Tuesday, September 23, 2014

MEMORANDUM-ISU BOCOR SOALAN UPSR; PELBAGAI ASPEK PERLU DIPERHALUSI



MEMORANDUM
KEPADA
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

ISU BOCOR SOALAN UPSR; PELBAGAI ASPEK PERLU DIPERHALUSI
Oleh
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia
14 September 2014

Latar belakang

Rakyat malaysia menerima kejutan yang cukup banyak pada tahun ini. Bermula isu mister kehilangan pesawat MAS MH 370, disusuli pula tragedi berdarah MH 17 yang ditembak oleh pohak yang hingga kini tidak mengaku bertanggungjawab, kini rakyat Malaysia dikejutkan dengan insiden penundaan peperiksaan UPSR kerana kebocoran kertas berkenaan.

Adalah dianggarkan kerugian akibat kepincangan ini adalah :

Kos percetakan untuk lebih 473,175 calon Upsr di lebih 7,000 pusat peperiksaan

Hampir 45,000 kakitangan Kementerian Pendidikan yang dibayar elaun khas

Insiden ini bermula apabila apabila Pengarah Peperiksaan mengeluarkan arahan pekeliling bertarikh 10 September menyatakan bahawa peperiksaan Sains ditangguh kerana dikesan adanya kebocoran soalan. Hal ini telah menimbulkan keluhan dan rungutan yang cukup hebat. Pada tarikh 10.9.2014 pihak Lembaga Peperiksaan (LP) telah membuat kenyataan media berkaitan Peperiksaan Science 018 (SK), 028 (SJKC), 038 (SJKT) bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang dijadualkan pada 11 September 2014 telah didapati bocor.

Hal itu tidak sekadar itu malah berlanjutan apabila Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia telah menerima laporan bahawa Kertas Peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2 bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang dijadualkan berlangsung pada tarikh 11 September 2014 telah didapati bocor. Lembaga Peperiksaan telah menjalankan siasatan dan mendapati perkara ini adalah benar.

Sehubungan dengan ini, Lembaga Peperiksaan memaklumkan bahawa kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2 bagi UPSR tahun 2014 yang dijadualkan pada 11 September 2014 adalah dibatalkan serta tarikh baharu bagi peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2 adalah pada 30 September 2014 bersekali dengan kertas Science 018, 028 dan 038.

Pada 23 hb September diumumkan pula kertas ujian Mathematics 015/1 (Sekolah Kebangsaan), 025/1 (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina), 035/1 (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) dan Bahasa Tamil 036, 037 yang berlangsung pada 10 Sept dibatalkan setelah disahkan bocor.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata tarikh baharu bagi ujian Mathematics 015/1, 025/1, 035/1 dan Bahasa Tamil 036, 037 adalah pada 9 Okt setelah mengambil kira cuti umum Aidiladha dan aspek logistik (percetakan dan pengedaran).

Ramai yang merintih terutama calon peperiksaan berkenaan sendiri. Ikon pelajar memasukkan kepala ke dalam beg sekolah kelihatan lucu tetapi cukup sinikal dan memalukan pihak yang bertanggungjawab. Tekanan akibat persediaan yang tergendala, persediaan emosi dan spiritual menjadikan peperiksaan ini sebagai peristiwa hitam bagi kanak-kanak yang menduduki UPSR.

Guru antara yang menerima kesan segera dan buruk rentetan perkara ini. Media dan masyarakat akan memalu para guru. Satu demi satu isu guru dimainkan mediasekaligus seolah-olah mencerca profesion perguruan.


Apakah respon daripada isu ini?
  1. KPM akan menubuhkan satu Jawatankuasa Bebas bagi meneliti semula Prosedur Operasi Standard (SOP), pengendalian dan pengurusan peperiksaan awam. Ahli-ahlinya akan terdiri daripada pakar pelbagai bidang antaranya teknologi maklumat, keselamatan, dan logistic. ( Sinar Harian 12 September)
  2. Reaksi spontan Presiden, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan ; cari siapa yang membocorkan kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan kenakan hukuman paling maksimum. (Berita Harian 11 September 2014)

  1. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng - pihaknya sedang mengumpul keterangan dan bekerjasama dengan Lembaga Peperiksaan serta agensi berkaitan bagi mencari dalang terlibat, tiga percakapan dirakamkan dan polis telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes kebocoran kertas subjek Sains dan Bahasa Inggeris sebaik menerima laporan pada 10 September lalu. ( Sinar Harian 13 September )
  2. Rata-rata ibu bapa terkilan dengan insiden kertas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang dilaporkan bocor bagi dua mata pelajaran, Sains dan Bahasa Inggeris dan ia tindakan yang tidak bertanggungjawab malah tidak adil kerana membebankan murid-murid yang baru berusia 12 tahun. ( Sinar Harian 12 September)
  3. Syed Osman Mansur Pengerusi Biro Pemantauan dan Integriti dan Naib-Presiden Perkasa Malaysia - merasa kesal dengan kejadian ini. Sudah banyak kali isu kebocoran soalan peperiksaan seperti ini berlaku di negara kita. akui gejala kebocoran ini berlaku atas banyak kemungkinan; antaranya khianat, kurang telus, tidak bertanggungjawab, faktor upah dan rasuah. Mungkin juga atas sebab terlalu ghairah untuk mengejar prestasi dan kecemerlangan bagi pihak-pihak tertentu. ( Sinar Harian 12 September)
  4. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia mengambil tindakan terhadap individu yang terbabit dengan kes soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 bocor, sekiranya didapati wujud unsur rasuah. ( Sinar Harian 11 September)
  5. Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata kementerian juga perlu mencari pendekatan lebih berkesan. bermula dengan penyediaan soalan seterusnya percetakan diikuti membungkus kertas soalan yang kemudian disimpan di bilik kebal sebelum dikeluarkan untuk dihantar ke pusat peperiksaan.( Sinar Harian 11 September)
  6. Polis mengambil keterangan enam pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan seorang wartawan bagi membantu siasatan berhubung kes kebocoran soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris. (Sinar Harian 13 September)
  7. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pengarah LPM Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu, Dr Wan Ilias Wan Salleh digantung tugas berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan mengenai kebocoran kertas-kertas peperiksaan itu selesai. (Bernama 12 September)

Exam oriented - menangguk di air yang keruh.
Peperiksaan adalah suatu keperluan terutama bagi peringkat tinggi dan sebelum diterima dalam pengajian lebih tinggi.

Peperiksaan juga amat penting untuk penyediaan golongan pekerja profesional yang memerlukan kompetensi (certified/authorized person/operator/inspector) dalam sesuatu bidang tugas. Misalnya penjaga jentera, dandang, mesian tertentu, dan beberapa bidang lainya memerlukan peperiksaan sebagai kayu ukur kemampuan mereka untuk bekerja.

Namun sistem pendidikan yang terlalu memberatkan peperiksaan sehinggakan moto 5 A matlamat kami dan seumpamanya menghasilkan doktrin yangkelihatan kian dahsyat.

Misalnya pendidikan berorientasi peperiksaan ini menghasilkan suasana komersialisasi pendidikan seawal pendidikan awal kanak-kanak.

Pusat tusyen menjadi-jadi dengan janji manis yang pelbagai.
Penjualan soalan ramalan
Kelas tambahan dan kem teknik menjawab peperiksaan menjadi bisnes
Sehinggalah soalan bocor berkemungkin menjadi bisnes kontemporari selepas melihat suasana ingin A yang banyak menjadi-jadi bukan sahaja di kalangan guru yang memiliki KPI tersendiri, malah ibu bapa dan anak-anak yang ingin sama tinggi dan sama rendah dengan rakan-rakan lain.

Tidak mustahil jika kita katakan ada pihak yang menangguk di air yang keruh untuk menjadikan soalan peperiksaan bocor sebagai bisnes mereka.

Falsafah exam oriented seawal 12 tahun mendera emosi pelajar

Negara pernah terkilan dengan insiden S. Subashini, 12, dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sempah Nibong Tebal yang dipercayai membunuh diri hanya kerana menjangkakan untuk mendapat 4 A sebaliknya hanya memperolehi 4 B, 2 C dan 1 D. Semalam, tanpa diduga oleh keluarganya, Subashini dijumpai tergantung pada jeriji tingkap bilik tidurnya dengan sehelai kain selimut.

Hal ini telah menjadi perdebatan hebat pada tahun 2007 sehingga akan ada ura-ura memansuhkan UPSR dan PMR yang sepatutnya sekadar peperiksaan mengui minda sebaliknya diasuh seolah-olah masa depan pelajar musnah jika tidak berjaya mencapai keputusan yang baik.

Bermula dari sindrom mengejar gred A itulah , kami juga berpendirian bahawa isu yang lebih asasi dalam gejala soalan bocor ini adalah berpunca dari orientasi pendidikan yang maseh sangat cenderung untuk memberi penekanan kepada peperiksaan.

Sebagai akibat , paling minima , pelajar dan para guru amat ghairah dengan amalan mencari soalan ramalan dan soalan yang diduga akan keluar ( spot ) bagi memungkinkan pelajar dapat menjawab dengan mudah. Banyak pusat tiusyen melonjak popular bila mampu membekal soalan ramalan yang hampir tepat untuk diberi latihan tubi kepada pelajar menjawab didalam peperiksaan.

Seawal usia 12 tahun, pelajar di Malaysia dibebankan dengan peperiksaan yang seolah-olah penentu hidup mereka. Sedangkan terlalu banyak contohnya pemimpin hebat, tokoh korporat dan ilmuan besar di kampus tidak pun mencapai keputusan baiks emasa peperiksaan darjah 5 dahulu tetapi menjadi hebat dan terfokus semasa di peringkat SPM dan STPM.

Ibubapa dan pelajar sangat ghairah mendapatkan soalan bocor hanya kerana mahu mendapat gred tinggi walaupun dengan cara yang tidak betul , pada hakikatnya adalah menipu diri sendiri.

Fakta-fakta kajian berkaitan isu ini?

  1. Satu kajian di China Profesor Cheng Pingyuan, Universiti Nanjing - gejala bunuh diri kanak-kanak dan remaja, lebih daripada 90 % daripada kes bunuh diri, kerana mereka tidak dapat menanggung tekanan yang berat sistem pendidikan berorientasikan-ujian ini. Menganalisis 79 kes bunuh diri pelajar sekolah rendah dan menengah pada tahun 2013, Cheng mendapati bahawa 92.7 peratus daripada mereka berbuat demikian selepas bertengkar dengan guru-guru mereka atau telah hidup di bawah tekanan berat pengajian. Mengejar skor ujian yang tinggi bukan sahaja membawa tekanan kepada pelajar, tetapi juga kepada guru-guru, menjadikan hubungan antara guru dan pelajar lebih teruk, terutamanya apabila pelajar melakukan dengan baik dalam peperiksaan, yang akhirnya membawa kepada beberapa kes bunuh diri pelajar. ( Shanghaiist.com 2014-05-14)
  2. Berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, dapatan kaji selidik menunjukkan bahawa 14.4 peratus remaja berusia 16 tahun hingga 19 tahun mengalami masalah kesihatan mental berbanding dengan golongan dewasa yang mencatatkan 11.2 peratus kes. Tekanan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh faktor pendidikan kerana menduduki beberapa peperiksaan penting sepanjang usia remaja. Selain itu, remaja juga “terperangkap” dengan harapan ibu bapa yang terlalu tinggi, masalah kurang perhatian keluarga dan tahap keyakinan diri yang menurun. (Dewan Siswa April 2012)
  3. Ketua Majlis Penasihat Saintifik kepada Perdana Menteri India , CN Rao telah menulis surat kepada Perdana Menteri dan menyatakan bahawa sistem pendidikan India dianggap rosak. Rao telah mencadangkan kaedah Amerika mengadakan hanya satu peperiksaan kebangsaan sebelum menyertai mana-mana universiti dan bukannya pelbagai jenis peperiksaan berganda yang tidak masuk akal. Kata beliau lagi India hanya memiliki sistem peperiksaan tetapi bukannya sistem pendidikan kerana anak muda hanya sibuk menumpu peperiksaan bukannya menimba ilmu dan pengalaman. (Times of India)
  4. Tekanan peperiksaan menghancurkan pada remaja Korea Selatan. Berpuluh-puluh remaja membunuh diri setiap tahun - biasanya sekitar masa peperiksaan memasuki kolej tahunan. Dalam satu kes baru-baru ini remaja berusia 16 tahun di bandar barat daya Mokpo menyiram diri petrol serta cuba membakar diri. Beliau meninggalkan nota mengatakan yang dia telah lakukan prestasi peperiksaan yang teruk dalam ujian dan merasakan dirinya telah membiarkan air muka ibu bapanya jatuh. Bilangan bunuh diri sekolah-umur meningkat daripada 100 pada tahun 2003 kepada 202 pada tahun 2009, mengikut statistik Kementerian Pelajaran. Berpuluh-puluh lagi percubaan untuk membunuh diri tetapi terus hidup. ( AFP)


Isu integriti pasca kemerdekaan

Kami tidak menolak insiden ini menampilkan wajah buruk tahap integriti di negara kita. Di saat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia dan masih dalam Bulan Kemerdekaan, kita dihantui dilema dan krisis integriti pasca kemerdekaan.

Tidak cukup dengan korupsi dan penyelewengan alatulis, makmal sains dan melibatkan prasarana pendidikan, dunia pendidikan juga dilihat korup sehingga ke dewan peperiksaan. Hal ini perlu diambil perhatian walaupun dalam hal integriti material, infrastruktur yang dimaktub tanpa jemu dalam laporan Ketua Audit Negara saban tahun ia kelihatan terus diabaikan.

Sabotaj mungkin faktor tetapi bukan faktor utama

Pihak kami melihat jawapan bahawa insiden ini sebagai suatu usaha sabotaj sebagai jawapan ‘escapisme’ daripada pihak Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dengan mengangkat isu sabotaj isu sebenar bagi perkara ini akan tertutup dengan sendirinya kerana sabotaj adaah asbab bersifat tidak tetap, hanya permasalahan semasa yang melibatkan isu politik semasa. Kami berpendapat komentar seperti adalah tidak sihat kerana ia akan mengalih isu besar yang melanda sistem pendidikan negara yang sepatutnya diutamakan. Isu kebocoran soalan peperiksaan yang bukan sekadar peperiksaan UPSR malah banyak lagi peperiksaan di peringkat tinggi, penjawat awam dan sebagainya dikatakan bocor.

Isunya disini adalah pihak KPM digesa meneliti sebab musabab bermulanya gejala membocorkan kertas peperiksaan. Root cause analysis, failure mode and effect analysis adalah antara ‘tools’ yang boleh dgunakan oleh pihak Kementerian untuk meneliti punca sebenar dalam masa yang sama mengekalkan tindakan menyiasat dalang insiden UPSR terkini dan menjatuhkan hukuman setimpal teradap mereka yang terlibat.

Kami menyeru supaya pihak kerajaan , terutama Kementerian Pendidikan , melihat gejala soalan bocor ini dari perpsektif yang lebih luas dalam konteks sistem pendidikan negara keseluruhannya. Pembaikkan yang asasi demi memperbetulkan dan menilai semula sistem pendidikan negara perlu dilakukan jika benar negara mahu dibangunkan mengikut acuan sendiri.




Saturday, September 13, 2014

'Tamrin Khalifah Muda' - kelangsungan legasi MAPIM

Pada hari ini 13 September 2014. ( Sabtu) telah diadakan  'Tamrin Khalifah Muda' yang diajur oleh MAPIM Utara untuk meneruskan kelangsungan dakwah, aktivisme melalui wadah MAPIM.
Tempat: Pejabat Mapim Baitul Ummah , Jln Sg Layar.
Masa: 8.30 pagi hingga 5.00 petang.
Penyertaan dari :
1. SMKA Yan
2. SMK Sg Layar
3. SMK Bandar Sg Petani
4. Maktab Mahmud Alor Setar
5. Maahad Attaufikiah , Bt 17, Padang Lumat
6. Orang perseorangan.
Tenaga penceramah:
1. Ustazah Hajah Rubiyah Haron ( Salimah Kedah)
2. Sdra Nurfitri Amir (Unggas)
3. Sdra Muhammad Nuruddin Bashah ( penulis isu2 Islam terkini)
4. Ustaz Azli ( Kaunselor)





Kertas kerja - KEPERLUAN MENYERTAI NGO ISLAM UNTUK UMMAH

KEPERLUAN MENYERTAI NGO ISLAM UNTUK UMMAH1
Muhammad Nuruddin Bashah2
Aktivis TERAS/MAPIM Utara/GESA
Islah dan dakwah merupakan suatu keperluan asas bagi memacu kemajuan dan kesejahteraan umat Islam. Islah adalah suatu usaha untuk memperbaiki keadaan masyarakat Islam, sama ada dari aspek akidah, akhlak, muamalah, kemasyarakatan, perekonomian dan sebagainya.
Corak kehidupan umat Islam sentiasa berubah seiring perubahan persekitaran dan sosiobudaya. Malahan perubahan dalam sosial masyarakat juga sangat membimbangkan terutamanya golongan remaja yang semakin terjebak ke lembah kemaksiatan dan fenomena keruntuhan akhlak yang semakin bermaharajarela. Justeru itu, dakwah sangat perlu bagi memastikan perubahan yang berlaku bersesuaian dengan ajaran Islam yang memandu manusia ke arah kesejahteraan.

Apa itu NGO Islam3?
  1. NGO Islam merupakan antara organisasi yang ditubuhkan untuk mengislahkan masyarakat ke arah membina kehidupan yang lebih baik berteraskan ajaran Islam yang suci.
  2. Penubuhan badan dakwah tersebut bermatlamat untuk membentuk masyarakat yang sentiasa taat kepada perintah Allah dengan mengadakan seruan dakwah Islamiah kepada masyarakat Islam.
  3. Walaupun badan-badan dakwah telah diwujudkan di seluruh negeri, tetapi masalah sosial dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini semakin membimbangkan.
  4. Mereka sangat memerlukan tarbiah dan didikan agama secara berterusan dan bersistematik.
  5. Sebagai badan dakwah, NGO Islam perlu berperanan dalam mengatur aktiviti dan program secara berkala untuk menjadikan masyarakat memahami dan menghayati ajaran Islam yang suci serta memperbaiki kehidupan mereka ke arah kebaikan.
Mengapa pula NGO bukan badan lain?
  1. Badan kerajaan, Majlis agama tiada sukarelawan, tiada aktivis, semua hanya pekerja bergaji yang bekerja mengikut jam waktu bekerja. Badan kerajaan juga ada ang hanya oleh bertindak mengikut akta tertentu sahaja. Tiada semaat aktivisme dalam berdakwah melalui majlis atau jabatan agama negeri-negeri walaupun badan ini amat diperlukan untuk kelancaran dakwah di Malaysia.
  2. Parti politik, gerakan politik juga banyak menyentuh isu dakwah, islah, aqidah tetapi tidak konsisten setiap masa. Dakwah memerlukan pemusatan tenaga, fikiran dan berterusan. Gerakan politik yang bersimpati dengan dakwah juga banyak dan ini tidak dinafikan membantu menyemarakkan dakwah.
  3. Badan korporat tidak melaksanakan kerja dakwah jika tanpa wang dan laba. Inilah kekangan utama korporat.


Kelebihan berdakwah melalui NGO.
  1. NGO boleh menumpu sesuatu isu secara istiqamah kerana komitmen dakwah yang tinggi tanpa perlu memikir isu laba, politik atau birokrasi.
  2. NGO boleh mengkader sejumlah besar aktivis.
  3. Keahlian yang mudah dengan obligasi tugas yang sebenarnya mudah diagih.
  4. Terdapat NGO yang bermuktamar, mesyauart agong, terdapat NGO yang mudah, ad hoc serta tidak memiliki birokrasi yang teralu menekan.
  5. NGO mampu membina jaringan dakwah dalam pelbagai skop dan bidang:
    1. Pendidikan
    2. Dakwah Gejala Sosial di lapangan
    3. Dakwah pemulihan akhlak.
    4. Dakwah Cetak
    5. Dakwah kaum wanita, ibu tunggal.
    6. Dakwah marhain, mustadhafin.
    7. Remaja
    8. Sukan, rekreasi.
    9. Bantuan ummah antarabangsa.
Antara isu-isu yang perlu diberi fokus oleh NGO
  1. Gejala sosial : rempit, bohsia, ketum, arak murah, rogol, berpeleseran, anak luar nikah.
  2. Isu kebajikan mustadhafin.
  3. Isu Kebajikan umat islam tertindas luar negara.
  4. Isu korupsi agensi kerajaan, kerajaan negeri, pusat, negara.
  5. Isu ekonomi rakyat, jumlah pendapatan isi rumah umat Islam, muflis diusia muda, beban 70% bayar hutang dari gaji umat Islam.
  6. Perlaksanaan syariah yang tidak bersungguh.
  7. Isu hedonisme melampau.
  8. Isu kepenggunaan, tertipu, kapitalisme.
  9. Isu jenayah
  10. Alam sekitar.
Program -program untuk kemantapan NGO Islam.
Takrif:
  • NGO perlu kerap memperomosi badannya untuk menjadi wadah dakwah dan kebajikan.
  • Luaskan keahlian dan partisipasi.
  • Mesra maklumat, info NGO mudah diakses secara talian dan sebagainya.

Takwin :
  • NGO yang aktif walaupun setinggi mana sekali pun perlu memikir isu pembinaan, penambahan skill, bakat dan kompetensi petugasnya.
  • Adakan siri latihan, tamrin, rehlah.
  • Adakan bengkel teori, tingkatkan pengetahuan petugas tentang isu.
  • Naiktaraf petugas dalam hal fardhu ain, imu agama, asas islam yang kukuh.
  • Pastikan NGO ada pelapis muda yang diikat dengan usrah dll.

Tanfiz:
  • Adakan latihan amal, ceramah, tazkirah.
  • Gilirkan tugas secara adil dan menyeluruh.
  • Usahakan agar NGO bijak dalam mainan politik semasa.
  • Pastiakn aktiviti NGO diarus perdanakana melalui maklumat talian, media sosial dan sebagainya.
  • Pastikan amal dan aktoviti NGO ada susulan, KPI tersendiri, dipostmortem selepas aktiviti.
Lampiran:
RESOLUSI KONGRES NGO ISLAM 2014
28 REJAB 1435H / 28 MEI 2014
DEWAN DECTAR, UKM BANGI SELANGOR.
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH, MAHA PENYAYANG
SELAWAT DAN SALAM KE ATAS RASUL JUNJUNGAN BESERTA KELUARGA DAN SAHABAT BAGINDA YANG TERBILANG
KAMI, PARA PESERTA KONGRES NGO-NGO ISLAM MALAYSIA 2014, YANG TELAH BERMUSYAWARAH ATAS TEMA CABARAN-CABARAN SEMASA UMAT ISLAM DENGAN MENUMPUKAN KEPADA ASPEK-ASPEK POLITIK, EKONOMI, HAK ASASI MANUSIA DAN PENDIDIKAN, TELAH BERSEPAKAT UNTUK MENGEMUKAKAN RESOLUSI-RESOLUSI BERIKUT DEMI MEMETAKAN TINDAKAN PERANCANGAN DASAR DAN PERLAKSANAAN PROGRAM, DI PERINGKAT PENTABIRAN, DUNIA KORPORAT DAN MASYARAKAT DEMI KEDAULATAN DAN MARUAH PERADABAN NEGARA.
SESUDAH MENIMBANG PELBAGAI PANDANGAN DARIPADA PANEL JEMPUTAN DAN PESERTA, KONGRES MENGGARISKAN RESOLUSI-RESOLUSI BERIKUT:


  1. MENGGESA AGAR KUASA KERAJAAN YANG DIDASARI OLEH PERLEMBAGAAN DIGUNAKAN SEBAIK MUNGKIN SEBAGAI PENYANGGA KEPADA KEUTUHAN AGAMA. SELARI DENGAN SERUAN HUJJATUL ISLAM IMAM AL-GHAZALI BAHAWA ISLAM DAN KERAJAAN ITU ADALAH KEMBAR YANG TIADA TERPISAH (AL-DIN WA’L-MULK TAW’AMANI) - AGAMA SEBAGAI ASAS (USSUN), KERAJAAN SEBAGAI PENJAGANYA (HARIS). SESUATU TANPA ASAS AKAN RUNTUH, DAN SESUATU YANG TIADA PENJAGA, AKAN HILANG.


  1. MENUNTUT UMAT ISLAM DI NEGARA INI SUPAYA BERSATU HATI DAN SUARA, TANPA MENGIRA PERBEZAAN FAHAMAN POLITIK ATAU KUMPULAN DALAM MENDEPANI DAN MEMPERTAHANKAN KEUTUHAN DAN SURVIVAL AGAMA ISLAM, UMAT MELAYU ISLAM DAN INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU. SELARI DENGAN ITU, KAMI INGIN MENEGASKAN KEPADA SEMUA PIMPINAN POLITIK DAN BADAN-BADAN ISLAM, PERI PENTINGNYA MEMPERKASAKAN SEMULA ILTIZAM SIYASI ISLAM DAN UMAT ISLAM (ISLAMIC AND UMMATIC POLITICAL WILL) MENERUSI PEMUAFAKATAN SUARA-SUARA UTAMA POLITIK UMAT ISLAM. KALAUPUN TIDAK SAMPAI BERSATU DALAM SATU GABUNGAN, SUARA-SUARA UTAMA POLITIK UMAT WAJIB TAMPIL SENADA DAN SEPAKAT DALAM HAL-HAL YANG MELIBATKAN ISU-ISU DAN KEPENTINGAN-KEPENTINGAN ASASI AGAMA DAN UMAT ISLAM.


3. MENGAJAK SEMUA NGO-NGO ISLAM UNTUK MEMIKUL DAN MEMPERJUANGKAN AGENDA PEMBASMIAN SINDROM BUTA HURUF ILMU EKONOMI DAN PENGUASAAN KEMAHIRAN PERNIAGAAN DI PERINGKAT AKAR UMBI SELARAS DENGAN TUNTUTAN MAQASID SHARIAH “HIFZ AL-MAL” (MENJANA, MEMULIHARA DAN MEMELIHARA HARTA DAN ASET UMAT ISLAM). TANPA KEMANDIRIAN EKONOMI KITA TETAP TERDEDAH KEPADA PENJAJAHAN DAN MANIPULASI PIHAK LAIN.


4. MENDESAK KERAJAAN AGAR MENTRANSFOMASIKAN SYARIKAT-SYARIKAT BERKAITAN KERAJAAN (GLCS) YANG STRATEGIK MENJADI WAQF KORPORAT DI PERINGKAT KEBANGSAAN DAN NEGERI SEPERTI YANG DIJELASKAN DALAM PELAN WAQF INDUK NEGARA YANG TELAH DI UMUMKAN OLEH PERDANA MENTERI DEMI MELAHIRKAN GENERASI USAHAWAN DAN PENGUSAHA MUSLIM YANG MAMPU MENERAJUI PERNIAGAAN DAN ORGANISASI KORPORAT DI PERINGKAT TERTINGGI.


5. MENYERU SEMUA PIHAK AGAR BERTEGAS DAN KONSISTEN DALAM MEMPERTAHANKAN KEDAULATAN ISLAM SEBAGAI AGAMA NEGARA, SEJAJAR DENGAN PERKARA 3(1), PERKARA 37(1) DAN YANG SEUMPAMANYA, SEPERTI TERMAKTUB DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN. KAMI MENYERU PARA PEMIMPIN NEGARA AGAR SENTIASA TEGAS DALAM MENOLAK TUNTUTAN-TUNTUTAN HAK ASASI MANUSIA YANG BERTENTANGAN DENGAN PRINSIP-PRINSIP ASAS NEGARA KITA DAN PERADABAN BANGSA. KONGRES JUGA MEMUTUSKAN UNTUK MEMBERI SOKONGAN PADU KEPADA PENUBUHAN PUSAT PENYELIDIKAN DAN HAK ASASI MANUSIA (CENTRE FOR HUMAN RIGHTS RESEARCH & ADVOCACY – CENTHRA) SEBAGAI MANIFESTASI PEMUAFAKATAN NGO ISLAM DALAM MENANGANI ISU-ISU HAK ASASI MANUSIA SECARA LEBIH BERKESAN.


6. MENGGESA KERAJAAN AGAR MEMBERIKAN TUMPUAN PENUH DAN SOKONGAN YANG TIADA BERBELAH BAHAGI KEPADA USAHA PEMERKASAAN KESELURUHAN JARINGAN (VALUE CHAIN) INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM DI SEMUA PERINGKAT–DARI SEKOLAH SAMPAILAH KE UNIVERSITI – DALAM USAHA MENJUNJUNG FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM IAITU TA’DIB YANG DAPAT MEMASTIKAN KESEPADUAN LAPANGAN ILMU FARD AYN DAN ILMU FARD KIFAYAH SEBAGAI SATU USAHAMELAHIRKAN INSAN DAN WARGANEGARA BERADAB YANG MAMPU MENDEPANI CABARAN MASA KINI DAN AKAN DATANG.


7. MENYERU AGAR RESOLUSI KONGRES INI DIDUKUNG DAN DIHAYATI OLEH SELURUH UMAT ISLAM AMNYA DAN INSTITUSI PENTADBIRAN UMAT ISLAM KHASNYA SERTA SEMUA PIHAK YANG MELETAKKAN KEPENTINGAN AGAMA, BANGSA DAN TANAH AIR MENGATASI KEPENTINGAN DIRI DAN KELOMPOK.


AKHIRNYA, KAMI BERDOA KEPADA ALLAH SWT AGAR USAHA PENGISLAHAN DAN TAJDID YANG DISYORKAN OLEH KONGRES NGO-NGO ISLAM 2014 INI DAPAT MENZAHIRKAN HAKIKAT PEMBANGUNAN INSAN ADABI DAN NEGARAISLAMI YANG DITUNTUT DALAM ISLAM, AGAR NEGARA MALAYSIA YANG MAJMUK DAN MUHIBBAH INI DAPAT DITADBIR DENGAN BIJAKSANA DAN SAKSAMA LALU MEMBUAHKAN RAHMAH DAN BARAKAH BAGI SEMUA RAKYAT DAN PENDUDUKNYA, DENGAN IZIN ALLAH SWT. AMIN YA RABBAL ‘ALAMIN.


KONGRES NGO-NGO ISLAM 2014,
DEWAN DECTAR , UKM BANGI SELANGOR,
28 REJAB 1435H / 28 MEI 2014


1 Untuk program pembinaan aktivis anjuran Salimah-MAPIM di Baitul Ummah Sungai Layar 13 September 2014.


2 Penulis adalah jurutera yang kini sedang mendalami pengajian Islam serta terlibat dalam aktiviti dakwah dan aktivis NGO Islam. Penulis boleh dihubungi melalui : jihadin82@yahoo.com, 017-6291368, FB (nama penuh), blog : MUDA TERAS, Laman Munawwarah II, Landskap Siasah.



3 Pertubuhan bukan kerajaan (bahasa Inggeris: non-government organisation atau NGO) merupakan pertubuhan yang ditubuhkan oleh pihak atau pertubuhan swasta yang tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan mana-mana kerajaan. Ada NGO yang dibiaya oleh kerajaan tertentu, namun keahlian pertubuhan sebegini tidak terbuka kepada mana-mana pihak kerajaan.

Kerteas kerja - PERLUNYA REMAJA MENYERTAI ORGANISASI ISLAM

PERLUNYA REMAJA MENYERTAI ORGANISASI ISLAM1
Muhammad Nuruddin Bashah2
Aktivis TERAS/MAPIM Utara/GESA

Muqaddimah :
Keperluan para remaja menyertai organisasi Islam atau istilah lain adaah Jamaah Islam, Harakah islam, Gerakan Islam, NGO Islam, Tanzim Islam adalah untuk menyediakan diri beramal secara kolektif, progresif, berhadaf (berobjektif), berkesan, mudah dan sah dari aspek syari’e.

Para remaja Islam akan menjadi belia (syabab) suatu ketika nanti dan mereka akan menjadi fardul Muslim yang bekerja untuk Islam.

Kertas ini adalah pengenalan paling asas untuk remaja mengenali marhalah Ta’rif (pengenalan) dalam Gerakan Islam.

Kenali Istilah:
Remaja - istilah syab dan fata - umur lingkungan 13 tahun hingga awal 20an.

Dalil kenali fatayat dan Shabab dalam Islam
Dalil 1:

“Sesungguhnya mereka adalah para pemuda yang beriman kepada Rabb-Nya dan kami tambahkan petunjuk kepada mereka….” (QS. Al-Kahfi:13).

Dalil 2: Rasulullah saw ketika diangkat menjadi Rasul berumur empat puluh tahun.

Dalil 3: Pemuda dan remaja yang ramai menerima seruan awal Rasulullah.
Ali bin Abi Thalib (8) Zubair bin Awwam (8), Thalhah bin Ubaidillah (11), al Arqam bin Abi al Arqam (12), Abdullah bin Mas’ud (14) yang kelak menjadi salah seorang ahli tafsir terkemuka, Saad bin Abi Waqqash (17) yang kelak menjadi panglima perang yang menundukkan Parsi, Jaafar bin Abi Thalib (18), Zaid bin Haritsah (20), Utsman bin Affan (20), Mush’ab bin Umair (24), Umar bin Khatab (26), Abu Ubaidah Ibnul Jarah (27), Bilal bin Rabbah (30), Abu Salamah (30), Abu Bakar Ash Shidiq (37), Hamzah bin Abdul Muthalib (42), Ubaidah bin al Harits, yang paling tua diantara semua sahabat yang berusia 50 tahun.

Dalil 4: Rasulullah saw. ada bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Ya’la:


“Allah SWT amat takjub melihat pemuda yang tidak melakukan perbuatan ganjil dan menyeleweng.”

Dalil 5: Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dari Abu Hurairah:


“7 golongan manusia yang akan dilindungi Allah SWT di bawah naungannya pada satu hari yang tidak ada satu perlindungan pun melainkan naungan Allah SWT. Pemimpin yang adil, pemuda yang dibesarkan dalam suasana beribadah kepada Allah SWT., lelaki yang hatinya terikat dengan masjid .....”

Kenapa perlu sertai Organisasi Islam?

  1. Organisasi Islam ada hadaf (sasaran) dan ghayah (matlamat) terhadap perjuangan dakwah, islah, siasah dan tarbiah untuk Islam.
  2. Remaja perlukan murabbi (pendidik), idol, ikon, naqib (fasilitator), guru untuk berdakwah atas jalan Islam. Organisasi Islam akan menyediakan semua ini.
  3. Organisasi Islam dapat mendidik ahli untuk meningkatkan kualiti pembentukan individu Muslim selari dengan syariat Islam. -Hidup dengan lebih sistematik dan teratur kerana orang yang melibatkan diri dengan persatuan akan lebih bijak membahagikan masa -Meninggalkan perkara lagho dan tidak berfaedah (cth: menonton movie, borak kosong,mengikut hawa nafsu, berlebih-lebihan dalam tidur,makan, dll) -Firman Allah SWT: “Demi masa.sunguh, manusia berada dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran”. (Surah Al-Asr : 1-3)
  4. Ust Fathi Yakan dalam buku karangan beliau bertajuk “Apa Ertinya Saya Menganut Islam” menyatakan bahawa: Apabila saya mengaku sebagai seorang muslim, maka saya wajib bekerja untuk Islam. Saya patut bekerja dalam satu jemaah, bekerjasama dengan pendakwah lain yang menyeru kepada Allah dan menyuruh kepada kebaikan serta mencegah keburukan. Saya harus bekerja keras untuk mewujudkan individu muslim, rumah tangga muslim, masyarakat muslim dan negara yang benar-benar Islam.
  5. Organisasi hasilkan undividu yang mengambil berat urusan saudaranya. -Sabda Nabi SAW:“Barangsiapa yang bangun (pada waktu) pagi dan tidak mengambil berat urusan umat Islam, dia bukanlah dari golongan mereka” Firman Allah SWT:“dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.Bertaqwalah kepada Allah,sungguh, Allah sangat berat siksaNya.” (Surah Al-Maidah : 2)
  6. Dr Yusuf Al-Qardhawi juga meletakkan kewajipan untuk bersatu di atas Islam menjadi salah satu tanggungjawab yang wajib dilaksanakan oleh remaja Muslim.Dalam kitabnya bertajuk “Kewajipan Remaja Muslim pada Hari Ini”, Dr Yusuf Al-Qardhawi menyatakan bahawa, Sesungguhnya remaja-remaja yang cuba membawa diri mereka untuk memahami Islam dengan kefahaman yang betul, beriman dengan Islam yang mendalam, dan saling memberi wasiat antara satu sama lain dan mengajak orang kepada Islam,mestilah saling tolong menolong antara satu sama lain dan mengikat hubungan ukhwah antara mereka.
  7. Menyingkirkan sikap individualistik dalam semua hal. -Menghakis sikap mementingkan diri sendiri. Dalam sesuatu perkara kita terpaksa mengorbankan kepentingan diri kita sendiri demi kemaslahatan umum. Ini merupakan salah satu bentuk pentarbiahan yang mendidik setiap individu muslim agar menjiwai erti pengorbanan demi sahabat, persatuan, dan Islam.Jika kita halusi perkara ini, ianya dapat diklasifikasikan sebagai konsep ukhwah pada tahap yang tertinggi ( Ithar ).


Ciri Remaja yang layak bersama organisasi Islam:
1. Menjauhi segala bentuk syirik dalam hidup dan mentauhidkanNya dalam setiap amalan.

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar". (Luqman 31:13)

  1. Berhati-hati dalam setiap perbuatan luaran (mulut dan anggota badan) dan dalaman (hati) agar tidak melanggar Syariat kerana meyakini yang setiap perbuatan akan dinilai dan dibalas Allah SWT yang Maha Mengetahui.


(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi. (Luqman 31:16)

3 .Istiqamah dalam menunaikan solat, bertanggungjawab melakukan kerja dakwah dan sabar dalam setiap dugaan dan cabaran yang menimpanya.



"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. (Luqman 31:17)

4.      Tawadhu’ dalam perbuatan dan percakapan.



"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. (Luqman 31:18)

Persediaan Remaja/Pemuda Islam (Menurut Dr Fathi Yakan)

1. Persediaan dari segi pemikiran.
Membentuk Pemuda yang mempunyai aqliyah Islamiyah (berfikir secara Islam).
Asas Saqafah (pengetahuan) iaitu pengetahuan Islam dan pengetahuan umum. Pengetahuan Islam perlu dipelajari dari al-Quran dan tafsirnya, as-Sunnah dan ulumnya, as-Sirah an-Nabawiyah, kehidupan para sahabat, fiqh dan usul fiqh, ilmu Aqidah, ilmu Tazkiyah dan sistem-sistem Islam.

2. Persediaan dari segi kejiwaan.
Pembentukan kejiwaan secara Islam bagi Pemuda Islam ialah kejiwaan yang menggunakan naluri dan kecenderungan mengikut hokum syara’.

3. Persediaan dari segi haraki (pergerakan).
Melatih mereka agar mentaati dan beribadat kepada Allah s. w.t iaitu solat berjemaah, puasa bersama, haji bersama, hadiri majlis-majlis ilmu, zikir, ikuti sunah dan perkukuhkan hubungan dengan kitab Allah dari segi bacaan, hafalan dan tafsiran.

Melatih mereka dalam soal tanzim (organisasi) termasuk perencanaan, pentadbiran, kepimpinan dan segala tanggungjawab (masuliah).

4. Melatih mereka menanggung kesusahan, menemui kepayahan dan menghadapi bahaya untuk memperkuatkan kecekalan mereka, kesabaran dan mengkentalkan kemahuan mereka.

Contoh Remaja/Pemuda luar negara yang berjuang untuk matlamat tertentu:

  1. Jose Rizal menentang penjajah di Filipina sehingga membawa kepada pembunuhan beliau secara tragis.
  2. Sheikh Muhamad Abduh mengembangkan idea-idea Pan Islamisme dengan dilatari oleh Universiti al-Azhar sehingga beliau dipecat dari universiti Islam paling berprestij itu akibat kekuatan idea Pan Islamisme yang mengancam hegemoni Barat yang sedang menguasai Mesir Barat.
3. Hassan al-Banna (1906-1949) juga adalah seorang anak muda ketika menubuhkan Ikhwanul Muslimin di Ismailiah, Mesir pada tahun 1928 sehingga gerakan ini menjadi sangat fenomenal pada abad ke-20.
4. Di negara China, tokoh-tokoh kampus seperti Mao Tze Tung, Li Ta Chao, Chen Tu Shiu adalah penggerak kepada Peristiwa 4 Mei 1919 yang akhirnya berjaya meledakkan kebangkitan Komunisme sehingga tertegaknya Republik Rakyat Komunis pada tahun 1949 di China.
5. Komunisme yang menafikan fitrah akhirnya memunculkan wajah-wajah hodoh, anak-anak kampus juga bangkit menolak kekejaman komunis dengan kemuncaknya berlaku tragedi berdarah Tianmen 1990.
6. Sejarah juga telah mencatatkan Revolusi Bolshevik 1917 di Rusia telah digerakkan oleh anak-anak muda kampus yang telah diindoktrinkan dengan fahaman komunisme, Tzar Nicholas dan kelas Borgouis akhirnya menggelongsor dari sangkar merak kayangannya.
7. Raden Anjeng Kartini dengan gerakan sosialnya sangat muda ketika meninggal dunia.
8. Omar Said Chokroaminoto anak muda intelektual yang mengasaskan Sarekat Islam yang dianggotai oleh ribuan anak-anak muda, sebuah gerakan tersohor di Indonesia.
  1. Soekarno adalah pemimpin mahasiswa dinamis yan dikeluarkan dari Kolej Teknologi Bandung. Pidatonya yang memukau telah membangkitkan semangat anak-anak muda untuk berjuang dan berkorban di bawah panji 'sang saka merah putih'.
  2. Dr. Natsir antara anak kampus yang paling menonjol dalam perjuangan aliran Islam, bahkan nama cendekiawan Islam ini setaraf tokoh-tokoh pentas antarabangsa. Dr. Natsir pernah memimpin perang Revolusi 1945 sehingga membawa kepada kemerdekaan Indonesia. Beliau juga berperanan membangkitkan peranan angkatan muda dalam Majlis Syura Muslimin (MASHYUMI).
  1. Pada tahun 1965 ketika Soekarno digulingkan oleh Jeneral Suharto, anak muda kampuslah yang menggerakkan kesedaran politik rakyat sehingga kebobrokan pemerintahan regim Suharto berjaya digulingkan.


1 Untuk program pembinaan remaja anjuran Salimah-MAPIM di Baitul Ummah Sungai Layar 13 September 2014.

2 Penulis adalah jurutera yang kini sedang mendalami pengajian Islam serta terlibat dalam aktiviti dakwah dan aktivis NGO Islam. Penulis boleh dihubungi melalui : jihadin82@yahoo.com, 017-6291368, FB (nama penuh), blog : MUDA TERAS, Laman Munawwarah II, Landskap Siasah.

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

PROJEK CELIK anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Taja Mereka anjuran Kindness Malaysia

Rujuk Laman ini untuk membaca tulisan penindasan terhadap umat (seliaan MUDA-Teras)