SEDEKAH JADI MISKIN; PEMIKIRAN YANG PERLU DIPUGAR
Muhammad Nuruddin Bashah
Bc Hons Eng UM
Aktivis Kindness Malaysia (Sungai Petani)
Unit Penyelidikan MAPIM Utara
Jika
menganalisa pandangan masyaraat berkaitan sedekah, infaq atau
mengeluar belanja ke jalan kebaikan di kalangan masyarakat Islam
Malaysia terdapat beberapa pola fikir dan pola tabiat yang
tersendiri.
Pertama ada pihak yang melihat laba akhirat sebagai matlamat
sehinggakan sanggup memperuntuk sejumlah besar pendapatan bulanan
untuk disedekah kepada saluran tetap tertentu misalnya maahad tahfiz,
rumah anak yatim, rumah kebajikan, NGO berkebajikan dan sebagainya.
Penulis sendiri melihat bagaimana seorang aktivis masjid sanggup
membeli sebidang tanah untuk dijadikan penempatan percuma bagi jemaah
masjid yang datang dari rumah yang jauh semata-mata mengimarahkan
masjid. Ada yang memasang penapis air besar di luar rumah untuk
kegunaan percuma komuniti taman atau kampungnya. Ada yang meletak
bundle pakaian terpakai percuma untuk dipilih oleh faqir miskin yang
lalu di hadapan rumahnya. Pelik? Namun keadaan ini bukan pelik malah
menjadi keghairahan masyarakat bukan Islam.
Bagi masyarakat Islam mungkin termotivasi dengan ganjaran syurga dan
laba dunia yang dijanji Allah sebagaimana firman Allah:
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka
belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: “Apa jua harta benda
(yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu
bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak
yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam
perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis
kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan
membalas dengan sebaik-baiknya).”
“Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah
sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipat
gandakan balasannya dengan berganda-ganda
banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang
meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua
dikembalikan.”
Namun ada pola pemikiran yang melihat peningkatan kutipan dana untuk
anak yatim, pelarian, dana untuk rumah kebajikan, rumah orang tua,
pembinaan masjid atau sekolah agama sebagai kebanjiran aktiviti
kurang sihat. Dilihat sebagai mengambil kesempatan ke atas sedikit
kesenangan masyarakat Islam di negara ini. Malah ada yang mudah
sahaja menganggap ia sebagai ekploitasi kepada emosi umat Islam yang
prihatin, mudah tersentuh dengan kesusahan pihak tertentu yang
mengutip dana.
Mereka tdak melihat ia sebagai peluang membina mahligai di akhirat
kelak. Mengapa hal ini berlaku? Lihatlah firman Allah yang menjadi
tujuan penulis menulis makalah ini:
Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan
kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu
melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah
menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan
kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi
sentiasa Meliputi PengetahuanNya.
(Al-Baqarah 2:268)
Jelas pemikiran sesetengah umat Islam bahawa sedekah hanya pengacau
kestabilan ekonomi mereka, sedekah dan zakat hanya punca mengelak
cukai serta sedekah mengurangkan kekayaan mereka adalah pandangan
yang dicetus syaitan. Ia adalah modus operandi syaitan dan
tenteranya. Hal ini bukan sahaja berlingkar di sekitar masyarakat
biasa malah juga menghinggapi sesetengah ilmuan agama sendiri.
Penulis yang memiliki sedikit pengalaman mengutip dana dan sedekah
untuk aktiviti amal pernah berjumpa senareo begini:
Aku lagi miskin dari Rohingya, patut depa yang sedekah kat aku
tau...
Ala ramai bagi (sedekah) dah kat pelarian Syria, aku tak bagi pun
tak kurang mana pun dana untuk mereka.
Aku pekerja bawahan, hang pi minta duit sedekah dari eksekutif,
manager sana tu, depa kaya depa la kena sedekah.
Dan banyak lagi alasan untuk tidak bersedekah telah didengari dari
pelbagai segmen masyarakat,latar belakang.
Mengapa alasan ini terjadi?
Pertama, mereka langsung tidak mengetahui kesusahan pihak lain yang
lebih sukar bernafas, sukar menelan sesuap makanan berbanding
mereka. Mereka tiada pengetahuan berkenaan kesusahan etnik tertentu
yang sedang diburu nyawa siang dan malam. Mereka hanya pandai like
dalam Facebook sahaja dan tiada kesedaran secukupnya. Mereka tiada
pengetahuan berkenaan perit getir masyarakat luar negara atau
kesusahan faqir di kalangan bangsa sendiri di komuniti mereka.
Kedua mereka tidak tahu bahawa kelemahan ekonomi mereka, gaji yang
sedikit itu mampu dilegakan dengan sedikit sedekah secara konsisten.
Mereka tidak tahu hal itu ada dalam agama Islam dan terbukti menjadi
rahsia resepi kekayaan sesetengah jutawan yang kerap bersedekah.
Mereka tidak tahu bahawa Islam tidak memandang amoun sedekah
sebaliknya peratusan sedekah daripada kepunyaan kita. 1 peratus wang
daripada pihak bergaji RM 5000 tetap sama dipandang bagi 1 peratus
yang dikleuar daripada pihak yang bergaji RM 1000. Inilah konsep
ikhlas dan menurut kemampuan. 1 Peratus yang mampu dikeluarkan
secara konsisten.
Namun manusia melihat kepada amoun sehingga ada yang berbisik:
“Aku nak bagi RM 2 malu kat orang sahaja, dalma abung jernih tu
semua pakat bubuh RM 10”.
Malu ini malu yang merugikan di akhirat kelak.
Lihat dalil dan hujah di bawah:
Sedekah tidak mengurangkan harta kita (ini janji Allah dan rasul)
Tidaklah sedekah itu mengurangi harta, dan tidaklah Allah menembahi
rasa maaf kecuali bertambah mulia, dan tidaklah seorang hamba rendah
hati kepada Allah kecuali Allah akan angkat darjatnya”
HR. Muslim (2588).
Sedekahlah Walaupun Orang Miskin Tidak Meminta-Minta, Al-Baqarah,
Ayat 273:
“(Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang
telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang)
pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di
muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang
kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka
menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan
(melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta
kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua
yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah
sentiasa Mengetahuinya.”
Harta Orang Bersedekah Sentiasa Diberkati, Al-Baqarah, Ayat
276:
“Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil)
riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan)
sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap
orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.”
Penulis yakin harta para jutawan dan dermawan tertentu yang ghairah
bersedekah kian bertambah dan subur kerana janji yang termaktub dalam
dalil Al Quran dan hadis di atas. Berbahagialah individu yang diberi
hidayah olehNya.
Untuk penulis ini yang mungkin hanya bersedekah sedikit ini, penulis
gemar menuai pahala (jika diberikan oleh Allah) berdasarkan ayat ini:
Pahala Untuk Orang Yang Menyuruh Bersedekah, An-Nisaa’, Ayat
114:
“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali
(bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat
kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang
berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami
akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.”
Tambahan pula bersedekah di bulan Ramadhan yang berlipat kali ganda
pahalanya sebagaimana kata Ibnu Abbas R.A
“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah orang yang
paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan
saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk
mengajarkan Al Qur’an. Dan kedermawanan Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wa sallam melebihi angin yang berhembus.”
(HR. Bukhari, no.6)
Semoga kita dijadikan sebagai ahli sedekah.
Bandar Puteri Jaya Sungai Petani
23 Jun 2016
1.33 a.m