan itu masih lagi dikatakan dara selagi mana tidak melakukan sebarang hubungan kelamin. Berbalik kepada soalan tersebut, perempuan tersebut akan diadili setelus dan seadilnya, dan soal salah atau tidak bergantung kepada bukti dan keputusan hakim syariah. Sebab itu saya katakan tadi, kes yang semacam ini, bawalah kepada makhamah syariah. Insya-Allah, disana ada pakar-pakar perubatan dan pengamal undang-undang yang bertauliah dan diakui keadilan mereka.

Kita sedia maklum, kebanyakkan kes rogol yang diadukan adalah dikalangan remaja belasan umur. Kedua pengadu dan tertuduh, masing-masing mengenali rapat antara satu sama lain. Besar kemungkinan, berlakunya zina antara mereka apabila cinta kera terlarang terjalin tanpa ada ikatan nikah yang sah. Inilah virus yang terus merebak dalam jiwa dan pemikiran anak-anak muda kita. Zina menjadi kebiasaan kerana hukuman Allah Taala tak diguna pakai. Lama-lama rasa bertuhan itu terhakis dan inilah yang menjadi penyakit dalam umat islam hari ini.

Tambahan pula, menyalahkan hukuman hudud sebagai tidak adil adalah satu penghinaan yang jelas terhadap Allah. Apa yang dirancangkan oleh kerajaan Terengganu pada ketika itu tidak bercanggah langsung dengan ketetapan hukuman Allah Taala. Tetapi isu ini menjadi kontroversi apabila perlaksanaannya dalam kalangan masyarakat majumuk Malaysia. Namun tidak mustahil, ia dapat direalisasikan berdasarkan negara contoh Madinah yang juga berbilang puak dan agama. Berikut ialah kenyataan SIS.

‘...Undang-undang Hudud yang diluluskan oleh kerajaan Terengganu juga dengan jelas melanggar prinsip keadilan yang utamakan oleh Islam. Sebagai contoh, seorang Islam yang terlibat dalam jenayah curi akan dipotong tangannya tetapi orang bukan Islam hanya akan dihukum penjara. Penjenayah bukan Islam pula diberi pilihan bebas sama ada hendak dibicarakan di bawah undang-undang hudud ataupun tidak...’

‘...Ini bermakna bahawa jika difikirkannya bahawa ia akan dibebaskan di bawah undang-undang hudud, dia akan memilih undang-undang hudud, dan jika difikirkannya bahawa ia akan disabitkan, ia akan memilih undang-undang lain pula. Ketidakselarasan ini hanya akan menimbulkan konflik serta ketidakpuasan hati pelbagai pihak dan bukannya keadilan dalam masyarakat kita yang berbilang agama...’

Sebab itulah, dalam Islam, proses pendidikan manusia ini berkala dan konsisten mengikut tahap umur dan pemikiran seseorang tersebut. Lihat sahaja kewajipan solat, pada awal kanak-kanak, hanya suruhan mengerjakan solat. Tetapi denda merotan boleh dikenakan apabila menjelang peringkat remaja, asalkan bertujuan mendidik dan tidak melampaui batasan syarak. Begitulah halnya dengan perlaksanaan hudud, takzir dan qisas.

Kesimpulannya, kesesatan liberalisma yang dicanang oleh SIS dalam mempertikaikan hukum Allah, secara senyap masuk kedalam umat islam hari ini. Natijahnya, lahirlah kerosakan demi kerosakan sosial yang tiada sudah. Sebagai seorang muslim, mengaku dirinya muslim dan tertulis pada kad pengenalannya juga Islam, bersangka baiklah dengan Allah. Nescaya kamu beroleh hidayah dan redha Nya.

No comments:

Post a Comment

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)