Sunday, January 31, 2010

Sekitar Seminar Ilmiah 2010 Siri 1

Seramai 37 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Institut Perguruan Persekutuan Pulau Pinang (IPPP) dan USM menghadiri ‘Seminar Ilmiah 2010:Mengenali Aspek Terpencil dalam Tamadun Islam’ yang julung kali dianjurkan oleh SPAQ dengan kerjasama pelajar IPPP pada 17 Januari yang lalu. Seminar ini telah dirancang sekian lama sebagai salah satu aktiviti berkala SPAQ dalam usaha memupuk budaya keintelektualan dan budaya mengkaji dalam diri penggerak dan peserta yang hadir.


Bertempat di Surau Al-Falah, majlis dimulakan dengan persembahan multimedia sorotan perkembangan tamadun Islam secara kasar oleh saudari Nurizma. Sesi pembentangan kertas kerja dimulakan oleh saudara Nadir yang membicarakan sumbangan pemikir umat Islam iaitu Ibnu Taimiyyah serta pengaruh pemikirannya dalam tamadun Islam. Konsep pemikiran Ibnu Taimiyyah yang turut sama dipengaruhi oleh pemikiran Ibnu Qayyim ini dikupas dan penekanan diberikan kepada inisiatif kita untuk memahami keadaan serta faktor persekitaran semasa fatwa-fatwa Ibnu Taimiyyah dikeluarkan.


Pembentangan seterusnya ialah daripada saudari Nur Sakinah yang mengupas peranan pemerintah kerajaan Abbasiyah khususnya al-Makmun dalam perkembangan aliran pemikiran Muktazilah. Pada zaman kini, pemikiran tersebut lebih dikenali sebagai aliran liberal-rasionalis yang banyak menggunakan kaedah takwil dan rasional akal dalam mentafsirkan sesuatu hingga mengenepikan ajaran al-Quran dan Hadith. Kertas kerja ini telah menyorot kembali sejarah permulaan Muktazilah, peranan yang dimainkan oleh khalifah serta faktor yang menjadikan fahaman ini berkembang suatu masa dahulu. Seperti yang diingatkan oleh pembentang, meskipun pemikiran ini pernah ditentang ulama Islam terdahulu, kebangkitannya di celahan fahaman Islam liberal harus kita sedari.


Pembentang kertas kerja ketiga pula membicarakan peranan Bahasa Suryani sebagai wasilah atau perantaraan dunia keilmuan Yunani ke dunia Islam. Bahasa yang juga dikenali sebagai bahasa Syria ini sebenarnya berada dalam pengkelasan yang sama dengan bahasa Semit. Begitu juga dengan bahasa Arab yang turut berada dalam rumpun yang sama. Pengaruh kedatangan imperialis kepada sejarah ketamadunan Melayu yang berteraskan Islam dibentangkan oleh saudara Nuruddin sebagai penutup seminar di hari tersebut.


SPAQ kini dalam perancangan mengadakan siri Seminar Ilmiah kedua dan masih memfokuskan aspek terpencil lain yang berlaku sepanjang sejarah ketamadunan Islam. Selaras dengan hasrat SPAQ untuk melahirkan pendakwah dalam kalangan mahasiswa yang informatif dan proaktif, penglibatan golongan ini dalam kajian serta pembentangan kertas kerja semasa seminar seperti ini atau seumpamanya amat dialu-alukan.


‘Dari Anak Muda kepada Anak Muda‘

*buku kecil seminar boleh dimuat turun dari bahagian kanan blog, di bawah tajuk " Download Slide Show/Buku Kecil SPAQ"

Wardah bt Abdul Rahman

Jitra, Kedah.

No comments:

Post a Comment

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)