Tuesday, September 23, 2014

MEMORANDUM-ISU BOCOR SOALAN UPSR; PELBAGAI ASPEK PERLU DIPERHALUSI



MEMORANDUM
KEPADA
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

ISU BOCOR SOALAN UPSR; PELBAGAI ASPEK PERLU DIPERHALUSI
Oleh
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia
14 September 2014

Latar belakang

Rakyat malaysia menerima kejutan yang cukup banyak pada tahun ini. Bermula isu mister kehilangan pesawat MAS MH 370, disusuli pula tragedi berdarah MH 17 yang ditembak oleh pohak yang hingga kini tidak mengaku bertanggungjawab, kini rakyat Malaysia dikejutkan dengan insiden penundaan peperiksaan UPSR kerana kebocoran kertas berkenaan.

Adalah dianggarkan kerugian akibat kepincangan ini adalah :

Kos percetakan untuk lebih 473,175 calon Upsr di lebih 7,000 pusat peperiksaan

Hampir 45,000 kakitangan Kementerian Pendidikan yang dibayar elaun khas

Insiden ini bermula apabila apabila Pengarah Peperiksaan mengeluarkan arahan pekeliling bertarikh 10 September menyatakan bahawa peperiksaan Sains ditangguh kerana dikesan adanya kebocoran soalan. Hal ini telah menimbulkan keluhan dan rungutan yang cukup hebat. Pada tarikh 10.9.2014 pihak Lembaga Peperiksaan (LP) telah membuat kenyataan media berkaitan Peperiksaan Science 018 (SK), 028 (SJKC), 038 (SJKT) bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang dijadualkan pada 11 September 2014 telah didapati bocor.

Hal itu tidak sekadar itu malah berlanjutan apabila Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia telah menerima laporan bahawa Kertas Peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2 bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang dijadualkan berlangsung pada tarikh 11 September 2014 telah didapati bocor. Lembaga Peperiksaan telah menjalankan siasatan dan mendapati perkara ini adalah benar.

Sehubungan dengan ini, Lembaga Peperiksaan memaklumkan bahawa kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2 bagi UPSR tahun 2014 yang dijadualkan pada 11 September 2014 adalah dibatalkan serta tarikh baharu bagi peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2 adalah pada 30 September 2014 bersekali dengan kertas Science 018, 028 dan 038.

Pada 23 hb September diumumkan pula kertas ujian Mathematics 015/1 (Sekolah Kebangsaan), 025/1 (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina), 035/1 (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) dan Bahasa Tamil 036, 037 yang berlangsung pada 10 Sept dibatalkan setelah disahkan bocor.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata tarikh baharu bagi ujian Mathematics 015/1, 025/1, 035/1 dan Bahasa Tamil 036, 037 adalah pada 9 Okt setelah mengambil kira cuti umum Aidiladha dan aspek logistik (percetakan dan pengedaran).

Ramai yang merintih terutama calon peperiksaan berkenaan sendiri. Ikon pelajar memasukkan kepala ke dalam beg sekolah kelihatan lucu tetapi cukup sinikal dan memalukan pihak yang bertanggungjawab. Tekanan akibat persediaan yang tergendala, persediaan emosi dan spiritual menjadikan peperiksaan ini sebagai peristiwa hitam bagi kanak-kanak yang menduduki UPSR.

Guru antara yang menerima kesan segera dan buruk rentetan perkara ini. Media dan masyarakat akan memalu para guru. Satu demi satu isu guru dimainkan mediasekaligus seolah-olah mencerca profesion perguruan.


Apakah respon daripada isu ini?
  1. KPM akan menubuhkan satu Jawatankuasa Bebas bagi meneliti semula Prosedur Operasi Standard (SOP), pengendalian dan pengurusan peperiksaan awam. Ahli-ahlinya akan terdiri daripada pakar pelbagai bidang antaranya teknologi maklumat, keselamatan, dan logistic. ( Sinar Harian 12 September)
  2. Reaksi spontan Presiden, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan ; cari siapa yang membocorkan kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan kenakan hukuman paling maksimum. (Berita Harian 11 September 2014)

  1. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng - pihaknya sedang mengumpul keterangan dan bekerjasama dengan Lembaga Peperiksaan serta agensi berkaitan bagi mencari dalang terlibat, tiga percakapan dirakamkan dan polis telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes kebocoran kertas subjek Sains dan Bahasa Inggeris sebaik menerima laporan pada 10 September lalu. ( Sinar Harian 13 September )
  2. Rata-rata ibu bapa terkilan dengan insiden kertas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang dilaporkan bocor bagi dua mata pelajaran, Sains dan Bahasa Inggeris dan ia tindakan yang tidak bertanggungjawab malah tidak adil kerana membebankan murid-murid yang baru berusia 12 tahun. ( Sinar Harian 12 September)
  3. Syed Osman Mansur Pengerusi Biro Pemantauan dan Integriti dan Naib-Presiden Perkasa Malaysia - merasa kesal dengan kejadian ini. Sudah banyak kali isu kebocoran soalan peperiksaan seperti ini berlaku di negara kita. akui gejala kebocoran ini berlaku atas banyak kemungkinan; antaranya khianat, kurang telus, tidak bertanggungjawab, faktor upah dan rasuah. Mungkin juga atas sebab terlalu ghairah untuk mengejar prestasi dan kecemerlangan bagi pihak-pihak tertentu. ( Sinar Harian 12 September)
  4. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia mengambil tindakan terhadap individu yang terbabit dengan kes soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 bocor, sekiranya didapati wujud unsur rasuah. ( Sinar Harian 11 September)
  5. Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata kementerian juga perlu mencari pendekatan lebih berkesan. bermula dengan penyediaan soalan seterusnya percetakan diikuti membungkus kertas soalan yang kemudian disimpan di bilik kebal sebelum dikeluarkan untuk dihantar ke pusat peperiksaan.( Sinar Harian 11 September)
  6. Polis mengambil keterangan enam pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan seorang wartawan bagi membantu siasatan berhubung kes kebocoran soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris. (Sinar Harian 13 September)
  7. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pengarah LPM Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu, Dr Wan Ilias Wan Salleh digantung tugas berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan mengenai kebocoran kertas-kertas peperiksaan itu selesai. (Bernama 12 September)

Exam oriented - menangguk di air yang keruh.
Peperiksaan adalah suatu keperluan terutama bagi peringkat tinggi dan sebelum diterima dalam pengajian lebih tinggi.

Peperiksaan juga amat penting untuk penyediaan golongan pekerja profesional yang memerlukan kompetensi (certified/authorized person/operator/inspector) dalam sesuatu bidang tugas. Misalnya penjaga jentera, dandang, mesian tertentu, dan beberapa bidang lainya memerlukan peperiksaan sebagai kayu ukur kemampuan mereka untuk bekerja.

Namun sistem pendidikan yang terlalu memberatkan peperiksaan sehinggakan moto 5 A matlamat kami dan seumpamanya menghasilkan doktrin yangkelihatan kian dahsyat.

Misalnya pendidikan berorientasi peperiksaan ini menghasilkan suasana komersialisasi pendidikan seawal pendidikan awal kanak-kanak.

Pusat tusyen menjadi-jadi dengan janji manis yang pelbagai.
Penjualan soalan ramalan
Kelas tambahan dan kem teknik menjawab peperiksaan menjadi bisnes
Sehinggalah soalan bocor berkemungkin menjadi bisnes kontemporari selepas melihat suasana ingin A yang banyak menjadi-jadi bukan sahaja di kalangan guru yang memiliki KPI tersendiri, malah ibu bapa dan anak-anak yang ingin sama tinggi dan sama rendah dengan rakan-rakan lain.

Tidak mustahil jika kita katakan ada pihak yang menangguk di air yang keruh untuk menjadikan soalan peperiksaan bocor sebagai bisnes mereka.

Falsafah exam oriented seawal 12 tahun mendera emosi pelajar

Negara pernah terkilan dengan insiden S. Subashini, 12, dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sempah Nibong Tebal yang dipercayai membunuh diri hanya kerana menjangkakan untuk mendapat 4 A sebaliknya hanya memperolehi 4 B, 2 C dan 1 D. Semalam, tanpa diduga oleh keluarganya, Subashini dijumpai tergantung pada jeriji tingkap bilik tidurnya dengan sehelai kain selimut.

Hal ini telah menjadi perdebatan hebat pada tahun 2007 sehingga akan ada ura-ura memansuhkan UPSR dan PMR yang sepatutnya sekadar peperiksaan mengui minda sebaliknya diasuh seolah-olah masa depan pelajar musnah jika tidak berjaya mencapai keputusan yang baik.

Bermula dari sindrom mengejar gred A itulah , kami juga berpendirian bahawa isu yang lebih asasi dalam gejala soalan bocor ini adalah berpunca dari orientasi pendidikan yang maseh sangat cenderung untuk memberi penekanan kepada peperiksaan.

Sebagai akibat , paling minima , pelajar dan para guru amat ghairah dengan amalan mencari soalan ramalan dan soalan yang diduga akan keluar ( spot ) bagi memungkinkan pelajar dapat menjawab dengan mudah. Banyak pusat tiusyen melonjak popular bila mampu membekal soalan ramalan yang hampir tepat untuk diberi latihan tubi kepada pelajar menjawab didalam peperiksaan.

Seawal usia 12 tahun, pelajar di Malaysia dibebankan dengan peperiksaan yang seolah-olah penentu hidup mereka. Sedangkan terlalu banyak contohnya pemimpin hebat, tokoh korporat dan ilmuan besar di kampus tidak pun mencapai keputusan baiks emasa peperiksaan darjah 5 dahulu tetapi menjadi hebat dan terfokus semasa di peringkat SPM dan STPM.

Ibubapa dan pelajar sangat ghairah mendapatkan soalan bocor hanya kerana mahu mendapat gred tinggi walaupun dengan cara yang tidak betul , pada hakikatnya adalah menipu diri sendiri.

Fakta-fakta kajian berkaitan isu ini?

  1. Satu kajian di China Profesor Cheng Pingyuan, Universiti Nanjing - gejala bunuh diri kanak-kanak dan remaja, lebih daripada 90 % daripada kes bunuh diri, kerana mereka tidak dapat menanggung tekanan yang berat sistem pendidikan berorientasikan-ujian ini. Menganalisis 79 kes bunuh diri pelajar sekolah rendah dan menengah pada tahun 2013, Cheng mendapati bahawa 92.7 peratus daripada mereka berbuat demikian selepas bertengkar dengan guru-guru mereka atau telah hidup di bawah tekanan berat pengajian. Mengejar skor ujian yang tinggi bukan sahaja membawa tekanan kepada pelajar, tetapi juga kepada guru-guru, menjadikan hubungan antara guru dan pelajar lebih teruk, terutamanya apabila pelajar melakukan dengan baik dalam peperiksaan, yang akhirnya membawa kepada beberapa kes bunuh diri pelajar. ( Shanghaiist.com 2014-05-14)
  2. Berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, dapatan kaji selidik menunjukkan bahawa 14.4 peratus remaja berusia 16 tahun hingga 19 tahun mengalami masalah kesihatan mental berbanding dengan golongan dewasa yang mencatatkan 11.2 peratus kes. Tekanan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh faktor pendidikan kerana menduduki beberapa peperiksaan penting sepanjang usia remaja. Selain itu, remaja juga “terperangkap” dengan harapan ibu bapa yang terlalu tinggi, masalah kurang perhatian keluarga dan tahap keyakinan diri yang menurun. (Dewan Siswa April 2012)
  3. Ketua Majlis Penasihat Saintifik kepada Perdana Menteri India , CN Rao telah menulis surat kepada Perdana Menteri dan menyatakan bahawa sistem pendidikan India dianggap rosak. Rao telah mencadangkan kaedah Amerika mengadakan hanya satu peperiksaan kebangsaan sebelum menyertai mana-mana universiti dan bukannya pelbagai jenis peperiksaan berganda yang tidak masuk akal. Kata beliau lagi India hanya memiliki sistem peperiksaan tetapi bukannya sistem pendidikan kerana anak muda hanya sibuk menumpu peperiksaan bukannya menimba ilmu dan pengalaman. (Times of India)
  4. Tekanan peperiksaan menghancurkan pada remaja Korea Selatan. Berpuluh-puluh remaja membunuh diri setiap tahun - biasanya sekitar masa peperiksaan memasuki kolej tahunan. Dalam satu kes baru-baru ini remaja berusia 16 tahun di bandar barat daya Mokpo menyiram diri petrol serta cuba membakar diri. Beliau meninggalkan nota mengatakan yang dia telah lakukan prestasi peperiksaan yang teruk dalam ujian dan merasakan dirinya telah membiarkan air muka ibu bapanya jatuh. Bilangan bunuh diri sekolah-umur meningkat daripada 100 pada tahun 2003 kepada 202 pada tahun 2009, mengikut statistik Kementerian Pelajaran. Berpuluh-puluh lagi percubaan untuk membunuh diri tetapi terus hidup. ( AFP)


Isu integriti pasca kemerdekaan

Kami tidak menolak insiden ini menampilkan wajah buruk tahap integriti di negara kita. Di saat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia dan masih dalam Bulan Kemerdekaan, kita dihantui dilema dan krisis integriti pasca kemerdekaan.

Tidak cukup dengan korupsi dan penyelewengan alatulis, makmal sains dan melibatkan prasarana pendidikan, dunia pendidikan juga dilihat korup sehingga ke dewan peperiksaan. Hal ini perlu diambil perhatian walaupun dalam hal integriti material, infrastruktur yang dimaktub tanpa jemu dalam laporan Ketua Audit Negara saban tahun ia kelihatan terus diabaikan.

Sabotaj mungkin faktor tetapi bukan faktor utama

Pihak kami melihat jawapan bahawa insiden ini sebagai suatu usaha sabotaj sebagai jawapan ‘escapisme’ daripada pihak Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dengan mengangkat isu sabotaj isu sebenar bagi perkara ini akan tertutup dengan sendirinya kerana sabotaj adaah asbab bersifat tidak tetap, hanya permasalahan semasa yang melibatkan isu politik semasa. Kami berpendapat komentar seperti adalah tidak sihat kerana ia akan mengalih isu besar yang melanda sistem pendidikan negara yang sepatutnya diutamakan. Isu kebocoran soalan peperiksaan yang bukan sekadar peperiksaan UPSR malah banyak lagi peperiksaan di peringkat tinggi, penjawat awam dan sebagainya dikatakan bocor.

Isunya disini adalah pihak KPM digesa meneliti sebab musabab bermulanya gejala membocorkan kertas peperiksaan. Root cause analysis, failure mode and effect analysis adalah antara ‘tools’ yang boleh dgunakan oleh pihak Kementerian untuk meneliti punca sebenar dalam masa yang sama mengekalkan tindakan menyiasat dalang insiden UPSR terkini dan menjatuhkan hukuman setimpal teradap mereka yang terlibat.

Kami menyeru supaya pihak kerajaan , terutama Kementerian Pendidikan , melihat gejala soalan bocor ini dari perpsektif yang lebih luas dalam konteks sistem pendidikan negara keseluruhannya. Pembaikkan yang asasi demi memperbetulkan dan menilai semula sistem pendidikan negara perlu dilakukan jika benar negara mahu dibangunkan mengikut acuan sendiri.




No comments:

Post a Comment

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)