Monday, September 29, 2014

BAGAIMANA SYARIAH MEMANDU SENI PENGELUARAN DAN PENGILANGAN ?


BAGAIMANA SYARIAH MEMANDU SENI PENGELUARAN DAN PENGILANGAN ?
Muhammad Nuruddin Bashah
Aktivis GESA (Gerakan Sokong Syariah)

Sejak wujudnya budaya perniagaan dalam tamadun manusia, komoditi dagangan diperjualkan secara meluas dan ia pasti memerlukan satu aktiviti tambahan yang cukup penting iaitu pengeluaran. Dalam Islam manusia digesa berusaha mencari nafkah dan memperguna kekayaan bumi untuk kebaikan tamadun manusia.

Dalam tulisan ini pembaca akan mengetahui bahawa :
  1. Aktiviti pengeluaran, pengilangan dan pemprosesan komoditi dan produk adalah arahan Allah.
  2. Manusia dicipta untuk menghasil produk pengeluaran selaku PEMAKMUR BUMI.
  3. Tujuan aktiviti pengeluaran adalah untuk memenuhi keperluan manusia seterusnya menyediakan manusia beribadah dan tunduk kepada Allah.

Definasi pengeluaran dan pengilangan menurut Barat:
  1. Menurut laman businessdictionary.com pengeluaran adalah ;The processes and methods used to transform tangible inputs (raw materials, semi-finished goods, subassemblies) and intangible inputs (ideas, information, knowledge) into goods or services. Resources are used in this process to create an output that is suitable for use or has exchange value1. ( Proses dan kaedah yang digunakan untuk mengubah input nyata (bahan mentah, barang separuh siap, subpemasangan) dan input tidak nyata (idea, maklumat, pengetahuan) ke dalam barang-barang atau perkhidmatan. Sumber -sumber (alam, bahan mentah) yang digunakan dalam proses ini untuk mewujudkan keluaran yang sesuai untuk digunakan atau mempunyai nilai pertukaran)
  2. Pengilangan : Pengilangan adalah penggunaan alatan dan sebuah medium pemprosesan kepada penukaran bahan mentah menjadi barangan siap untuk jualan. Usaha ini termasuk semua proses perantaraan diperlukan untuk pengeluaran dan penyepaduan komponen barang. Sesetengah industri, seperti pengilang semikonduktor dan keluli menggunakan istilah pembuatan 2.
  3. Ahli ekonomi Barat beranggapan aktiviti pengeluaran adalah untuk memaksimakan untung. Objektif memaksimumkan untung ini merupakan idea ciptaan Adam Smith dalam bukunya The Wealth of Nations yang diterbitkan dalam tahun 1776. Beliau mengutarakan pandangan bahawa setiap manusia didorong oleh ”suatu tangan yang tidak kelihatan” untuk melakukan sesuatu perkerjaan yang pada zahirnya nampak mulia, tetapi sebenarnya orang itu melakukannya untuk mendapat untung bagi dirinya sendiri. Pengusaha kilang kasut, contohnya, bukanlah berniat untuk menyediakan pakaian kepada orang ramai, tetapi beliau membuat kasut demi mencari keuntungan untuk dirinya sendiri3.
Lihat petikan di bawah daripada ”The Wealth Of Nations”:

...every individual necessarily labours to render the annual revenue of the society as great as he can. He generally, indeed, neither intends to promote the public interest, nor knows how much he is promoting it. By preferring the support of domestic to that of foreign industry, he intends only his own security; and by directing that industry in such a manner as its produce may be of the greatest value, he intends only his own gain, and he is in this, as in many other cases, led by an invisible hand to promote an end which was no part of his intention. Nor is it always the worse for the society that it was no part of it. By pursuing his own interest he frequently promotes that of the society more effectually than when he really intends to promote it. I have never known much good done by those who affected to trade for the public good4.


Dalil asas bagi keperluan berusaha mengeluar dan memproses komoditi di bumi adalah :



Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya). (Al-Mulk 67:15)

Dalam buku Asas-asas Islam, Abu A’la Al Maududi juga menyatakan hikmah Allah mencipta manusia mengurus bumi adalah kerana kemampuan, nafsu dan keinginan manusia yang boleh mengimarah bumi sedangkan malaikat pula tidak memerlukan sebarang hasil komoditi untuk hidup dan pastilah kekayaan bumi akan rugi.

Dalam ayat yang lain Allah memberi isyarat bahawa perlunya manusia memakmurkan bumi.


Dan kepada kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya". (Hud 11:61)

Aspek penting dalil kedua ini adalah :
  1. Allah yang menjadikan sesuatu bangsa itu hebat dalam urusan sains, kejuruteraan bangunan, sivil dan kejuruteraan pertanian, mahir dalam seni perniagaan dan sebagainya sepertimana kaum Thamud, Madyan, Ad dan lain-lain.
  2. Sifat utama para pengusaha dan pengilang adalah MEMAKMURKAN bumi. Hal ini mungkin berlawanan dengan amalan konsep kapitalisme yang mengeksploitasi bumi, alam sekitar dan sumber -sumber alam kepada manusia sehingga perlukan akta alam sekitar dan akta kesihatan dan keselamatan pekerja semata-mata untuk mengawal tindak-tanduk perusahaan yang membujur lalu, melintang patah.
  3. Segala aktiviti pengilangan dan perusahaan perlukan tali tauhid dan mengambil aspek Rabbani dalam pergantungan hasil dan usaha serta tidak mengamalkan fahaman sekular dalam perusahaan dan pengeluaran.

Tujuan pengeluaran menurut syara’ bukan untuk memaksimakan keuntungan secara khusus. Sarjana Islam seperti M.A Manan, Muhammad Nedjatullah Siddiqi dan Khurshid Ahmad menyatakan perlunya aktiviti pengeluaran tidak mengabaikan aspek penting dalam keperluan manusia. Aspek penting pengeluaran adalah5 :
  1. Menyediakan keperluan sendiri secara sederhana atau aspek wasatiyah.
  2. Memenuhi keperluan insan di bawah tanggungan kita.
  3. Untuk keperluan masa hadapan.
  4. Untuk khidmat sosial dan ke jalan Allah.

Dalam dalil seterusnya Rasulullah mengiktiraf usaha pengeluaran sebagai aktiviti ekonomi premer manusia.


Tidak ada seorang yg memakan satu makananpun yg lebih baik dari makanan hasil usaha tangannya sendiri. Dan sesungguhnya Nabi Allah Daud AS memakan makanan dari hasil usahanya sendiri. [HR. Bukhari No.1930].

Hadis ini bermakna Rasulullah lebih awal mengiktiraf buruh berbanding golongan sosialis dan komunis. Golongan sosialis dan komunis kononnya membela kaum pekerja dan buruh sehingga meletak gambar tukul, cangkul dan taji di bendera negara serta parti mereka kononnya mereka dekat dengan aktiviti pengeluaran dan buruh. Hakikatnya negara seperti Korea Utara yang meletak nama demokratik pada nama negara mereka hakikatnya bagaikan penjara besar manusia dan menyaksikan erti demokrasi yang hancur di negara berkenaan. Pol Pot di Kemboja yang gilakan komunisme agraria akhirnya menjadi totalitarian, diktator yang cukup dahsyat. Inilah hasil jika otak manusia dijadikan tuhan.

Maqasid Syariah memandu pengeluaran dan pengilangan.

Daripada nas Al Quran di atas jelaslah aktiviti pengeluaran dan pengilangan adalah sama pentingnya sebagaimana doktrin ekonomi konvensional. Tiada isu mengatakan Islam tidak menggalakkan umatnya maju dan berjaya dalam industri dan pengilangan.
Namun pelru ditegaskan bahawa para invidu yang terlibat dalam pengeluaran dan pengilangan, status mereka adalah sebagai PEMAKMUR BUMI dan hal ini tidak ada dalam doktrin pengilangan dan ekonomi barat. Inilah bezanya pemikiran Islam.

Dalam kehidupan manusia, Islam memberi keutamaan kepada pengukuhan ruhaniah berbanding maddiyah. Pemilikan aspek material adalah bertujuan untuk pengukuhan aspek keruhanian. Atas dasar inilah pemilikan kekayaan secara peribadi (private ownership of wealth) sungguhpun dibenarkan oleh Islam, ia terikat kepada tuntutan yang bersifat jamaii melalui sistem pengagihan yang berkesan (effective distributive system) berteraskan asas moral (akhlak) yang kukuh.

Menurut Dr. Hj Wan Abd Rahman bin Wan Abd.Latif Bekas Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia6, melihat kepada hakikat betapa besarnya peranan akhlak dalam kehidupan manusia, maka Islam melihat ‘akhlak’ sebagai satu faktor pengeluaran yang terpenting (morality as a factor of production) di samping faktor-faktor pengeluaran yang lain seperti tanah, buruh dan modal. Akhir-akhir ini faktor keusahawanan (entrepreneurship) dilihat sebagai faktor penting ; dan juga perbincangan mengenai betapa pentingnya modal insan (human capital). Dalam hal ini sejak awal lagi Islam lebih mengutamakan faktor buruh berbanding tanah dan modal.

Sistem kapitalisme menekankan kepada kuasa pengumpulan kekayaan tanpa had (the sky is the limit); sistem komunisme menekakan pengagihan kekayaan yang sama rata (from each according to his ability, to each according to his needs); Islam berada ditengah-tengah mempamerkan sistem keseimbangan yang dinamis (dynamic equilibrium). Konsep ‘pertengahan’ dalam Islam (the golden mean) perlu dilihat dari perspektif cyclical bukan dari sudut linear.

Dalam hal ini, ekonomi Islam berpegang kepada pendekatan berikut:

Pengeluaran (production) perlu dimaksimakan; kepenggunaan (consumption) perlu disederhanakan; maka lebihan (lebihan) akan berlaku dalam masyarakat bagi tujuan untuk diagihkan kepada kelompok masyarakat yang memerlukan.

Kayu ukur ‘pembangunan’(developoment) dan ‘kemajuan’ (progress) tidak boleh sematamata berdasarkan ukuran ekonomi statistik. Dalam ertikata ia merujuk kepada konsep ‘pertumbuhan’ (growth) dengan menggunakan kayu ukur pendapatan per kapita. Sebagai contoh, pendapatan per kapita di Malaysia pada tahun 2007 ialah RM22,345 Ini sesuatu yang tidak logik. Berapa peratus sahaja dari rakyat Malaysia yang memiliki pendapatan bulanan sebanyak ini?

Semua pelakuan manusia, termasuk perlakuan ekonomi, bersifat purposif. Dalam sistem
kapitalis, perlakuan ahli ekonomi adalah pengumpulan modal (accumulation of capital). Logik pengumpulan modal meneguhkan prinsip ‘yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin’. Aspek pengumpulan kekayaan lebih ditekankan berbanding aspek pengagihan (distributaion). Dari sudut seorang kapitalis, ia tidak mempunyai tanggungjawab moral (moral responsibility) untuk mengagih kekayaannya kepada golongan miskin. Walhal, dari perspektif Islam orang miskin mempunyai hak (right) ke atas kekayaan orang kaya. Ini bermakna, sebagai contoh, CSR (Corporate Social Responsibility) bukan merupa satu pilihan (choice) tetapi merupakan satu kemestian (a must) yang perlu dilaksaanakan oleh badan-badan korporat.

Secara asasnya perjalanan sistem kapitalis adalah secara fundamentalnya bersifat sekular dalam ertikata ia tidak menjadikan faktor moral sebagai faktor penting (economics is morally neutral).

Sistem komunisme dan sosialisme yang menekankan aspek pemusatan dan pengagihan kekayaan oleh negara (state) juga terikat dengan prinsip sekularisme yang awal-awal lagi
menolak prinsip ketuhan (bandingkan kata-kata Marx: religion is the opium of the people).

Prinsip teras komunisme/sosialisme ‘ from each to his ability and to each according to his needs’ penting bagi tujuan pengagihan. Tetapi prinsip ini membunuh insentif ( yang amat ditekankan oleh sistem kapitalisme, sungguhpun ia meminimakan peranan pengagihan).

Ibn Khaldun mengemukakan teori pengeluaran yang berasas matlamat syariah (maqasid syariah) iaitu kehidupan perekonomian sentiasa menghala ke arah pelaksanaan keseimbangan antara penawaran dengan permintaan. Menurut beliau pengeluaran berasaskan kepada faktor buruh dan kerjasama masyarakat. Bahkan beliau menganggap buruh merupakan faktor terpenting dalam proses pengeluaran walaupun faktor-faktor lain seperti tanah tersedia, tenaga buruh perlu untuk menghasilkan matlamat akhir7.

Aktiviti pengeluaran dan pengilangan perlu menurut matlamat syariah (maqasid).
Barang yang perlu diberi keutamaan dalam pengeluaran adalah8 :

Dharuriyat (barangan keperluan asas);
Semua benda asas yang diperlukan bagi kehidupan manusia bagi melindungi diri, agama, akal, keturunan dan harta. Tanpa keperluan asas ini manusia tidak berupaya untuk hidup sempurna, meruntuhkan nilai-nilai kemanusiaan, hidup dicengkam suasana kesusahan malah mungkin tidak boleh hidup seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan kesihatan.

Hajiyat (barangan kemudahan dan keselesaan);
Produk yang membantu meningkatkan kecekapan, memudahkan hidup manusia dan meningkatkan kualiti kehidupan. Adanya menyenangkan dan menjadikan hidup lebih selesa tanpa melanggar batas-batas kesederhanaan. Mereka yang tergolong dalam kategori ini dinamakan golongan kelas menengah atau golongan berpendapatan sederhana. Contohnya ialah makanan yang berzat serta lazat dan pakaian yang selesa. Ini kerana badan yang sihat, cergas dan kuat kerana pemakanan yang berzat. Dari sudut kesihatan mampu menjadikan seseorang itu dapat bekerja rajin dan gigih. Islam membenarkan manusia menikmati kesenangan dan itu merupakan tabiat semulajadi manusia.
Tahsiniat (barangan mewah, kehendak tambahan); Benda yang tidak membantu meningkatkan kecekapan tetapi mungkin sebaliknya. Ia adalah barangan-perkhidmatan yang menunjukkan gaya, prestij, perbezaan, kemegahan, kemewahan, kesempurnaan dan kelayakan. Mereka dikategorikan sebagai golongan kaya dan kelas atasan. Contohnya ialah baju mahal, barang kemas, kereta mewah, kehidupan berprestij, perhiasan diri dan rumah mewah. Kos yang dikeluarkan untuk mendapatkannya adalah melebihi faedah yang boleh diperolehi darinya. Bahkan pada keadaan tertentu boleh menghalang kecekapan ekonomi melalui pembaziran guna tenaga, modal dan bahan mentah. Barangan mewah boleh terus dikeluarkan tetapi langkah untuk pengagihan semula kekayaan daripada orang kaya yang sedikit kepada orang miskin yang ramai perlu dilakukan (kuasa beli) melalui pengeluaran barangan-perkhidmatan yang diperlukan dan sekaligus ia menyediakan peluang pekerjaan yang besar. Jika keadaan ini tidak diseimbangkan dikhuatiri ia boleh mendedahkan ekonomi kepada pengangguran dan barangan tiada pasaran. Ini kerana penggunaan barangan mewah bukan suatu pembaziran ekonomi secara menyeluruh kerana wujudnya permintaan.

Teknik Pengeluaran dan pengilangan menurut Islam.

Untuk lebih memahami penulis sediakan rajah-rajah dibawah:
Model Pengeluaran Konvensional.


Jika diperhatikan rajah di atas, ternyata pelbagai falsafah dan kaedah digunakan dalam industri moden untuk mencapai matlamat keuntungan. Dalam persaingan peniagaan kapitalis, kebebasan untuk melaksanakan sebarang strategi pengeluaran boleh dilaksanakan secara pragmatik dan anjal asalkan matlamatnya untuk keuntungan syarikat.
Model Pengeluaran menurut syariat

Manakala dalam doktrin pengeluaran menurut syariat, para ulama’ Islam menetapkan konsep Al Falah iaitu konep kejayaan keuntungan yang lebih abstrak tetapi berkesan. Konsep Al Falah akan memandang kejayaan sesebuah organisasi bukan sekadar kejayaan keuntungan tahunan, jumlah jualan atau dalam rangka kecil pekerja kejayaan membolot bonus besar tahunan, sebaliknya kejayaan menurut Islam adalah apabila rezeki yang diperolehi syarikat halal dan berkat. Syarikat kekal maju, pekerja berdisplin, tunduk kepada Allah, segala keperluan syariat ditunaikan, aurat dijaga, rukun Islam dibangunkan serta nilai-nilai kemasyarakatan diamalkan. Dalam pengeluaran secara Islam, segala falsafah atau kaedah pengurusan bukan Islam selagi tidak bercanggah dengan dalil syara’ ianya boleh diadaptasi kerana tiada larangan bagi perkara duniawi yang umum. Dalilnya adalah :


dari Anas bahwa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah melewati suatu kaum yang sedang mengahwinkan pohon kurma lalu beliau bersabda: "Sekiranya mereka tidak melakukannya, kurma itu akan (tetap) baik." Tapi setelah itu, ternyata kurma tersebut tumbuh dalam keadaan rosak. Hingga suatu saat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melewati mereka lagi dan melihat hal itu beliau bertanya: 'Mengapa dengan pohon kurma kalian? Mereka menjawab; Bukankah anda telah mengatakan hal ini dan hal itu? Beliau lalu bersabda: 'Kalian lebih mengetahui urusan dunia kalian.' (HR Muslim, no. 4358)

Faktor-faktor dalam aktiviti pengeluaran menurut Islam.

Menurut Abu Hasan Muhammad Sadeq, faktor pengeluaran adalah seperti berikut9:

  1. Buruh : Ia ditakrifkan sebagai perkhidmatan manusia sama ada secara fizikal mahupun mntal. Mereka yang terlibat dalam pengeluaran dan penyelenggaraan proses pengeluaran juga termasuk dalam kumpulan ini. Dalam konteks pengilangan hari ini pengurus pengeluaran (production manager), jurutera pengeluaran (production engineer), para juru pemeriksa kualiti, pihak penyelengaraan serta pihak penyelia dan eksekutif adalah dianggap sektor buruh yang perlu diambil perhatian.
Hadis Rasulullah ada meraka keadaan buruh dan pekerja.

Dari Aisyah, adalah para pekerja yg pada suatu hari mereka hadir ke masjid dalam keadaan lusuh & kotor sehingga dikatakan kepada mereka seandainya kalian mandi lebih dahulu. Hammam meriwayatkan dari Hisyam dari bapanya dari 'Aisyah Radhiyallahu'anha. [HR. Bukhari No.1929].


  1. Aset fizikal : Segala peralatan, infrasktruktur, prasarana dan jentara yang digunakan untuk proses pengeluaran komoditi adalah dianggap aset. Aset ini kadangkala mengalami susut nilai seperti jentera kadangkala mengalami kenaikan nilai seperti tanah.
  2. Modal : Sumber kewangan sama ada wang cair, wang hampir dan aset kewangan.
  3. Keusahawanan: Ia adalah aktiviti perusahaan yang menggabungkan faktor-faktor pengeluaran yang lain serta mengurus keseluruhan proses pengeluaran daripada awal sehinggalah kepada mengagihkan keuntungan. Sekiranya ia tidak menyumbang modal seperti dalam kontrak Mudharabah, ia tidak terlibat dalam risiko kerugian terhadap modal.
  4. Taqwa: menurut Dr. Hj Wan Abd Rahman bin Wan Abd. Latif unsur ini adalah pemandu utama KPI pengeluaran menurut Islam. Kilang, industri dan firma perlu memikirkan bagaimana cara untuk menghasilkan staf, eksekutif, jurutera, juruteknik, pengurus dan penyelia yang taqwa kepada Allah. Aktiviti kerohanian dan prasaranan ibadat perlu diambil kira.

Penutup

Seperti juga model pendidikan dan model pengurusan, model-model ekonomi dan pengeluaran Islam kelihatannya mengadaptasi konsep yang disusun oleh pemikir dan ahli sains sosial Barat. Hal ini tidak menjadi suatu kekurangan dalam Islam. Islam selaku agama yang bersifat syumuliah(lengkap) dan murunah (anjal) dengan perubahan semasa mampu menyediakan penganutnya bermuamalah dalam konteks semasa tetapi kekal dalam rangka syariat. Sebenarnya falsafah pengeluaran daripada dalil-dalil syara’ terlalu luas dan banyak. Hebatnya Islam adalah kerana ia membenarkan kita menyusun rangka luas itu dan menyesuaikan dengan pengurusan kontemporari. Sedangkan konsep Barat tidak mampu disesuaikan dengan agama-agama lain termasuk agama yang dianuti oleh si pemikir Barat berkenaan.

Muhammad Nuruddin bin Bashah
017 6291368

3
4 The Wealth of Nations, Adam Smith, Digireads.com Publishing, (halaman 264)
6 Ekonomi Islam; Taqwa sebagai faktor pengeluaran, Dr. Hj Wan Abd Rahman bin Wan Abd.Latif dalam seminar Fiqh Awlawiyat, Dalam Mendepani Isu Umat Islam.
8 Ekonomi Islam: Dasar dan Amalan, Surtahman Kastin Hasan (1995)

9 Nota Pengantar Pengajian Ekonomi Islam, Diploma Kepimpinan Islam, ILHAM.

No comments:

Post a Comment

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)