Saturday, February 8, 2014

SEJAUH MANA POLIS SYARIAH MAMPU BANTU SYARIAH DI MALAYSIA


SEJAUH MANA POLIS SYARIAH MAMPU BANTU SYARIAH DI MALAYSIA
Muhammad Nuruddin Bashah
Aktivis Gerakan Sokong Syariah (GESA)
Unit Kajian Ilmiah MAPIM

Ura-ura penubuhan pasukan polis khas yang dinamakan sebagai polis agama atau polis syariah kelihatan panas diperdebatkan mutakhir ini dan ia dipercayai semakin giat dibahas selepas kes pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raflie Ab Malik (gambar) yang mati selepas terkena tiga das tembakan di hadapan rumahnya. Reaksi awal jenayah itu dipercayai dilakukan oleh pengikut ajaran sesat atau syiah di Malaysia. Namun ternyataan dakwaan itu silap kerana suspek yang ditahan baru-baru ini adalah pengikut ajaran 'Tuhan Harun'.

Lantaran itu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dikatakan sedang memperincikan cadangan penubuhan sebuah pasukan polis khas bagi membanteras penyebaran ajaran sesat  di negara ini hanya kerana reaksi jenayah berkenaan.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku menteri KDN berkata cadangan itu antara lain akan membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan pegawai dan anggotanya di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai sebahagian daripada pasukan penguatkuasaan. Hal ini bermakna ia mungkin seperti pasukan polis bantuan, polis BSN dan Polis PLUS yang kini telah dipraktikkan untuk membantu sektor berkenaan. Menurut Tan Sri Musa Hasan jika sekadar status polis bantuan ia mungkin tidak membebankan PDRM.

Walaupun pihak KDN hanya mensasarkan kes ajaran sesat dan syiah yang hanya hari ini kelihatan menjadi ancaman keselamatan negara, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha pula mengesahkan bahawa unit itu akan ditugaskan untuk menguatkuasakan semua kesalahan jenayah Syariah dan bukan hanya berkaitan isu Syiah dan ajaran sesat sahaja.

Kerjasama Ahmad Zahid dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal Islam, Datuk Seri Jamil Khir Baharom kelihatan perlu dilakukan untuk merealisasikan hasrat penubuhan skuad ini.

Jika benar pasukan ini ditubuhkan untuk ditempatkan di JAKIM, ia telah menjawab persoalan segelintir ahli perundangan yang masih keliru kedudukan dan bidang kuasa pasukan ini sama ada ia akan hanya menumpu kepada kes kaum muslim atau juga mengambil kira rakyat bukan islam. Dengan diletakkan di bawah JAKIM semestinya ia hanya tertakluk kepada kaum Muslim sahaja.

Kumpulan perundangan sivil menggesa Kementerian Dalam Negeri dan Jakim supaya memberikan butiran lanjut mengenai penubuhannya dengan segera malah seperti dijangka hujah mereka hal ehwal agama berada di bawah bidang kuasa negeri manakala pasukan polis terletak di bawah kuasa Persekutuan. Hal inilah yang menjadi masalah dalam perlaksanaan syariah negara kita.

Jika polis ditempatkan di BSN dan PLUS ia kelihatan releven kerana bank dan PLUS antara bidangkuasa kerajaan persekutuan. Apabila agama hanya termaktub lesu dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan bidang kuasa menangani ajaran sesat dan syiah termasuk dalam senarai negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan menyebabkan kegusaran pendokong undang-undang sivil terhadap campur tangan PDRM yang berada dalam bidangkuada persekutuan terhadap bidangkuasa negeri-negeri.

Kelihatan benar syariah di negara ini tiada nilai dan diperlekehkan selagi mana senarai bidangkuasa agama Islam tidak diletak di peringkat persekutuan.

Sebenarnya tanpa lencana polis syariah pun PDRM sudah memiliki obligasi menguatkuasakan undang-undang syariah.


Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan dan Prosedur Jenayah Syariah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz sendiri mengakui bahawa, polis sudah mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan semua undang-undang Syariah.

Misalnya dalam Akta 560 AKTA TATACARA JENAYAH SYARIAH (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1997 kesalahan boleh tangkap” ertinya sesuatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh satu tahun atau lebih yang baginya pada lazimnya Pegawai Penguat Kuasa Agama atau pegawai polis boleh menangkap tanpa waran;

Dalam Seksyen 8. Tiap-tiap orang adalah terikat untuk membantu seseorang Hakim, Pegawai Penguat Kuasa Agama atau pegawai polis, yang semunasabahnya menghendaki bantuannya—
(a) dalam menangkap atau mencegah terlepasnya mana-mana orang lain yang Hakim, Pegawai Penguat Kuasa Agama atau pegawai polis itu diberi kuasa untuk menangkapnya; atau
(b) dalam mencegah suatu pecah keamanan yang timbul daripada penangkapan dan penahanan orang itu.

Antara undang-undang syariah melibatkan isu ajaran sesat yang telah lama dikuat kuasa melalui kerjasama PDRM adalah Seksyen 4-8 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan seksyen 3-6 Akta Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan kesalahan berhubungan dengan akidah yang merangkumi pemujaan, mendakwa orang bukan Islam untuk mengelakkan tindakan, takfir atau mengatakan mana-mana orang Islam adalah kafir, doktrin palsu5 dan dakwaan palsu.

Pasukan polis agama ini memang wujud di negara luar. Misalnya di Saudi Arabi seramai 3,500 unit khas polis dikendalikan oleh jawatankuasa hal ehwal agama dan pencegahan maksiat. Tugas mereka untuk menguatkuasakan undang-undang Syariah termasuk kod etika Islam yang merangkumi pengasingan antara lelaki dan wanita. Sebagai tambahan, pasukan itu juga mempunyai kuasa untuk menahan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti homoseksual, pelacuran, penzinaan serta tindakan mengajak orang menukar agama. Mereka juga berhak melarang penggunaan atau penjualan minuman beralkohol serta boleh merampas produk yang diharamkan dan bertentangan dengan Islam.

Di Aceh, Indonesia Polis Syariah mula beroperasi pada 2005 dengan bilangan anggota seramai 13 orang. Sehingga kini mereka mempunyai seramai 62 anggota termasuk 14 wanita. Tugas pasukan yang memakai uniform berwarna hijau zaitun ini ialah untuk menguatkuasakan undang-undang Islam. Mereka juga memantau agar kod etika Islam dipatuhi serta mencegah penjualan alkohol dan judi.

Di Nigeria pula lima daripada 12 negeri di bahagian utara negara ini yang melaksanakan undang-undang Syariah mempunyai anggota polis Syariah. Tugas mereka termasuk memastikan agar pengguna tidak ditipu di pasar. Pasukan ini dilengkapi kenderaan namun tidak boleh melaksanakan tangkapan. Mereka boleh menegur pihak yang melanggar kesalahan serta melaporkan kepada pasukan polis persekutuan. Mereka berjaya menyelesaikan isu berkaitan hal kekeluargaan apabila semua pihak bersetuju untuk bekerjasama.

GESA merasakan penubuhan polis syariah tidak efisyen dan tidak akan memartabatkan syariah selagi mana beberapa peruntukan undang-undang belum dipinda. Namun ini tidak bermakna GESA menyokong kenyataan Tun Mahathir yang membawa alasan agak sekular.

Kata Mantan PM ke-4 itu yang menilai cadangan penubuhan polis syariah ini sebagai usaha memalitkan gelaran agama Islam sebagai police state kelihatan tidak relevan memandangkan dalam hal patriotik, hal menundukkan fahaman komunis dan hal politik, kekerasan ISA dan undang-undang tanpa bicara sanggup digunakan tetapi kelihatan paranoid apabila pemerkasaan syariah dijadikan tujuan.



GESA melihat bahawa penubuhan polis agama hanya mengiktiraf dan menjulang tinggi sistem perundangan dualisme di Malaysia iaitu sistem sivil yang didokong persekutuan dengan sistem syariah yang terbatas disokong oleh kerajaan negeri secara terpisah.

Sistem dualisme sudah cukup memeningkan dan Mahkmah syariah telah lama menjadi boneka, pak turut, rendah taraf melalui sistem dualisme. Semangat perkara 121(1a) sebenarnya tidak mencukupi untuk menaik taraf Mahkamah syariah selama mana senarai negeri dan senarai persekutuan dipisahkan.

Meletak polis di JAKIM hanya meneruskan pertelingkahan undang-undang sivil-syarah sedangkan kekusutan yang sedia ada tidak mahu dibaiki oleh kepimpinan negara kita.

Misalnya, peruntukan untuk ajaran sesat, murtad dan sebagainya ada peruntukan menurut Islam. Sejauh mana hukuman terhadap kesalahan ini dalam Akta syariah yang menepati kehendak islam sebenar?

Bagaimana kewujudan pasukan ini membantu mengekang judi dan arak seumpama di Arab Saudi dan Acheh sedangkan kesamaran Akta Eksais 1976 dan Akta Kastam 1967 masih wujud. Tiada peruntukan undang-undnag mampu halang jualan arak di 7-11. Judi masih terbuka dan undnag-undang sedia ada masih belum berjaya menghalang Melayu Islam membeli nombor ekor.

Menubuhkan pasukan polis tanpa peruntukan undang-undang serta tidak dibuka kekangan terhadap bidang kuasa syariah hanya membazir tenaga kerja dan wang kerajaan. Malah masyarakat luar negara akan terus mengatakan Malaysia memiliki dua sistem. Sistem atas adalah pasukan polis awam dengan perundangan sivil manakala sistem bawahan mungkin polis syariah bersama mahkamah syariah.

Peruntukan undang-undang telah jelas menunjukkan PDRM sebenarnya telah lama layak menguatkuasa undang-undang meibatkan syariah. Malah dalam usaha mewar-war negara sebagai negara Islam, kita perlu kembali kepada sistem pentadbiran sahabat di mana anggota hisbah dan polis semenangnya bertugas menguat kuasa undang-undang negara. Undang-undang nehara daulat ketika itu adalah udang-undang Islam.

Semasa kegemilangan Abbasiyyah, Diwan Syurthah iaitu institusi polis telah ditubuhkan untuk menguatkuasa undnag-undnag negara. Memandangkan kerajaan itu benar-benar menggunakan sistem Islam, tiada istilah Syurthah Syariyyah digunakan untuk membezakan polis biasa dengan polis syariah.

Penulis juga menolak hujah Amin Iskandar dalam artikelnya Polis Syariah, moral dan undang-undang yang mengupas isu polis syariah sebelum ini melalui media maya. Menurut beliau “Dalam satu kes perebutan tanah, Nabi Muhammad sendiri hanya dapat memutuskan keadilan berasaskan keterangan daripada pihak yang merebutkannya. Ini penting untuk dilihat kerana terdapat ramai yang berhujah secara simplistik bahawa dengan pelaksanaan perundangan Islam maka segala masalah akan selesai. Hakikatnya, dalam kes perebutan tanah ini, kes dimenangi oleh pihak yang sebenarnya tidak berhak tetapi berjaya mengemukakan hujah lebih baik. Dalam perkataan lain, keadilan sebagai prinsip moral tidak dapat ditegakkan dengan mudah.

Beliau membawa kes kegagalan Rasulullah menegak keadilan hanya kerana kehebatan hujah pihak yang menuntut tanah. Sedangkan beliau terlupa itulah kehebatan undang-undang Islam iaitu Islam juga ada keserupaan dengan sivil iaitu perbicaraan dengan bukti, qarinah atau burhan dijadikan sebagai asbab kemenangan sesuatu kes.

Kegagalan pihak yang berhak menuntut disebabkan kurang bukti pihak berkenaan di zaman Rasulullah dianggap suatu bukti kegagalan sistem undang-undang Islam Nabi. Ini pandangan yang simplistik dan melulu. Malah beliau gagal mengkritik usaha penubuhan polis syariah secara objektif, membina dan kelihatan ‘menyendal’ awal hujah untuk menolak sebarang penguatkuasaan syariah atas nama kebebasan beriman. Pandangan sebegini berbaur sekular dan layak ditolak bagi pewacana yang berhasrat memartabatkan syariah di Malayia.

Adalah perlu PDRM yang sedia ada ditarbiah dan diasuh secara Islam untuk menjadikan mereka sebagai mata dan tangan syariah di negara kita. Sebeum dibahas unit baharu Polis Syariah, adalah disarankan agar pihak kerajaan berusaha mensasarkan anggota PDRM sebagai anggota yang bertaqwa dan mengamal cara hidup Islam.

Kepincangan dalam institusi polis sedia ada telah dimaklumi sehinggakan Suruhanjaya Diraja dicadangkan penubuhannya semata-mata untuk membersihkan nama buruk PDRM atas beberapa insiden melibatkan integriti dan proses kerja.

Kajian oleh Transparency International bagi tahun 2012 menerbitkan sebuah laporan di mana di antara semua institusi di Malaysia, institusi polis merupakan di antara institusi negara yang paling tidak bersih (skala 4.1 tertinggi). Tan Sri Musa Hassan juga pernah menyatakan syak dalam kes cubaan membunuh R Sri Sanjeevan Pengerusi Pasukan Khas Cegah Jenayah Malaysia (MyWatch), iaitu dikatakan mungkin ada kaitan dengan rancangan untuk mendedahkan sindiket jenayah melibatkan pegawai polis.

Perkara yang perlu diberi perhatian hari ini adalah mereformasikan institusi polis dan badan keselamatan agar sejajar dengan syariah dan seterusnya kerajaan perlu pinda beberapa peruntukan undang-undang jika benar mereka ingin melihat syariah di negara ini benar-benar subur dan hidup.
Bertam

8 Fen 2014

No comments:

Post a Comment

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)