Sunday, August 30, 2009

Perlaksanaan hukuman sebat; jangan mengira politik dan mengira bulu.

Kenyataan media ini disiarkan dalam akhbar Harakah edisi Isnin, 7-10 Sept 09

Kes hukuman penjara, denda dan sebat yang dijatuhkan terhadap Kartika Sari Dewi Soekarno atas sabit kesalahan meminum arak telah menimbulkan pelbagai perspsi dan reaksi masyarakat.

TERAS cawangan Perak memerhatikan isu ini secara kritikal dan terperinci lantaran usaha TERAS selama ini adalah untuk memartabatkan sistem kehakiman syariah.

Apa yang ingin disentuh di sini bukanlah satu kenyataan membantah keputusan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di Kuantan Pahang, akan tetapi isu ini cuba dikupas dalam aspek keadilan sejagat menurut Islam.

TERAS menyokong kenyataan ABIM berkaitan perlunya rakyat Malaysia mematuhi keputusan mahkamah syariah yang berada di bawah bidang kuasa raja di peringkat negeri malah peruntukan undang-undangnya amat terhad iaitu denda maksimum sebanyak RM 3,000.00, 5 bulan penjara dan enam kali sebatan.

Walaupun pelbagai pihak membantah perlaksanaan hukuman sebat tersebut atas alasan ia bukan seiring dengan kaedah sebatan Islam (hudud) yang lebih kepada aspek mendidik (tarbiah) dan sekatan pengajaran) kepada orang lain, namun begitu hukuman sebat yang dijatuhkan terhadap Kartika adalah menurut Seksyen 125 dan 126 Enakmen Tatacara Syariah 2002 Negeri Pahang.

Tatacara ini jauh berbeza dengan sistem hukuman sivil yang mencederakan, mengaibkan dan zalim. Kurungan dua menyebut: Alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya, hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter. Kurungan 3 (e): orang itu hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah; (f) selepas mengenakan satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya.

Reaksi kaum liberal dalam web tertentu semestinyalah membantah hukuman ini kerana ia menyerupai suatu penularan sistem Islam (creeping of islamization system). Lantaran itu hujah gender digunakan untuk menarik rasa simpati terhadap Kartika. Malah kerisauan golongan ini lebih kepada takutkan penyempurnaan sistem hudud kerana tatacara sebatan jenayah syariah Pahang menyerupai teknik sebatan hudud walaupun jumlah bilangan sebatannya amat berbeza.

Dalam aspek yang lain kita melihat pula bagaimana risaunya golongan pro-arak di kalangan pemerintah, korporat, artis dan sebagainya terhadap perlaksanaan hukuman ini. Perlaksanaan hukuman ini dilihat berlaku berunsurkan politik semata-mata apabila pemimpin yang terlibat dengan arak tidak pernah dihukum sebat. Islam bukan melaknat peminum sahaja malahan juga si pembuka kilang, yang meluluskan lesen, yang menjual serta yang menutup penyelewengan dalam meluluskan lesen arak yang berleluasa. Terlalu banyak bukti media yang boleh didapati dan menyabitkan pembabitan artis dengan arak, namun tiada tindakan positif yang diambil. Malah artis atau individu yang terlibat dengan gerakan liberal atau pemimpin negara tertentu akan diselindungkan jenayah mereka seumpama kes Zouk Club 2005 dahulu.

Perspektif yang lain pula adalah kesediaan untuk dihukum secara syariah. Kartika terkilan kerana hukuman akan dilaksanakan secara tertutup malah beliau sebenarnya merayu agar hukumannya dibuat di khalayak awam bagi memberi pengajaran kepada orang lain. Permintaan Kartika itu mungkin akibat kesedaran dan keinsafan beliau sendiri dan mahukan hukuman sebatan syariah itu dijalankan. Tiada pula suara hak asasi liberal melayu yang mengalu-alukan keputusan beliau. Jika difikir secara logik, pilihan Kartika adalah tepat kerana sebatan di tempat awam juga menghindar dari salah laku dan salah perlaksanaan hukuman tersebut.

Sikap Kartika mencerminkan taubat beliau di atas kesalahannya. Inilah sikap terpuji yang perlu digariskan oleh setiap pejuang sistem syariah. Walaupun ada ruang untuk membuat rayuan (malah Islam membenarkan rayuan) beliau tetap berpegang kepada prinsip hukuman secara Islam.

Menurut Zainul Rijal Abu Bakar bekas pemimpin Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), apabila Mahkamah Tinggi Syariah Pahang menjatuhkan hukuman sebatan kepada seorang peminum arak, maka timbul pelbagai rungutan dan kritikan terhadap hukuman yang dijatuhkan itu. Tidak kurang juga yang memperlekehkan keputusan itu tanpa terlebih dulu mengkaji apakah sebenarnya hukuman yang dijatuhkan.

Namun apabila mahkamah sivil menjatuhkan hukuman sebatan, hampir tidak kedengaran suara yang sama menangisi hukuman yang dijatuhkan itu walaupun hakikatnya sebatan sivil jauh lebih dahsyat kesannya berbanding sebatan syariah. Menurut beliau, persepsi inilah yang perlu diperbetulkan kerana mahkamah syariah mempunyai jurisprudennya yang tersendiri. Segala tindakan yang dilakukan tidaklah lari dari apa yang diperuntukkan oleh hukum syarak.

Kes Kartika ini seumpama menjawab isu polemik arak di Selangor serta mendesak Ketua Menteri Melaka memeriksa kesalahan kerajaan selama ini dalam menyebarluaskan arak.

Jangan pula keputusan kes ini semata-mata untuk menampilkan imej kerajaan yang juga Islamik menentang arak. Perlaksanaan kes ini kelihatannya dipercepatkan walaupun masih banyak penangguhan pelbagai kes mahkamah syariah seperti hak penjagaan anak dan penceraian. Hal ini menimbulkan tanda tanya adakah ia cuba dipolitikan untuk bersaing dalam imej siapa yang paling awal melaksanakan hudud/hukuman Islam.

Walaupun apa sekalipun, perlaksanaan hukuman syariah seumpama sebatan cara Islam ini perlu dilakukan terhadap semua muslim yang terlibat tanpa mengira politik, pangkat atau kedudukan dalam masyarakat kerana hal inilah yang membina tembok fitnah kepada mahkamah syariah.

Muhammad Nuruddin Bashah
Setiausaha TERAS Cawangan Perak
Pengerusi Skuad Penyelamat Aqidah

No comments:

Post a Comment

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)