Sunday, July 5, 2009

Usaha Pemerkasaan Tulisan Jawi melalui PERAWI

Berkat kesungguhan yang ditunjukkan oleh Teras Pengupayaan Melayu(TERAS) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Muktamar Pergerakan Pemerkasaan Tulisan Jawi(PERAWI) telah berjaya diadakan di auditorium perpustakaan negeri pada semalam, 5 Julai 2009. Muktamar yang julung kali dianjurkan ini telah menarik minat dengan penyertaan yang terdiri daripada wakil-wakil NGO, mahasiswa, pelajar sekolah serta orang perseorangan hinggakan ada yang datang dari Kuala Lumpur untuk menghadirinya. Upacara perasmian telah disempurnakan oleh Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayaan iaitu YB Dr. Hj. Hamdan Mohamed Khalib.

Muktamar yang antara objektifnya adalah untuk melaksanakan gerak kerja mempopularkan semula tulisan jawi dalam kalangan masyarakat ini dilihat sebagai langkah penting dalam perjuangan TulisanJawi walaupun telah ada beberapa seminar malah Konvensyen Tulisan Jawi pada tahun 1984 dan 1991. Di dalam konvensyen tersebut, beberapa usul telah dicadangkan bagi tujuan mengangkat martabat Tulisan Jawi. Malangnya, banyak yang belum terlaksana. Disebabkan kegagalan perlaksaan tersebut jugalah, perkataan ‘muktamar’ dan ‘pergerakan’ dipilih agar muktamirat yang hadir bukanlah sekadar datang menghadirkan diri serta menjadi pencatat yang ‘beku’ selepas pulang tetapi semua resolusi yang dibincangkan di penghujung muktamar akan dilaksanakan.

Muktamar ini diisi dengan pembentangan 4 kertas kerja yang masing-masing mengolah sejarah, fenomena masa kini serta langkah berkesan yang perlu dijayakan dalam usaha memperjuangkan tulisan jawi meskipun usaha ini sepatutnya bukanlah sesuatu yang perlu ‘diperjuangkan’ tetapi perlu ‘diperkembangkan’. Ungkapan oleh Ustaz Yusof ini sangat berbekas di hati. Berikut adalah tajuk kertas kerja yang dibentangkan serta pembentang yang terlibat.

1. “Memperkasa Tulisan Jawi sebagai Khazanah Tamadun Islam dan Jatidiri Ummah”
oleh Ustaz Yusof bin Mahmud, YDP Persatuan Ulama Kedah.
2. “Peranan Institusi Agama dalam Memperkasakan Tulisan Jawi”
oleh Ustaz Abu Khair Ayub dari Maahad Tarbiah Islamiyah Derang, Pokok Sena, kedah.
3. “Perjuangan Kemerdekaan Kali Ke2 melalui Penataran Tulisan Jawi”
oleh Muhammad Nuruddin Bashah
4. “Memperjuangkan Pemerkasaan Tulisan Jawi, Menggerakkan Startegi Bersama”
oleh Hj. Azmi Abdul Hamid, Presiden TERAS.

Dekatnya Tulisan Jawi dengan al-Quran adalah disebabkan asalnya dari huruf-huruf Arab yang disesuaikan dengan bahasa Melayu di rantau ini. Dekatnya Tulisan Jawi dengan masyarakat dahulu kerana mereka belajar bahasa Melayu, ilmu agama, sejarah serta ilmu alam menggunakan bahasa Melayu yang bertulis dengan Tulisan Jawi. Hak Melayu adalah Tulisan Jawi yang kini sudah dipesongkan oleh penjajah yang memperkenalkan sistem tulisan mereka bagi mengawal perkembangan tulisan Jawi. Penggunaannya sangat meluas hinggakan penjajah juga mengiktiraf tulisan ini yang digunakan di dalam Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu.

InsyaAllah, SPAQ kini dalam usaha untuk bekerjasama dengan Persatuan Mahasiswa Islam bagi menganjurkan seminar yang sama tetapi dalam ruang yang lebih kecil di USM. Penglibatan mahasiswa dalam usaha memupuk kesedaran serta gerak kerja susulan yang segera ini diharapkan dapat memartabatkan semula Tulisan Jawi sebagai bahasa yang tidak sepatutnya dipinggirkan apatah lagi dipandang rendah dari segi kepentingannya sebagai salah satu medium perantara ilmu. Resolusi muktamar PERAWI agar penggunaan tulisan Jawi kembali diperluaskan dalam kalangan mahasiswa akan direalisasikan bertitik tolak dari bengkel ini. Kepada mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) lain yang ingin bekerjasama dengan SPAQ, penglibatan anda amat dialu-alukan. Makluman lanjut berkenaan ceramah dan bengkel yang akan diadakan dalam bulan Julai ini akan dimaklumkan seberapa segera nanti.


Wardah bt Abdul Rahman
Unit Media SPAQ

No comments:

Post a Comment

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)