Muhammad Nuruddin Bashah
Aktivis GESA (Gerakan Sokong Syariah)
Sejak
wujudnya budaya perniagaan dalam tamadun manusia, komoditi dagangan
diperjualkan secara meluas dan ia pasti memerlukan satu aktiviti
tambahan yang cukup penting iaitu pengeluaran. Dalam Islam manusia
digesa berusaha mencari nafkah dan memperguna kekayaan bumi untuk
kebaikan tamadun manusia.
Dalam tulisan ini pembaca akan mengetahui bahawa :
- Aktiviti pengeluaran, pengilangan dan pemprosesan komoditi dan produk adalah arahan Allah.
- Manusia dicipta untuk menghasil produk pengeluaran selaku PEMAKMUR BUMI.
- Tujuan aktiviti pengeluaran adalah untuk memenuhi keperluan manusia seterusnya menyediakan manusia beribadah dan tunduk kepada Allah.
Definasi pengeluaran dan pengilangan menurut Barat:
- Menurut laman businessdictionary.com pengeluaran adalah ;The processes and methods used to transform tangible inputs (raw materials, semi-finished goods, subassemblies) and intangible inputs (ideas, information, knowledge) into goods or services. Resources are used in this process to create an output that is suitable for use or has exchange value1. ( Proses dan kaedah yang digunakan untuk mengubah input nyata (bahan mentah, barang separuh siap, subpemasangan) dan input tidak nyata (idea, maklumat, pengetahuan) ke dalam barang-barang atau perkhidmatan. Sumber -sumber (alam, bahan mentah) yang digunakan dalam proses ini untuk mewujudkan keluaran yang sesuai untuk digunakan atau mempunyai nilai pertukaran)
- Pengilangan : Pengilangan adalah penggunaan alatan dan sebuah medium pemprosesan kepada penukaran bahan mentah menjadi barangan siap untuk jualan. Usaha ini termasuk semua proses perantaraan diperlukan untuk pengeluaran dan penyepaduan komponen barang. Sesetengah industri, seperti pengilang semikonduktor dan keluli menggunakan istilah pembuatan 2.
- Ahli ekonomi Barat beranggapan aktiviti pengeluaran adalah untuk memaksimakan untung. Objektif memaksimumkan untung ini merupakan idea ciptaan Adam Smith dalam bukunya The Wealth of Nations yang diterbitkan dalam tahun 1776. Beliau mengutarakan pandangan bahawa setiap manusia didorong oleh ”suatu tangan yang tidak kelihatan” untuk melakukan sesuatu perkerjaan yang pada zahirnya nampak mulia, tetapi sebenarnya orang itu melakukannya untuk mendapat untung bagi dirinya sendiri. Pengusaha kilang kasut, contohnya, bukanlah berniat untuk menyediakan pakaian kepada orang ramai, tetapi beliau membuat kasut demi mencari keuntungan untuk dirinya sendiri3.
Lihat petikan di bawah daripada ”The Wealth Of
Nations”:
...every individual necessarily labours to render the
annual revenue of the society as great as he can. He generally,
indeed, neither intends to promote the public interest, nor knows how
much he is promoting it. By preferring the support of domestic to
that of foreign industry, he intends only his own security; and by
directing that industry in such a manner as its produce may be of the
greatest value, he intends only his own gain, and he is in this, as
in many other cases, led by an invisible hand to promote an end which
was no part of his intention. Nor is it always the worse for the
society that it was no part of it. By pursuing his own interest he
frequently promotes that of the society more effectually than when he
really intends to promote it. I have never known much good done by
those who affected to trade for the public good4.
Dalil asas bagi keperluan berusaha mengeluar dan
memproses komoditi di bumi adalah :
Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah
digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta
makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada
Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula;
(maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).
(Al-Mulk 67:15)
Dalam buku Asas-asas Islam, Abu A’la Al Maududi juga
menyatakan hikmah Allah mencipta manusia mengurus bumi adalah kerana
kemampuan, nafsu dan keinginan manusia yang boleh mengimarah bumi
sedangkan malaikat pula tidak memerlukan sebarang hasil komoditi
untuk hidup dan pastilah kekayaan bumi akan rugi.
Dalam ayat yang lain Allah memberi isyarat bahawa
perlunya manusia memakmurkan bumi.
Dan kepada kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka:
Nabi Soleh. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan
Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dia lah
yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu
memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan
syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid.
Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan
permohonan hambaNya".
(Hud 11:61)
Aspek penting dalil kedua ini adalah :
- Allah yang menjadikan sesuatu bangsa itu hebat dalam urusan sains, kejuruteraan bangunan, sivil dan kejuruteraan pertanian, mahir dalam seni perniagaan dan sebagainya sepertimana kaum Thamud, Madyan, Ad dan lain-lain.
- Sifat utama para pengusaha dan pengilang adalah MEMAKMURKAN bumi. Hal ini mungkin berlawanan dengan amalan konsep kapitalisme yang mengeksploitasi bumi, alam sekitar dan sumber -sumber alam kepada manusia sehingga perlukan akta alam sekitar dan akta kesihatan dan keselamatan pekerja semata-mata untuk mengawal tindak-tanduk perusahaan yang membujur lalu, melintang patah.
- Segala aktiviti pengilangan dan perusahaan perlukan tali tauhid dan mengambil aspek Rabbani dalam pergantungan hasil dan usaha serta tidak mengamalkan fahaman sekular dalam perusahaan dan pengeluaran.
Tujuan pengeluaran menurut syara’
bukan untuk memaksimakan keuntungan secara khusus. Sarjana Islam
seperti M.A Manan, Muhammad Nedjatullah Siddiqi dan Khurshid Ahmad
menyatakan perlunya aktiviti pengeluaran tidak mengabaikan aspek
penting dalam keperluan manusia. Aspek penting pengeluaran adalah5
:
- Menyediakan keperluan sendiri secara sederhana atau aspek wasatiyah.
- Memenuhi keperluan insan di bawah tanggungan kita.
- Untuk keperluan masa hadapan.
- Untuk khidmat sosial dan ke jalan Allah.
Dalam dalil seterusnya Rasulullah mengiktiraf usaha
pengeluaran sebagai aktiviti ekonomi premer manusia.
Tidak ada seorang yg memakan satu makananpun yg lebih
baik dari makanan hasil usaha tangannya sendiri. Dan sesungguhnya
Nabi Allah Daud AS memakan makanan dari hasil usahanya sendiri. [HR.
Bukhari No.1930].
Hadis ini bermakna Rasulullah lebih awal mengiktiraf
buruh berbanding golongan sosialis dan komunis. Golongan sosialis dan
komunis kononnya membela kaum pekerja dan buruh sehingga meletak
gambar tukul, cangkul dan taji di bendera negara serta parti mereka
kononnya mereka dekat dengan aktiviti pengeluaran dan buruh.
Hakikatnya negara seperti Korea Utara yang meletak nama demokratik
pada nama negara mereka hakikatnya bagaikan penjara besar manusia
dan menyaksikan erti demokrasi yang hancur di negara berkenaan. Pol
Pot di Kemboja yang gilakan komunisme agraria akhirnya menjadi
totalitarian, diktator yang cukup dahsyat. Inilah hasil jika otak
manusia dijadikan tuhan.
Maqasid Syariah memandu pengeluaran dan
pengilangan.
Daripada nas Al Quran di atas jelaslah aktiviti
pengeluaran dan pengilangan adalah sama pentingnya sebagaimana
doktrin ekonomi konvensional. Tiada isu mengatakan Islam tidak
menggalakkan umatnya maju dan berjaya dalam industri dan pengilangan.
Namun pelru ditegaskan bahawa para invidu yang terlibat
dalam pengeluaran dan pengilangan, status mereka adalah sebagai
PEMAKMUR BUMI dan hal ini tidak ada dalam doktrin pengilangan dan
ekonomi barat. Inilah bezanya pemikiran Islam.
Dalam kehidupan manusia, Islam
memberi keutamaan kepada pengukuhan
ruhaniah berbanding maddiyah. Pemilikan
aspek material adalah bertujuan untuk
pengukuhan aspek keruhanian. Atas dasar
inilah pemilikan kekayaan secara peribadi
(private ownership of wealth) sungguhpun
dibenarkan oleh Islam,
ia terikat kepada tuntutan
yang bersifat jamaii melalui sistem
pengagihan yang berkesan (effective distributive system)
berteraskan asas moral (akhlak) yang
kukuh.
Menurut Dr.
Hj Wan Abd Rahman bin Wan Abd.Latif
Bekas Pensyarah Sains Politik Universiti
Kebangsaan Malaysia6,
melihat kepada hakikat betapa besarnya
peranan akhlak dalam kehidupan
manusia, maka Islam
melihat ‘akhlak’ sebagai satu faktor pengeluaran yang
terpenting (morality as a factor of
production) di samping faktor-faktor pengeluaran yang
lain seperti tanah, buruh dan modal.
Akhir-akhir ini faktor
keusahawanan (entrepreneurship) dilihat
sebagai faktor penting ; dan juga perbincangan
mengenai betapa pentingnya modal insan
(human capital). Dalam hal ini sejak awal lagi
Islam lebih mengutamakan faktor buruh
berbanding tanah dan modal.
Sistem kapitalisme menekankan kepada kuasa pengumpulan
kekayaan tanpa had (the
sky is the limit); sistem komunisme menekakan pengagihan kekayaan
yang sama rata (from
each according to his ability, to each according to his needs); Islam
berada ditengah-tengah
mempamerkan sistem keseimbangan yang
dinamis (dynamic equilibrium). Konsep
‘pertengahan’ dalam Islam
(the golden mean) perlu dilihat dari perspektif cyclical bukan
dari sudut linear.
Dalam hal ini, ekonomi Islam
berpegang kepada pendekatan berikut:
Pengeluaran (production) perlu dimaksimakan;
kepenggunaan (consumption) perlu
disederhanakan; maka lebihan (lebihan)
akan berlaku dalam masyarakat bagi tujuan untuk
diagihkan kepada kelompok masyarakat yang
memerlukan.
Kayu ukur ‘pembangunan’(developoment) dan ‘kemajuan’
(progress) tidak boleh sematamata
berdasarkan ukuran ekonomi statistik.
Dalam ertikata ia merujuk kepada konsep
‘pertumbuhan’ (growth) dengan
menggunakan kayu ukur pendapatan per kapita. Sebagai
contoh, pendapatan per kapita di Malaysia
pada tahun 2007 ialah RM22,345 Ini sesuatu
yang tidak logik. Berapa peratus sahaja
dari rakyat Malaysia yang memiliki pendapatan
bulanan sebanyak ini?
Semua pelakuan manusia, termasuk perlakuan ekonomi,
bersifat purposif.
Dalam sistem
kapitalis, perlakuan ahli
ekonomi adalah pengumpulan modal (accumulation of capital).
Logik pengumpulan modal meneguhkan prinsip
‘yang kaya
bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin’. Aspek pengumpulan
kekayaan lebih
ditekankan berbanding aspek pengagihan (distributaion). Dari sudut
seorang kapitalis, ia
tidak mempunyai tanggungjawab moral (moral responsibility) untuk
mengagih kekayaannya
kepada golongan miskin. Walhal, dari perspektif Islam
orang miskin mempunyai
hak (right) ke atas kekayaan orang kaya. Ini bermakna, sebagai
contoh, CSR (Corporate
Social Responsibility) bukan merupa satu pilihan (choice) tetapi
merupakan satu kemestian
(a must) yang perlu dilaksaanakan oleh badan-badan korporat.
Secara
asasnya perjalanan sistem kapitalis adalah secara fundamentalnya
bersifat sekular dalam
ertikata ia tidak menjadikan faktor moral sebagai faktor penting
(economics is morally
neutral).
Sistem komunisme dan sosialisme yang menekankan aspek
pemusatan dan pengagihan
kekayaan oleh negara (state) juga terikat
dengan prinsip sekularisme yang awal-awal lagi
menolak prinsip ketuhan (bandingkan kata-kata Marx:
religion is the opium of the people).
Prinsip teras komunisme/sosialisme ‘ from each to his
ability and to each according to his
needs’ penting bagi tujuan pengagihan.
Tetapi prinsip ini membunuh insentif ( yang amat
ditekankan oleh sistem kapitalisme,
sungguhpun ia meminimakan peranan pengagihan).
Ibn Khaldun mengemukakan teori pengeluaran
yang berasas matlamat syariah (maqasid syariah) iaitu kehidupan
perekonomian sentiasa menghala ke arah pelaksanaan keseimbangan
antara penawaran dengan permintaan. Menurut beliau pengeluaran
berasaskan kepada faktor buruh dan kerjasama masyarakat. Bahkan
beliau menganggap buruh merupakan faktor terpenting dalam proses
pengeluaran walaupun faktor-faktor
lain seperti tanah tersedia, tenaga buruh perlu untuk menghasilkan
matlamat akhir7.
Aktiviti pengeluaran dan pengilangan perlu menurut
matlamat syariah (maqasid).
Dharuriyat (barangan keperluan asas);
Semua
benda asas yang diperlukan bagi kehidupan manusia bagi melindungi
diri, agama, akal, keturunan dan harta. Tanpa keperluan asas ini
manusia tidak berupaya untuk hidup sempurna, meruntuhkan nilai-nilai
kemanusiaan, hidup dicengkam suasana kesusahan malah mungkin tidak
boleh hidup seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan
kesihatan.
Hajiyat (barangan kemudahan dan keselesaan);
Produk
yang membantu meningkatkan kecekapan, memudahkan hidup manusia dan
meningkatkan kualiti kehidupan. Adanya menyenangkan dan menjadikan
hidup lebih selesa tanpa melanggar batas-batas kesederhanaan. Mereka
yang tergolong dalam kategori ini dinamakan golongan kelas menengah
atau golongan berpendapatan sederhana. Contohnya ialah makanan yang
berzat serta lazat dan pakaian yang selesa. Ini kerana badan yang
sihat, cergas dan kuat kerana pemakanan yang berzat. Dari sudut
kesihatan mampu menjadikan seseorang itu dapat bekerja rajin dan
gigih. Islam
membenarkan manusia menikmati kesenangan dan itu merupakan tabiat
semulajadi manusia.
Tahsiniat
(barangan mewah,
kehendak tambahan);
Benda yang tidak membantu meningkatkan kecekapan tetapi mungkin
sebaliknya. Ia adalah barangan-perkhidmatan yang menunjukkan gaya,
prestij, perbezaan, kemegahan, kemewahan, kesempurnaan dan kelayakan.
Mereka dikategorikan sebagai golongan kaya dan kelas atasan.
Contohnya ialah baju mahal, barang kemas, kereta mewah, kehidupan
berprestij, perhiasan diri dan rumah mewah. Kos yang dikeluarkan
untuk mendapatkannya adalah melebihi faedah yang boleh diperolehi
darinya. Bahkan pada keadaan tertentu boleh menghalang kecekapan
ekonomi melalui pembaziran guna
tenaga, modal dan bahan mentah. Barangan
mewah boleh terus dikeluarkan tetapi langkah untuk pengagihan semula
kekayaan daripada orang kaya yang sedikit kepada orang miskin yang
ramai perlu dilakukan (kuasa beli) melalui pengeluaran
barangan-perkhidmatan yang diperlukan dan sekaligus ia menyediakan
peluang pekerjaan yang besar. Jika keadaan ini tidak diseimbangkan
dikhuatiri ia boleh mendedahkan ekonomi kepada pengangguran dan
barangan tiada pasaran. Ini kerana penggunaan barangan mewah bukan
suatu pembaziran ekonomi secara menyeluruh kerana wujudnya
permintaan.
Teknik Pengeluaran dan pengilangan menurut Islam.
Untuk lebih memahami penulis sediakan rajah-rajah
dibawah:
Model Pengeluaran Konvensional.
Jika diperhatikan rajah di atas, ternyata pelbagai
falsafah dan kaedah digunakan dalam industri moden untuk mencapai
matlamat keuntungan. Dalam persaingan peniagaan kapitalis, kebebasan
untuk melaksanakan sebarang strategi pengeluaran boleh dilaksanakan
secara pragmatik dan anjal asalkan matlamatnya untuk keuntungan
syarikat.
Model Pengeluaran menurut syariat
Manakala dalam doktrin pengeluaran
menurut syariat, para ulama’ Islam menetapkan konsep Al Falah iaitu
konep kejayaan keuntungan yang lebih abstrak tetapi berkesan. Konsep
Al Falah akan memandang kejayaan sesebuah organisasi bukan sekadar
kejayaan keuntungan tahunan, jumlah jualan atau dalam rangka kecil
pekerja kejayaan membolot bonus besar tahunan, sebaliknya kejayaan
menurut Islam adalah apabila rezeki yang diperolehi syarikat halal
dan berkat. Syarikat kekal maju, pekerja berdisplin, tunduk kepada
Allah, segala keperluan syariat ditunaikan, aurat dijaga, rukun Islam
dibangunkan serta nilai-nilai kemasyarakatan diamalkan. Dalam
pengeluaran secara Islam, segala falsafah atau kaedah pengurusan
bukan Islam selagi tidak bercanggah dengan dalil syara’ ianya boleh
diadaptasi kerana tiada larangan bagi perkara duniawi yang umum.
Dalilnya adalah :
dari Anas bahwa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah
melewati suatu kaum yang sedang mengahwinkan
pohon kurma lalu beliau bersabda: "Sekiranya mereka tidak
melakukannya, kurma itu akan (tetap) baik." Tapi setelah itu,
ternyata kurma tersebut tumbuh dalam keadaan rosak.
Hingga suatu saat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melewati mereka
lagi dan melihat hal itu beliau bertanya: 'Mengapa
dengan pohon kurma kalian? Mereka menjawab; Bukankah anda telah
mengatakan hal ini dan hal itu? Beliau lalu bersabda: 'Kalian lebih
mengetahui urusan dunia kalian.'
(HR Muslim, no. 4358)
Faktor-faktor dalam aktiviti pengeluaran menurut
Islam.
- Buruh : Ia ditakrifkan sebagai perkhidmatan manusia sama ada secara fizikal mahupun mntal. Mereka yang terlibat dalam pengeluaran dan penyelenggaraan proses pengeluaran juga termasuk dalam kumpulan ini. Dalam konteks pengilangan hari ini pengurus pengeluaran (production manager), jurutera pengeluaran (production engineer), para juru pemeriksa kualiti, pihak penyelengaraan serta pihak penyelia dan eksekutif adalah dianggap sektor buruh yang perlu diambil perhatian.
Hadis Rasulullah ada meraka keadaan buruh dan pekerja.
Dari Aisyah, adalah para pekerja yg pada suatu hari mereka hadir
ke masjid dalam keadaan lusuh & kotor sehingga dikatakan kepada
mereka seandainya kalian mandi lebih dahulu. Hammam meriwayatkan dari
Hisyam dari bapanya dari 'Aisyah Radhiyallahu'anha.
[HR. Bukhari No.1929].
- Aset fizikal : Segala peralatan, infrasktruktur, prasarana dan jentara yang digunakan untuk proses pengeluaran komoditi adalah dianggap aset. Aset ini kadangkala mengalami susut nilai seperti jentera kadangkala mengalami kenaikan nilai seperti tanah.
- Modal : Sumber kewangan sama ada wang cair, wang hampir dan aset kewangan.
- Keusahawanan: Ia adalah aktiviti perusahaan yang menggabungkan faktor-faktor pengeluaran yang lain serta mengurus keseluruhan proses pengeluaran daripada awal sehinggalah kepada mengagihkan keuntungan. Sekiranya ia tidak menyumbang modal seperti dalam kontrak Mudharabah, ia tidak terlibat dalam risiko kerugian terhadap modal.
- Taqwa: menurut Dr. Hj Wan Abd Rahman bin Wan Abd. Latif unsur ini adalah pemandu utama KPI pengeluaran menurut Islam. Kilang, industri dan firma perlu memikirkan bagaimana cara untuk menghasilkan staf, eksekutif, jurutera, juruteknik, pengurus dan penyelia yang taqwa kepada Allah. Aktiviti kerohanian dan prasaranan ibadat perlu diambil kira.
Penutup
Seperti
juga model pendidikan dan model pengurusan, model-model ekonomi dan
pengeluaran Islam kelihatannya mengadaptasi konsep yang disusun oleh
pemikir dan ahli sains sosial Barat. Hal ini tidak menjadi suatu
kekurangan dalam Islam. Islam selaku agama yang bersifat
syumuliah(lengkap) dan murunah (anjal) dengan perubahan semasa mampu
menyediakan penganutnya bermuamalah dalam konteks semasa tetapi kekal
dalam rangka syariat. Sebenarnya falsafah pengeluaran daripada
dalil-dalil syara’ terlalu luas dan banyak. Hebatnya Islam adalah
kerana ia membenarkan kita menyusun rangka luas itu dan menyesuaikan
dengan pengurusan kontemporari. Sedangkan konsep Barat tidak mampu
disesuaikan dengan agama-agama lain termasuk agama yang dianuti oleh
si pemikir Barat berkenaan.
Muhammad Nuruddin bin Bashah
017 6291368
4
The Wealth of Nations, Adam Smith,
Digireads.com Publishing, (halaman 264)
6
Ekonomi Islam; Taqwa sebagai faktor pengeluaran,
Dr. Hj Wan Abd Rahman bin Wan Abd.Latif dalam
seminar Fiqh Awlawiyat, Dalam Mendepani Isu Umat Islam.
8
Ekonomi
Islam: Dasar dan Amalan, Surtahman
Kastin Hasan (1995)
9
Nota Pengantar Pengajian Ekonomi Islam, Diploma
Kepimpinan Islam, ILHAM.
No comments:
Post a Comment