Thursday, March 25, 2010

Langkah menyelamat tulisan jawi perlu lebih bersistematik

Langkah menyelamat tulisan jawi perlu lebih bersistematik

TERAS cawangan Perak mengalu-alukan usaha UMNO untuk mewajibkan setiap cawangannya membeli naskhah Utusan Melayu sebagai satu usaha pemartabatan tulisan jawi. Seperti yang dilaporkan oleh Kosmo 25 Mac 2010, Datuk Ahmad Maslan akan mengambil beberapa tindakan untuk memartabatkan kembali tulisan ini memandangkan kementerian penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah membelanjakan RM2.2 juta sebagai cara untuk memastikan kelangsungan hayat akhbar Utusan Melayu.

Namun TERAS mengingatkan kerajaan dan semua rakyat Malaysia bahawa tulisan jawi kini bukan sekadar telah menjadi nyawa-nyawa ikan, malah telah lama dipinggirkan sehingga hampir pupus akibat dasar kerajaan yang tidak menyebelahi kepada pengekalan tulisan ini. Tulisan ini yang menyimpan sejumlah besar ketamadunana islam serta korpus ketinggian nilai agama dan peradaban melayu kini hanya mampu menjadi sisipan kepada program kementerian, hanya layak dijadikan tulisan pelajaran pendidikan islam sekolah agama serta canggung digunakan dalam sebarang urusan harian masyarakat.

Sebelum ini terdapat seruan agar semua syarikat milik Bumiputera termasuk agensi kerajaan di negara ini diminta melanggan akhbar Utusan Melayu sebagai langkah awal menyokong usaha kerajaan memartabatkan semula tulisan jawi.

Pengerusi Biro Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Azizul Nizam Bidin juga pernah menyatakan bahawa langkah untuk menghidupkan kembali akhbar Utusan Melayu merupakan satu langkah positif dan memerlukan sokongan semua pihak.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sokongan padu berkaitan kenyataan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang pernah menyatakan kerajaan tidak teragak-agak meminda sebarang akta atau dasar berkaitan bahasa Melayu dalam usaha memperkasa dan memartabatkan bahasa tersebut. Jika benar kementrian pelajaran sanggup memninda akta bahasa, ianya adalah suatu rahmat bagi umat Melayu untuk melihat tamadun Islam kembali bersinar. Namun begitu telah beberapa usul dinyatakan dalam banyaak seminar mahupun simposium dan ia hanya tinggal catatan tanpa ada sebarang reaksi yang progresif dan positif.

Sebagai contoh adalah usul oleh Universiti Malaya dalam Konvensyen Tulisan Jawi 1984.

3.1- Sebuah Jawatankuasa penyelidikan dan penyelarasan tentang sistem ejaan jawi di peringkat serantau hendaklah dibentuk. Gerakan penulis seluruh negara, mencadangkan supaya Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan pindaan 1967 disemak semula, dan dimasukkan sama tulisan jawi”.

Usul yang diberikan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan dalam Konvensyen Tulisan jawi 1984 pula berbunyi,

2.1- Tulisan jawi hendaklah dijadikan salah satu asas keperibadian bangsa dengan cara menetapkan taraf tulisan tersebut iaitu dengan mengadakan akta atau undang-undang khas tentang tulisan jawi”.

Lihat juga cadangan Prof, Dato Ismail Ibrahim semasa ucapan dasarnya merasmikan Konvensyen Tulisan Jawi 1991,

Usul ke-6 Memasukkan tulisan Jawi ke dalam akta Bahasa Kebangsaan sebagai tulisan rasmi bagi bahasa kebangsaan. Akta yang ada sekarang kelihatan seperti meletakkan tulisan Jawi di kelas bawahan selepas tulisan rumi dan para penerbit buku Melayu tidak berminat untuk menerbitkan buku di dalam tulisan Jawi, para pengiklan tidak menggunakan tulisan Jawi di dalam iklannya, para pekedai dan pengurus pejabat kerajaan dan swasta tidak memberikan perhatian tentang kepentingan tulisan Jawi. Tulisan Jawi tidak mempunyai nilai ekonomi dan budaya, dan tidak mendapat perlindungan undang-undang. Jadi Akta Bahasa Kebangsaan yang berkaitan perlulah diperkemaskan supaya menjadi lebih tegas” .

Melihat usul-usul di atas kita dapat menilai kedudukan tulisan ini yang kian dipinggirkan hingga kehilangan sifat praktikalnya serta dinamiknya. Tragedi ini adalah amat menyedihkan sekali.

Usul-usul di atas semuanya masih belum dilaksanakan malah hanya didiamkan.

TERAS menggesa pihak kementerian dan kerajaan khususnya untuk memasukkan tulisan jawi ke dalam Akta Bahasa Kebangsaan mahupun Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan melalui langkah pindaan. Adakan juga akta khas untuk membenarkan sesiapa sahaja yang menggunakan tulisan ini dalam urusan rasmi kerajaan.

Teknik pareto dalam penyelesaian masalah juga perlu diperhatikan iaitu menyelesaikan permasalahan yang lebih besar iaitu dominasi tulisan rumi, penggunaan bahasa melayu rojak, pengkomersialan bahasa Inggeris, penswastaan dan liberalisasi pendidikan dan sebagainya perlu diselesaikan bukan sekadar memuziumkan tulisan ini dalam Utusan Melayu semata-mata.

Muhammad Nuruddin Bashah

Setiausaha TERAS cawangan Perak

No comments:

Post a Comment

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)