Artikel ini akan dipos kepada gerakan dan NGO yang mempunyai sayap wanita
Misi mengisi kelompangan perjalanan kes-kes tertunggak Mahkamah Syariah
Oleh: Muhammad Nuruddin Bashah
(Pengerusi Skuad Penyelamat Aqidah, Setiausaha TERAS Cawangan Perak)
Misi mengisi kelompangan perjalanan kes-kes tertunggak Mahkamah Syariah
Oleh: Muhammad Nuruddin Bashah
(Pengerusi Skuad Penyelamat Aqidah, Setiausaha TERAS Cawangan Perak)
Mahkamah syariah adalah antara institusi Islam di Malaysia yang mampu melambangkan betapa syumulnya ajaran Islam sehingga memiliki sistem peraturannya sendiri. Darihal itu, walaupun skop kuasa dan taraf mahkamah syariah berbanding mahkamah sivil masih terbatas, ia tetap harus diperjuang serta diperkukuhkan dalam usaha mengupayakan kewujudan syariah di bumi Malaysia.
Suatu ketika dahulu peraturan syariah yang diperhakimkan benar-benar hanya melibatkan peraturan kekeluargaan dan nikah cerai semata-mata. Dahulu ia digelar Mahkamah Kadi. Dahulu juga ia bergabung dengan Jabatan Agama Islam serta hanya dianggap satu perlambangan kekuasaan Sultan-sultan sebagai ketua agama Islam bagi negeri-negeri Melayu.
Isu kelambatan proses penghakiman di mahkamah syariah yang melibatkan nikah cerai, fasakh, penderaan wanita adalah isu yang boleh membawa imej buruk kepada institusi syariah di negara ini. Tidak hairan apabila telah timbul satu gelombang gerakan gender femenism yang mula mempersoal perundangan syariah yang dikatakan 'bias', chauvinisme serta diskriminasi terhadap wanita. Undang-undang kekeluargaan yang lengkap dalam syariah Nabi Muhammad adalah disasarkan untuk membela nasib wanita. Namun bagaimana kita berjaya memahamkan golongan feminism ini? Jika diteliti statistik tahun 2002 (Berita Harian, 11 Mac 2002) sememangnya ada 29% kes tertunggak dari 1997 hingga 1999. Antara hujah yang dinyatakan oleh Pegawai Undang-undang Sisters In Islam, Nazreen Nizam dalam Majalah Al Islam Ogos 2009, penangguhan beberapa kes syariah sehingga 11 tahun yang melibatkan fasakh, tuntutan nafkah dan sebagainya adalah merupakan kesalahan pihak mahkamah. Benarkah prosedur mahkamah syariah lembab, lemah, bias serta kekurangan hakim berwibawa?
Ada pandangan sisi lain, walaupun Dato Zahid Hamidi pernah berkata hanya 10% sahaja kes tertunggak dalam mahkamah syariah, kes berkenaan adalah melibatkan kebajikan wanita, penderaan dan nafkah hidup yang bersifat dharuri (amat penting). Walaupun lebih banyak kes di mahkamah sivil belum selesai, kes sivil lebih melibatkan kesalahan terhadap individu dan kesalahan kepada negara dan kurang berkaitan isu rumah tangga yang lebih dekat dengan sensitiviti masyarakat. Berbanding kes kekeluargaan di mahkamah syariah, walaupun didakwa telah 90% selesai, ia adalah permasalahan struktur paling asas masyarakat iaitu 'keluarga'. Walau hanya 10% terbengkalai ia tetap menjadi isu dan perhatian masyarakat.
Sebenarnya terdapat 3 faktor utama yang menyebabkan kes tertangguh seperti yang dinyatakan oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia iaitu masalah peguam, plaintif serta difenden.
Saya ringkaskan permasalahan tersebut:
Masalah peguam;
1. Peguam tidak membuat 'homework' dan membawa bukti secukupnya.
2. Peguam tidak memberi perhatian kepada kes itu kerana peguam tersebut juga membawa banyak kes-kes yang lebih kritikal.
3. Peguam tidak hadir menyebabkan kes ditangguh dan hakim terpaksa mengikut semula turutan kes-kes nya mengikut prioriti.
Masalah Plaintif;
1. Plaintif kekurangan ilmu undang-undang.
2. Tidak memiliki saksi dan laporan kesihatan, polis.
3. Kes tidak dibawa segera selepas sesuatu perkara umpamanya kes pukul dan dera menyebabkan tiada bukti dan sebagainya.
4. Emosi dan menangis berpanjangan sehingga menyukarkan hakim mendapat butir hujah yang baik.
Gerakan femenism yang memperjuangkan perundangan bagi wanita adalah diraikan kerana ia akan memudahkan mangsa atau plaintif menuntut keadilan di mahkamah menurut prosedur yang betul. Namun begitu gerakan ini kerap kali mengambil ruang melalui kelemahan plaintif dalam hal undang-undang sehingga doktrin bias dan ketidakadilan mahkamah syariah diperdagangkan. Hal ini seharusnya diambil perhatian oleh gerakan-gerakan dakwah wanita, NGO dan sebagainya agar mengambil ruang khidmat pemudahcara undang-undang untuk memastikan pembelaan terhadap wanita berlaku dalam masa yang sama membantu menaikkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem mahkamah syariah dan ajaran Islam, bukannya merendah-rendahkannya.
Namun, baik juga jika dinilai kembali kajian ke atas kes cerai tertangguh oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri terhadap kes-kes yang dikendali Biro Bantuan Guaman (BBG)[1] bagi tahun 1999 dan 2000 yang mendapati mahkamah merupakan punca utama. Daripada 186 kes yang dikenal pasti tertangguh, 49% atau 91 daripadanya disebabkan pelbagai masalah yang timbul di institusi tersebut. Dalam kes-kes tertentu, mahkamah juga tidak menyatakan dengan jelas sebab sebenar penangguhan kes. Kebanyakannya hanya menyatakan kes ditangguhkan atau sebab tertentu atau sebab yang tidak dapat dielakkan yang mana ia menyukarkan BBG untuk memberi penjelasan kepada anak guam. Di samping itu, kebanyakan kes juga ditangguhkan tanpa tarikh serta lambat mengemukakan tarikh sebutan kes atau tarikh bicara baru yang menyebabkan terdapat kes yang tertangguh hampir setahun tanpa tarikh bicara baru.
Jelasnya peruntukan undang-undang syariah adalah lengkap berbanding agama lain. Disebabkan segala permasalahan melibatkan perjalanan mahkamah syariah, golongan femenism di Malaysia mula mempromosikan kempen monogami, mempersendakan poligami yang disyariatkan serta memasukkan jarum halus secara perlahan-lahan mengenai budaya liberal yang mengenepikan aurat (bertudung) dan sebagainya. Inilah kesempatan yang diambil akibat kelemahan yang wujud. Hari ini kita perlu berjuang meyakinkan masyarakat mengenai undang-undang keluarga Islam sebelum memahamkan mengenai hudud dan keseluruhan keadilan Islam.
Mahkamah syariah tidak perlu dipugar dan dipertikai wibawanya selepas ia diperkasakan oleh perjuangan Prof. Ahmad Ibrahim pada tahun 1988 melalui perletakan perkara 121 (1a). Malah menurut kajian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, masalah kes tertunggak kebanyakannya disebabkan oleh kekurangan kesedaran dan kefahaman undang-undang mahkamah dan bukannya kewibawaan mahkamah itu sendiri.
Disebabkan banyak faktor yang menyebabkan kelewatan kes nafkah dan cerai sebagai contohnya, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) misalnya terpaksa mendahulukan wang nafkah kepada si isteri sementara menunggu kes selesai dan si suami wajib membayar kembali nafkah tersebut kepada JKSM. Dana sebanyak RM 15 juta telah dipohon oleh JKSM. JKSM telah memainkan peranan penting dari segi kebajikan sementara bagi wanita.
Bagi tenaga sokongan perundangan, pendidikan undang-undang serta penyediaan plaintif ke arah persiapan rapi dari segi laporan polis, kesihatan, laporan khas, bukti, saksi dan kesediaan masa yang tepat adalah perlu institusi Islam seperti NGO wanita Islam dan gerakan dakwah Islam seperti ABIM, PAS, ISMA, PEMBELA dan JIM yang memiliki sayap wanita mengambil ruang ini secara serius dan konsisten. Sediakan tenaga kajian dan bantuan yang lengkap. Tidak semestinya kewangan yang banyak menjamin kelancaran mahkamah. Di samping itu si plaintif dibekalkan dengan dakwah Islam, pengurusan emosi secara Islam serta dipersiapkan dengan harapan baru untuk membina hidup berasaskan aqidah Islam yang sejati. Inilah kelompangan yang kini diisi oleh gerakan wanita liberal seperti Sisters In Islam dan sebagainya. Jika kita menyelar gerakan liberal, kita perlu juga sediakan alternatif yang lebih baik dalam usaha meluaskan perlaksanaan syariah di bumi Malaysia.
Gerakan wanita Islam juga boleh memainkan peranan memastikan pihak mahkamah dan hakim dapat mengurangkan masalah yang timbul akibat teknikal yang mungkin bersifat remeh. Walau telah banyak seminar dilakukan untuk menyelesaikannya, masih perlu pihak ketiga (third party) yang menjadi timbang tara yang berkesan.
Walaupun keterbatasan mahkamah ini masih ketara dengan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang mengehadkan perundangan jenayah Islam, namun usaha satu juzuk yang diambil oleh gerakan kewanitaan Islam yang disarankan ini boleh meningkatkan sekaligus menambahkan kapasiti perlaksanaan kesemua undang-undang syariah di dalam Al Quran dan Hadis.
Muhammad Nuruddin Bashah
Pengerusi Skuad Penyelamat Aqidah
Setiausaha TERAS Perak
Hadapan 360 MKJ Kampung Terang
11000 Balik Pulau
Pulau Pinang
017 6291368
[1] Biro Bantuan Guaman telah ditubuhkan pada September 1970 dengan objektif utamanya adalah untuk memberi khidmat nasihat dan bantuan guaman mengenai isu undang-undang yang dihadapi oleh golongan miskin. Ketika itu, BBG diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara.
No comments:
Post a Comment