Friday, June 25, 2010

Pelarian Rohingya kritikal, perlu sumbangan - Teras

Pelarian Rohingya kritikal, perlu sumbangan - Teras
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 25 Jun: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) menyeru rakyat Malaysia yang prihatin untuk menghulurkan bantuan kecemasan kepada pelarian Rohingya di Bangladesh.

Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) memberitahu, Teras dan Shura bersama-sama Citizens International akan berusaha menghantar misi kemanusiaan kepada mereka sesegera mungkin setelah berjaya mengumpul sumbangan daripada orang ramai.

"Kami akan mengusahakan untuk menghantar misi bantuan kemanusiaan secepat mungkin apabila sumbangan orang ramai dapat menampung pembelian barangan bantuan yang diperlukan," katanya kepada Harakahdaily, di sini, hari ini.

Menurutnya, penubuhan tabung bantuan untuk pelarian Rohingya itu diumumkan pada hari ini apabila melihat kepada situasi mereka di Bangladesh yang semakin kritikal.

"Citizens International bersama dengan Teras dan Shura melancarkan bantuan kecemasan untuk para pelarian Rohingya yang kini tinggal di kem-kem ini.

"Menurut Setiausaha Agung Persatuan Kebajikan Muslim Rohingya di Bangladesh, Mahmud Ayaz, bajet yang diperlukan untuk membeli khemah untuk dijadikan bumbung, buluh untuk membina dinding banguann, menggali perigi tiub, membeli makanan asas seperti beras, kacang dal, minyak masak, peralatan dapur dan ubatan dianggarkan sebanyak USD300,000," katanya yang juga koordinator kempen Citizens International.

Mengulas lanjut, beliau berkata, situasi di kem pelarian Rohingya di Bangladesh ketika ini tidak ubah seperti Gaza kerana segala bentuk bantuan yang diberikan pihak luar tidak dibenarkan masuk.

"Di Bangladesh ketika ini ada persamaan dengan kes di Gaza iaitu segala bahan bantuan disekat masuk," katanya.

Kaum Rohingya merupakan populasi muslim terbesar, sekitar 3.5 juta orang di Myanmar yang kebanyakannya tinggal di Rakhine, salah sebuah negeri di Myanmar yang berkongsi sempadan dengan Bangladesh.

Mereka menjadi pelarian di Bangladesh, Pakistan, Thailand, Malaysia dan negara lain sejak lebih 50 tahun dahulu akibat penindasan dan penganiayaan pemerintahan Burma dan penganut Buddha ke atas mereka.

Bilangan mereka di Bangladesh kini dianggarkan 200,000 hingga 400,000 orang yang sedang berada di kem pelarian.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), The Physician for Human Rights (PHR), melaporkan kekurangan zat makanan telah mencapai tahap kritikal dan bilangan penghuni kem pelarian semakin bertambah.

Menurut badan bebas itu, tanpa sebarang akses kepada bantuan makanan akan menyebabkan lebih banyak kematian dan penyakit jika krisis kemanusiaan ini tidak ditangani.

Sehubungan itu, Teras dan Shura mengambil inisiatif untuk menghantar misi kemanusiaan kepada mereka lebih-lebih lagi kesengsaraan pelarian Rohingya ini tidak diketahui umum.

"Mereka berdepan dengan gangguan bukan sahaja daripada pihak berkuasa Bangladesh tetapi juga daripada penduduk tempatan yang membentuk Jawatankuasa Penentangan Rohingya yang menuntut supaya pelarian Rohingya dihalau dari negara itu," cerita Azmi lagi.

Azmi juga menegaskan,misi kemanusiaan itu tidak boleh dilengah-lengahkan kerana Bangladesh sedang menghadapi musim hujan dan pelarian Rohingya yang tinggal di kem sementara ini sedang berdepan dengan keadaan yang sangat sukar.

"Kita tidak boleh lambatkan misi kemanusiaan ini. Sebab itu saya target tempoh dua minggu untuk kumpul sumbangan untuk dihantar ke sana kerana situasi mereka yang sangat memerlukan.

"Lebih daripada 11, 000 keluarga Rohingya tinggal di kem sekitar Ledda, Shamlapur, Baharcara, Kutupalong dan Cox Bazaar amat memerlukan bahan asas untuk membuat pondok tempat berteduh bagi megelakkan dariapda hujan, perigi tiub bagi menyediakan air minuman yang selamat serta makanan dan ubatan untuk mencegah lebih banyak kematian," jelasnya.

Ujarnya juga, Teras dan Shura telah lama membawa isu Rohingya ini walaupun tidak diketahui umum kerana United Nation (UN) mengambil tindakan yang tidak begitu intensif terhadap mereka.

"Kita telah lama bawa isu ini namn hari ini baru kita umumkan misi ini kerana keadaan yang sangat mendesak. United Nation ada ambil tindakan tapi tidak berapa intensif dan tumpuan tidak begitu diberikan terhadap Rohingya ini," katanya.

Sementara itu,wakil komiti Rohingya, Abdul Ghani Abdul Rahman, memberitahu, Teras telah banyak bekerjasama dengan mereka dalam memberikan bantuan kepada mereka.

"Bolehlah dikatakan Teras yang menjuarai isu Rohingya ini. United Nation hanya beri tumpuan kepada Rohingya yang berdaftar sahaja, bukan kepada pelarian," katanya yang hadir bersama dua rakannya, Rofik Alam dan Ustaz Muhammad Islam Sultan Ahmad.

Kepada mereka yang berminat untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan ini boleh berbuat demikian melalui akaun Teras iaitu BIMB 02020010021351.

Manakala maklumat lanjut mengenai Rohingya boleh didapati di www.rohingya student dan youth.com.

Azmi memberitahu, laman web khusus mengenai penderitaan pelarian Rohingya sedang ditubuhkan.

"Kita memang dalam proses menubuhkan laman web khusus mengenai Rohingya tapi setakat ini maklumat bolehlah didapati di laman web yang sedia ada itu." katanya.

No comments:

Post a Comment

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)