MEMURNIKAN
POLITIK BANGSA , MEMBANGUN NEGARA BERWIBAWA
Ucapan
Bertindak PPMK TERAS Kali ke 16
Mohd
Azmi Abdul Hamid
Bagi
manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di
muka
dan di
belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya
Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah
keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah
menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum,Maka tak ada yang dapat
menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia
.
(
AR-Ra'adu:11)
Sesungguhnya Allah
amat menyukai orang –orang yang berjuang di jalannya dalam barisan
yang teratur umpama bangunan yang tersusun:kukuh
(Ash-Shaff:4)
Sesungguhnya (agama
Tauhid) Ini adalah agama kamu semua; agama yang satudan Aku adalah
Tuhanmu, Maka sembahlah Aku.
( Al-Anbiyaa’: 92)
"Dan
berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan
janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu
ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah
menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan
nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu
orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di
tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu
Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga).
Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya,
supaya kamu mwengetahui
."
(
Al
Imran 103 )
Kami
mengalu-alukan kehadhiran saudara-saudari dan para Teman dalam Milad
PPMK kali ke 16 TERAS . Pertemuan yang punya bobotnya tersendiri
sejak kelahirannya 16 tahun yang lalu terus memikul amanah bangsa dan
umat yang besar dan berat. Kami memutuskan agar 1 Muharam setiap
tahun menjadi tarikh keramat untuk mengingatkan agenda besar Teras .
Iaitu membawa risalah nubuwwah selaras tanggungjawab iqamatuddin demi
mencapai hadaf usuliyatnya mengabdi kepada Illahy , membangun bangsa
dan watani , berkhidmat kepada insani.
Terlalu
banyak yang telah kita lalui , maseh banyak yang perlu kita
laksanakan. Kemelut umat dan bangsa ternyata muncul bertali arus.
Namun kami tidak pernah alpa memberi fokus kepada persoalan usul
yakni mengembalikan bangsa kepada Islam seutuhnya. Sesungguhnya
inilah persoalan pokok. Berulangkali dipertegaskan , berkali-kali
dihujahkan. Bangsa akan hanya selamat dengan Islam. Menjarak diri
dari Islam mengundang zillah , mengabung diri dengan Islam menjamin
Izzah.
Namun
tema kali ini menarik kami untuk mengenengahkan persoalan siyasah
bangsa. Lantaran hiruk pikuk siyasi telah mendedahkan umat dan bangsa
kepada kelunturan rukun keutuhan umat paling utama iaitu wehdatul
ummah . Rasa khuatir dan cemas kami dan mungkin sebahgian besar
idealis Islam sangat berasas. Perbezaan yang melahirkan kesangsian ,
seterusnya melarat kepada persengketaan , kemudian menajamkan
permusuhan. Lebih parah ialah tatkala semua faham bahawa siyasah umat
hanya punya satu matlamat iaitu menegakkan agama dan menguruskan
dunia , akan tetapi perbedaan ideologi siyasah telah
memporak-perandakan keutuhan umat sehingga berberontakkan sesama
sendiri.
Semakin
terserlah nampaknya . Budaya berpolitik yang bersemangatkan roh Islam
yang berteraskan Al Quran dan Al-Sunnah , tidak dihayati dengan
sebenarnya untuk memperjuangkan kedudukan Islam dan memperbaiki
keadaan umat Islam di negara ini , dikalangan aktivis politik .
Amat
merunsingkan umat sudah semakin tidak yakin dengan perjuangan
sebahagian besar ahli politik yang hanya mementingkan kedudukan dan
kuasa lebih dari menjaga dan mengurus kebajikan rakyat. Saling
bersaing dalam wadah siyasah nyaris melencongkan perhatian kepada
matlamat asal wadah siyasah yang diceburi . Runding dan tawar menawar
kuasa dan jual beli undi dalam pasaran bebas politik demokrasi
bagaikan sebuah perdagangan politik tanpa batas. Percaturan politik
berubah menjadi medan memeta " political career " dalam "
political game " untuk menentukan " political future "
.
Menambah
parah lagi Umat Islam tidak mempunyai kefahaman yang mendalam
mengenai kriteria memilih pemimpin dengan betul mengikut panduan
Islam. Akibatnya rakyat hanya menjadi mangsa sebagai alat kepada
calon para ahli politikus yang bernafsu dan manipulatif. Puncanya
pendidikan dan kesedaran politik maseh sangat dangkal dikalangan
massa masyarakat Islam . Maudhu politik sebagai bagian spektrum
kehidupan masyarakat bernegara hilang tempat dalam keilmuan umat
lantaran ideologi politik kepartaian mendominasi perbahasan lebih
dari inti politik murni.
Natijahnya
sangat merisaukan. Perpecahan politik yang tidak sihat antara parti
dan di dalam parti politik dikalangan umat Islam semakin menonjolkan
persengketaan yang merugikan umat Islam. Tumpuan tenaga dan sumber
teralih kepada persaingan yang sukar dikonsolidasikan. Perbedaan
bukan lagi dilihat sebagai pengkayaan akan tetapi sebagai pengukuhan
antara puak yang semakin menjurang. Khilaf sesama umat bukan lagi
dipayungi rahmat namun bermutasi menjadi musibah yang melesukan .
Khilaf
politik kepartaian mewabak bila diskriminasi , penyelewengan dan
muslihat kotor berleleuasa. Amalan politik yang menajamkan
perseteruan dikalangan ahli politik yang berkuasa telah menjejaskan
usaha untuk menyatukan umat Islam. Akibatnya usha memperkukuhkan
kedudukan Islam terbantut. Perhitungan yang menjadi perkiraan paling
utama ialah mengejar kerusi lalu mengadaikan prinsip. Persaingan
untuk merebut jawatan mendahului agenda untuk membangun politik
perdamaian. Budaya fitnah politik menganas dalam arena perang politik
untuk menjatuhkan lawan dan mengenepikan pesaing.
Dalam
beberapa tahun ini suhu politik umat diperingkat nasional dan
antarabangsa meledak bagaikan tidak ada penyudah. Setiap kali ada
kemajuan dalam da'wah untuk meneroka melebarkan mesej Islam , ia
sering terbantut bila ada keghairahan untuk bersaing dalam gelangang
politik kepartaian. Isu yang jelas tidak sepatutnya menimbulkan
khilaf , akan tetapi menjadi rumit bila politik kepartaian mula
mewarnai perbahasan.
Politik
machiaveli dihalalkan demi memastikan pengukuhan kedudukan kuasa
terjamin. Dengan sebab itulah politik umat menjadi arena sangat tidak
beradab bila segala kaedah diabsahkan. Mengaibkan lawan , membogelkan
seteru , menfitnah pesaing , menyerang peribadi musuh menjadikan
politik suatu medan " free for all " .
Demikian
parahnya berpolitik dewasa ini. Harapan umat agar kuasa politik bukan
lagi medan yang bersifat jual beli undi dan perebutan jawatan kini
semakin luntur. Kepentingan Islam dipinggirkan akibat terlalu ghairah
untuk memegang kedudukan dan kuasa politik. Kepimpinan politik umat
Islam tidak meletakkan agenda memartabatkan Islam sebagai agenda
utama dalam proses pembangunan negara. Pendidikan yang diterapkan
kononnya untuk mendidik patriotisme kini telah menjadi indokrinasi
politik yang tidak sihat dan mendedahkan keburukan umat Melayu-Islam
dihadapan orang bukan Islam .
Keadaan umat yang belum di islahkan.
Dengan pelbagai babak
perjuangan kemerdekaan yang dirintis oleh pejuang kemerdekaan dari
kalangan ulama’ , pencinta Islam dan kelompok nasionalis , sejarah
telah merakam segala babak-babak perjuangan yang kekal abadi untuk
dinilai oleh generasi mendatang. Sejak jeritan kemerdekaan
dikumandangkan kita belum sempat melaksanakan sebuah Muhasabah
Nasional mengenai apakah kedudukan umat Islam dan Islam itu sendiri
di tanah air yang tercinta ini. Sejauhmanakah martabat Islam dan
status umat telah dapat ditegakkan dan didaulatkan? Apakah yang telah
terkorban dan apakah yang telah umat capai sepanjang usia 50 tahun
ini.? Apakah dapatan kita dan apakah yang tergadai? Sejauhmanakah
pengisian kemerdekaan negara telah semakin mendekatkan kita kepada
penghayatan dan perlaksanaan Islam selengkapnya ataukah disebaliknya
kita sedang menyaksikan penghakisan ciri dan asas Islam itu sendiri.?
Secara menyeluruh disaat ini
kita sedang menyaksikan pelbagai krisis umat Islam yang sedang
melanda masyarakat. Dahulunya umat pernah merasai kekuatan sebuah
tamadun Islam yang pernah unggul dan gemilang dirantau ini , kini
kita sedang dilanda awan mendung ketika de-Islamisasi sedang
berlangsung lewat asakan faham liberal dan pluralisme agama yang
diasak melalui faham sekular yang semakin menajam.
Kemalapan umat Islam sangat
terasa dalam hampir pelbagai aspek. Kelemahan ekonomi, perpecahan
politik, kelunturan daya intelektual dan kekacauan akhlaq sudah
menjadi wajah umat yang sangat meruncing. Jika dianalisis keadaan
umat masa kini , akan terdedah pelbagai punca yang mengakibatkan umat
Islam berada dalam keadaan yang amat lemah.
Punca kepada kelemahan
ekonomi dan pembangunan manusia dikalangan umat Islam ialah ketiadaan
kepimpinan negara yang benar-benar berasaskan ajaran Islam. Ruang
yang ada untuk masyarakat sivil dikalangan umat Islam berkembang
masih sangat terbatas disebabkan kecurigaan dari pihak berwewenang
yang berprasangka setiap kali berlaku percanggahan pendapat dengan
pihak pemerintah.
Sayangnya pilihanraya
sebagai saluran umat menuntut Islam dijadikan asas pemerintahan gagal
dimanfaatkan sehingga pilihanraya hanya tinggal amalan ritual untuk
mengabsahkan kuasa pemimpin autoritarian. Pihak yang berbeda pendapat
dengan pemerintah dipaksa menghadapi pelbagai tekanan. Budaya takut
dan patuh kepada pihak berkuasa telah ditanam melalui undang-undang
yang menekan, pendidikan yang tidak mendidik pemikiran kritikal dan
media massa yang terus diguna untuk mengekalkan kuasa elit
pemerintah.
Golongan elit pemerintah
kini lebih mementingkan pengekalan kedudukan dan kuasa dari
menumpukan kepada menjaga kebajikan umat sehingga umat Islam terpaksa
tunduk kepada kehendak pemimpin tanpa soal.
Terdapat jurang yang luas
dalam hal pemilikan kekayaan dan akses kepada sumber dan peluang.
Rasuah dan salahguna kuasa maseh berleluasa yang memberi kesan
kepada seluruh perkhidmatan awam. Perbendaharaan dan kekayaan
nasional ada yang diselewengkan melalui pelbagai projek mega yang
membazir atau dengan menyalurkan wang kepada sanak saudara,
keluarga dan kroni dikalangan golongan elit pemerintah.
Semak Realiti
Secara keseluruhannya status
Islam dan kondisi Umat Islam dewasa ini sedang berhadapan dengan
realiti berikut:
1 Penyebaran
faham SEKULARISME, LIBERALISME dan PLURALISME yang bercanggah dengan
Islam.
2. Gerakan Islam sedang
dicurigai dan dijadi sebagai sasaran (Targeting Islam) atas nama
memerangi ‘Terrorisme’.
3. Syariah Islam di pinggir
dan di cabar dalam perundangan negara.
4. Institusi-institusi Islam
di cabar dan kewibawaannya dipersoal.
5. Kedudukan Islam dalam
perlembagaan dipersoal dan dipersempitkan.
6. Pengurusan sumber
manusia dan asset umat tidak efesien dan semakin menghakis penguasaan
ekonomi masyarakat Islam.
7. Kepincangan dan
penyelewengan dalam pengurusan ekonomi umat melibatkan amalan
korupsi, kronisme dan nepotisme.
8. Ekonomi Umat dalam
pelbagai sektor masih keterbelakang dan bergantung kepada pihak luar
Islam.
9. Pembinaan
kemahiran dalam keusahawanan Islam masih lemah dan tidak berkesan.
10. Keruntuhan akhlak dan
ketidakstabilan sosial melanda umat sehingga mencetuskan krisis
sahsiah yang semakin parah
11. Organisasi masyarakat Islam yang tidak jitu dan terkordinasi
serta tidak bersatu dalam menangani masalah umat terutama kemelut
dikalangan kelompok akar umbi (masyarakat tertindas)
12. Kepimpinan Umat di pelbagai peringkat yang
penuh kepincangan dari segi memelihara amanah, menegakkan keadilan
dan menjaga kemurniaan akhlak masyarakat.
13. Agensi dan Institusi yang diterajui oleh golongan birokrat Islam
yang gagal menterjemahkan agenda Islam dalam profession
masing-masing.
14. Kelesuan daya
Intelektual umat keseluruhannya dalam menghadapi cabaran pemikiran
yang di asak dengan agresif dari luar
15. Keberkesanan dan
kualiti pendidikan umat yang tidak mencapai prestasi yang
diharapkan, malah pembangunan pendidikan Islam tidak berkembang
dengan lancar.
16. Kegagalan golongan
ulama’ dan umara menjalinkan sinergi dalam mengemudi bahtera umat
untuk membangun pelbagai aspek kehidupan masyarakat Islam (Ekonomi,
Kebajikan, Pendidikan, Kesihatan, Budaya dan lain-lain
17. Golongan generasi muda
Islam berhadapan dengan krisis identiti dan krisis budaya yang
semakin parah.
18. Peranan media massa
yang menyumbang kepada pencemaran serta porak-perandanya pemikiran
dan nilai masyarakat yang bercanggah secara langsung dengan Islam.
19. Umat Islam terutama di
kalangan golongan yang lemah terdedah kepada peminggiran, penyisihan
dan alienasi akibat dari proses dan model pembangunan yang
mengakibatkan marginalisasi golongan lemah.
20. Isu-isu lain yang
melengkari umat Islam di negara ini
Perumahan
dan petempatan penduduk Islam yang semakin tidak terancang dengan
sempurna
Etika
berpakaian Islam yang maseh terus dipersoal..
Penguatkuasaan
enakmen syariah tidak dipertegaskan.
Penyeragaman
undang-undang Islam maseh belum sempurna.
Isu
kesucian barangan dan makanan untuk orang Islam belum diatasi
dengan baik.
Isu
orang Islam yang bekerja di sektor yang diharamkan oleh syara’
seperti pusat hiburan , GRO dan kilang arak tidak diberi perhatian..
Penghinaan
dan kritikan terhadap agensi-agensi Islam tidak direspon dengan
berkesan.
Isu
pengurusan tanah wakaf maseh tidak berlaku dengan berkesan
Perundangan
dan penguatkuasaan undang-undang mengenai murtad dan jenayah syariah
belum ditangani dengan sempurna.
Hubungan
antara agama belum berlaku dengan harmonis akibat salah faham dan
pra sangka terhadap umat Islam.
Syiar Islam seperti membaca asma’ul husna di sekolah, azan
dikawasan perumahan mula dipersoal.
21. Kewibawaan institusi
fatwa yang belum cukup kukuh untuk mempengaruhi kehidupan umat
22. Pengajian Islam di
Institusi Pendidikan tinggi belum mantap melahirkan ahli profesional
yang berpemikiran dan bersahsiah serta berjiwa Islam untuk turut
aktif terlibat dalam memperjuangkan nasib umat.
Berdasarkan realiti tercatat diatas , kami menegaskan :
Bahawa kedudukan
Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang diperuntukkan dalam
Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan di Negara ini , menjelang 50
tahun kemerdekaan Malaysia maseh memerlukan pengukuhan , pembaikan
dan pemulihan.
Bahawa Islam
sebagai tonggak membina bangsa dan Negara belum mencapai martabat
sewajarnya sebagaimana yang dituntut mengikut panduan Al-Quran dan
Al-Sunnah.
Bahawa Islam
yang menduduki tempat yang istimewa dalam Negara belum dapat
diterjemah sepenuhnya dalam kehidupan umat Islam sebagai agama yang
menyusun semua aspek kehidupan yang merangkumi dan meliputi segala
ruang dan dimensi kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Bahawa
kedudukan umat Islam dalam aspek sosio-ekonomi dan politik ditingkat
lokal dan nasional maseh menunjukkan kepincangan yang ketara sehingga
martabat umat tidak memenuhi prestasi sebagai “khairo-ummah”
sebagimana yang diungkap dalam Al Quran Karim
Bahawa cabaran
yang sedang dihadapi oleh umat bukan sahaja datang dari luar malah
juga dari dalam diri umat Islam itu sendiri.
Bahawa kepekaan
dan kesedaran umat untuk menghayati dan mempertahankan Islam belum
cukup menyerlah akibat serangan agenda globalisasi neo-liberal yang
sedang dicatur oleh adikuasa imperialis dari Negara-negara Barat dan
kuncu-kuncunya di Negara umat Islam sendiri.
Bahawa
kepimpinan umat untuk mengemudi dan menyatukan kekuatan sumber alam
dan sumber daya manusia amat lemah malah penuh kepincangan akibat
dari kepentingan diri yang mengatasi keutamaan kepada membela nasib
umat.
Bahawa kefahaman
sesat seperti sekularisme , liberalisme dan pluralisme sedang
dikembangkan dikalangan masyarakat Islam terutama dikalangan cerdik
pandai dengan pelbagai label gerakan masyarakat sivil atas nama
memperjuangkan hak gender , hak asasi manusia , kebebasan beragama ,
demokrasi , modernisasi , liberalisasi dan globalisasi .
Bahawa sejak
negara di rantau Alam Melayu mencapai kemerdekaan, masalah pokok yang
dihadapi ialah keinginan di kalangan sesetengah pejuang kemerdekaan
untuk melakukan transformasi dan pembaharuan terhadap dasar yang
ditinggalkan penjajah.Ratusan tahun umat Islam di jajah di rantau ini
menyebabkan jiwa mengagumi Barat masih sarat dalam pemikiran.
Bahawa
psikologi feudal masih utuh dalam amalan, upaya ilmu dan pendidikan
yang Islami sifatnya berkembang dalam batas yang amat ritual dan
rohaniah sifatnya.Ia menyebabkan perubahan yang bersifat simbolik
berlaku tetapi tidak berkembang dalam skop ilmu yang bersatu dan
mampu menjana pembaharuan menterjemahkan Islam seutuhnya .
Bahawa
tradisi pondok dan madrasah, pesantren dan maahad masih menumpu
memperkasa ilmu mengurus diri secara ritual dan kurang fokus terhadap
ilmu mengurus sistem yang lebih konprohensif. Peranan institusi ini
amat besar menjadi benteng keyakinan umat terhadap Islam tetapi belum
mampu menjadikannya wadah membangun ilmu yang sepadu.Apatah lagi
menghasilkan ulama dan ilmuwan yang terbabit dalam arus penggubalan
dasar serta strategi pembangunan negara.Keadaan bertentangan ini
menyebabkan konflik berpanjangan antara pendukung yang mahu hidup
bersyariat dengan kelompok status-quo yang masih teguh dengan
strategi keBaratan dan sekular.
Pemurnian yang di perlukan.
Kefahaman
terhadap pengertian dan penghayatan Islam sebagai sebuah sistem yang
menyeluruh dan melengkapi dalam semua aspek kehidupan merangkumi
sosio-budaya , ekonomi , kebajikan , penggunaan sumber alam ,
urustadbir , politik dan kepimpinan , pendidikan , pengurusan
pembangunan , undang-undang dan kehakiman hendaklah diterapkan ke
dalam semua peringkat umat.
Sementara
itu cabaran semasa dari sudut intelektual dan faham-faham yang
menyimpang dari prinsip-prinsip yang muktamad dalam Islam perlu
dihadapi dengan tuntas. Faham sesat sekularlisme , liberalisme dan
pluralisme yang cuba diketengahkan oleh kelompok –kelompok tertentu
dikalangan jurnalis , penulis , ahli akademik , ahli politik ,
aktivis sosial , hendaklah ditangani dengan berkesan sehingga ke akar
umbinya.
Adalah
menjadi kewajipan semua golongan intelektual , cendekiawan dan ulama
Islam perlu memainkan peranan menjaga kemurnian dalam faham kebenaran
dan keadilan seperti yang dianjurkan oleh Islam agar pegangan umat
Islam mengenai Islam sebagai satu-satu “ad-dinnul haq”
dipertahankan.
Kepekaan
umat perlu dibangkitkan supaya tercetus kewaspadaan yang tinggi
dikalangan umat Islam terhadap segala cabaran aqidah , pemikiran ,
sosio-budaya , ekonomi , politik dan keselamatan yang sedang
merosakkan umat Islam dari dalam. kepekaan terhadap hak dan
tanggungjawab umat perlu dibina sehingga mampu mengeluarkan umat dari
belenggu kekeliruan dan kedangkalan ilmu dan mencetuskan kebangkitan
yang tulin demi merealisasikan transformasi ke arah membentuk
masyarakat yang Islamik dalam seluruh aspek kehidupan umat.
Bahawa
semua penggerak dan aktivis Islam yang bergiat secara individu
mahupun melalui organisasi formal dan tidak formal , awam atau swasta
, lokal atau internasional hendaklah bergerak secara
bersungguh-sungguh , berdisiplin , sistematik , terkordinasi , mapan
, konsisten dan saling mengukuh serta mengutamakan kesatuan dan
persatuan umat untuk mengangkat martabat umat Islam dan bekerja ke
arah mendaulatkan Islam seutuhnya di Negara ini khususnya dan dunia
amnya.
Kami
berpandangan kelompok yang sangat krusial dalam menggerakkan
pemurnian siyasah negara adalah umara dan ulama. Peranan kedua
kelompok ini menentukan keabsahan arah tuju politik umat .
Wahai
orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi
orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan
kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum
itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu
berlaku adil ( kepada sesiapa jua ) kerana sikap adil itu lebih
hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
(
Al Maidah : 8 )
Ujudnya jurang yang
semakin jauh antara ulama dan umara akibat dari ketiadaan kesefahaman
dan saling mengukuh antara ulama dan umara dalam memandu pembangunan
Negara menyebabkan keadaan semakin kritikal.Golongan ulama
tradisional sering dikritik dengan tidak wajar dan penuh prejudis
oleh golongan sekular liberal yang beralasan bahawa ulama ini tidak
menyumbang kepada pembangunan Negara.
Sementara itu ujudnya
ulama yang tidak berperanan dengan berkesan dalam menegur dan
memperbetulkan umara dan dengan itu menghilangkan rasa hormat dan
kepercayaan umat terhadap ulama yang sedemikian. Kelesuan dokongan
umat kepada kepimpinan ulama akibat dari serangan yang bertubi tubi
oleh mereka yang bersikap pra sangka kepada ulama menambah parah
keadaan.
Tidak kurang juga
ujudnya umara’ elitis yang tidak menghormati teguran dan pandangan
ulama kerana ditakuti akan menjejaskan kedudukan dan kekuasaan
mereka. Ini lantaran umara’ yang mahu memperalat ulama untuk
kepentingan diri.
Sayangnya ujud pula
organisasi ulama’ yang tidak kuat dan kurang efektif untuk bergerak
sebagai sebuah angkatan yang berpengaruh dan mampu memimpin umat
dalam menghadapi pelbagai isu yang tercetus dari masa ke semasa.
Sebab itu sangat
diperlukan usaha dilancarkan dengan bersungguh untuk memperkemaskan
wadah-wadah ulama’ yang sedia ada ke arah mengujudkan pergerakan
ulama yang benar-benar berfungsi , berkesan , berdisiplin , cergas ,
dan sangat dihormati. Supaya kepimpinan ulama’ hendaklah
ditampilkan dan ulama’ dilibatkan dalam menangani pelbagai masalah
umat. Ulama’ perlu bersama umat yang menghadapi penindasan ,
kezaliman , peminggiran , penganiayaan , kemiskinan dan penafian hak.
Ulama perlu bersuara untuk membantah penyelewengan , penyalahgunaan
kuasa , dan pemusnahan alam .
Ulama’ perlu
menegaskan sikapnya terhadap sebarang penyelewengan umara’ tanpa
sebarang kompromi. Umara’ yang memegang amanah kuasa perlu
mendengar teguran ulama’ dengan ikhlas supaya umat Islam tidak
menjadi mangsa kepada pengkhianatan amanah, Kerjasama antara ulama’
dan umara’ dalam membangun negara hendaklah berjalan dengan
harmonis dan saling melengkap akan tetapi hendaklah bersikap tegas
terhadap prinsip kebenaran dan keadilan yang mesti dipertahankan.
Ulama’ dan umara’
perlu menjalinkan kesepakatan untuk menegak dan mendaulatkan Islam
seutuhnya dalam ruang undang-undang yang sedia ada dan bekerja keras
supaya akhirnya kedaulatan Islam dapat didirikan dalam semua aspek
kehiduapan umat.
Harus
diusahakan agar institusi Majlis raja-raja dan Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Yang
DiPertuan Agong mempertegaskan fungsinya untuk menjaga kesucian dan
martabat agama Islam dalam ertikata sebenar. Dalam hal ini institusi
Raja-raja Melayu perlu berperanan tegas membendung gejala keruntuhan
akhlak dan kelonggaran pegangan aqidah umat Islam. Institusi
Raja-raja Melayu juga perlu melaksanakan fungsi yang telah
diperuntukkan dalam Perlembagaan demi menterjemahkan Islam sebagai
agama Persekutuan dalam ertikata Islam yang menyeluruh ( kaffah).
Pihak kerajaan hendaklah memperkasakan kedudukan ulama sebagai
institusi yang berwibawa. Majlis Fatwa Kebangsaan perlulah diberi
status undang-undang agar martabat institusi fatwa benar-benar
dihormati.
Pemurnian
politik yang diperlukan.
Jelas
sekali kita perlu mengatur percaturan politik yang strategis, dan
merangka maqasid Islam yang jelas, yang memperlihatkan kekuatan dan
dinamisme pemikiran dalam sejarah bangsa.
Kita
perlu melakarkan aspirasi politik yang tuntas dengan menggariskan
hasrat dan cita-cita perjuangan dan asas kebudayaan yang meyakinkan.
Kita perlu membina ahli politik yang memilikki keunggulan falsafah,
taushiyah
diniyah
dan nilai perjuangan yang sangat tinggi serta ketegasan pendirian
yang kental. Kita sangat perlu mengemukakan pemikiran politik yang
murni dan nilai perjuangan yang ulung. watak ahli politik yang
seharusnya inspiratif kepada anak muda yang terdiri daripada
“pemuda-pemuda Islam yang menaruh himmah, dan bercita-cita tinggi”.
Demikian tanggapan tokoh besar bangsa , Mohammad Natsir dalam
karyanya At-Taushiatul
Khamsah :
"
Satu-satunya jalan itu, ialah membimbing dan mempersiapkan
tunas-tunas muda daripada generasi yang akan menyambung permainan di
pentas sejarah. Mempersiapkan jiwa mereka, melengkapkan pengetahuan
dan pengalaman mereka, mencetuskan api cita-cita mereka, menggerakkan
dinamika mereka, menghidupkan “self – dicipline” mereka yang
tumbuh daripada Iman dan Taqwa. "
Kita
mengidamkan aktivis politik Islam yang hadhir dan berkembang dalam
pergulatan sejarah yang rencam. Sumbangannya yang penting kepada umat
dan usaha yang gigih untuk melakarkan faham politik yang inklusif,
mendobrak benteng taqlid, memugar kefahaman dan dakwah tawhid,
menggariskan prinsip maqasid, dan mengembangkan tradisi ilmu
seharusnya menjadi aset bagi umat untuk mengasaskan politik, dakwah
dan fiqh kontemporari yang akan membangunkan umat.
Kami
menegaskan bahawa pemimpin dan aktivis politik perlu meletakkan
keutamaan perjuangan Islam mengatasi perjuangan politik kepartian
yang sempit.. Mereka hendaklah belajar dan menghayati adab dan etika
politik mengikut prinsip Islam seperti yang dicontohkan oleh
Rasulullah s.a.w .
Kesungguhan
mengamalkan kehidupan dan gayahidup sederhana dalam setiap
tangkahlaku pemimpin-pemimpin politik sepatutnya ditekankan
.Menghayati akhlaq Islam sepenuhnya dalam setiap gerakgeri dan
keperibadian sebagaimana yang ditunjukkan dan dipandu oleh Rasulullah
s.a.w dan para sahabat r.a.
Bagi
mereka yang terpilih sebagai wakil rakyat , menggunakan setiap ruang
yang ada untuk memperkukuhkan kedudukan umat Islam dan martabat Islam
itu sendiri dalam semua bidang kehidupan rakyat perlu menjadi agenda
yang paling utama.
Menyuarakan
pandangan , bantahan , cadangan disemua ruang demi membela
kedududukan Islam dalam negara hendaklah diketengahkan .
Bahawa
permasalahan pemuafakatan politik umat pada hari ini amat mendesak.
Aktivis politik perlu kembali kepada prinsip atau konsep berbeda
pendapat dalam bermuafakat
serta adabul
ikhtilaf
(adab-adab berbeda pendapat) yang wajar diamalkan dalam masyarakat
Islam hari ini. Setiap aktivis politik hendaklah kembali berpegang
kepada ajaran Islam yang sebenar dengan merujuk kepada Al-Quran dan
As-Sunnah. Semangat berpegang kepada tali Allah dan jangan berpecah
belah perlu disuburkan dalam konteks politik umat hari ini.
Semua
aktivis politik Islam perlu mengusahakan pembinaan pemuafakatan
politik umat agar diwujudkan suatu situasi yang kondusif untuk
mewujudkan pakatan politik yang teguh meskipun wujudnya perbedaan
pendapat yang ketara. Perlu juga diwujudkan pemuafakatan dalam
politik secara keseluruhannya dalam menangani pelbagai isu umat
termasuk soal ekonomi, sosial, pendidikan, perundangan , urustadbir ,
pengurusan sumber alam , pembangunan , pendidikan dan kesihatan.
Umat
Islam perlu membangunkan diri dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi,
politik, sains-teknologi, pendidikan dan seumpamanya yang dapat
meningkatkan penyatuan dikalangan umat serta mengatasi kelemahan
umat Islam hari ini yang umumnya mudah ditindas. Umat perlu
menggalakkan kembali partisipasi golongan ulama’ dan ilmuan Islam
dalam politik umat. Setiap warga Muslim perlu berusaha meningkatkan
kepekaan dan kesedaran mengenai politik dan hubungannya dengan
menegakkan syariat Islam di tanah air ini.
Setiap
warga Muslim hendaklah meletakkan kepentingan Islam dalam melahirkan
sikap dan pendirian politik terhadap sebarang isu yang tercetus dalam
negara dan diperingkat antarabangsa.. berhubung dengan hal ini ,
semua NGO Islam perlu melaksanakan tarbiyyah politik yang betul dan
tepat dikalangan masyarakat Islam bermatlamatkan menegak dan
mendaulatkan Islam dalam seluruh kehidupan umat.
Wassalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh