Sunday, March 16, 2014

HASRAT LAKSANA HUDUD: SEGERAKAN PERSIDANGAN SEMUA PIHAK

HASRAT LAKSANA HUDUD: SEGERAKAN PERSIDANGAN SEMUA PIHAK
Muhammad Nuruddin Bashah
Aktivis Gerakan Sokong Syariah
Unit Kajian Ilmiah MAPIM Utara

Rakyat yang impikan perlaksanaan 100% syariah mungkin masih terkebil-kebil benarkah seorang pemimpin daripada parti UMNO benar-benar tegar dan tekad untuk menobatkan hudud di Kelantan.

Hal ini rentetan kenyataan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang tersiar di banyak media menggesa semua pihak membantu usaha kerajaan Kelantan laksanakan undang-undang jenayah syariah hudud, di Kelantan.

Beliau dianggap berani kerana seolah-olah mewakili parti ketika berucap membahaskan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat dan menegaskan, tiada sebab untuk menolak hudud kerana tugas melaksanakan syariat Allah adalah wajib bagi umat dan pemimpin Islam.

Antara intipati ucapan beliau1:

  1. Merakamkan ucapan tahniah kepada PAS di Kelantan kerana telah mempelopori usaha pelaksanaan undang-undang Islam di negeri itu.
  2. Di Kelantan, usaha ke arah pelaksanaan itu sudah melepasi tiga peringkat utama eksekutif, legislatif dan judiciary dan perkembangan yang diterima sangat membanggakan.
  3. Mengesyorkan, agar setidak-tidaknya jika negeri lain tidak bersedia, maka tidak harus dihalang untuk dilaksanakan hudud di Kelantan seperti yang dihasratkan oleh rakyat dan kerajaan negeri Kelantan.
  4. Mengalukan titik pertama untuk perlaksanaan.
  5. Memuji tindakan PAS kerana telah menunjukkan contoh dakwah Islam yang baik apabila menjalin hubungan akrab dengan PKR dan DAP.
  6. Beliau membaca perlembagaan, faham bahawa Perdana Menteri tiada kuasa untuk halang pelaksanaan hudud selagi dibuat mengikut peraturan.
  7. Saran agar disokong oleh semua pihak termasuk DAP ke arah pelaksanaan undang-undang ini.

Kenyataan beliau ini sebenarnya adalah rentetan daripada beberapa ucapan beliau sebelum ini dan masih diragui sama ada benar-benar mewakili UMNO dan Barisan Nasional atau hanya pendapat peribadi beliau.

Pada tahun 2013, Tan Sri Annuar Musa menetapkan syarat kepada PAS untuk meyakinkan parti lain dalam Pakatan Rakyat terutamanya DAP untuk menerima hudud sebelum beliau dapat memberi kerjasama untuk melaksana undang-undang tersebut2.

Tan Sri Annuar berkata PAS perlu menyelesaikan isu berkenaan terlebih dahulu sebelum mendapatkan sokongan beliau. Hal ini kerana PAS pernah mengajak beliau duduk semeja untuk berbincang plan tindakan melaksana hudud di Kelantan dan jawapan beliau kelihatan melepaskan jerat di tengkuk sendiri memandangkan hampir kesmeua rakyat berbangsa Melayu yang waras faham bahawa parti pemerntah tidak pernah bersetuju dengan Hudud.

Persoalan mudah:
  1. Mengapa perlu keluarkan kenyataan perlu fahamkan DAP dengan hudud sedangkan parti UMNO yang mengaku perjuangkan Islam dan menobatkan Malaysia sebagai negara Islam juga tidak pernah usaha memahamkan MIC dan MCA. Malah ucapan Dato’ Seri Chua Soi Lek yang menyatakan hudud mampu merosotkan pertumbuhan ekonomi tidak ditegur langsung oleh pemimpin UMNO termasuk Tan Sri Anuar.
  2. Jika benar ingin laksanakan hudud serta insaf dengan keikhlasan kerajaan Kelantan, mengapa perlu letak syarat parti lain Pakatan Rakyat untuk menerima hudud sedangkan UMNO seringkali mengajak PAS untuk bekerjasama dan dengan gabungan PAS-UMNO juga menurut sifir gabungan mampu laksanakan hudud?

Namun begitu GESA memandang betapa perlunya hasrat Tan Sri Anuar dijadikan titik tolak penting untuk mencipta satu lonjakan ke arah perlaksanaan hudud bukan sahaja di Kelantan malah di mana-mana negeri yang memiliki kuasa dominannya Islam seperti Kedah, Terengganu, Pahang, Johor dan Perlis.

Menurut kenyataan media Presiden MAPIM Cikgu Hj Azmi Abdul Hamid hari ini (16 Mac 2014) kenyataan bahawa PM tidak akan mampu menghalang perlaksanaan hudud kerana katanya PM tiada kuasa berbuat demikian.

Hal ini sedikit sebanyak perlu dijawab oleh Dato’ Seri Najib sendiri memandangkan Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia Tun Mahathir pernah mengutus surat untuk memberi amaran terhadap cita-cita Kelantan untuk melaksana hudud.

Menurut surat Tun Mahathir kepada Menteri Besar kelantan bernombor Rujukan : MB(KN)(S)16/6/(26)pada 8 Jun 1994 antara intipatinya3:-

  1. Pemerintahan adalah sentiasa bergantung kapada kepentingan ramai (muslihat umum)." Penguatkuasaan kanun jenayah yang digubal oleh Kerajaan PAS di Kelantan, tidak menyakinkan pakar-pakar perundangan Islam yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik. - Tun prejudis dengan sebarang usaha parti politik pembangkang walaupun terang-terangan selaras dengan Al Quran dan Hadis.
  2. Kajian awal menunjukkan dengan jelas bahawa undang-undang itu yang disediakan menerusi perjuangan sebuah parti politik akan membawa kezaliman.
  3. Dakwaan bahawa undang-undang ini akan dikuatkuasakan hanya di kalangan orang Islam sahaja dan tidak digunapakai untuk orang bukan Islam akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara berlaku.
  4. Menghukum orang Islam dengan lebih berat tetapi orang bukan Islam dengan amat ringan untuk jenayah yang sama atau jenayah dilakukan bersama amatlah tidak adil dan merupakan satu kezaliman- Perkara 8 Perlembagaan memang inginkan keadilan semua kaum tetapi mengapa dalam hukum jenayah islam sahaja isu ini ditimbulkan tetapi dalam hal mal, hal zakat dan hal lain ia tidak pula ingin disamaratakan kepada kaum lain? Ternyata hujah hudud tidak adil untuk kaum lain adalah hujah terburu-buru dan dangkal.
  5. Mengikut undang-undang PAS jika ia menuduh perogolnya, tuduhan hanya boleh diterima sah jika terdapat empat orang saksi (yang terdiri daripada orang-orang yang baik, yang tidak melakukan dosa besar)- Tun Jahil berkenaan takzir.

  1. Hukum Hudud Islam bertujuan untuk memberi keadilan kapada semua pihak. Ia bukanlah bertujuan untuk melakukan kezaliman. Undang-undang PAS jelas menunjukkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara akan berlaku. - Hakikatnya Tun sendiri tidak mampu memetik walau sepatah pun intipati perbahasan hudud Islam sepertimana yang beliau hujahkan kononnya hudud Islam tidak sama dengan Enakmen jenayah Syarah Kelantan. Beliau jahil ilmu fiqh jinayah tetapi mencari alsan untuk menolak undang-undang Islam atas alasan ia hanya idea cetusan parti politik.
  2. Kerajaan Pusat akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Kerajaan PAS demi menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam dan penganut-penganutnya.

Kelantan meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II pada tahun 1993 adalah atas dasar tanggungjawab sebagai pemerintah Islam. Namun perlaksanaan enakmen belum tentu boleh dilaksanakan memandangkan negara ini menggunakan sistem dualisme dalam kehakiman serta pembahagian kuasa kerajaan pusat dengan kerajaan negeri.

Hal ini juga disokong oleh pakar perundangan, Shamrahayu Abdul Azis, undang-undang hudud tidak dapat dilaksanakan tanpa dibahaskan dan diluluskan dalam parlimen.

Selagi Jadual Kesembilan Senarai II dalam Perlembagaan tidak dipinda selagi itulah negeri tiada kuasa menjatuhkan hukuman bagi kes-kes jenayah seperti mahkamah sivil.

Pihak parti kerajaan serta NGO yang pesimis dengan hudud juga menggunakan kenyataan Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Muhammad berkenaan Mahkamah Syariah Kelantan di Kelantan yang dikatakan beliau sudah mampu untuk menguruskan pelaksanaan undang-undang hudud. Mereka menjadikan kenyataan hakim sebagai hujah bahawa Kelantan hanya menggunakan hudud sebagai kempen pilihanraya di Kelantan. Mereka menganggap kenyataan oleh hakim sahaja sudah cukup tanpa mengupas pula isi surat Tun Mahathir serta isu intipati Jadual Kesembilan, Perkara 8, Perkara 175 serta Perkara 8 dalam Perlembagaan. Malah Akta Mahkamah Syariah 1984 di peringkat pusat pula mengehadkan kadar hukuman jika sabit hudud sekalipun di peringkat negeri-negeri.

Hal ini perlu diperjuang juga oleh UMNO dan NO yang pesimis hudud bukan sekadar melagakan kerajaan Kelantan dengan hujah Ketia Hakim Syarah Kelantan.

Menyediakan prasarana hudud bukan sekadar menambah hakim atau hal-hal remeh temeh, perkara yang perlu diperhalusi melalui persidangan meja bulat kerajaan negeri dengan kerajaan pusat adalah:
Perhalusi tafsiran4:-
  1. Perkara 4 - (1) Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.
  2. Perkara 3 - (1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.
  3. Perkara 75 - Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan
  4. sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu.
  5. Perkara 8 -
  1. Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undangundang.
  1. Tidak boleh ada diskriminasi yang memihak kepada manamana orang atas alasan bahawa dia seorang rakyat Raja bagi manamana Negeri.
    1. Jadual Kesembilan Senarai II (lihat perenggan bawah)
    2. Isu kerjasama PDRM di bawah kuasa pusat.
    3. Kerjasama JAKIM di bawah kuasa pusat.
    4. Kerjasama Bomba, kementerian Kesihatan di bawah kuasa pusat.
    5. Penyelarasan dengan Pejabat Peguam Negara.


Perlembagaan Persekutuan, Jadual Kesembilan, Senarai I, Perenggan 4
Undang-undang jenayah dan pentadbiran keadilan, termasuk perbuatan rasuah dan pewujudan kesalahan berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan, adalah disenaraikan di bawah Senarai Persekutuan (Senarai I, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan).

Ini bermakna undang-undang berkaitan jenayah adalah di bawah kuasa Parlimen (Persekutuan).

Perlembagaan Persekutuan, Jadual Kesembilan, Senarai II, Perenggan 1
Perenggan 1 Senarai Negeri (Senarai II, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan)
Namun begitu, kesalahan-kesalahan tersebut tidak termasuk “perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan”.

Undang-undang jenayah adalah termasuk dalam Senarai Persekutuan. Ini bermakna kerajaan negeri tidak memiliki kuasa untuk mewujudkan apa-apa undang-undang jenayah walaupun Enakmen Jenayah Syariah II 1993 dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 2002 diluluskan di Kelantan dan Terengganu.

Senarai yang perlu dibincang yang dinyatakan penulis di atas hanya jika ingin laksanakan hudud iaitu kanun jenayah syariah. Jika ingin laksana 100% sayriah meliputi ekonomi, polisi luar negara, pendidikan, undang-undang tort, maka lebih banyak lagi akta yang perlu untuk dipinda atau ditafsir semula.

Hal inilah yang perlu dibantu oleh pemimpin seperti Tun Mahathir jika benar beliau tahu adanya ‘hudud Islam’. Beliau perlu menyeru ulama’ dan ahli undang-undang menafsir semula akta dan peruntukan perlembagaan bukan sekadar beria-ria meminta ulama’ menafsir Al Quran semula yang dikatakan tidak relevan dengan masakini.

Jika pada tahun 1994 alasan Tun Mahathir adalah ‘hudud Islam’ tidak sama dengan ‘Hudud PAS’ dan BN menolak hudud PAS yang bercanggah dengan Islam.

Pada tahun ini (2014) Tun membuat ‘qaul jadid’ iaitu menolak hudud total dengan menyokong fatwa Dr Kassim Ahmad bahawa hudud tiada dalam Al Quran malah ia hanya istilah ciptaan ahli fiqh semata-mata. Terpengaruh dengan ajaran anti hadis Kassim Ahmad, Tun juga bersetuju bahawa istilah hudud dalam beberapa ayat Al Quran hanya bermaksud had atau batasan dalam perbuatan manusia bukan ianya bentuk hukuman5.

Jelas Tun Mahathir terjerat dengan kejahilan dan keegoannya sendiri.

Pada tahun 2012 Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid juga mengalu-alukan mana-mana Kerajaan Negeri yang mahu melaksanakan hukum hudud supaya segera berbincang dengan Kerajaan Pusat berhubung pelaksanaan undang-undang Islam itu6.

Mohd Tamyes berkata, undang-undang Islam itu sesuai dilaksanakan bila-bila masa dan di mana-mana tempat jika tiada sebarang halangan kerana ia merupakan salah satu cabang syarak dan janji ALLAH untuk keamanan.

Kata beliau kepada Sinar Harian “Pelaksanaan hukum hudud ada kaitan dengan Perlembagaan Malaysia. Walaupun dalam Islam, (kedudukan) hukum ALLAH sepatutnya berada di atas daripada hukum dunia, tetapi ia perlu mendapatkan persetujuan Kerana Malaysia tertakluk kepada undang-undang negara.“Ia boleh dilaksanakan. Jika semuanya bersetuju, sebarang akta yang perlu digubal (dalam Perlembagaan Malaysia), ia perlu mendapat sekurang-kurang dua pertiga sokongan majoriti”.

Dipendekkan ulasan, pihak yang mengaku menyokong hudud perlu bersedia untuk ke persidangan meja bulat, bersama ikhlas memerah minda dan kudrat untuk membincangkan secara objektif, serius dan mendasar berkenaan praktikal perlaksanaan hudud di Malaysia.

Bertam
2.44 pagi
17 Mac 2014
3 Prof Madya Datin Dr Paizah Hj Ismail, Hudud: hukum & pelaksanaan (muka surat 339), isinya dipetik http://edisi-politik.blogspot.com/2013/04/barisan-nasional_15.html

No comments:

Post a Comment

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)