Saturday, October 25, 2014

Syarah Ucapan Bertindak ke16- MEMURNIKAN POLITIK BANGSA DENGAN ISLAM


MEMURNIKAN POLITIK BANGSA DENGAN ISLAM
Muhammad Nuruddin Bin Bashah1
Unit Kajian Ilmiah MAPIM Utara

Tulisan ini ikhlasnya untuk menyahut seruan dan gagasan Presiden TERAS yang mambawa tema MEMURNIKAN POLITIK BANGSA , MEMBANGUN NEGARA BERWIBAWA sebagai Ucapan Bertindak PPMK TERAS Kali ke 16 tahun 2014 / 1435 H. Politik dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud pengetahun dan ilmu dasar negara, siasah dan kenegaraan.

Manakala istilah bangsa di sini saya yakin ia bukan bermaksud terma etnik yang chauvinis. Ia merupakan suatu pandang sarwa yang luas berkenaan konsep bangsa Malaysia yang ditunjangi politiknya oleh kamum Melayu Islam.

Negara berwibawa bukanlah maksudnya hanya cemerlang, terbilang dan terkenal semata-mata. Bukan mengejar perkembangan KDNK, FDI mahupun mengejar rangking indeks tertentu sesebuah negara. Negara berwibawa pastilah cocok dengan klausa baldatun tayyibatun atau negara tayyibah yang merupakan pra syarat kerajaan yang mendapat rahmat dan kasih Allah SWT.

Gagasan memurnikan politik melayu adalah suatu gagasan setelah melihat sesuatu yang tulen telah tercemar. Perkara yang tulen ituah siasah meayu yang berteraskan Islam. Ia kian tercemar dan rosak akibat pragmatisme, machivellisme, sekularisme dan liberalisme yang merosakkan mabda’ (asas) bagi agenda politik melayu. Kesemua isme yang dinyatakan di atas mencalar teruk nilai akhlak, adlu wal ihsan yang merupakan ruh dalam politik Islam.

Akibat keterhakisan akhlak : politik fitnah menfitnah, aib mengaib, kawan makan kawan, cenderung dengan dasar yang merugikan Islam, melatah dan melulu dalam membuat polisi kepada rakyat sehingga menghilangkan cahaya akhlak di muka pemimpin.

Akibat keterhakisan keadilan: Pengagihan bajet, harta kepada golongan yang bukan hak, skim bantuan yang berasaskan miledge politik kepartian, membantu hanya kepada penyokong sendiri sahaja bukan tanggungjawab untuk semua rakyat, salah guna harta negara, skim perumahan, percukaian dan pendidikan yang nampaknya meringankan beben tetapi bersifat selektif, menzalimi sebahagian pihak, berbaur politik kepartian dan sebagainya.

Akibat keterhakisan ihsan : Hilang rasa belas kepada kepayahan rakyat, menarik subsidi dan bantuan walaupun ia adalah suatu sunnah yang syarie untuk kestabilan ekonomi sosial zaman Nabi dan Sahabat, rakus boros dalam mengurus harta dana negara dan sebagai imbalannya poket rakyat menjadi sumber kewangan negara.

Namun antara ketiga elemen ini akhlaklah yang paling penting dan perlu diberi perhatian kerana akhlak yang memandu seseorang pemimpin untuk berlaku adil dan ihsan.

Perhalusi juga bagaimana sejarah Islam mengubah politik bangsa Melayu.

Latar belakang siasah bangsa Melayu- Islam mewarnai politik Melayu

Islam dan dakwah dikatakan berjaya semasa pemerintahan Khalifah Umar Ibn Aziz sehingga ke Nusantara. Usaha dakwahnya dikatakan menyebbkan Raja Srindravarman pengganti Lokitavarman pada 718 Masihi memeluk Islam dan menukar nama kerajaan kepada Sribuza Islam.2
Unsur akhlak adalah unsur utama selain penyucian aqidah yang meresap dalam sosio politik dan budaya melayu.

Agama mempunyai pengaruh sebagai alat integratif dalam masyarakat di mana kegiatan beragama mempunyai nilai fungsi kepada kesejahteraan hidup manusia, di mana ia berperanan mengatur sistem moral dan sosial masyarakat hingga muncul keharmonian dalam kehidupan masyarakat. Sarjana dari dahulu lagi berpendapat dimensi agama mempunyai peranan untuk membentuk manusia menjadi pendorong, pengatur dan penjana pembangunan tamadun di muka bumi ini3.

Inilah peranan yang juga dimainkan oleh Islam semasa di awal kemunculnnya di Nusantara.
Islamisasi kepulauan Melayu pesat mulai abad ke 13M selepas kejatuhan Abbasiyyah di Baghdad4.
Penghakisan konsep Deva raja berlaku bertukar kepada Al Sultan Zillullah Fi Al Ard ( Sultan bayangan Allah di bumi).

Prof Hassan Ahmad - selepas Islam, konsep Tuan dengan Hamba bertukar kepada konsep pohon dengan akar (nasihat Sultan Alaudin Riayat Syah kepada anaknya)5

Politik yang digagas oleh Al Farabi adalah antara gagasan yang terbaik boleh dicontohi oleh pemimpin politik Melayu Malaysia khususnya. Al-Farabi adalah seorang ilmuan yang mengutamakan kebahagiaan dan kesempurnaan dalam negara.

Idea ini timbul apabila al-Farabi melihat sistem pemerintahan yang ada pada waktu itu menzalimi rakyat dan banyak kepincangan yang berlaku di dalam pentadbiran hingga menjejaskan kebahagiaan rakyat.
Al-Farabi menggambarkan ideanya dalam satu bentuk analogi yang cukup cantik, iaitu kaitan antara sistem pentadbiran dan struktur tubuh badan manusia. Negara yang terbaik adalah idaman setiap manusia. Seluruh rakyat bekerja untuk membina kehidupan serta membangunkan negara sebagaimana peranan anggota tubuh badan tadi.

Ketua negara bertindak sebagai ‘hati’, di mana tanggungjawab mereka adalah memimpin rakyat dan mentadbir negara dengan baik.

Setiap negara yang dibangunkan mestilah mempunyai tujuan dan harapan yang ingin dikecapi tanpa mengambil kira struktur dan asas (ideologi) negara itu diwujudkan.
Abbas Mahmud menyatakan bahawa apa yang diinginkan oleh al-Farabi ialah sebuah negara yang dapat memberikan kebahagiaan kepada rakyatnya untuk dua dunia, iaitu dunia ini dan akhirat6.

Islam menolak kediktatoran dan kezaliman
Raja Ali Haji dalam Thamarat al mahammah - kritik perilaku raja yang langgar syariat. Digelar pujangga istana tetapi tidak mengampu istana7.

Beliau Kritik Sultan Mahmud (Riau Lingga) yang tidak peduikan rakyat.
Dalam Sulallatus Salatin - ada termuat wasiat Sultan Mansur Syah kepada puteranya agar melaksanakan keadilan, jangan memakan harta orang, bermusyawarah, menolong sesiapa yang teranaiya8.

Prof Hassan Ahmad - istilah feudal adalah istilah barat yang merosakkan makna institusi kepimpinan Melayu Islam kerana sistem feudal adaah hubungan pemimpin dengan hamba pertanian. Bukti-bukti menunjukkan keadilan Sultan Melayu dan ia dicemari dengan tokok tambah filem, kisah, hikayat Melayu yang ada unsur sumber Barat9.

Melayu unggul dengan Islam
TERAS beranggapan, persoalan Melayu adalah Islam dalam peruntukan perlembagaan adalah suatu pernyataan untuk menyatukan bangsa Melayu atas nama Islam bukan atas nama Bangsa semata-mata dan ia tidak bermakna suatu klausa menafikan hak beragama kaum lain10.
TERAS menegaskan hanya parti yang berdasarkan Islam, konssiten dengan kaedah syarak dan hujah ilmu yang mampu menjaga kepentingan Melayu dan bukannya pihak pragmatik yang berasas ideologi nasionalisme yang sudah kehilangan wibawa mewakili orang Melayu11.

Mengislamkan politik Melayu
Konsep sekarang terbalik kuang. Ingin menang dahulu dalam pilihanraya barulah Islam dan akhlak diterapkan dengan mudah. Sedangkan konsep yang ditinggalkan oleh Imam Mawardi adalah iqamah ad dian wa siasah ad dunya bih (bangunkan agama dan tadbirlah bumi dengannya yakni Islam)
Prof Hassan Ahmad pernah berkata bangsa melayu paling banyak menjahanamkan bangsa sendiri-paling banyak perang dingin, fitnah dan mengaibkan bangsa sendiri secara terbuka, mengamal rasuah dan maksiat. Pemimpin yang dipilih rakyat boleh dikuasai dengan wang dan boleh dibeli12.

Ancaman-ancaman yang menghilangkan kemurnian siasah/politik Melayu
Ancaman kebendaan - sejak kemerdekaan 1957, pembangunan adalah seruan yang dianggap syurga oleh rakyat13.
Prof Hassan Ahmad senaraikan 3 ancaman besar kepimpinan Melayu14:
  • Ancaman rasisme
  • Ancaman model kemajuan yang salah
  • Ancaman kepimpinan tidak cekap dan rasuah

Pemimpin politik yang menggelar diri sebagai pejuang islam juga kian meninggalkan bagasi akhlak, tatacara politik Islam sebaliknya menerapkan machievellisme dan pragmatisme atas nama maslahah dan menghapuskan mudharat lebih besar. Penggunaan semberono kaedah-kaedah fiqh untuk menghalalkan tindakan politik juga menjadi penyakit mutahir ini.

Kelihatan juga maqasid syariah (objektif agama) dilupai oleh sebilangan besar ahli politik Melayu tanpa mengira parti dan pemikiran.

Perlunya ahli politik, para pemimpin dan bakal pemimpin menghayati benar-benar apakah intipati sebenar maqasid syariah yang perlu dibawa melalui agenda politik.

24 Oktober 2014
Bandar Puteri jaya
7.40 malam


1 Bekas Setiausaha TERAS Perak, Aktivis Jamaiy, kini bergiat sebagai aktivis Gerakan Sokng Syariah (GESA) serta Unit Kajian Ilmiah MAPIM Utara. Penulis boleh dihubungi : 017-6291368 (jihadin82@yahoo.com)
2 Abdul Rahman Haji Abdullah, Pemikiran Umat Islam Nusantara, DBP, 1990 (halaman 35)
3 Mansor Mohd Noor, Islam dan Kedinamikan Lokal Di Malaysia: Adaptasi, Harmoni dan Konflik, Annual Conference on Islamic Studies Banjarmasin, 1 – 4 November 2010 (ACIS) Ke - 10
4 Siddiq Fadzil, Islam dan Melayu,Akademi Kajian Ketamadunan Kompleks Dar Al Hikmah, 2012 (halaman 92)
5 Dewan Masyarakat Februari 2009 (halaman 44)
7 Siddiq Fadzil, Islam dan Melayu,Akademi Kajian Ketamadunan Kompleks Dar Al Hikmah, 2012 (halaman 95)
8 Siddiq Fadzil, Islam dan Melayu,Akademi Kajian Ketamadunan Kompleks Dar Al Hikmah, 2012 (halaman 97)
9 Dewan Masyarakat Mei 2008 (halaman 44)
10 Mohd Azmi Abdul Hamid, Gagalnya Kepimpinan Melayu Tanpa Islam, TERAS, 2013 (halaman 7)
11 Mohd Azmi Abdul Hamid, Gagalnya Kepimpinan Melayu Tanpa Islam, TERAS, 2013 (halaman 66)
12 Dewan Masyarakt Mei 2011 (halaman 48)
13 Siddiq Fadzil, Islam dan Melayu,Akademi Kajian Ketamadunan Kompleks Dar Al Hikmah, 2012 (halaman 99)

14 Dewan Masyarakat Februari 2011 (halaman 28)  

No comments:

Post a Comment

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)